
Sekali sekala saya suka membaca updates di Facebook. Ada seseorang bertanya, apakah kenangan di hari jumaat? Saya teringat sebuah kisah yang menjadi titik mula kepada pembinaan peribadi ahli syurga. Saya ingin pesan pada diri, setiap tindak tanduk saya mencirikan jenis rumah saya di alam akhirat. Misi ke syurga adalah menjadi matlamat dan dunia sebagai alat. Memanipulasi kehidupan dunia untuk beroleh ketenangan abadi di sana. Jom!
“Emak memang berhajat hendak makan buah kurma. Tiba-tiba terdetik dalam hati dan teringin.” Ujar Emak ketika kami sedang bersantai di perkarangan Masjidil haram. Sambung Emak lagi,
“Tiba-tiba ada seorang wanita Arab menghulur buah kurma pada Emak. Allah, hanya Tuhan sahaja yang tahu.” Kami berdua tersenyum. Emak tidak henti-henti bersyukur dan mendoakan wanita yang baik hati itu.
Ustaz Don pernah bercerita,
“Ketika itu saya bawa selipar lebih. Memang sengaja bawa lebih. Entah macammana ada seorang Jemaah haji yang kehilangan kasutnya. Saya pun beri pada dia.”
Allah..
“Dan dia pakai selipar itu untuk mengerjakan haji. Tengok berapa banyak pahala kita dapat bila memberi sesuatu kepada seseorang. Kita menunaikan hajat atau keperluan mereka. Seakan kita telah kekurangan sesuatu tetapi sebaliknya kita beroleh kebaikan yang, yang, yang berlipat kali ganda.”
Saya termenung panjang. Istighfar.
Hasil fikir dan zikir dari Emak dan Ustaz Don, saya menyimpan 2 batang pen dalam handbag kesayangan. Kebiasaannya saya hanya membawa 1 pen. Ya. Satu.
Ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital pada pagi jumaat yang indah, terdapat pelbagai borang yang perlu diisi.
“Ada pen?” Seorang lelaki bertanya kepada jururawat yang sedang bertugas di kaunter. Saya ketika itu betul-betul duduk di hadapan sekali.
Jururawat menyambut mesra, “Pen kami dah tak cukup. Tadi kami dah beri pada isteri Encik.”
“Oh ye ke. Oklah saya tunggu dia habis isi.”
Eh. Hey, saya ada lebih. Saya pun terus mencelah.
“Ambil pen saya.”
Lelaki itu menyahut, “Terima kasih. Ada juga manusia yang baik kat dunia ni. Saya pinjam ya.”
Yes! Berjaya. Semudah itu. Ya, semudah itu. Alhamdulillah.
Kenapa ya kita perlu melakukan kebaikan?
Kenapa ya kita perlu bantu orang lain yang sedang berhajat?
Kenapa ya kita perlu sibuk-sibuk nak beri apa yang kita ada?
Bukankah cukup kita memikirkan keperluan diri sendiri? Bukannya orang lain tidak boleh berusaha untuk memastikan berada dalam kecukupan?
Contohnya kenapa tidak dia membawa pen sendiri kerana rutinnya memang pemeriksaan kesihatan memerlukan alat tulis untuk mengisi borang dan sebagainya?
Kenapa?
Ke mana sahaja beliau pergi, pasti akan ada buah tangan untuk kami adik beradik. Saya selalu terasa bersalah. Saya tidak berapa pandai mencontohi akhlak murni ini. Tetapi saya sedang belajar.
Hari itu, sehelai jubah mengisi almari baju saya. Selepas itu, dompet berwarna kuning mengisi handbag saya. Pada saat itu juga, comforter menutup katil saya. Terima kasih Kak.
Saya sangat kagum dengan orang yang memikirkan orang lain dalam kehidupan mereka. Sepertimana seorang Ibu yang memberi cinta tanpa syarat, seboleh-bolehnya hatta nyawa diperlukan oleh anak-anak mereka, mereka akan beri.
Beri. Beri dan terus memberi.
Orang yang rajin memberi tidak akan pernah miskin. Mereka beroleh kekayaan di sisi Allah. Menyelusuri sejarah, tahukah kita para sahabat Nabi memberi lebih, lebih, dan lebih banyak lagi berbanding kita.
Huh, kita setakat memberi pinjam.
Mereka memberi sebahagian harta. Malah ada yang memberi sepenuhnya. Memanglah kita tidak mampu untuk menjadi seperti mereka. Ke ada orang yang sanggup korbankan seluruh harta untuk memberi?
Bermulalah dari yang paling mudah.
Saya suka pesanan Prof. Dr. Muhaya. Pesan beliau, apa salahnya kita isi sampul duit raya dengan duit. Kita bawa ke mana sahaja kita pergi. Mana tahu kita terjumpa orang susah tengah mencuci tandas. Kita beri dia duit. Dia guna duit kita untuk beli makanan. Dengan makanan itu dia menjadi hamba yang bertambah bersyukur.
Hmm.
Kita kaya.
Jom praktikkan. Ketika kita keluar dari rumah, cuba adakan satu jenis barang yang lebih daripada biasa. Contohnya, kita membawa bekalan nasi ke tempat kerja. Lebihkan satu jenis lauk. Sekurang-kurangnya kita boleh memberi sesuatu.
Pemberian yang ikhlas, itulah yang diterima Allah.
Memberilah walaupun sedikit.
“Awali pagi harimu dengan sedekah, gemarlah bersedekah. Tidak ada seorang mukmin pun yang bersedekah karena mengharapkan apa yang ada di sisi Allah untuk menolak keburukan yang akan turun dari langi ke bumi pada hari itu, kecuali Allah menjaganya dari keburukan apa yang akan turun dari langit ke bumi pada hari itu.”
(Imam Ja’far Shadiq a.s)
Indahnya hidup. Jika setiap pagi kita berniat untuk bersedekah. Memberi sedikit. Ya sedikit dari apa yang kita ada. Sikit jer.
Jom bermula. Kan kita nak masuk syurga?
“Barang siapa membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya” (Al-An’aam 6:160)
Alhamdulillah.


Mata saya terpaku meyaksikan kerlipan cahaya yang memancar daripada paparan skrin tersebut. Bagaikan ditarik-tarik untuk terus menatap apabila hakim mengumumkan dakwaan kepada seorang Doktor Perubatan!
Seorang lelaki serba putih, disangkakan berbalut baju putih yang biasa digunakan ketika meronda di hospital untuk memberi rawatan kepada pesakit, rupa-rupanya menyarung jubah.
Jubah putih.
Peguam yang segak dengan pakaian kombinasi putih dan hitamnya berdiri gah menghadap semua yang hadir. Dia melantunkan suara yang memecahkan gegendang telinga. Sakit.
“Kamu didakwa!” Tujunya kepada doktor berjubah putih tadi.
Hadirin hening. Haru biru. Semua saling berpandangan.
Kedengaran bisikan di sana-sini. Dewan yang sebesar 3 biji banglo itu tidak mampu mengecilkan suara-suara yang ada.
“Saya mendakwa kamu kerana mengutamakan seruan kepada kebaikan daripada tugas anda sebagai seorang Doktor Perubatan yang memiliki MBBS!” Seorang peguam mencuba memberi hujah di mahkamah.
Gamat. Dewan bising sekali lagi.
Oh. Saya tidak senang duduk. Kerusi yang pada asalnya boleh memuatkan satu tubuh untuk duduk dengan selesa seakan-akan menolak-nolak untuk bangun. Teringat perbualan dengan guru tentang memilih bidang untuk melanjutkan pelajaran ketika di tingkatan 5 dahulu.
“Cikgu, saya berminat mahu mengambil pengajian undang-undang. Apa pandangan Cikgu?”
Sebaris jawapannya membunuh keinginan. Noktah.
“Bekerja sebagai peguam ni memang bagus Yuliana. Tetapi…. satu kaki di syurga, satu kaki di neraka.”
Titik. Untuk saya.
Al-kisah, seorang Doktor Perubatan telah didakwa kerana menginfakkan masanya untuk merawat penyakit sosial yang melanda masyarakat, sedangkan dia sepatutnya bertanggungjawab untuk merawat penyakit fizikal yang melanda masyarakat.
Saya bangun. Menuju ke titik tengah dewan yang digambarkan sebesar 3 biji banglo ini. Mencuba-cuba untuk menjadi peguam, angan-angan yang tidak tercapai.
Belum sempat kaki mencipta beberapa langkah, sang Doktor yang didakwa tadi menjawab lantas menyelamatkan saya daripada kemungkinan untuk didakwa juga. Jawapan yang memakukan kaki dan membekukan perasaan. Terasa bagaikan laju darah beroksigen mengepam masuk ke jantung. Segar.
Jawabnya,
Saya memetik firman Allah dalam surah al fussilat ayat 33 yang bermaksud, “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?”
Perkataan yang paling baik.
Ialah menyeru manusia kepada Allah.
Doktor. Memang pekerjaan yang mulia.
Menjadi mulia dan bertambah baik dengan usaha untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Bukan sekadar gaji bulanan yang mengisi poket baju dan seluar. Tetapi gaji harian yang mengisi buku catatan di bahu kanan.
Kita hidup bermatlamatkan syurga.
Kita bersungguh-sungguh dengan apa sahaja pekerjaan kita hari ini. Sungguh-sungguh menjadikan ia satu pekerjaan yang bermanfaat. Untuk ke syurga.
Tanggungjawab. Ini amanah.
Melihat hari-hari semalam yang telah berlalu membuatkan jiwa terseksa. Pedih. Sejauh mana saya benar-benar telah berbuat seperti apa yang diingatkan oleh sang Doktor itu tadi?
Hati bagaikan dihiris-hiris oleh pisau tumpul. Ia menyakitkan.
Saya menyoal kembali diri sendiri dengan persoalan yang sama, apakah cita-cita terbesar kamu?
Jawapannya tetap sama.
Cita-cita terbesar seorang Mukmin adalah untuk kembali ke syurga. Melalui pekerjaan terbaik ini.
Mari. Kita mulakan dengan langkah yang pertama. Serulah diri sendiri untuk berubah. Serulah orang lain untuk berubah. Mendekati Allah.
p/s : Kisah mungkin benar yang dimanipulasikan oleh saya. Doktor Zakir Naik, jangan dakwa saya di mahkamah.
Saya menerima kiriman email dari seorang pelajar pergigian yang meluahkan kerisauan tentang beberapa perkara biasa. Biasa-biasa sahaja. Ia biasa kerana hampir semua pernah melaluinya. Namun yang menjadikan ia bersifat luar biasa ialah bagaimana anda menanganinya. Itu yang membezakan kita. Istimewa.
Semasa di tahun pertama pengajian, saya sering dimomokkan dengan perkataan supplement dan repeat oleh para senior. Terima kasih kerana menakutkan saya. Terima kasih kerana mendorong saya untuk menjadi pelajar sepenuh masa. Terima kasih kerana menjadikan saya seseorang yang study hard.
Supplement= Mengulang subjek yang gagal pada tahun yang sama tanpa menggangu tempoh belajar. Jika gagal, perlu repeat.
Repeat= Mengulang subjek yang gagal pada tahun berikutnya dengan memanjangkan tempoh belajar dari 5 tahun ke 6 tahun dan seterusnya.
Saya bersyukur. Tetapi mahu suasana ini diubah. Para senior, berhenti menakut-nakutkan junior-junior anda. Mudahkanlah hidup mereka. Bantulah mereka. Berhenti mewar-warkan perkataan-perkataan negatif ini. Ubah.
“Betul ke kak ramai yang repeat last year?”
“Betul ke kak lecturer ini memang susah nak lepas?”
Apabila pelajar tahun pertama bertemu dengan anda lalu berkata, “Kak, saya takutlah exam ni tak lepas. Takut kena repeat.”
“Akak, saya takutlah supplement. Macam mana ni kak?”
Takut. Macam tak ada perkara lain yang lebih besar dalam kehidupan ini. Benarlah kata pakar motivasi bahawa orang yang hebat melihat semua ini hanyalah isu-isu kecil yang sepatutnya tidak menganggu prestasi emosi kita.
Kepada yang suka mengungkapkan perkataan-perkataan yang berunsur gejala negatif ini, anda memang akan repeat. Anda memang akan supplement. Apabila anda membayangkan perkara yang anda tidak mahu, anda sedang menarik perkara-perkara itu kepada anda.
Kenapa perlu berkata perkara-perkara yang anda tidak mahu.
Kenapa tidak kita berkata-kata perkara yang kita mahu.
Jadilah positif.
Saya telah melalui 5 tahun pengajian. Saya menyaksikan bagaimana mereka yang sering mengungkapkan kata-kata ini telah terjerumus ke dalam lembah yang mereka tidak mahu. Ya, bukan semua. Tetapi hampir semua yang fokus kepada apa yang mereka mahu dan tidak mengungkapkan patah kata yang negatif ini dapat melepasi pengajian dengan baik sekali. Syabas.
Berbalik kepada email yang saya terima, bakal Doktor ini menyentuh tentang beberapa perkara :
Satu: Pensyarah tegas yang terlalu sibuk dan mengganggu requirement yang perlu dipenuhi pelajar
Requirement= Kriteria-kriteria atau perkara-perkara yang perlu dipenuhi oleh pelajar untuk lulus peperiksaan atau sebagainya
Ini di luar bidang kuasa kita jika guru berwatak begini dan pada masa yang sama ramai kawan-kawan kita berjaya melaluinya dengan baik, maka kita perlu ubah apa yang dapat diubah dalam ruang lingkup kita.
Ubah bagaimana kita beradab dengan beliau. Saya pernah berhadapan dengan pensyarah yang dihuraikan seperti anda, tetapi kerana saya melihat dia sebagai seorang guru yang alim dan saya adalah seorang pelajar yang daif, setiap tindak-tanduk dia adalah untuk mengajar saya menjadi lebih baik.
Jika dia menggagalkan saya, maka dia mahu memberi peluang kepada saya untuk menjadi seorang Doktor yang baik, lebih hebat daripada orang lain. Kalaulah anda terpilih untuk supplement atau repeat, sebenarnya anda diberi kelebihan untuk menuntut ilmu lebih lama dengan guru tersebut. Logiknya anda lebih hebat daripada kami yang tidak supplement atau repeat.
Tetapi sejauh mana logik itu terpakai untuk anda adalah bergantung kepada bagaimana anda melihatnya.
Saya memilih untuk melihat dari sudut yang positif. Anda?
Justeru adikku,
Buangkan segala keluh kesah yang bersarang di hatimu. Berlapang dadalah. Pandanglah guru itu dengan pandangan hormat dan yakinlah dia sedang mengajarmu untuk menjadi lebih hebat.
Dua: Lemah teknik operatif/kemahiran klinikal dan dikenakan supplement
Kenal pasti apa yang menyebabkan anda lemah dan kenapa orang lain tidak. Praktis gaya orang yang berjaya melaluinya dengan baik. Lihat cara mereka belajar. Teliti cara mereka menyiapkan requirement. Belajar dari orang yang yang berjaya adalah short cut untuk anda berjaya seperti mereka.
Adikku,
Saya mencadangkan anda bertemu dengan guru tersebut secara personal dan berbincanglah bagaimana anda mahu dan boleh dibantu.
Tiga: Rendah diri
Buanglah sikap membandingkan diri dengan orang lain. Jika perbandingan itu menjadikan anda lebih hebat, anda memang hebat. Tetapi jika anda semakin lemah, maka itulah kelemahan yang sesungguhnya.
Meyakini anda lemah adalah satu kelemahan.
Angkatlah sedikit pandangan lebih tinggi supaya kita dapat melihat di atas kelemahan dan bertemu dengan kekuatan yang sudah lama menanti untuk digunakan.
Anda hebat. Ya. Anda hebat.
Empat: Senior yang Repeat dan takut perlu Repeat
Secara peribadi, saya sangat kagum dengan sahabat-sahabat saya yang telah melalui zaman supplement dan repeat. Mereka menjadi lebih hebat.
Kalau anda bertemu dengan mereka, anda pasti dapat belajar banyak perkara. Walaupun mereka repeat dan mungkin dipandang sebagai gagal, tetapi hakikatnya mereka ada kelebihan yang kami tiada.
Jika ditakdirkan anda repeat, yakinlah anda bakal belajar banyak perkara. Tetapi ini tidak bermakna anda menyerah kalah. Jangan lupa fitrah kejayaan itu datangnya dengan usaha. Sekalipun ada orang yang bijak, mereka tidak akan bijak tanpa membaca dan berfikir.
Akhirnya
Adik-adik yang dikasihi,
Saya ingin berkongsi catatan semasa tahun akhir dalam sebuah artikel di blog lama yang telah ditutup tetapi hanya saya seorang boleh baca.
Teruskan berusaha. Banyakkan berdoa. Sentiasa bersungguh-sungguh. Semoga Allah mempermudahkan pengajian kalian, amen…
Anda hebat!
Dan jangan lupa, cita-cita tertinggi seorang Mukmin adalah untuk kembali ke syurga. Jadikan cita-cita anda ini sebagai penghubung kepada cinta Ilahi.

“Terima kasih Doktor. Saya amat menghargainya.” Luah seorang pesakit tua yang segak bersongkok hitam, sambil tangan kanannya menghulurkan cermat.
Cermat.
Tidak selamat.
Terma profesional agak sinonim dengan bidang kerja kami. Kerana profesionalisma inilah kadang-kadang menjerat lalu membunuh.
Apabila pesakit menghulurkan tangan sebagai tanda terima kasih.
Apabila Bos besar menyampaikan sijil sebagai tanda penghargaan.
Apabila segelintir masyarakat mendekati anda sebagai tanda hormat.
Apabila rakan sekerja anda yang berbilang agama menautkan tangan sebagai tanda kasih.
Lebih menyedihkan lagi apabila saudara-saudara lelaki menzahirkan kononnya mereka adalah darah daging anda.
Dan anda pula adalah seorang perempuan Muslim.
Beranikah anda untuk menolak dan mengatakan tidak?
Ataupun anda,
Senyum malu-malu. Muka macam bersalah, tapi masih senyum. Tangan kanan macam tak nak hulur tapi terhulur. Ingat tadi nak tunduk dan letak tangan di dada. Tetapi apabila apa yang tidak ingin dibayangkan telah menjadi realiti, hancur.
Lalu pusing belakang dan mengeluh lemah,
“Harga diriku bernilai kosong! Ampunilah aku Ya Allah…”
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada seorang rakan sekerja yang membantu saya untuk meletakkan harga yang tinggi pada harga diri. Beliau mengajar dan membimbing saya untuk menolak tangan-tangan bukan mahram.
Bukan mahram.
Saya kongsikan pengalaman. Semoga bermanfaat.
Pada awalnya, saya akui yang saya agak lemah untuk menyatakan tidak. Kenapa?
Takut.
Dan saya pernah difahamkan bahawa ada beberapa kondisi yang dibolehkan untuk menerima huluran tangan. Saya tidak berhajat untuk mengupas lebih lanjut kerana ketiadaan ilmu berkenaan hal ini.
Cuma, apabila saya melihat beberapa kupasan Ustaz berkenaan bersentuhan dengan bukan mahram, saya rasa saya patut bertegas untuk menolak mana-mana tangan. Tangan lelaki.
Matlamat saya adalah untuk meletakkan harga diri pada paras infiniti. Pada awalnya saya memikirkan satu juta sebagai penanda aras. Saya menyoal kembali diri, kenapa mesti setakat itu sahaja? Patutnya lebih dan lebih lagi. Akhirnya, infiniti.

Infinity = An infinite or very great number or amount
Ia adalah satu proses. Proses meletakkan harga diri sehingga ke paras infiniti. Apabila kita melalui perkara yang sama pada masa-masa yang tertentu, kekuatan kita akan terbina. Mana mungkin semuanya berlaku dengan sekelip mata. Ya, ia adalah satu proses.
Pada awalnya, apabila bertemu dengan berlainan jantina pada majlis tertentu, saya mengambil sikap untuk mengelak. Sana ada, saya ke situ. Situ ada, saya ke sana. Lari dan lari. Sehingga tidak cukup tanah. Akhirnya bertemu juga.
Gagal.
Seterusnya, apabila ada pesakit yang menghulurkan tangan sebagai tanda terima kasih, saya akan bermain dengan helah. Atau lebih tepat lagi, menjadi bijak! Tangan yang masih bersarung glove/sarung tangan dijadikan sebagai alasan.
“Maaf Encik, tangan saya masih kotor.”
Dan pesakit pun angguk-angguk faham. Mereka faham apa?
“Oh, Doktor yang sopan bertudung dan berbaju kurung ini boleh salam saya sebenarnya, cuma tangan dia kotor.”
Err…
Habis.
Tetapi, anda telah berbudi dan berbahasa dengan baik tadi. Tahniah.
Kesepakatan juga sangat penting. Ketika dalam majlis tertentu atau dikehendaki bertemu dengan bos, saya pernah bersepakat dengan beberapa orang rakan,
“Nanti kalau Bos hulur tangan nak salam, kita semua tolak tau. Tunduk sambil letak tangan kat dada. Tambah sikit senyum sebagai tanda hormat. Kita semua mesti seragam. Kalau seorang salam, seorang lagi tak. Susah nanti.”
Sekali datang, lupa sudah perjanjian. Apa boleh buat, bukan mudah untuk tidak menyambut huluran tangan. Susah! Ia tidak semudah ABC. Apabila rakan-rakan anda yang sopan bertudung dan berbaju kurung menerima tangan-tangan mereka, dan anda pun terpinga-pinga apabila dihulurkan tangan yang sama.
Kalah.
Kerana ia adalah suatu proses. Allah mengetahui kita benar-benar bersungguh dan akan mendorong kita untuk mampu melaksanakannya dengan baik. Saya tidak tahu dari mana kekuatan itu datang apabila saya berjaya menolak huluran tangan seorang bos besar yang ketika itu telah selamat menggenggam tangan-tangan muslimah yang lain.
Menang.
Lalu esoknya ketika menerima sijil penghargaan, bos besar kuasa dua menghulurkan tangan dengan begitu cermat di atas pentas.
Gagal!
Saya tidak akan masuk ke lubang yang sama untuk kali kedua. Teruskan dengan bersungguh-sungguh. Meletakkan nilai pada diri adalah satu cara untuk bermuhasabah. Bayangkan seawal pagi kita bangun dengan amal ibadah yang baik, ketika itu nilai diri kita adalah 100%. Markah penuh. Tetapi apabila ke tempat kerja, kita meletakkan diri pada nilai yang rendah apabila kita melakukan maksiat satu demi satu.
100. 90. 80. 70. 40. 30. 10. 0.
Dan pernah juga tudung ini menjadi mangsa. Kutarik tudung melapisi tangan yang suci ini dan bersalam dengan saudara mara yang lagaknya seperti semua sedarah sedaging.
Berlapik, ya?
Menarik juga untuk dikongsikan apabila lelaki-lelaki soleh menerima huluran tangan wanita-wanita Muslim yang lupa, mereka menjawab,
“Maaf. Saya ada air sembahyang.”
Menarik. Inilah yang kita panggil sebagai budi dan bahasa.
Hakikatnya, mereka sebenarnya mungkin ingin menyatakan,
“Maaf. Saya lelaki dan anda perempuan. Kita tidak boleh bersalam.”
Tanyalah pada diri. Adakah kita mahu memelihara maruah manusia lain atau mahu menjaga kehendak Allah. Memang hukum bersalam ini terdapat khilaf. Dan saya memegang kepada bersalam antara lelaki dan perempuan ajnabi adalah haram.
Di tempat kerja, kitalah yang perlu mendidik staf-staf kita melalui qudwah atau teladan yang baik.
Ketika mula-mula melapor diri di sebuah klinik dahulu, staf yang beragama Islam mengetuk pintu bilik saya dan terus menghulurkan salam sebagai tanda hormat, sehingga saya tetiba menjadi confuse dan tertanya-tanya adakah dia seorang Islam.
Ketika itu saya datang dengan harga diri infiniti dan menjawab, “Maaf, saya tidak boleh bersalam dengan lelaki.”
Apabila rakan bukan Islam datang ke klinik untuk menjual produk tertentu dan mula menghulurkan tangan, saya menjawab, “Maaf, saya tidak boleh salam.”
Apabila kita menjaga kehendak Allah, kita sedang membina harga diri yang bernilai. Bukankah kita mahu dipandang baik pada pandangan Allah?
Mari memburu nilai infiniti.
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas RA dengan sanad yang sahih, sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya aku tidak sama sekali berjabat tangan dengan kaum wanita. Hanyalah ucapanku kepada seratus wanita seperti ucapanku kepada seorang wanita.”
(riwayat Mali, An-Nasa-i dalam ‘Isyratun Nisa` dari As-Sunan Al-Kubra, At-Tirmidzi, dll. Lihat Ash-Shahihah no. 529)
Begitu juga kata Nabi SAW,
“Ditusuknya kepala seseorang dengan pasak dari besi, sungguh lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya.”
(riwayat Thabrani dalam Mu’jam Al Kabir 20: 211. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini shahih)
“Biasalah ibu-bapa datang bawa anak-anak untuk rawatan di sini. Kadang-kadang mereka bukan mahu sangat anak mereka dirawat, tetapi mereka mahu kita beri nasihat kepada anak-anak mereka.” Ujar Dr. A, pakar ortodontik yang memiliki sebuah klinik besar di Miri, Sarawak.
Saya mengangguk-angguk. Benar-benar menelan dan mencerna kata-katanya tadi.
Perbualan ini mengingatkan saya kepada seorang lagi Pakar Ortodontik yang berkhidmat di Kuching, Dr. T.
Beliau juga mengungkapkan maksud yang lebih kurang sama,
“Kadang-kadang kamu tengok Emak dan Ayah datang menemani anak-anak sehingga ke dalam bilik surgeri. Itu menunjukkan betapa mereka sangat mengambil berat tentang anak-anak mereka. Terlalu risau mungkin. Dan kadang-kadang saya hairan melihat bagaimana anak-anak ini membalas jasa ibu bapa mereka.”
Sambungnya lagi, “Kamu tahu, saya boleh nampak anak-anak yang baik dan tidak melalui perawakan mereka. Dan masa inilah saya akan menasihati mereka.”
Kedua-dua mata saya membesar. Hati saya pun menjadi besar. Jiwa terasa bertambah besar. Subhanallah. Kedua-dua perbualan ini menarik saya ke zaman kanak-kanak dahulu,
“Liana, Ayah nak pergi klinik Dr Z.” Ajak Ayah yang tahu anaknya seorang ini suka mengekor ke mana sahaja tujunya.
Saya sangat suka mengekor Ayah untuk ke klinik Dr. Z. Setiap kali saya datang, Dr. Z akan tegur dan tanya khabar saya. Beri saya gula-gula. Bagi saya nasihat. Suruh saya belajar rajin-rajin. Walaupun ketika itu saya baru berusia sekitar 6-7 tahun. Saya masih boleh membayangkan di mana letaknya bekas gula-gula, dan di mana pula duduknya Dr. Z. Susun atur katil pesakit, barang-barang rawatan dan sebagainya. Yang pasti juga, wajah manis dan ceria Dr. Z menyambut saya, tetamu yang tidak diundang yang hanya sekadar menemani Ayah.
Whoah, Dr. Z.
Anda pula bagaimana? Pernah punyai saat manis bertemu Doktor?
Semanis-manis rawatan yang diberi, manis lagi tutur kata dan senyuman para Doktor yang memberi rawatan.
Saya fikir wajar kita manfaatkan sedikit ‘kuasa’ yang tidak seberapa, yang anda ada untuk membantu Ibu Bapa menasihati anak-anak mereka. Saya ingin kongsikan sedikit perbualan yang pastinya Ibu dan Bapa berasa gembira untuk membawa anak-anak mereka berjumpa dengan anda, selalu. Ya, selalu. Err, selalu bila perlu. Selalu bila anda beri temujanjilah.
Bak kata Dr. A, “Mereka bukan mahu sangat kita rawat anak-anak mereka. Tetapi mereka mahu kita menasihati mereka.” (Mengikut Dr. A, antara sebab yang menjadikan Ibu Bapa memilih untuk menghantar anak-anak bertemunya untuk rawatan adalah kerana ringannya mulut Dr. A memberikan butir-butir nasihat kepada anak-anak mereka. Ya, ini adalah testimoni berasas! Bukan rekaan.)
Contoh 1
“Adik umur berapa?”
“12 tahun.”
“Ha…UPSR kan tahun ni. Berapa A target agaknya ni?”
“Hmmmmm(lama, serius!)…, 1A!”
“Ye ke 1A?”
“Ye…” Sambil tersenyum sipu.
“Doktor rasa adik boleh dapat lagi banyak A, kalau adik rajin baca buku setiap hari, dengar cakap Mak, rajin solat dan berdoa, tidur awal….kan? Apa kata, naik sikit, 3A?”
“Ha, ok! 3A.”
Yeah, pandang wajah Ibu Bapa mereka dan kenyit sebelah mata. Pada masa itu anda boleh lihat betapa gembiranya Ibu dan Bapa mereka.
Contoh 2
“Tingkatan berapa dik?”
“Tingkatan 3.”
“Wah…Dah tingkatan 3 tapi Mak masih teman nak jumpa Dr sampai dalam bilik ni?”
Lalu tersenyum sipulah dia.
Sambung anda,
“Yerlah, mestilah Mak sayang sangat kat adik. Itu sebab dia ikut adik. Adik pun mesti sayang Emak. Dengar cakap Emak, tolong Emak kat dapur…(cukuplah..jangan panjang-panjang sangat.)”
Dan si adik ini mengangguk, sambil tersenyum lagi.
Lalu palingkan wajah anda dan pandang Ibunya, mereka gembira!
Lalu. Lalu. Lalu.
Apakah yang lebih menggembirakan apabila secara tidak sedar anda sedang membantu si Ibu atau Bapa ini yang mungkin nasihat mereka kekadang bagaikan peluru tabur menghentam baju besi, hanya meninggalkan kesan sipi. Yaaa…Walaupun mungkin nasihat anda ibarat peluru tabur menghentam baju besi yang sama. Tetapi sekurang-kurangnya, ada kesan sipi, walaupun sedikit.
Ya, kita pernah jadi anak-anak yang kadang-kadang keras kepala tidak mahu mendengar nasihat Ibu dan Bapa. Bukan selalu, kadang-kadang. Atau, jarang-jarang. Ye ke?
Walau siapapun anda.
Samada anda seorang Doktor, Jurutera, Guru, Tukang masak, Pencuci tandas dan apa sahaja, jadikanlah diri anda bermanfaat kepada orang lain.
Rasulullah SAW bersabda: خير الناس أنفعهم للناس
Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia.
Sebaik-baik.
Manusia.
Yang paling bermanfaat.
Kepada.
Manusia lainnya!
Anugerah manusia yang paling baik, adalah anda, anda dan anda yang sentiasa menjadikan setiap pekerjaan anda adalah bermanfaat untuk orang lain. InshaAllah!
Keterangan Gambar : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=418491534888631&set=pb.148936448510809.-2207520000.1360768367&type=3&theater
Menyusahkan. Manja. Sikit-sikit nak merajuk.
Anak bongsulah katakan.
Begitu, ke?
“Aku bukan lahir untuk menyusahkan kehidupan orang lain. Kalaulah engkau melihat aku dengan mata hati, aku fikir engkau pasti dapat menerima suatu hakikat.” Luah si anak bongsu.
Hakikat apa?
Teruskan membaca.
Apabila saya diajukan soalan yang sama berkali-kali, saya fikir perkara ini perlukan penjelasan berkenaan adik bongsu yang bernama gigi molar ketiga.
Gigi molar ketiga. Wisdom tooth. Gigi bongsu.
Sakit. Pipi bengkak. Tak boleh bercakap. Susah nak makan. Susah untuk bernafas. Demam. Semua ini adalah antara rungutan insan-insan bertuah yang menerima kelahiran gigi bongsu. Ia kebiasaannya lahir ketika usia kita sekitar 18-24 tahun. Anak bongsu, really?
Soalan apa yang ditanya?
“Apakah fungsi gigi bongsu?”
“Kenapa dia asyik menyusahkan kita?”
“Kalau dia tak ada pun, kita masih dapat makan kan?”
Tidak semua orang terpilih untuk menerima kelahiran gigi bongsu ini. Ada orang yang tidak ada dan mereka adalah normal. Ada juga orang yang mempunyai keempat-empat gigi bongsu yakni di bahagian atas dan bawah untuk kiri dan kanan, tetapi tidak ada satupun yang menyusahkan hidup mereka. Tak sakit. Ia tumbuh pun tidak terasa. Sedar-sedar sudah ada. Ini adalah normal.
Ada pula yang merana apabila gigi bongsu sedang mahu tumbuh. Satu sudah merana. Apatah lagi dua, tiga dan empat. Ini juga normal.
Kebiasaanya sakit berlaku apabila terdapat jangkitan di situ. Samada gigi bongsu yang bermasalah atau tisu-tisu di sekitarnya. Menariknya, kawasan gigi bongsu mempunyai ruang-ruang berpotensi untuk lebih mudah menerima jangkitan berbanding kawasan-kawasan gigi yang lain.
Ingin saya tegaskan satu perkara. Saya tidak cukup ilmu ketika mengupas topik ini. Apa yang saya catatkan adalah lahir daripada pandangan peribadi tanpa kajian yang terperinci.
Lalu jika ada yang bertanya,
“Kenapa Allah memberi kita gigi bongsu sedangkan pada masa yang sama tanpanya kita masih boleh melakukan fungsi gigi dengan baik tanpa terganggu?”
Betul juga, kan?
Saya nak jawab,
“Boleh jadi juga kita sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya hanya 20 batang gigi kekal untuk berfungsi dengan baik, lalu kenapa Allah masih memberi kita 32 batang gigi?”
(Orang-orang tua yang kehilangan lebih lima batang gigi masih boleh makan, kan? Jadi kenapa Allah tak bagi kita 25 je? Ataupun 20?)
“Lagi, Allah boleh sahaja terus memberikan kita 32 batang gigi kekal tanpa perlu memberi 20 batang gigi susu sedari usia kita 6 bulan lalu menyusahkan kita dengan gigi susu yang perlu dijaga dengan baik dan tiba satu masa ia pula terpaksa dicabut?”
Kadang-kadang, tidak semua boleh dijawab dengan logik akal.
Kita mungkin terdidik dengan satu sistem suka bertanya. Bagus. Tahniah. Tetapi jangan kita terlalu mengharapkan satu jawapan yang solid. Tidak semua persoalan ada jawapan. Kekadang soalan perlu dijawab dengan persoalan. Soalan juga boleh tiada jawapan.
Terlalu banyak ‘jawapan’ kepada persoalan ini, dan jawapan terbaik bergantung kepada sejauh mana kita benar-benar melihat dengan mata hati.
Bagaimana untuk melihat dengan mata hati?
Apabila sakit adalah petanda kita tidak menjaga kebersihan gigi dengan baik.
Apabila sakit adalah petanda Allah mahu tolong bersihkan dosa-dosa kita.
Apabila sakit adalah petanda kita perlu berehat.
Apabila sakit adalah petanda kita perlu berjumpa dengan Doktor.
Apabila sakit adalah petanda Doktor ada kerja.
Ok. Enough.
Selaku pemilk gigi bongsu yang tumbuh di kesemua bahagian atas, bawah, kiri dan kanan. Ya, saya mempunyai 32 batang gigi kekal. Ya, semuanya tumbuh tanpa saya sedar. Keempat-empat gigi bongsu tumbuh tegak dan tersusun. Namun itu tidak bermakna saya sudah cukup selesa.
Saya perlu memastikan berus gigi saya benar-benar ‘fit’ untuk membersihkan kawasan di hujung mulut ini kerana sisa makanan suka benar melekat di situ.
Pembersihan total. Allah tak suka kita buat kerja main-main. Makna kata, tidak bersungguh-sungguh. Membersihkan gigi dengan main-main maksudnya saya tidak memberus gigi betul-betul. Ada kawasan yang tidak diberus.
Ini cara saya melihat gigi bongsu saya melalui mata hati.
Sabda Rasulullah saw “Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud)
Anda?
Kepada yang tiada gigi bongsu pula, bagaimana anda melihat dengan mata hati?
Masih ingat soal hakikat yang ditimbulkan di awal penulisan tadi?
Hakikat apa?
Jawapan saya, lihatlah dengan mata hati.
P/s : Dan Allah tidak menciptakan manusia sia-sia. Setiap satu struktur pada tubuh kita adalah bermanfaat!
Teringat apabila anak saudara saya yang berusia 6 tahun bertanya,
“Mak Teh, kenapa semut gigit kita?”
Terdiam saya seketika.
Lalu saya memberi jawapan yang bersesuai dengan tahap pemikiran dia.
Bila difikirkan semula, hikmah kejadian semut terlalu banyak. Selain daripada menggigit kita untuk mengingatkan kita kembali kepada Allah, semut jugalah yang membantu memakan sisa-sisa makanan yang bersepah dan memakan tubuh kita di dalam kubur secara sistematik.
Ya, Allah tidak menciptakan sesuatu sia-sia!
Melihat dengan mata hati membuka peluang untuk hidup dengan lebih bererti!







