‘Dentist’ Rawat Pesakit Kanser?

I am not a dentist. I am a dental surgeon. Previously we are identified as dentist but now those who registered after 1971 are known as dental surgeon.

Let us move on.

Saya suka bekerja di Hospital. Selain keseronokan berpeluang menguruskan pelbagai kes kecemasan, saya dapat bertemu banyak kes yang menghargai kepentingan penjagaan kesihatan gigi.

Kes 1

Pesakit ini dikenalpasti menghidap penyakit kanser hidung dan tekak yang dikenali juga sebagai Nasopharyngeal Cancer (NPC). Rawatan yang akan diberikan oleh pihak perubatan adalah radioterapi atau/dan kemoterapi. Selalunya sebelum rawatan diberikan, mereka pasti merujuk pesakit ini kepada dental team terlebih dahulu.

Kenapa?

Kerana selepas rawatan radioterapi dan kemoterapi, pesakit akan mengalami beberapa masalah sampingan yang berlaku di dalam dan kawasan mulut. Hal ini tentulah mengganggu kesihatan pesakit kerana nutrisi makanan diambil melalui apa? Tentulah mulut. Jika kawasan mulut tidak sihat, maka kesihatan keseluruhan pesakit ini akan terganggu.

Apakah kesan-kesan sampingan yang saya maksudkan?

Mucositis

Antaranya ialah kekurangan air liur, mudah terkena jangkitan tisu mulut(mukositis), berubah deria rasa, mulut menjadi semakin mengecil menyebabkan sukar untuk membuka besar, gigi berlubang yang dikenali sebagai radiation caries dan yang paling merisaukan sekali ialah rawatan cabutan gigi yang dilakukan semasa atau selepas radio/kemoterapi akan menyebabkan satu kesan sampingan yang dasyat iaitu osteoradionecrosis.

Apakah osteoradionecrosis?

Ia adalah kawasan rahang yang terdedah(contohnya selepas cabutan) yang gagal untuk sembuh, bermula dari beberapa bulan, tahun dan mungkin sepanjang hayat! Tulang terdedah? Sakit atau tidak? Tentulah sakit. Lebih-lebih lagi di dalam mulut. Mudahkah untuk makan dan minum?

(Saya pernah berjumpa seorang pesakit yang menghidap osteoradionecrosis. Keadaannya cukup menyedihkan. Badannya kurus(selain daripada kanser itu sendiri) dan sering mengadu kesakitan. Kalau gigi anda rosak semasa anda sedang menerima rawatan radio/kemoterapi, apa yang kami boleh buat? Buat sesuatu atau tidak berbuat apa-apa? Perlu buat dan berharap tiada komplikasi yang berlaku. Justeru jelas betapa pentingnya penjagaan kesihatan gigi sebelum anda menerima rawatan.)

Apa yang saya buat?

Kebiasaannya sebelum pesakit menerima rawatan radio/kemoterapi kami akan memberi nasihat tentang penjagaan kesihatan gigi kepada pesakit. Selalunya kita akan mengambil radiograph(x-ray) di kawasan rahang atas dan bawah untuk menilai kondisi gigi yang mana boleh dibiarkan dan yang mana pula perlu dicabut lebih awal sebagai langkah pencegahan. Selalunya kita mencabut gigi yang bergoyang, yang mengalami masalah gusi, yang berlubang besar, dan yang berada di paling hujung sekali.

Pesakit akan diberi cucian gigi(scaling) dan diberi rawatan fluoride untuk mencegah gigi berlubang.

Semasa pesakit sedang menerima rawatan radio/kemoterapi pula, kita akan membekalkan pesakit dengan ubat kumur, air liur palsu, ubat mencegah jangkitan fungi beserta jaw physiotherapy.

Selepas anda menerima radio/kemoterapi, untuk jangka masa tertentu kami akan memberikan anda gigi palsu serta pelbagai rawatan pencegahan gigi berlubang. Eh, bukan anda. Nauzubillah. Semoga kita dijauhkan daripada segala penyakit yang berbahaya.

Kes 2

Kes 3

Seterusnya?

Kebetulan minggu ini saya menerima 3 kes dengan penyakit yang sama tetapi tahap yang berbeza. Ada di tahap 1. Ada di tahap 3. Ada yang sampai sebelah mata sudah rabun. Ada yang telinga dah tak dengar. Semuanya akibat NPC, ya, dengan izin Allah.

Kepada anda, anda dan anda yang merasakan diri anda sihat walafiat, mungkin anda tidak nampak kepentingan penjagaan  kesihatan gigi untuk masa hadapan, sehingga anda atau insan-insan yang anda sayang di samping anda dikenalpasti menghidap penyakit tertentu, tepatlah seperti peribahasa, sudah terhantuk baru terngadah. Begitukah yang anda mahu?

Bukannya apa.

Saya teringat ketika menjelaskan kepada anak kepada seorang pesakit,

“Gigi emak kitak tok nya ada masalah gusi. Nang sik dapat diselamatkan. Mun sik polah apa-apa kelak nya berik kesan lepas sidak doktor medic berik rawatan. Masa ya agik susah rawatan. Agik banyak kesan buruk bah.”

(Gigi emak awak ada masalah gusi. Memang tak dapat nak selamatkan. Kalau tak buat apa-apa, lepas rawatan radio/kemoterapi lagi teruk kesannya. Susah buat rawatan.)

Mukannya berubah.

“Semua nya pun gigi belakang perlu dicabut. Ya ajak rawatannya.”

(Semua gigi belakang dia perlu dicabut. Itu je rawatan yang ada.)

Dia mengangguk. Saya tidak sampai hati untuk meneruskan.

“Berapa igek?” dia bertanya.

(Berapa batang gigi?)

“11 igek.”

(11 batang.)

Dia mengangguk. Saya menerangkan kepada emaknya, tapi mungkin emaknya tidak dapat memehami bahasa saya. Mungkin tak cukup bagus lagi cakap bahasa orang sini.

“Kitak padah emak kitak.”

(Awak bagitahu emak awak.)

Saya menarik nafas, dan menghembus panjang. Saya duduk di atas kerusi dan memandang mereka berdua. Ibunya memandang saya,

“Okay Doktor. Polah ajaklah. Sik ada pilihan lain nak?”

(Ok Doktor. Buat ajerlah. Dah tak ada pilihan lain, kan?”

11 gigi.

Gambar ini bukanlah gambar gigi pesakit saya. Tetapi gambar akibat radiasi(selepas rawatan radio/kemoterapi) yang dikenali sebagai Radiation Caries.

Siapa kata dentist, eh silap. Siapa kata dental surgeon tak boleh rawat pesakit kanser? Cabut gigi tampal gigi ajer? Tak ada nilai kepada kehidupan manusia?

Entah, sehingga anda merasainya. Atau sehingga anda melihat sendiri orang lain merasainya.

Anda bersetuju bahawa kesihatan gigi mempengaruhi kualiti hidup anda? Jika ya, dapatkan pemeriksaan segera! Ayuh!

9 Tips Untuk Perempuan Melayu Terakhir

  • Tahan mulut daripada terbuka ketika menguap. Semasa tahan, kemungkinan hidung akan mengembang. Cubalah tahan hidung daripada mengembang. Jika tidak boleh, tutuplah hidung.
  • Elakkan ketawa terbahak-bahak. Ketawa tanpa suara didengar. Kadang-kadang tidak perlu membuka mulut terlalu besar, cukuplah senyuman sebagai tanda gembira. Itu lebih manis.
  • Berjalanlah lurus dengan postur tegak, tetapi tidak perlulah terlalu mendada. Kawal kaki supaya tidak kengkang, tidak juga ke dalam. Jalan pantas dengan penuh keyakinan.
  • Pakai tudung dan baju yang mempunyai keseragaman warna. Elakkan warna yang terlalu terang. Pakaian berwarna gelap dan kosong serta tidak terlalu banyak corak menzahirkan keeleganan (rosak bahasa) seorang muslimah.
  • Berdiri dengan gaya yang sopan. Duduk dengan gaya yang sopan. Bagaimana? Jangan kelam kabut. Susun pergerakan. Lihat dan perhati di mana letaknya tangan, di mana letaknya kaki.
  • Sentiasa senyum. Apabila dipandang oleh sesama jantina, berikan senyuman disertai dengan anggukan, dan lebih cantik lagi disertai dengan ucapan salam. Untuk yang berlainan jantina, sila tundukkan pandangan. Tetapi untuk majlis yang tertentu, adakalanya anda perlu bertindak profesional, tetapi masih meminimumkan pergaulan dengan mereka.
  • Pastikan setiap hari anda memakai pakaian yang baru. Jangan mengulang pakaian minggu lepas ke hari ini. Tukar sarung kaki setiap hari. Pastikan yang baru. Tukar sarung tangan setiap hari. Pastikan yang baru. Tukar anak tudung setiap hari. Pastikan yang baru. Tukar baju luar dan dalam setiap hari. Pastikan yang baru. Walaupun anda memakai pakaian tersebut hanya untuk 30 minit. Sama jugalah dengan tudung yang anda pakai. Elakkan mengulang-ulang. Kekadang tidak perlukan minyak wangi, baju yang baru memberi bau haruman  kepada orang di sekitar anda.
  • Pastikan anda membawa cermin muka ke mana sahaja anda pergi. Selepas makan, pastikan tiada sisa makanan melekat pada gigi. itulah fungsinya cermin muka. Lihat juga ketika bila-bila masa yang anda rasa perlu. Contohnya di awal pagi ketika sampai di tempat kerja. Mungkin anda tidak perasan ada sesuatu di muka yang boleh memalukan anda.
  • Bercakap dengan nada yang lembut. Tidak perlu terlalu lembut. Tidak perlu pula terlalu membesarkan suara sehingga semua orang boleh kenal suara anda sejauh 1000 meter.
Artikel ini ditulis bertujuan untuk berkongsi ilmu yang saya peroleh ketika menghadiri sesi grooming 5 bulan lalu oleh Puan Yasmin. Jika anda rasa ia bermanfaat untuk diri anda dan wanita-wanita di sekeliling anda, silalah sebar-sebarkan. Wanita Muslimah perlu bijak daripada segala segi. Termasuklah soal penampilan diri.

Wahai wanita muslimah, tiba masanya untuk kita berubah. Jaga penampilan diri kita. Jadilah muslimah yang disegani dan dihormati.

Surat Cinta Untuk Ayah

Amaran : Ini adalah surat cinta yang sangat tulus. Jangan baca jika anda tidak pernah mencintai Ayah anda.

Kehadapan Ayahku yang dirindui, semoga Ayah sentiasa dalam kesihatan yang baik. Semoga Ayah sentiasa cergas seperti biasa, terus bersemangat mengeluarkan peluh setiap pagi melalui aktiviti berlari, berjalan kaki ataupun bermain badminton. Terus menyayangi tumbuh-tumbuhan yang berjasa kepada bumi. Kebanyakan pokok yang Ayah jaga semuanya membuahkan hasil.

Semoga kami adalah anak-anak yang memberi kebahagiaan serta ketenangan untuk kehidupan Ayah.

Ayah, sejak akhir-akhir ini Liana sering teringatkan Ayah. Sampai ke dalam mimpi. Sedangkan Liana ni kalau tidur, tidur mati. Jarang sangat bermimpi. Dan buat pertama kalinya Liana menangis sebab rindukan Ayah. Sedangkan sepanjang berjauhan ini tidak pernah setitis pun air mata Liana jatuh kerana rindukan sesiapa. Tetapi akhirnya jatuh juga. Sukar sungguh mahu diungkapkan rasa rindu itu. Tetapi jika Ayah berada di depan mata Liana, Liana nak peluk dan cium pipi Ayah.

Liana teringat dahulu semasa Liana peluk dan cium pipi Ayah. Mula-mula rasa janggal. Tapi lama-lama Liana rasa Liana hendak peluk dan cium pipi Ayah selalu. Nak berjalan-jalan sambil pegang tangan Ayah.

Kalau Ayah temankan Liana membeli-belah, kalau boleh semua barang di dalam pusat beli belah Ayah nak bagi Liana. Kalau Liana nak pilih yang murah-murah, Ayah suruh Liana ambil yang mahal. Liana tahu Ayah memang sanggup korbankan harta untuk Liana. Tetapi Liana kan anak yang baik. Takkan sesekali Liana salah gunakan. Hehe.

Liana tahu juga Ayah memang salah seorang peminat blog ini. Liana tahu Ayah selalu buka dan baca perkembangan Liana. Tapi Liana jarang tulis pasal Ayah kat sini. Macam sibuk sangat dengan kerja dan hal lain-lain. Tetapi sebenarnya tentulah tidak. Setiap hari Liana menitipkan doa kepada Ayah dari dahulu sehingga sekarang tidak pernah henti!

Ayah pernah cakap Liana ini anak emas. Kelahiran Liana dinanti-nantikan. Masa Liana kecil Ayah selalu manjakan Liana. Sampai sekarang Liana masih perasan manja. Ayah tengoklah sendiri sampai sekarang Liana tak matang-matang. Masih macam budak-budak. Ayah kena ajar Liana bertindak macam orang dewasa. Kan Ayah pernah tanya bila Liana nak kahwin? Hehe. Gurau aja e Ayah.

Ayah, Liana akan sentiasa berdoa dan terus berdoa semoga Allah memberikan yang terbaik kepada kehidupan kita. Liana sayang Ayah. Sayang sangat-sangat. Liana nak masuk syurga dengan Ayah. Ayah, Liana tak nak Ayah balas surat ini. Dulu, Ayah pernah bagi surat, kan? Liana menangis baca surat tu. Liana tak suka baca surat Ayah. Hehe.

Yuliana  Ayob. Nama Ayah Liana bawa ke mana-mana.

Terima kasih Ayah. I always love and miss you.

4 Bukti Tidak Stress

Amin tidak pernah sakit kepala. Jika ada ia sangat jarang dan tidak pernah menganggu kelangsungan hidupnya. Tidak pernah juga sakit kepala secara tiba-tiba atau disebabkan oleh cuaca panas. Jika tidak, mungkin Amin sukar untuk keluar rumah ketika cuaca panas dan melakukan aktiviti berat seperti kawan-kawannya.

Amin adalah nama samaran. Saya guna nama ini kerana saya suka, ringkas dan sedap. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup atau meninggal dunia.

Amin tidak mengalami masalah untuk membuka mulut. Rahang atas dan bawahnya mampu dibuka dan ditutup tanpa sebarang masalah. Tiada juga sebarang ketegangan di bahagian otot mukanya. Jika tidak mungkin Amin sukar untuk membuka mulut untuk makan buah epal, buah kegemarannya.

Amin tidak ada ulser di dalam mulutnya. Jika adapun suatu masa dahulu ketika secara tidak sengaja Amin memberus gigi dengan kuat, lalu gusinya tercedera. Jarang-jarang Amin terkena ulser. Jika tidak mungkin Amin akan mengalami kesukaran untuk makan makanan pedas yang menjadi kesukaannya.

Amin tiada masalah gigi yang sensitif akibat pergerakan gigi ketika tidur. Gigi boleh ‘menari’ tanpa disedari(mungkin boleh sedar/terjaga) ketika sedang nyenyak tidur. Ia dikenali sebagai bruksisme. Akibatnya, gigi akan menjadi haus dan memberikan rasa sensitif. Ia juga boleh menyumbang kepada masalah antara tulang rahang bawah dan kepala yang dikenali sebagai temporo mandibular joint disorder.

Untuk makluman pembaca, kini saya sedang mengikut attachment di bawah Klinik Pakar Pergigian Perubatan dan Patologi Mulut. Di klinik ini, doktor perlu mempunyai pengetahuan teori tentang pelbagai jenis penyakit yang berpunca dan berkaitan dengan kawasan mulut, yang boleh juga memberi kesan kepada otot-otot, tulang-tulang di sekitar muka, termasuklah keseluruhan badan.

Dan pesakit yang datang kepada kami adalah pesakit yang mempunyai masalah sakit kepala. Pesakit ini dirujuk kepada OMOP(Oral Medicine Oral Pathology) Specialist atas sakit yang tidak dapat dikenalpasti puncanya oleh pakar neurologi serta pakar-pakar lain yang berkaitan seperti pakar telinga dan tekak. Setelah siasatan dilakukan oleh OMOP Specialist tersebut, dan kesukaran untuk mengaitkan dengan mana-mana penyakit, maka stress adalah punca masalah ini. Pesakit perlu diberi temujanji secara berkala untuk melihat pembaikan.

Sama jugalah dengan pesakit yang mempunyai masalah join di antara tulang rahang bawah dan tulang kepala. Sakit yang bersifat tajam yang mengakibatkan pesakit tidak dapat tidur lena dan sukar untuk membuka mulut.

Sama juga dengan ulser.

Saya juga dengan bruksisme.

Semuanya telah dilakukan pengkajian sejak berbelas/puluhan tahun dahulu dan sehingga kini, stress di kenalpasti menjadi punca kepada masalah-masalah yang disebut di atas.

Biasanya pesakit yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas boleh dinilai melalui umur, taraf sosial hidupnya, pekerjaan, dan lain-lain. Contohnya mereka yang berusia berusia lebih mudah terdedah dengan penyakit tempora mandibular, pekerja yang bekerja kuat tidak kira siang dan malam atas tuntutan kerja seperti ahli perniagaan selalunya mengadu bruksisme, begitu juga dengan taraf hidup seseorang.

Semakin sibuk bermakna semakin kurang masa untuk diri sendiri dan keluarga. Semakin menumpu kepada satu skop kehidupan(contohnya pekerjaan) menganggu putaran hidup yang normal. Pastinya, kehidupan yang normal itu mencakupi pelbagai perkara seperti keperluan fizikal yang memerlukan kerehatan, makanan dan senaman, keperluan rohani yang memerlukan pengisian serta keperluan mental.

Itulah hakikat kehidupan manusia di era modenisasi kini. Stress dengan kehidupan kerana tidak pandai menguruskan kehidupan. Hidup yang betul-betul hidup adalah untuk orang yang bijak menguruskan kehidupannya.

Ia bermula dengan diri manusia itu sendiri, seterusnya kepada pembinaan sebuah keluarga, pengurusan kewangan dan interaksi sosial dengan masyarakat. Pergantungan kepada Allah SWT adalah suatu anugerah yang membuatkan kehidupan manusia bahagia.

Apabila manusia meletakkan seluruh kebergantungannya kepada Allah, pastinya mereka meyakini bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu pasti terdapat pelajaran untuk mereka yang mahu berfikir.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

“Sesungguhnya, hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar:10)

Nabi SAW  bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka, siapa yang redha (terhadap ujian tersebut), baginya redha (Allah), namun siapa yang marah (terhadap ujian tersebut), baginya murka (Allah).” (Hadith Riwayat Abu Daud)

Program Cuti Sekolah Di Kuching

Anak-anak yang bercuti perlu dibantu agar cuti ini tidak berlalu sebegitu sahaja. Kecemerlangan mereka adalah di tangan anda juga. Isilah masa mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah, tidak semestinya menghadap buku sahaja. InshaAllah saya juga akan menyertai misi ini. Jumpa di sana!

Berbahagialah Para Doktor Sekalian

Saya pilih bahagia. Anda?

Semua jadi teruja. Ada kaki yang menari mengetuk lantai. Ada tangan kiri dan kanan saling berpaut. Ada yang mulut terkumat-kamit membaca sesuatu. Ada yang tersenyum seorang diri. Ada juga yang termenung.

Saya pula memang tidak senang duduk sejak tadi. Kaki dan tangan tidak seirama. Berdebar-debar menanti nama dipanggil.

“Doktor Yuliana.”

Terus saya bangun dari kerusi dan bergerak beberapa langkah ke hadapan. Sampul surat berwarna putih itu saya ambil dengan kedua belah tangan dan digenggam erat di sisi kanan tubuh. Sesampai di tempat duduk, semua sudah riuh. Saya terpinga-pinga.

“Yu, sampul surat putih ini kualiti murah. Boleh tembus dalam.”

“Ha?” Saya menyahut dengan kening terangkat.

Seawal tadi pihak urusetia program induksi ini telah memberi amaran supaya membuka surat tawaran penempatan bekerja setelah selesai semua nama dipanggil. Tetapi nampaknya kemampuan berfikir di luar kotak oleh sesetengah pegawai pergigian yang baru dilantik ini sedikit sebanyak mencacat keterujaan.

Saya memandang sampul putih itu. Tersenyum melihat nama di depan beserta alamat rumah. Nafas ditarik dalam sambil mata tertutup kemas, mulut saya berbisik,

“Akhirnya.”

Lantas sampul surat putih itu diangkat tinggi melepasi kepala. Cuba dihalakan ke arah lampu terang di siling dewan ini.

“Aish, tak nampak pun!”

Sampul itu diletak kembali ke atas meja. Suara-suara keterujaan rakan-rakan semakin menjadi-jadi. Saya sedikit tidak tentu arah. Hendak buka tidak diberi kebenaran. Arahan itu dihormati. Perlahan-lahan saya menekan sampul putih itu dan tertembuslah tulisan yang lebih 2 bulan saya nantikan.

***

Keesokan paginya. sekali lagi saya menerima sampul putih. Kali ini keterujaannya sedikit berbeza. Kali ini tiada pula amaran untuk tidak membukanya. Namun, saya berasa cukup berat hati untuk melihat isi kandungan di dalam. Dengan kalimah doa, akhirnya terteralah ayat-ayat yang tidak dinanti-nantikan.

TUAN/PUAN,

DENGAN DUKACITANYA DIMAKLUMKAN RAYUAN ANDA TIDAK DITERIMA.

Penyataan ini cukup menerangkan segala isi kandungan surat tersebut. Saya tidak mampu menatap keseluruhan isi surat. Titik demi titik air membasahi pipi dan bertambah deras dengan perasaan yang berkecamuk. Mata menjadi kabur dan segala hiruk pikuk dalam dewan diabaikan. Kawan-kawan mendekati dan memberi pelukan semangat, beserta kata-kata pemangkin untuk jiwa yang lemah.

Hanya satu perkara yang menekan saya daripada untuk terus berfikiran positif dan menerima ketentuan Allah dengan redha.

Keluarga.

***

Pagi berganti petang, petang berganti malam, malam berganti pagi membawa kepada putaran masa yang tidak pernah berhenti meninggalkan kita. Ia diibaratkan sebagai nyawa kerana terlalu berharganya masa itu kepada kehidupan seseorang bernama manusia.

Sudah hampir setengah tahun saya di sini. Sudah 5 bulan, sudah 20 minggu, sudah 140 hari, sudah 3360 jam, sudah 201 600 minit dan sudah 12 096 000 saat.

Kinek tok, kamek udah pande kelakar Melayu Saghawak! (Sekarang ini, saya sudah pandai berbahasa Melayu Sarawak!)

Makna kata, benih yang baik jika ditaburkan di tanah yang bukan kebiasaannya pun dengan keizinan Allah pasti boleh tumbuh dengan baik. Semuanya terletak atas diri kita. Bak kata pepatah melayu, masuk kandang kambing, mengembek. Masuk kandang harimau, mengaum. Itulah adaptasi yang kita perlu lalui. Jika tidak sekarang, mungkin suatu masa nanti.

Jika dahulu air mata menjadi pengiring kepada sebuah perjuangan di perantauan, kini tiada setitis pun yang jatuh di kepulauan borneo ini. Tidak setitis pun sejak kali pertama kaki saya menjejakkan di sini pada Julai 2011.

Menyorot perjalanan kehidupan kita, semuanya mempunyai kisah yang berbeza. Kisah-kisah ini wajar diteladani untuk manfaat bersama. Memang pada awalnya negeri ini tiada langsung dalam senarai penempatan bekerja yang saya idam-idamkan. Memang ia jauh. Sejauh beribu kilometer dari kampung halaman.

Tahukah anda bahawa Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia juga pulau ketiga terbesar di dunia yang mempunyai kepadatan penduduk lebih 2 juta di atas tanah seluas 124,449.51 kilometer persegi? Tahukah anda bahawa Sarawak mempunyai lebih daripada 26 kumpulan etnik termasuklah Iban, Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lun, Bawang, Penan, Kelabit, Kedayan, Bisaya, Berawan, Lahanan, Sekapan, Kejaman, Punan, Baketan, Ukit, Sihan, Tagal, Tabun, Saban, Lisum dan Longkiput?

Saya tidak dicampakkan di sebuah pulau yang terasing. Sebaliknya saya ditempatkan di sebuah pulau pelbagai etnik yang tidak terdapat di mana-mana negeri di semenanjung!

Allah ada mengingatkan orang yang bersyukur kepada Allah akan diberi nikmat yang berganda-ganda. Orang yang rugi adalah orang yang tidak tahu bersyukur dan menganggap setiap sesuatu yang berlaku adalah musibah yang menjejaskan keharmonian kehidupan mereka. Sebagai hambaNya yang serba daif siapalah kita untuk mengandaikan bahawa kita tahu nasib kita di masa hadapan. Dia tentu lebih tahu.

“Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu.” (Ibrahim:7)

“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Albaqarah:216)

Justeru, selaku pekerja di bidang profesional, kita perlu sedia maklum bahawa ilmu yang kita timba selama bertahun-tahun perlu sedia dipraktikkan dan berkhidmat dengan mana-mana hospital atau klinik di seantero Malaysia. Anda perlu bersedia untuk dihantar kemana-mana sahaja di kawasan-kawasan yang kekurangan pegawai perubatan dan pergigian terutamanya Sabah dan Sarawak dengan masing-masing memiliki nisbah 1:2248 dan 1:1709 untuk pegawai perubatan(1). Bagi pegawai pergigian bilangannya agak kritikal iaitu Sarawak kekurangan 50% tenaga profesional(2) ini manakala Sabah memiliki nisbah yang besar iaitu 1:20,000 berbanding 1:7000 seperti yang disasarkan(3).

Saya sendiri melihat betapa ramai sahabat-sahabat saya di bidang perubatan mahupun pergigian tidak dapat berkhidmat di tempat yang mereka inginkan. Ada yang membuat rayuan sehingga sanggup tidak berkhidmat lebih 2 bulan kerana menanti keputusan rayuan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ini baru cubaan pertama untuk kita yang baru mula bekerja, belum lagi yang lain-lain. Cubaan penempatan yang sebenarnya patut lebih mudah kita hadapi bagi seorang pelajar di bidang perubatan dan pergigian jika hendak dibandingkan dengan pelbagai cabaran yang telah kita harungi semasa belajar dahulu.

Andalah yang memilih untuk menjadi bahagia. Anda ialah bakal doktor ataupun sudah bergelar doktor. Kebahagiaan doktor di tangan anda.

Bahagia hanya untuk anda yang redha.

Rujukan:

(1) http://www.mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_berita&file=/2010/4/23/mstar_berita/20100423143752

(2) http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=496663

(3) http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_05.htm

Tips Untuk Pelajar Pergigian

(ARTIKEL di bawah adalah artikel yang saya tulis khas untuk Persatuan Pelajar Islam Pergigian Universiti Malaya yang juga disiarkan di ppipum.blogspot.com. Justeru, maaf kepada anda jika dalam artikel ini saya menumpu kepada pelajar UM, walhal segala tips boleh diguna pakai untuk pelajar mana-mana universiti sekalipun.)

Menjejaki universiti pilihan, jangan menafikan perasaan yang tersirat dalam sanubari anda. Luahkan perasaan tersebut. Zahirkan. Tunjukkan. Buktikan. Bagaimana? Ikuti artikel ini sehingga ke penghujungnya. Saya akan membantu anda.Setelah berperang di alam persekolahan, diikuti pula alam matrikulasi, anda telah berjaya sampai ke tahap ini. Tinggal beberapa tahap lagi anda bakal meninggalkan universiti ini beserta ijazah yang menjadi identiti anda. Kemana-mana sahaja anda berpijak di muka bumi ini, orang mengenali anda sebagai seorang doktor. Itulah yang anda idam-idamkan, bukan? Bergelar seorang doktor. Punyai pangkat doktor.Justeru, bagaimana anda perlu menzahirkan dan menonjolkan bahawa anda berasa cukup bersyukur dengan rahmat yang Allah berikan ini? Bahawa anda sangat berbangga bergelar seorang pelajar ijazah sarjana muda pembedahan dan pergigian? Bahawa anda cukup gembira diterima menuntut di Universiti Malaya? Bahawa anda cukup bertuah dididik oleh para pensyarah yang tiada tanding ilmunya? Bagaimana?

Jawapannya ada dalam perkataan DENTAL itu sendiri. Mari kita selidiki satu persatu.

Duduk
Saya mahu anda duduk. Terpulang kepada anda samada anda mahu duduk di atas kerusi di depan meja belajar, atau di atas katil yakni meja belajar kedua anda, atau di atas lantai yakni meja belajar ketiga anda, hatta di atas tikar sejadah sekalipun. Duduklah. Duduk sebentar.

Saya tahu anda selama ini mungkin tidak pernah duduk. Anda terlalu sibuk mengharungi detik-detik terindah selaku pelajar pergigian. Anda sibuk dengan kuliah, tutorial, discussion, assignment, homework, PBL, SDL, pesakit, klinik, requirements, denture, lab work, dan sila sambung sendiri. Anda lebih maklum.

Duduk sebentar yang saya maksudkan adalah muhasabah. Atau dalam bahasa teknologi dipanggil PAUSE BUTTON. Bercakap dengan diri anda sendiri.

“Siapa kata pergigian susah? Semua senior aku boleh lepas. Semua pun manusia biasa. Diorang lalui hari yang sama seperti yang aku lalui. Diorang dan aku tiada beza. Jika diorang boleh, aku pun tentu boleh.”

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda dengan duduk sebentar. Yakinlah bahawa jika orang lain boleh mengapa anda tidak. Cukuplah anda dimomokkan dengan kegagalan oleh sesetengah pensyarah yang tujuan mereka supaya anda bangkit bangun.

Sudah duduk sekejap? Sekarang, sila bangun dan buka buku.

Esok
Tolong jangan fikirkan tentang kegagalan anda di hari esok. Saya tahu sesuatu yang pasti bahawa anda sering menggambarkan anda bakal gagal dalam subjek-subjek tertentu dan bakal duduk di kerusi supplement. Atau kerusi repeat.

Saya masih teringat bagaimana adik-adik suka bertanya,

“Kak, bagaimana kalau saya kena repeat? Supplement?”

Soalan yang tiada jawapan. Kerana soalan itu tidak patut ditanya. Dan saya tahu ada sesetengah anda yang memang sengaja bertanya. Kerana bertanya itu kunci kejayaan orang yang bijaksana. Pertanyaan itu akan menjadi suatu motivasi untuk anda merancang kejayaan anda di hari esok.

Sebaliknya, fikirkan tentang kejayaan anda di hari esok. Fikirkan bahawa anda boleh memberi tumpuan yang baik pada hari esok. Fikirkan bahawa anda boleh menjawab soalan peperiksaan dengan baik pada hari esok. Fikirkan bahawa esok pesakit anda pasti datang untuk rawatan. Fikirkan bahawa esok anda boleh invest denture pesakit anda.

Ya, zahirkan rasa syukur anda dengan berfikir tentang kejayaan. Anda adalah apa yang anda fikirkan. Fikir beserta tindakan. Fikir-fikirkanlah. Dan?

Selamat bertindak!

Nasihat
Anda tidak boleh hidup seorang diri. Saya telah melihat sendiri bagaimana orang yang sangat berdikari dengan tidak mempedulikan orang lain mudah sekali untuk menempa kegagalan. Sila dapatkan nasihat orang yang berpengalaman. Tanya. Bertanya. Dan tanyalah.

Jadikan senior-senior anda sebagai batu loncatan untuk anda mengecap kejayaan. Jika malu anda tidak perlu pergi jauh. Buddy anda bersedia memberi bantuan. Tanya. Korek pengalaman mereka. Selidik bagaimana pelajar cemerlang mengisi masa-masa terluang. Belajar cara-cara menulis nota. Dapatkan segala nota-nota penting. Minta tips menjawab soalan peperiksaan. Semua ini hanya terdapat di kalangan orang yang telah melaluinya.

Terapi
Sehebat mana pun ada, tetapi jika anda terlupa untuk meluangkan masa 5 kali sehari (atau lebih) untuk menunaikan solat, anda adalah seorang yang sangat rugi walaupun anda adalah seorang pelajar pergigian dari sebuah universiti yang disegani.

Bertambah-tambahlah rugi jika anda sebenarnya tidaklah sehebat mana pun. Dalam kelas sering mengantuk. Buat apa pun orang tak suka. Muka asyik masam. Suka menyakitkan hati orang. Suka ambil kesempatan terhadap orang lain. Suka meniru hasil kerja orang lain. Malas membaca. Malas mengulangkaji pelajaran. Malas bertanya pensyarah. Alangkah ruginya.

Saya menganjurkan anda untuk terapi jiwa anda. Basuhlah dengan ayat-ayat suci al-quran. Sepertimana anda berkunjung ke salun kecantikan untuk terapi muka, kaki, tangan serta badan, begitu jugalah yang anda perlukan untuk jiwa anda.

Bersihkan dengan perkara-perkara yang membina iman. Solat. Puasa sunat. Bacaan al-Quran. Menghadiri majlis ilmu.

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda selaku seorang pelajar di universiti ini dengan mengabdikan seluruh kehidupan anda kepada pemilik kehidupan. DIA yang telah mengizinkan anda bertapak dalam bidang ini.

Arus
Tiada kejayaan yang boleh ditempa tanpa cabaran. Begitulah sebuah kehidupan bagaikan air laut ada masa surut dan ada masa pasang. Ada masa anda dihujani dengan pelbagai tekanan, ada masa pula sebaliknya. Itulah ombak yang sebenarnya membina kehidupan anda.

Jangan sedih jika anda tidak faham satu apa pun yang diajar oleh pensyarah. Jangan stress jika anda terasa seperti anda tidak tahu apa-apa pun. Jangan mengamuk jika gigi palsu yang anda buat dengan bersungguh-sungguh rupa-rupanya telah porous pada keesokan harinya.

Itulah arus yang akan memaksa anda untuk kembali ke pangkal jalan. Arus yang akan menolak anda untuk ke gigi air. Bangun daripada tidur. Tanyakan kenapa kepada diri. Kenapa tidak faham? Kenapa terasa seperti tidak tahu apa-apa pun? Kenapa gigi palsu ini porous?
Jawapannya ada pada diri anda.

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda dengan menolak arus yang mendatang dengan penuh berhemah.

Lekas
Pekerjaan yang paling menarik dan memuaskan adalah pekerjaan yang tidak bertangguh. Jangan bawa nota semalam untuk dikemaskini pada hari esok atau sehingga ke minggu seterusnya. Jangan mencari maklumat yang penting di hujung deadline.

Dapatkan koleksi soalan tahun lepas dengan segera. Bina kumpulan perbincangan dengan segera. Kemaskini nota kuliah dengan segera. Ulangkaji dengan segera. Bertanya dengan segera. Siapkan kes-kes penting dengan segera.

Ya, zahirkan rasa syukur dan bangga anda dengan segera. Berdoalah dengan segera.

Dan, berubahlah dengan segera. Semoga berjaya!