Memberi Nilai Kepada Hubungan

Kejujuran adalah kunci kepada berjayanya sebuah perhubungan. Ketika di alam persekolahan, Allah mentakdirkan saya untuk mengenali beberapa orang sahabat. Sahabat-sahabat yang sehingga saat ini masih saya rindukan. Masih saya ingatkan. Masih saya kenangkan. Masih saya doakan.

Kerana permulaan perkenalan di alam persekolahan ketika tiada sesuatu pun yang diselindungkan, maka persahabatan itu menjadi cukup indah. Sehingga ke saat ini, keindahannya terasa apabila kami terus menjalin ukhuwwah. Syukur kepada Allah SWT.

Suara Hati Saya

Perasaan saya sukar untuk diucapkan. Ia suatu perasaan yang benar-benar suci. Saya sayangkan mereka. Saya rindukan mereka. Mendengar suara bagaikan mahu menitis airmata. Kadangkala ungkapan cinta diungkapkan. Cinta kami cinta kerana Allah SWT.

Atas dasar itu, saya boleh menerima teguran mereka. Mereka menegur saya tidak seperti kebiasaan saya menerima teguran. Come on. Kita manusia yang boleh menilai. Kita boleh nilai siapa yang menegur kita dengan niat untuk menegur kerana Allah dan siapa pula yang menegur kita dengan niat selain Allah. Justeru, mereka adalah contoh terbaik yang boleh saya katakan.

Hari Ini

Hari ini salah seorang daripada mereka mencecah usia 24 tahun. Bertambah usia bertambah kematangan. Bertambah semangat bertambah jelas tuju kehidupan. Bertambah tanggungjawab bertambahlah kekuatan. Kekuatan iman semestinya, kan sahabatku?

Safa

Itulah nama ringkasan yang ingin saya perkenalkan. Beliau seorang muslimah punyai karakter yang tersendiri. Karakter yang kadang-kadang saya rasa kami sahaja yang memahami kerana nilai persahabatan itu sendiri. Pernah kami lalui saat ‘fitnah’ namun Allah mudahkan. Semuanya berjalan lancar.

Saya teringat saat-saat di awal perkenalan. Menaiki basikal berdua-duaan hampir setiap hari. Berkongsi cerita penuh semangat. Melalui saat-saat suka dan duka bersama-sama. Dan sebuah filem Indonesia menjadikan persahabatan kami cukup erat.

Dan kehidupan itu bukannya indah. Ada kalanya pahit membalut lidah. Ada kalanya manis membersihkan kelat. Namun semuanya Allah mudahkan.

Di akhir kalam, coretan ini adalah suatu perkongsian hati tentang bernilainya sebuah ukhuwwah bila disandarkan atas dasar iman dan taqwa. Saya mendapati ukhuwwah ini adalah satu anugerah cukup berharga kerana ia punyai nilai Allah di situ. Saya melihat Allah dalam perhubungan ini kerana pertemuan kami sering dibaluti dengan perbincangan menuju Ilahi.

Semoga Allah memanjangkan usiamu dalam ketaatan kepadaNya. Semoga terus istiqamah sahabatku. Kaulah teman kaulah sahabat sejati. Setiap kenangan yang kita lalui satu-satu masih tersimpan rapi. Ingin sekali ku laungkan pada seisi dunia bahawa aku punyai sahabat-sahabat yang istimewa. Semoga Allah memanjangkan perhubungan kita ini sehingga ke syurga. Amin ya rabbal ‘alamin.

Memberi nilai kepada hubungan adalah tugas kita dan dia. Baru hubungan bernilai tercipta!

On Call: Si Gadis Trauma

“Ada on call.”

Saya bergegas turun ke klinik. Menanti pesakit yang dihantar ke Klinik Pakar Pergigian. Bukan 10 minit. Tapi 1 jam. Kasihan pada pesakit yang mungkin terpaksa menahan kesakitan seketika.

Solat zuhur ditunaikan terlebih dahulu. Nasib baik Allah gerakkan hati saya untuk terus bersolat sementara menanti kehadiran pesakit yang dinanti-nantikan. Jika saya menunggu tanpa bersolat dan pesakit sebenarnya datang lambat, saya mungkin terlepas untuk bersolat. Nauzubillahhiminzalik.

Solat

Selagi ada ruang dan peluang untuk menunaikan solat, maka utamakanlah mana yang utama. Kadang-kadang ketika jarum jam melepasi jam 4 kebanyakan pesakit sudah tiada. Semua rawatan sudah selesai. Apa salahnya pergi sekejap tunaikan hak kepada Allah tanpa menidakkan amanah kita sebagai pekerja. Kalau tak ada pesakit kenapa duduk sahaja dalam klinik sedangkan hak pada yang utama tergendala?

Fikir-fikirlah sendiri.

Gadis Trauma

Badannya menggeletar. Nurse mengambil selimut tebal dan menutupi tubuhnya. Tambahan dia tidak minum dan makan sejak pagi kerana kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan ke kelas. Di bibirnya kelihatan beberapa tompokan darah dan luka. Kembang. Bengkak.

Tuturnya tidak tentu arah. Saya baringkannya dan suruh dia membuka mulut. Dalam keadaan itu dia masih terus menggeletar. Saya peluk tubuhnya dari belakang dan memegang dadanya.

“Sabar. Ingat Allah.”

Badannya berhenti daripada menggeletar dan air matanya terus mengalir. Menangis. Mungkin itu tangisan pertama yang keluar sejak terkejut dari kemalangan tadi. Mungkin. Saya faham perasaannya. (Tiba-tiba)

Saya Trauma

Saya juga pernah kemalangan dan menghadapi kecederaan yang lebih kurang sama dengan beliau. Saya faham apa yang beliau rasakan. Memikirkan kecederaan yang terpaksa ditanggung. Memikirkan pengajian yang tergendala. Memikirkan apa yang bakal berlaku seterusnya. Memikirkan penerimaaan keluarga.

Teringat kembali ketika saya ditimpa kemalangan beberapa tahun yang lalu, sengaja saya merahsiakan daripada pengetahuan keluarga(kerana tidak kritikal) kerana takut mereka risau. Setelah selesai semua rawatan barulah saya menjelaskan.

Empathy

Semasa pengajian kami sering diingatkan bahawa seorang doktor perlu punyai perasaan empathy. Ia difahami sebagai meletakkan kaki di dalam kasut orang lain. Kalau kasut dia koyak dan masuk air, kita juga terpaksa menanggung kesusahan yang sama. Terpaksa, kah?

Fahamilah mereka baru sahaja kemalangan. Dalam kesakitan. Kadang-kadang mereka tidak mahu banyak benda melainkan anda menberikan sedikit ketenteraman.

Dan ketenteraman yang terbaik bilaman anda mengingatkan mereka kepada Allah.

Allah.

“Adik, ingat Allah. Sabar ya. Doktor akan cuba buat apa yang boleh untuk tolong adik. Tenang ya. Ingat Allah. Zikir dalam hati.”

Dan mulakanlah setiap langkah dengan kalimah bismillah.

Rumusan

Pesakit ini meraung mengadu kesakitan ketika diberi suntikan. Maklumlah tengah sakit tetapi semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah, Allah mudahkan. Saya selesai memberi rawatan ketika jarum jam hampir ke waktu asar.

Nasib baik.

Nasib baik saya bersolat awal tadi.

 

Geram Tapi Sayang Kerana?

Kemalangan di bawah pengaruh alkohol. Soalnya sudah tahu mabuk masih mahu memandu. Tiada jawapan melainkan kerana mabuk. Otak sudah mereng. Kesannya patah gigi hadapan. Dua, tiga atau empat.

Lebih menggembirakan malang apabila rahang patah dua, tiga, empat atau tidak terkira banyaknya serpihan. Muka pula berbekas dengan kesan-kesan luka. Terkoyak sana. Terkoyak sini.

Syukurlah Allah berpesan untuk sentiasa berbuat kebaikan kepada manusia yang dizalimi dan menzalimi dirinya sendiri. Tolong jangan tak tolong. Satu-satu kami jahit. Dua-dua kami pasang wire pada rahang yang patah. Tiga-tiga kami ganti gigi yang hilang.

Daripada Anas Radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “bantulah saudaramu, sama ada dia itu menzalimi atau dizalimi” .(Seorang sahabat) bertanya, “seorang lelaki itu wahai Utusan Allah, aku membantunya jika dia dizalimi. Bagaimana pula boleh seorang yang menzalimi itu aku membantunya?” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “Engkau menyekat atau menghalangnya daripada melakukan kezaliman, maka sesungguhnya demikian itu adalah bantuan untuknya” [Hadith riwayat al-Bukhari]

Macammana dengan membantu orang yang menzalimi diri sendiri boleh menyekat atau menghalangnya daripada terus melakukan kezaliman?

Caranya mudah ja!

  1. Mana-mana serpihan kaca atau gigi yang terbenam dalam bibir dibiarkan. Lama-lama ada jangkitan lalu bernanah dan merebak ke seluruh rahang. Sakitnya sukar dicerita!
  2. Mana-mana luka yang ada serpihan kulit yang terkena pasir disiat habis. Tidak perlu ada rasa kasihan.
  3. Mahu menjahit luka-luka yang terbuka tanpa memberi suntikan untuk menjadikannya kebas. Jahit jer. Tengah mabuk mana nak sedar.

Tentulah tidak seperti di atas kan!

Mahu tak geram. Tapi syukurlah juga Allah berpesan supaya bersabar dalam memberi peringatan. Setakat ini akal dan hati dipandu iman untuk menjaga perasaan manusia lain. Jaga mulut. Jaga tutur dan kata. Jangan sampai ada yang terasa. Tidak pasal-pasal dapat dosa semasa membuat kebaikan. Tolong orang yang dalam kesusahan besarlah ganjarannya.

Justeru, carilah makna di sebalik kerjaya anda sekarang. Korek-korek di sudut mana anda boleh melakukan kebaikan untuk masyarakat. Ada orang kata menjadi doktor sungguh bertuah kerana membantu orang setiap masa. Untungnya gaji di akhirat berjalan. Tetapi bergantung juga apakah rawatan yang diberikan adalah benar dan sesuai serta ikhlaskah anda?

Apa juga kerjaya anda, lihatlah ia dengan mata Allah. Senaraikan apa kebaikan yang anda boleh dapat supaya pergi dan balik anda dari kerja bukan sekadar tidak memberi makna. Ketahuilah setiap perkara yang berasaskan untuk membantu orang lain pasti ada ganjaran di sisi Allah.

Geram kerana Allah. Sayang kerana Allah juga. Hmm, camney tu? Cam di atas 😉