Top 10 LIST

Ada beberapa perkongsian menarik yang tidak sempat saya nukilkan untuk tatapan pembaca. Saya cuba juga mencuri sedikit masa untuk berkongsi sesuatu. Mungkin kita pernah dengar tentang kelebihan orang yang berkongsi ilmunya dengan orang lain. Orang itu akan bertambah ingatannya tentang ilmu yang dikongsikan. Jadi, jangan kedekut ilmu dan lakukan sesuatu untuk perkongsian. Kaedahnya? Terpulang pada kemampuan anda.

Kini tahun baru Islam kembali lagi. Kepada yang bukan Muslim yang sudi melayari tulisan ini, awal muharram adalah sambutan tahun baru bagi umat Islam. Bulan yang pertama adalah bulam Muharram. Kebiasaannya ia disambut dengan bacaan doa beserta festival keagamaan seperti ceramah dan sebagainya.

Tahun ini saya cukup bertuah kerana Allah mengaturkan sesuatu yang istimewa. Saya menyambut tahun baru dengan menyertai Bengkel Kepimpinan selama 2 hari anjuran ISMA atau Ikatan Muslimin Malaysia. Apakah ISMA? Anda boleh google dan dapatkan maklumat berkenaannya.

Saya ingin kongsikan 10 kata-kata yang boleh memotivasikan anda. Semoga kata-kata hikmah ini dapat menjadi suatu permulaan yang baik untuk anda memulakan hari yang lebih baik pada tahun 1433 hijrah ini.

1) Jangan takut untuk melakukan kesalahan. Yakinlah bahawa kesalahan-kesalahan itu adalah permulaan kepada sebuah kejayaan. Kesalahan jugalah yang mengajar anda tentang cara yang betul untuk berjaya.

2) Anda perlu berfikir dan bertindak seperti orang yang berjaya. Cuba anda lihat orang yang berjaya di sekeliling anda. Berapa kali mereka membaca dalam sehari? Berapa pula masa yang diperuntukkan untuk melakukan perkara yang berfaedah? Adakah mereka suka membazirkan masa?

3) Kejayaan boleh dijangka. Anda hanya perlu melatih minda bawah sedar anda untuk sentiasa berfikir yang anda pasti boleh melakukan. Tiupkan kata-kata positif dalam minda anda. Pandu minda bawah sedar anda untuk melakukan sesuatu yang luar biasa.

4) Anda mesti sanggup buat sepertimana orang yang berjaya buat.

5) Anda perlu ada 4D. Dream. Decide. Determine. Discipline. Untuk berjaya.

6) Pastikan anda menulis secara terperinci tentang siapakan anda dalam tempoh 2, 5 dan 10 tahun dari sekarang. Siapa anda di hari kemudian ditentukan dengan perancangan anda pada hari ini.

7) Tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Book your early hardship. Kesusahan yang sementara itulah yang memberikan kesenangan berkekalan.

8 ) Anda perlu percaya dan yakin yang anda boleh berjaya.

9) Kejayaan bukanlah suatu kebetulan.

10) You have to play the character. If you want to be like a famous motivator, you just have to play it!

U r > u r…! You are more than what you are!

Advertisements

Saya Baru Lahirkan Anak Ada Gigi

“Mana emak saya?”

“Eh, ayah ke tu? Sedapnya muzik ni.”

“Laparlah mak. Saya nak susu.”

“Adui, gatalnya gusi ni.”

“Adui, sakit tekak aku. Apa nurse ni buat? Kenapa masukkan tiub ni dalam tekak aku.”

“Errrrkkk. Tiba-tiba aku terus kenyang. Aku nak susu emak. Tahu tak susu emak paling berkhasiat untuk aku. Aku baru lahir, kot.”

“Cantiknya doktor ni. Huhu.”

“Eh, doktor. Kenapa ni? Sakitlah.”

“Nyummm….Sedapnya dapat susu emak…nyummmm.”

Inilah kisah seorang bayi baru lahir yang saya lawati di wad hari ini. Bayi yang comel ini lahir dengan sebatang gigi bawahnya sudah tumbuh separuh. Sesuatu yang jarang-jarang ditemui tetapi boleh terjadi. Ia tidak normal kerana kebiasaannya gigi bayi akan mula tumbuh sekitar 6-7 bulan. Ia dipanggil natal teeth, yang bermaksud gigi yang sudah tumbuh ketika dalam perut ibu. Subhanallah.

Masalah utama yang dihadapi oleh bayi dengan gigi ini ialah ketidakmampuan mereka untuk menyusu yang boleh menyebabkan luka kepada puting ibu, selain daripada kemungkinan terjadinya ulser dalam mulut bayi yang mana penyakit ini dikenali sebagai penyakit Riga Fede. Selalunya juga ia berkaitan dengan sindrom tertentu. Semoga bayi ini dilindungi daripada sebarang sindrom, yang mana boleh dikenalpasti kelak.

Gigi itu perlu dicabut. Risiko gigi itu ditelan juga perlu diambil kira.

Kepada ibu bapa, anda tidak perlu panik. Selalunya pihak hospital akan merujuk kes ini kepada pakar pergigian kanak-kanak. Setelah mengambil kira beberapa faktor, gigi selalunya perlu dicabut.

Bayi itu mungkin merasa sedikit kesakitan yang mana semuanya lenyap ketika akalnya sudah boleh membezakan antara yang hak dan batil. Yalah, mana kita ingat apa yang telah berlaku semasa kita masih bayi, kan? Tetapi ini sebenarnya ujian Allah SWT kepada sang ibu dan sang bapa. Masyarakat ramai yang tidak tahu dan mengganggap ini sebagai sesuatu yang merunsingkan.

Bersabarlah. Ada penyelesaian.

Rumah Terbalik

Saya tidak suka dikongkong. Suka hati sayalah saya nak buat apa sahaja yang saya suka. Saya nak bercinta, tak ada kena mengena dengan awak, kan? Saya nak keluar temujanji dengan pakwe, bukannya hal awak pun. Saya nak pakai baju ketat, seluar pendek, tudung jarang atau apa-apa sahajalah. Suka hati saya.

Saya tahu nikmat datang sekali sekala tetapi syukur kena selalu, ye tak? Nikmat cantik yang Allah bagi ini masa saya muda jer tau. Itulah sebabnya saya sanggup buat apa sahaja. Ini cara saya bersyukur dengan nikmat Allah. Tak pakai tudung, baju ketat dan seluar sendat.

Kalau orang lain sibuk dengan solat sunat, berpuasa, mengaji, pergi usrah? Haih, dan macam-macam lagilah. Tahu tak syaitan tengah merancang rapi strategi untuk menjatuhkan kau orang? Saya yang memang sah-sah melanggar perintah Allah ini syaitan tak ada masa nak jenguk saya pun. Jadi, siapa lagi hebat? Siapa yang dekat dengan syaitan sekarang ini? Analoginya mudah. Semakin besar rumah kau, semakin hebat perancangan perompak. Mereka perlukan strategi yang mantap. Semakin hebat iman kau, semakin syaitan nak dekat dengan kau. Ha, ambik kau.

Saya tahu awak suka sangat nak ajak saya buat kebaikan. Awak ajak saya pergi ceramah. Awak ajak saya hadiri usrah. Banyak pula tu. Saya tak perlulah semua itu. Saya boleh jaga diri saya sendiri. Apabila banyak sangat program baik yang datang pada awak, menandakan Allah nak bantu awak melakukan kebaikan.

Kadang-kadang saya kasihan tengok awak bersungguh-sungguh nak ajak saya kepada kebaikan. Tetapi awak tahu tak yang Allah melihat usaha awak, bukan hasilnya. Saya sebenarnya hendak sangat melakukan kebaikan. Tetapi saya tak suka awak paksa-paksa saya. Lepas tu awak tulis dalam blog awak tentang kisah saya, apa awak hendak perli saya ke?

Awak tahu tak yang awak itu takkan selamanya baik? Jangan ingat awak sempurna sangat. Suruh orang buat kebaikan memanglah bagus, tapi jangan lupa jaga diri sendiri daripada buat keburukan. Mulut bercakap ajer pandai. Buatnya tidak.

Gulp. Jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

Apabila anda patut menulis, apa?

Semua orang patut menulis. Tulislah sesuatu. Apa-apa sahaja yang anda rasa ia bermanfaat untuk kehidupan anda. Tulislah. Tulis, jangan tak tulis.

Suka hatilah. Anda hendak gunakan keyboard kah, atau pen dan pensil di atas meja anda. Ikut suka. Okay, mula!

La, kenapa tak tulis lagi. Oh, apabila anda dan saya patut menulis, apa? Ayat berbelit-belit. Jom baca di bawah.

Tulislah tentang…

  • 3 perkara yang anda syukuri hari ini. Lakukan sekurang-kurangnya seminggu, anda dapat merasakan betapa bahagiannya anda dilahirkan sebagai anda.
  • 3 sikap buruk anda hari ini, dan langkah-langkah untuk memperbaikinya. Supaya hari esok semua orang gembira berurusan dengan anda.
  • Impian-impian anda. Percayalah dengan menulis impian tersebut dapat membantu anda untuk lebih fokus. Tampalkan di tempat yang mudah dilihat. Jadikan ia inspirasi anda dalam menempuh hari-hari mendatang.
  • Senarai insan-insan yang tidak pernah henti mendoakan kejayaan anda terutamanya ibu, bapa dan adik beradik anda. Nyatakan betapa anda menyayangi mereka dan mahu mereka berbangga dengan pencapaian anda.
  • Senarai semak amal ibadah anda. Tahukah anda Allah menyukai amalan berterusan walaupun sedikit? Tidak guna amalan yang banyak tetapi akhirnya anda tidak istiqamah. Contohnya, check list bacaan al quran 10 helai sehari atau hafazan 2 ayat dari al quran.
  • Perkara-perkara yang mempositifkan kehidupan anda. Jangan mengeluh. Jangan negatif. Terutamanya di status facebook anda.
  • Perancangan anda untuk hari esok. 5 minit yang anda peruntukkan di malam hari sebelum hari esok akan menyumbang kepada kelancaran anda menguruskan masa.

Jadi, apa tunggu lagi? Sila tulis komen di bawah sebelum anda mula menulis yang di atas. Okay, gurau sahaja lah ya.

Sukakan seseorang adalah fitrah

Setiap manusia punyai tarikan berbeza. Tidak dinafikan anda mungkin pernah jatuh cinta dengan seseorang. Sekalipun tidak sampai ke peringkat jatuh cinta, mungkin anda pernah atau sedang menyukainya.

Antara tanda-tanda anda sedang bermain dengan lamunan cinta adalah:

  1. Anda sering teringatkannya.
  2. Anda sentiasa menyebut namanya dalam doa anda.
  3. Jika dia mempunyai facebook, anda sering mengintip perbuatannya.
  4. Anda sukakan apa yang dia suka.
  5. Anda termimpi-mimpikannya.
  6. Anda berusaha untuk dia tahu yang anda menyukainya.
  7. Anda malu-malu berinteraksi dengannya.

Perasaan sukakan seseorang adalah fitrah. Ia adalah suatu perasaan yang halal jika anda tahu bagaimana untuk menguruskannya. Sebaliknya ia menjadi haram jika anda menguruskannya dengan cara yang salah.

Justeru rakan-rakan, apa yang perlu anda lakukan ketika rasa itu merajai jiwa? Layan jiwangkah? Jom kita lihat apa yang boleh kita lakukan.

  • Doa. Ya Allah, permudahkanlah urusan jodoh dan pertemuan saya dengan jodoh yang baik. Jika si folan baik untukku, maka permudahkanlah urusanku. Jika dia tidak baik untukku, serta segala urusan dunia dan akhiratku, maka kau jauhkanlah dia dari hidupku.
  • Kawal nafsu daripada aktiviti-aktiviti yang melalaikan hati untuk terus melayani rasa itu. Contohnya seperti mendengar muzik jiwang atau membaca novel cinta. Banyakkan bacaan buku berilmiah, di samping tidak menafikan pentingya berpuasa, berzikir dan bersolat sunat.
  • Jaga akhlak. Anda tidak perlu menonjolkan yang anda menyukai dia kerana sikap ini mungkin mencemarkan maruah anda selaku seorang muslimah. Ada sesetengah manusia yang sengaja meletakkan gambar-gambar cantik mereka di facebook dengan tujuan untuk mengikat hati sang lelaki. Berhati-hatilah saudari muslimah sekalian.

Apa lagi yang mampu anda lakukan melainkan perasaan itu sebenarnya adalah ujian daripada Allah SWT. Semoga anda terus tabah bermujahadah dengan rasa itu. Dan semoga Allah permudahkan urusan jodoh anda, dan saya. Amin…