Yakin Berpada-pada

Hadiah

Ketika Peperiksaan Percubaan SPM

Semasa peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk subjek Bahasa Melayu, saya mendapat gred A. Kebetulan ketika itu hanya 2 orang pelajar yang berjaya mendapat A.

Ini bukanlah entri untuk mengangkat bakul sendiri. Bukannya nak puji diri sendiri pun. Saya bukan budak pandai yang mendapat semua A dalam SPM. Kalau anda mahukan contoh, bukan sayalah. Tetapi jangan lupa, apa yang penting adalah proses yang kita lalui itu, bukan hasilnya. Memang, kekadang hasil itu penting, tetapi yang lebih berharga dan bernilai adalah sebuah proses. Sejauh mana kita bersungguh? Sejauh mana kita kuat menghadapinya? Kan Allah SWT pun ada berpesan yang Allah tak melihat hasil, tetapi melihat usaha.

Manusia melihat hasil. Allah melihat usaha.

Kembali kepada kisah dalam gambar tersebut.

Ketika peperiksaan sebenar, saya mendapat gred B untuk subjek Bahasa Melayu. Sebaliknya, subjek Bahasa Inggeris yang beroleh gred A. Alhamdulillah.

Sebenarnya, apa yang terjadi?

Adakah tidak cukup persediaan?

Dah pernah dapat A masa percubaan, kan?

Atau mungkin sebenarnya awak terlalu yakin?

Ya, overconfidence.

Kita perlukan keyakinan untuk maju ke hadapan. Selalunya apa yang kita yakini itulah yang akan terjadi. Namun malang sekali apabila keyakinan itu tidak disandarkan kepada usaha yang bersesuaian.

Semua orang boleh kata dia boleh dan dia mampu. Mungkin kita pernah mencapai kejayaan sekali, dan kita merasakan kejayaan sekali boleh berbuah untuk kali yang kedua. Ya, memang boleh jika kita berusaha.

Malangnya, budak 17 tahun yang dapat B untuk subjek Bahasa Melayu itu telah meminimakan masa belajar subjek yang berkenaan sebaliknya memberi tumpuan kepada subjek-subjek lain akibat selalu tidur dalam kelas.

Pendek kata,

Orang yang hebat selalu yakin. Untuk mencapai keyakinan yang dimaksudkan, mereka selalu bersedia. Persiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Persiapkanlah dengan segala persiapan.

Siap siaga. Maju ke hadapan. Ok, tekan brek.

Dan persiapan untuk menuju ke syurga itu adalah lebih penting. Yakin dapat masuk syurga? Gulp.

Advertisements

Kaitan Gigi Dan Ibadah

Aset Untuk Beribadah

Benarkah gigi adalah aset yang menentukan kualiti ibadah kita? Adakah ia turut memainkan faktor? Adakah ia memberi sebarang pengaruh kepada kehidupan kita?

Sejauh mana kenyataan ini benar bergantung kepada sejauh mana anda memandang gigi sebagai suatu aset yang membantu anda untuk beribadah.

Mari kita menggerudi apakah contoh-contoh pekerjaan atau perbuatan harian yang menunjukkan betapa gigi banyak memainkan peranan penting.

  • Berkata-kata perkara yang baik. Mana mungkin kita boleh menyebut sesuatu huruf tanpa kewujudan gigi. Saya beri contoh huruf-huruf tertentu yang memerlukan kehadiran gigi seperti f, v, l, m, n dan  t. Ya, dengan kolaborasi lidah, lelangit dan bibir sesuatu perkataan itu menjadi cukup harmoni. Tanpa kewujudan gigi anda mungkin sukar menyebut sesuatu huruf dan menyukarkan hasrat anda untuk berkomunikasi.
  • Makan makanan yang berkhasiat. Dengan makanan ia memberi tenaga kepada tubuh untuk terus menjalankan amanah sebagai hamba Allah di muka bumi ini seperti mencari nafkah dan menuntut ilmu. Bayangkan jika anda tiada gigi, anda mungkin kehilangan suatu zat tertentu. Kebanyakan pesakit saya punyai masalah untuk makan sayur-sayuran kerana ia memerlukan lebih kunyahan untuk dihancurkan dengan baik. Rasululullah SAW juga menyarankan kita mengunyah lebih 40 kali. Mampukan anda melakukannya tanpa gigi? Mungkin juga terpaksa dikisar dahulu. Sanggup anda makan makanan begitu? Akhirnya, badan anda mungkin lemah dan menganggu pekerjaan harian anda.
  • Memberikan ketenangan. Siapa pernah merasai sakitnya gigi? Ada yang sehingga tidak boleh makan dan tidak boleh tidur. Secara tidak langsung, ia mengganggu kualiti hidup kita. Menarik untuk kita fikir bersama, bolehkah kita khusyuk bersolat ketika menanggung sakitnya gigi? Nah, mencegahkan lebih baik.
  • Membantu membaca al-Quran dengan betul. Saya teringat sebuah hadis yang berpesan pentingnya membaca al-Quran dengan tajwid dan tartil yang betul. Dan apabila seorang Mak Cik mengadu, “Dah tua-tua ni baru rasa pentingnya gigi bila baru nak mula belajar mengaji”. Hmm, tak dapat den nak nolong.

Cukup dahulu contoh yang ringkas.

Kesimpulannya apa?

Bertemulah dengan Doktor Gigi sekurang-kurangnya dua tahun sekali dan bukannya ketika bila sudah sakit. Penting sangatkah jumpa Doktor Gigi? Masih tidak cukup keterangan di atas meyakinkan anda?

Beliau kehilangan semua gigi

Pesakit Saya

Gigi palsu yang membantu tetapi tidak sepenuhnya