Apabila Ambulans Berlalu…

Hati berdebar-debar melihat ambulans menerobos laluan jalan yang penuh dengan kereta. Apabila melihat ambulans, saya sering teringatkan kematian. Hmm.. Mengingat mati suatu kemanisan. Menjadikan insan tidak dalam kelekaan.

“Eh, ada ambulans kat belakang. Adik, jalan.”

Adik pusing kepala kiri dan kanan. Terus dia meluncur laju kereta ke depan. Ambulans masih tersekat di situ.

“Ya Allah, kenapa kereta belakang kita tak jalan. Tak dengar ke ambulans tu?”

Tanya saya geram. Kami semua menoleh ke belakang termasuklah si pemandu yang masih belum berlesen itu.

“Eh, tengok depan!” Kereta hampir melencong.

“Rapat ke kiri. Bagi ambulans lalu. Bawa slow sikit.” Emak pula menambah.

Barulah kereta di belakang kami memberi laluan. Geram sungguh saya.

Mudah-mudahan pesakit tersebut berjaya dirawat dengan baik. InshaAllah.

Tiba-tiba air mata saya bergenang. Saya teringat kepada kata-kata yang saya baca sebentar tadi dalam akhbar KOSMO.

Selalunya kita akan membuat persiapan untuk kehidupan kita pada hari esok. Selalu pula kita lupa tentang persediaan untuk kematian kita pada hari esok.

Air mata jatuh satu demi satu. Tambahan dengan lagu menyayat hati di dalam kereta beserta dengan berlalunya ambulans sebentar tadi. Saya tertanya-tanya bagaimana agaknya ketika saya mati nanti? Bilakah? Dimanakah? Adakah ketika itu saya sedang membuat persediaan? Persediaan yang bagaimana?

Mati adalah satu kepastian. Bila dan dimana tiada dalam pengetahuan. 

Dari Abu Ya’la yaitu Syaddad bin Aus r.a.dari Nabi s.a.w., sabdanya:

“Orang yang cerdik – berakal – ialah orang yang memperhitungkan keadaan dirinya dan suka beramal untuk mencari bekal sesudah matinya, sedangkan orang yang lemah ialah orang yang dirinya selalu mengikuti hawa nafsunya dan mengharap-harapkan kemurahan atas Allah – yakni mengharap-harapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat, tanpa beramal shalih.”

Mari beringat:

1)Esok perlukan persediaan. Persediaan untuk dunia dan akhirat.

2)Muhasabah dengan menilai amalan kita. Adakah selama ini kita sekadar memenuhi tuntutan tanpa menghayatinya?

3)Melakukan kebaikan setiap masa dengan menjaga hubungan dengan Allah, beserta manusia.

4)Menjauhi golongan yang membawa kita kepada kelekaan untuk mengingat Allah SWT jika kita merasa satu kesukaran untuk memelihara diri. Mencegah lebih baik daripada mengubati.

5)Menjauhi segala lubang yang menjauhkan kita daripada Allah SWT.

6)Memberi laluan kepada ambulans. Be sensitive.

Advertisements

Imam Muda Hassan : Populariti Satu Rahmat

Imam Muda Hassan berasal dari Ayer Tawar, Perak. Lebih kurang sebumbung dengan kami yang tinggal di Seri Manjung yang terletak di Daerah Manjung. Ayer Tawar juga sebahagian daripada Daerah Manjung.

Malam tadi beliau hadir di Surau belakang rumah saya untuk mengimamkan solat Maghrib dan Isyak beserta kuliah agama. Saya yang tidak pernah menjejakkan kaki ke surau tersebut segera bersiap sedia dengan niat untuk menimba ilmu dan belajar sesuatu daripada seorang yang hebat.

Untuk makluman, Beliau pernah menyertai Akademi al-Quran pada tahun lepas namun tersingkir di episod 3 atau 4. Katanya, Beliau menuntut ilmu al-Quran di Syria(jika tak silap). Persediaan mempelajari al-Quran yang dilalui beliau hanya sekitar satu tahun sedangkan seseorang yang hebat memerlukan lebih kurang 5-6 tahun untuk mahir dalam tarannum. Justeru, tidak hairanlah Beliau tersingkir awal.

Sungguh, beliau layak terpilih sebagai pemenang Imam Muda Musim ke-2 ini. Tazkirah yang disampaikan beliau sangat hidup. Ada masa bergenang air mata, ada masa ketawa, ada masa serius, ada masa tertanya-tanya dan ada masa juga bosan. Tapi yang bosan itu sedikit sahajalah. Tipulah kalau sempurna sahaja. Nilaian yang diberikan adalah berdasarkan nilaian iman saya. Kalau ketika itu iman saya bagus, maka pasti saya dapat kesemuanya. Tetapi syaitan memang suka sangat kacau orang-orang yang berada dalam majlis ilmu ini. Okay, salahkan syaitan pula, ya? ;p

Kenapa tazkirah yang disampaikan cukup bagus? Saya akan senaraikan satu demi satu supaya anda boleh ambil ini sebagai panduan.

1)Persediaan

Menurutnya, semasa di Imam Muda mereka dikehendaki berlatih membaca teks khutbah sekitar 2-3 kali di hadapan mursyid. Baca sahaja pun memerlukan persediaan begitu. Kerana penting untuk pembaca khutbah menghayati teks supaya khtbah disampaikan dengan nada dan intonasi yang sesuai.

2)Kemahiran Membaca

Setiap ayat yang dibaca mempunyai struktur dan maksud ayat yang berbeza. Ayat yang berbentuk kegembiraan perlu dibaca dengan nada gembira. Ayat yang berbentuk azab perlu dibaca dengan nada ketakutan dan ancaman. Beliau mencuba sehingga berdesup suaranya ke seluruh surau dan bergema dengan kalimah, “Wahai orang Muslim, takutlah kalian kepada Allah!!!”. Kalimah ini sering diungkapkan ketika khutbah solat jumaat tetapi selalunya dibaca dengan nada yang tiada feel langsung.

3)Kemahiran Melagukan

Beliau mahir melagukan ayat al-Quran. Hampir setiap firman Allah yang diceritakan berjaya dilagukan dengan baik sekali sehingga beberapa kali bergenang air mata saya walaupun tidak faham apakah maksudnya walau sepatah! Beliau bercerita bagaimana ketika menuntut ilmu al-Quran di Negara arab suatu ketika dahulu, kebanyakan pelajar yang berasal dari arab tidak reti melagukan bacaan al-Quran. Bermakna, mereka tidak fasih tentang hukum tajwid. Ya mereka tahu bercakap arab dan tahu maksudnya tetapi mereka lemah dalam hukum tajwid. Sedangkan kita di Malaysia sejak kecil diajar tentang bagaimana membaca al-quran dengan baik(tetapi tidak tahu maksud pula). Kita sedia tahu di mana perlunya 2 harkat dan di mana perlunya lebih dari itu walaupun saya sendiri jahil tentang jenis-jenis mad yang ada. Justeru, tidak sukar untuk belajar tarannum. Asasnya sudah ada, perlu belajar lagi untuk 5-6 tahun seterusnya sehingga menjadi pakar seperti juara akademi al-Quran, boleh?

4)Kemahiran Bercerita

Beliau menyampaikan sebuah cerita berkisar tentang dugaan yang dihadapi oleh Profesor Hamka. Tentang bagaimana beliau ditawarkan pelacur ketika menginap di sebuah hotel di Amerika Syarikat. Cerita yang disampaikan cukup menarik kerana ia berjaya membuatkan saya sangat ternanti-nanti. Imam Muda Hassan suka mengulang-ulang ayat-ayat tertentu menyebabkan kesabaran saya teruji (Gurau sahajalah).

5)Kemahiran Menyanyi

Beliau juga boleh menyanyi lagu nasyid dengan baik. Ada 3 buah lagu yang diselitkan ketika beliau menyampaikan tazkirah semalam. Lagu-lagu tersebut ada kaitan dengan pengisian seperti lagu oleh Xifu Nasir bertajuk Niat(Hadis pertama daripada Hadis 40), dan lagu yang saya tidak tahu tajuknya.

Kesimpulan

Saya melihat kemajuan teknologi memainkan banyak audio dan visual di kalangan anak-anak muda. Audio dan visual adalah dua perkara yang sudah sinonim dengan kita kerana anak-anak muda hari berinteraksi dengan teknologi setiap masa. Justeru penting bagi para pendakwah muda menguasai teknik-teknk penyampaian yang berkesan supaya apa yang disampaikan dapat diterima dan diamalkan oleh anak-anak muda seperti saya  dengan membawa unsur-unsur audio dan visual dalam penyampaian anda. Lakukan sesuatu untuk menjadikan penyampaian anda tertarik dan menarik!

Tahniah Imam Muda Hassan, semoga anda terus memberikan kebaikan kepada kami. Saya gembira dengan kehadiran anda semalam kerana berjaya menarik anak-anak muda yang tidak menjejakkan kaki ke surau untuk jejak buat kali yang pertama. Kadang-kadang, populariti itu satu rahmat juga. Alhamdulillah.

Kritikan Adalah Pujian

This slideshow requires JavaScript.

Kritikan adalah satu pujian kerana ia membantu kita untuk membetulkan kesalahan dan melakukan perubahan. Namun tidak ramai yang sanggup mengkitik dan tahan untuk dikritik. Orang yang mengkritik perlu belajar kaedah kritik yang berhemah supaya niat anda yang murni itu dapat diterima orang. Orang yang dikritik perlu mengambil sikap terbuka dan menerima. Ingatlah, kritikan itu satu pujian.