Sambutan Maulidur Rasul di Samarahan

Asas kepada iman yang mantap adalah ilmu. Menyelusuri kehidupan ini, kita disibukkan dengan banyak perkara. Namun, rugilah jika masa yang ada kita sia-siakan dengan perkara yang berfaedah.

Ya, perkara yang kita rasakan berfaedah. Tetapi sebenarnya sia-sia. Fikir-fikirkan.

 

Advertisements

Doktor, Tolong Jadi Bernilai

Pengisian di permulaan artikel adalah tulisan Ustaz Fauwaz. Tulisan saya di penutupnya. Selamat membaca.

Bismillahirrahmanirrahim.

Lama saya tidak menulis. Saya tidak berani menulis kerana merasakan kehilangan iman dalam jiwa. Saya berasa lemah. Saya hilang kekuatan.

Sejak akhir-akhir ini, ramai yang bertanyakan saya tentang bidang pergigian. Adik-adik semuanya sedang sibuk mengisi borang UPU. Doakanlah saya diberi kekuatan untuk menulis sesuatu buat anda.

Sedikit perkongsian saya kutip dari blog fauwazfadzil.blogspot.com. Buat mereka yang bekerja dengan pesakit.

Dakwah Perubatan

Dakwah merupakan amalan yang paling mulia kerana ia merupakan warisan para Ambiya.
Kejayaan dakwah bergantung kepada pembawanya dan method dakwah yang berjaya. Dan dakwah ini luas skopnya. Kita mahu dakwah ini diluakkan konsepnya dan peranannya bukan setakat kepada orang yang belajar agama dan tempatnya di masjid sahaja. Kita mahu dakwah disebarkan di merata tempat agar Islam tersebar d iserata kawasan dengan luas dan mudah.

Perubatan pula salah satu ilmu sains yang mulia di mana ia di antara ilmu-ilmu yang sukar dipelajari dan berhajat kepada pelajar yang pintar dan rajin. Maka ilmu ini di anggap mulia dan dituntut untuk dipelajari.

Maka alangkah indahnya kalau digabungkan dakwah dan ilmu perubatan menjadikan kecantikan itu bertambah cantik.

Bagi saya, doktor mempunyai peranan yang besar di dalam dakwah Islamiah samada dalam bentuk menyedarkan pesakit tentang ibadah, mengingatkan diri kepada Allah, berdakwah kepada orang bukan Islam dan banyak lagi.

Dan di sini saya ingin menyebutkan beberapa perkara yang berkaitan dengan dakwah perubatan dan akhlak-akhlak yang perlu dihiasi oleh ahli perubatan.

Pertama: Doktor Atau Pembantu Ahli Perubatan Perlu Menyemaikan Akidah Dan Cinta Kepada Allah Taala Dikalangan Pesakit.

Di sini kita nampak peranan doktor atau pembantunya terserlah apabila di dalam keadaan seseorang lemah keyakinannya atau semangatnya, seseorang doktor itu boleh mengambil kesempatan untuk menanam akidah yang kuat di dalam hatinya. Doktor bukan setakat memberi ubat bahkan dia membina akidah yang kuat kepada para pesakit apatahlagi sekiranya pesakit itu adalah kanak-kanak.

Yang sangat penting, setiap kali tindakan yang dibuat oleh doktor, jangan lupa membaca bismillah kerana ia usul kepada semua kebaikan dan ia mampu membantu setiap tindak tanduk doktor dalam masa yang sama ia menunjukkan satu contoh yang baik kepada pesakit bahawa doktor hanya mampu merawat dengan izin Allah Taala.

Kedua: Membina Kesedaran Ibadah Di kalangan Pesakit

Para ahli perubatan bertanggungjawab bagi memastikan setiap pesakit yang berada di hospital sentiasa menunaikan solat melainkan di dalam keuzuran seperti koma, ini merupakan satu perkara yang penting kerana kita tidak mahu ahli perubatan menjadi doktor semata-semata sebaliknya dia perlu menjadi pendakwah yang berperanan mengajak orang beribadat kepadas Allah.

Pihak hospital juga perlu menyediakan peralatan untuk pesakit-pesakit untuk menunaikan solat, bagi saya kewujudan pegawai agama di dalam hospital-hospital perlu diwujudkan untuk membantu pesakit-pesakit menunaikan ibadat yang kita lihat USM Kelantan.

Sekiranya ahli perubatan berjaya melaksanakan tugas ini, mereka telah menyelamatkan orang ramai daripada murka Allah Taala, bahkan mereka membawa kepada hubungan kuat dengan Allah, tatkala mereka sakit pun ,mereka perlu berinteraksi dengan Allah.

Betapa cantiknya suasana ini.

Pengalaman Sendiri

Saya pernah didatangi seorang pesakit yang berusia 11 tahun. Walaupun dalam usia yang belum baligh, saya bertanya kepadanya,

“Adik sudah solat?”

“Belum, Kak”

Sedangkan jam sudah melangkaui 2 petang. Rawatan untuk beliau pasti akan mengambil masa lebih dua jam. Lantas saya membawa adik tersebut ke surau untuk menunaikan solat Zuhur.

Jauh di sudut hati, saya berasa sedikit marah dengan guru yang bertugas menghantar anak ini untuk mendapatkan rawatan. Saya teringat Cikgu sekolah saya pernah berpesan, inilah akibatnya apabila guru mendidik anak murid tanpa tarbiyah di dalam jiwa mereka. Mereka hanya menyalurkan ilmu tanpa mendidik anak untuk berakhlak mulia. Maaf, saya tidak mengatakan semua guru.

Saya juga sering bertanya soalan seperti,

“Encik dah solat?”

Kekadang mereka takut untuk menyatakan mereka mahu solat kerana risau masa rawatan tidak cukup. Saya memang terpaksa memberi appointment seawal 1.50 petang yang pastinya menyukarkan mereka untuk bersolat sebelum keluar rumah, tetapi saya amat mengalu-alukan mereka untuk bersolat apabila tiba di klinik.

Amat Rugi

Rugilah, kalau kita melihat pekerjaan sebagai seorang Doktor hanya untuk merawat penyakit jasad.

Walhal kita sebenarnya mempunyai peluang dan ruang untuk merawat penyakit jiwa.

Kehinaan atau Kemuliaan

  1. Manusia adalah hina.
  2. Kehinaan manusia menjadi mulia di syurga.
  3. Kemuliaan adalah hak mutlak Allah SWT.
  4. Hak manusia untuk menghina.
  5. Merasa dihina adalah suatu kemuliaan.
  6. Mulia tanpa kehinaan adalah kebanggaan.
  7. Hina tanpa kemuliaan adalah sia-sia.
  8. Berbanggalah mereka yang mulia.
  9. Sia-sialah mereka yang dihina.
  10. Tetapi mulialah yang berbangga dengan kehinaan.

Dalam Sahih Muslim, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda :

“Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Kedua-duanya adalah baik. Bersungguh-sungguhlah menuntut perkara yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan daripada Allah serta janganlah berasa lemah. Jika sesuatu menimpamu, janganlah berkata : ‘Kalau aku buat begini, pasti akan begini dan begini..’, tetapi katakanlah : Qaddarallahu ma sya’a fa’ala (Allah telahpun menetapkannya dan Dia perbuat apa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ itu membuka kerja syaitan’.”

Saya Tak Malu

Seorang sahabat berpesan.

“Apakah perbezaan anda dengan wanita-wanita yang lain? Anda lihat situasi wanita hari ini. Apa yang mereka pakai? Bagaimana akhlak mereka? Apa yang mereka buat? Anda bersetuju dengan saya bahawa ramai wanita hari ini telah hilang sifat malu?”

Saya mengangkat kening. Kedua-duanya. Dalam hati rasa macam nak menjerit mendengar kenyataan beliau.

Saya nak jerit,

“Saya malu!”

Itu sahaja. Hmm.

Sambung beliau lagi,

“Paling mudah tengok sahaja status-status di facebook. Ataupun tengok tulisan-tulisan dalam blog. Tak tahu malu cerita yang tak sepatutnya.”

‘Alamak.’ Hati saya berbisik. Serius terasa teguran ini tepat terkena batang hidung saya. Kebetulan, beliau ada dalam senarai rakan-rakan saya di facebook. Juga salah seorang yang pernah bertandang ke blog saya.

Kantoi.

Akhirnya, saya simpulkan teguran beliau ini kepada 2 tindakan.

SATU

Saya akan membuang segala status-status di facebook yang berkemungkinan atau telah menjadi status yang memalukan diri sendiri.

DUA

Saya akan menyimpan segala artikel di blog saya yang mungkin terlalu berlebih-lebihan dalm menghuraikan sesuatu isu, atau mungkin terlalu mudah berkongsi kisah peribadi. (Tak tahu malu, ke?)

Cuba dua ini dahulu ya. Terima kasih sahabatku.

Malu bukan bererti saya duduk diam tidak bercakap. Tidak juga bererti saya mudah diperkotak-katikkan. Bukan juga bermaksud saya bakal menjadi manusia yang lemah. Sebenarnya malu menjadikan saya seorang wanita yang bermaruah. Lebih baik dan lebih hebat.

Malu adalah bukti saya seorang yang beriman.

Hilang malu, hilang iman. Satu sama lain saling memerlukan. Dua dalam satu. Satu dalam dua.

Daripada Abu Mas’uud ‘Uqbah ibn ‘Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata:

Rasulullah SAW telah bersabda:

Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari.

p/s : Sejak akhir-akhir ini ramai pula pengunjung di blog ini. Ramai pula yang membaca artikel-artikel lama saya. Artikel-artikel yang bertajuk tentang cinta terutamanya. Malu pula rasanya. Haish.

Menangis Dengan Pesakit

“Lama juak mek nangga patient tek. Sik hal, nya patient appointment last kamek.”

(Lama saya merawat pesakit tadi. Nasib baiklah dia pesakit appointment yang terakhir.)

“Doktor, ada gik patient.”

(Doktor, ada lagi pesakit.)

Saya mengalih pandang ke tray simpanan kad pesakit. Ada beberapa fail perubatan pesakit. Saya membasuh tangan dan bersedia untuk melihat pesakit yang seterusnya. Seorang staff memanggil,

“Doktor, sitok sitok.”

(Doktor, sini, sini.)

Aits?” Saya terkejut melihat betapa efisiennya mereka dalam menguruskan pesakit. Pesakit sudah duduk di atas kerusi pergigian. Saya mengangguk dan tersenyum.

Biasalah hari jumaat, rawatan akan berakhir lebih awal. Kalau lambat-lambat dalam menguruskan pesakit, ada pula yang tak senang duduk. Jangan menzalimi pesakit yang menunggu. Jangan pula menzalimi staff-staff yang mempunyai hak untuk masa rehat mereka. Juga, janganlah menzalimi diri sendiri, kan?

Saya berjalan ke arah yang dimaksudkan sambil memberi seulas senyuman kepada pesakit. Menjadi tabiat saya untuk melihat nama pesakit terlebih dahulu. Bukankah lebih baik kita memanggil seseorang dengan nama yang disukainya?

“Assalamualaikum….”

Begitu mudah melakukan kebajikan. Amalkan memberi salam kepada pesakit anda. Beliau diam tidak menjawab. Saya terfikir Islamkah beliau? Kerana di sini Bangsa Melanau banyak menggunakan bin dan binti tetapi bukan Islam. Namun ada juga yang Islam. Melihat raut wajahnya, saya yakin beliau seorang Islam. Lantas saya mengulang salam.

“Assalamualaikum Encik Ibrahim….” Nama samaran.

Beliau menjawab salam saya dengan senyuman. Saya menyambung soalan,

“Apa khabar kitak?”

“Bagus…” Jawabnya.

“Alhamdulillah…” Seperti biasa saya akan bersoal jawab dengan pesakit tentang penyakit yang pernah dan sedang dihidapinya kerana ada sesetengah penyakit yang ‘mengganggu’ rawatan pergigian yang akan diberikan.

Beliau pernah menghidap Nasopharyngeal Carcinoma atau kanser hidung dan tekak. Rawatan radioterapi baru sahaja selesai 4 bulan yang lalu. Tujuannya ke Klinik Pakar Pergigian ini kerana mahukan?

“Doktor, aku mok gigi batu.”

Beliau mahukan gigi palsu. Kebiasaannya saya hanya akan memberi pesakit gigi palsu jika keadaan semua giginya berada di tahap yang baik. Ia bermaksud kesemua gigi yang goyang teruk perlu dicabut, gigi yang berlubang perlu ditampal, dan gigi yang kotor perlu dicuci serta rawatan-rawatan lain yang berkenaan.

“Encik Ibrahim, gigi atas kitak tok sik brapa bagus bha. Nya goyang gilak. Mek rasa mun kitak mok gigi batu yang bagus nak, kelimak-limak igek ya nang perlu dicabut. Mun sik cabut klak klak bila mek polah gigi batu untuk kitak, sik sampe 3 bulan ada gigi yang guguk. Bila nya guguk, kenak polah baruk gik. Gigi batu tok kitak perlu ngagak sitok empat ka limak kali kedakya.”

Oh My Bahasa Sarawak! Lulus?

Saya memberitahu pesakit bahawa gigi atasnya sudah goyang teruk dan perlu dicabut kesemuanya. Gigi palsu memerlukan empat ke lima kali rawatan, ia bukanlah suatu proses yang singkat, tetapi panjang. Kalau gigi yang goyang tidak dicabut, ada kemungkinan selepas atau kurang dari 3 bulan memakai gigi palsu yang baru, gigi yang goyang akan tercabut dengan sendirinya. Maka gigi palsu yang baru perlu dibuat semula.

Alhamdulillah. Pesakit ini bersetuju dengan perancangan rawatan yang saya berikan. Bukannya mudah untuk meyakinkan seorang pesakit tua bahawa kelima-lima gigi atasnya perlu dicabut, langsung tiada sebatang gigi yang tinggal di rahang atas.

“Kitak udah makan pagi ka?”

Saya perlu memastikan beliau sudah bersarapan sebelum mencabut dua batang giginya kerana beliau mungkin mengalami kesukaran untuk makan selepas cabutan, dan ada juga sehingga pening kepala dan pengsan kerana lemah akibat pendarahan, walaupun hanya pendarahan minimal. Lebih-lebih lagi orang tua, tidal boleh ambil mudah.

Saya memberi suntikan. Tempoh untuk ia benar-benar kebas  mengambil masa dua ke empat minit untuk benar-benar memberikan kesan kebas.

Sementara menunggu, saya suka mengisi masa dengan berborak bersama pesakit, supaya beliau berasa tenang. Maklumlah siapa yang suka giginya dicabut. Saya kalau duduk di tempat beliau pun mungkin takut!

“Kelak, kitak jaga gigi eh. Pastikannya bersih.” Saya memberi nasihat.

(Nanti jaga gigi awak. Pastikan bersih.)

Doktor, isteri aku selalu marah aku minum teh tarik. Aku suka sangat minum.”  Beliau mengadu.

Saya memberi respon,

“Ui…Kinek tok badan kitak masih bagus nak. Sik ada sakit apa-apa. Mun kitak minum air manis, nya sik bagus untuk gigi bha. Badan pun rosak juak .”

(Sekarang badan Encik sihat, tiada sebarang penyakit. Kalau minum air manis banyak, gigi rosak, malah badan pun tidak bagus.)

Beliau menjelaskan kenapa beliau ‘terpaksa’ minum air yang manis.

“Aku lepas rawatan hari ya, dalam mulut semua sik ada rasa apa-apa.”

(Saya selepas rawatan hari tu, dalam mulut sudah tiada deria rasa.)

Saya menjawab tanpa perasaan. Hati batu agaknya.

“Aoklah. Biasa kedakya lepas rawatan radioterapi. Rame juak.”

(Yalah, biasa selepas radioterapi jadi macam itu. Ramai juga.)

Beliau menyambung lagi,

“Tapi Doktor, aku makan daging rasa sama. Makan ayam rasa sama. Semua sik ada rasa.”

Saya terdiam. Terasa luluh jantung mendengarnya. Air di mata saya bergenang. Saya lihat terus pada matanya. Takut-takut dia juga menangis.

“Aku kan, Doktor, sampe makan garam sebab aku nak ada rasa.”

(Saya kan, Doktor, sampai makan garam.)

‘Allah.’ Hati saya berbisik.

Beratnya dugaan yang menimpa pesakit saya ini. Selama ini saya memang tahu bahawa mereka yang menjalani rawatan radioterapi di kawasan muka dan leher ada kemungkinan untuk hilang deria rasa. Tapi tahu setakat tahu tanpa memahami. Dan di depan mata saya ini ada seorang lelaki tua yang telah hilang nikmat rasa. Boleh makan. Boleh minum. Tapi semuanya tiada rasa!

Serentak itu air matanya jatuh. Saya yang tak sedar diri menepuk-nepuk bahu beliau berharap untuk menenangkannya. (Berlapik, tapi boleh ke? Jangan contohi saya. Ini mungkin tindakan luar kawal. Saya insaf.)

Beliau menyambung lagi,

“Aku dolok pergi sinei-sinei mesti makan ya makan tok. Nang makan ajak kerjanya. Kinek tok sik dapat agik bha.”

Luahnya sambil mengelap air mata. Beliau memberitahu bahawa dulu beliau memang suka makan. Tetapi kini sudah tidak seperti dahulu.

Saya menasihatkan beliau bahawa beliau lebih beruntung daripada pesakit-pesakit saya yang lain, yang telah kehilangan sebahagian struktur muka, kehilangan sebahagian lidah, kehilangan sebahagian tisu dalam mulut sehinggakan makanan terpaksa dimasukkan melalui hidung terus ke perut melalui sejenis saluran!

Tambah saya lagi, banyakkan berdoa dan redha dengan ketentuan Allah. Semoga beliau tenang dan tidak terbeban dengan masalah deria rasa itu. Di awal tadi beliau ceria menyahut salam saya. Tiba-tiba akhirnya jadi begini. Di sebalik keceriaan itu rupa-rupanya tersimpan satu rahsia.

Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada pesakit-pesakitku. Semoga mereka reda dengan takdirMu dan meyakini bahawa ada nikmat yang lebih besar menanti untuk mereka yang sabar, di kemudian hari InshaAllah.

Saya berhenti melayan perasaan. Dua giginya saya cabut dengan mudah kerana sudah bergoyang. Minggu depan saya akan bertemu dengannya lagi, dan akan saya titipkan kata-kata yang bermanfaat supaya beliau tidak berada dalam kesedihan.

Di suatu sudut, saya terfikir. Saya boleh menikmati pelbagai jenis makanan, tetapi adakah saya telah cukup bersyukur? Janganlah sehingga nikmat itu ditarik, baru kita mula menyesal dan mahu bersyukur!

‘Kualiti Hidup Saya Terjejas’

Ada segelintir masyarakat yang mengganggap bahawa kesihatan pergigian bukanlah isu utama dalam kehidupan mereka. Mereka merasakan kualiti hidup bergantung kepada sejauh mana organ dalam tubuh mereka boleh menjalankan fungsi dengan baik. Contohnya, keupayaan jantung mengalirkan darah ke seluruh tubuh dengan baik serta keupayaan organ-organ utama yang lain seperti ginjal dan hati dalam menjalankan fungsi masing-masing.

Tahukah anda bahawa bilangan gigi yang normal adalah 20 batang untuk kanak-kanak dan 28 ke 32 batang untuk dewasa? Tahukah anda juga bahawa gigi adalah tulang yang paling kuat pada tubuh manusia? Tahukah anda bahawa gigi geraham atas mempunyai 3 akar manakala gigi geraham bawah mempunyai 2 akar? Tahukah anda bahawa setiap satu morfologi(bentuk,saiz) gigi adalah berbeza-beza? Tahukah anda bahawa setiap gigi mempunyai setiap fungsi yang berbeza dalam memastikan makanan dibawa dengan selamat ke dalam usus perut? Tahukah anda bahawa gigi mempunyai 3 lapisan utama yang mempunyai karakter mikroskopik yang berbeza-beza sesuai dengan fungsinya yang berbeza?

Dan tahukah anda bahawa Allah menciptakan gigi dengan sebegitu banyak ciri-ciri istimewa bukan dengan tujuan yang sia-sia? Namun betapa ramai masyarakat kita hari ini memandang enteng tentang penjagaan gigi seolah-olah gigi yang begitu kompleks penciptaannya itu tidak memberi sebarang makna kepada kualiti kehidupan mereka.

Benarkah begitu?

Jika anda benar-benar menghargai dan mensyukuri gigi sebagai salah satu nikmat daripada Allah, kenapa anda tidak berusaha untuk memastikan gigi anda dijaga dengan baik?

Justeru, saya akan kongsikan kisah seorang pesakit saya yang akhirnya mengetuk dahi mereka sendiri kerana alpa dalam penjagaan gigi. Sebelum itu, ingin saya ingatkan bahawa saya tidak menuding satu jari kanan kepada mereka untuk mengatakan mereka memang patut menyesal. Tidak juga 5 jari kanan untuk mengatakan mereka patut menanggung kesannya, apatah lagi 5 jari kiri untuk mengatakan mereka yang bertanggungjawab sepenuhnya di atas kealpaan mereka itu.

Tetapi jari-jari yang ada di kedua belah tangan saya ini ingin sekali saya tuding ke arah semua doktor pergigian yang mempunyai tauliah tetapi gagal menyampaikan maklumat tentang kesihatan pergigian, juga kepada badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan termasuk swasta yang menyulitkan lagi proses rawatan kepada mereka, serta sesiapa sahaja yang terasa patut menyalahkan diri mereka sendiri, khasnya untuk mereka yang mempunyai ilmu tetapi tidak mahu beramal dengan ilmu mereka.

Semoga kisah ini menjadi salah satu wadah untuk saya menyampaikan maklumat tentang kepentingan penjagaan kesihatan pergigian kepada masyarakat. Semoga anda dapat melihat kaitan antara gigi dengan kualiti kehidupan yang baik.

***

Dari jauh saya melihat satu susuk tubuh yang dibaluti dengan pakaian yang indah. Dari atas ke bawah tertutup kemas selaku dirinya merupakan seorang muslimah. Beliau dipanggil masuk apabila gilirannya sudah tiba.

Saya memandang wajahnya yang bersih dan berseri-seri itu. Seperti biasa selepas memastikan pesakit tiada sebarang masalah kesihatan yang berkaitan, saya bertanya apakah masalahnya.

“Mak Cik akan pergi haji sebulan lagi.”

“Ya kah? Alhamdulillah.” Saya memberi respon.

“Tetapi Mak Cik risau tak ada gigi. Atas depan tak ada. Bawah tak ada. Tepi-tepi ni pun tak ada.” Sambungnya sambil jari telunjuk dialihkan ke kawasan yang dimaksudkan.

Mungkinkah Mak Cik ini berasa sukar untuk makan? Mungkin segan untuk bercakap? Atau segan untuk memberi seulas senyuman? Atau sisa makanan sering tersekat di kawasan yang tiada gigi? Boleh jadi juga gigitan sudah tidak seragam kerana ketiadaan beberapa batang gigi?

Atau ada gigi yang goyang akibat tekanan yang tinggi kepada gigi yang masih ada ketika mengunyah? Atau?

Beliau menyambung. Wajahnya yang tadi tampak tenang kini melahirkan kedutan di kiri dan kanan.

“Mak Cik tak dapat nak mengaji!”

Tersentap saya mendengarnya. Sambungnya lagi,

“Doktor, susah Mak Cik nak sebut huruf-huruf tertentu. Bunyi lain, maksud jadi lain. Memang Mak Cik tak menjaga gigi. Tapi Mak Cik tak sedar bila tak ada gigi rupa-rupanya bukan sahaja susah nak makan dan nak bercakap pun segan. Tetapi bila dah nak pergi haji baru Mak Cik rasa sukar hendak mengaji.”

***

Kualiti hidup anda ditentukan dengan bagaimana anda melihat erti kehidupan itu sendiri. Jika anda merasakan hidup anda bererti apabila anda boleh membaca al-quran dengan baik, maka ingin saya tekankan bahawa gigi anda yang tiada memang mengganggu kelancaran sebutan huruf-huruf tertentu.

Memang gigi palsu dan tanaman gigi (dental implant) boleh memberi penyelesaian, namun tiada yang sebaik gigi original dan rawatan itu sendiri ada pro dan kontranya. Tidak semua pesakit sesuai untuk rawatan yang dinyatakan. Tambahan lagi, rawatan itu bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Jadi anda bersetuju dengan saya bahawa gigi memberi impak kepada kualiti kehidupan anda? Mungkin saat ini sempena sambutan tahun baru 2012 kita patut mengambil sedikit masa untuk merenung bagaimana kita ingin menjadikan kehidupan kita lebih bererti. Apa sebenarnya yang memberi erti kepada hidup kita?

Jika kita ingin menjadikan kehidupan kita adalah sepenuhnya beribadah kepada Allah sepertimana yang dinyatakan dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat 56, saya ingin tegaskan 2 perkara.

Pertama, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Islam mengajar kita untuk sentiasa memastikan kebersihan, maka tidak hairanlah mengapa Rasulullah sendiri membersihkan gigi setiap kali sebelum solat! Gigi yang bersih memberi jaminan bahawa anda menjaga kebersihan. Justeru semakin banyak bilangan gigi yang berlubang menunjukkan betapa anda bukanlah seorang yang pembersih. Adakah itu wajar untuk memanifestasikan tahap keimanan anda?

Kedua, kekhusyukan dalam beribadah menentukan sejauh mana bernilainya amalan kita di sisi Allah. Perbuatan yang tidak khusyuk mungkin melahirkan kesan yang tidak dikehendaki. Buktinya betapa ramai masyarakat yang bersolat tetapi masih melakukan maksiat. Saya melihat ramai pesakit saya merasakan kesakitan pada gigi sukar untuk dikawal. Ia sakit dan mengganggu aktiviti seharian mereka.

Sebagai seorang Muslim, adakah kita berasa mudah untuk khusyuk dalam solat jika gigi sedang sakit? Mungkin kita akan mempercepatkan solat? Malah kekadang ada yang langsung tidak solat. Apatah lagi ibadah sampingan yang lain. Memanglah kita tidak minta untuk sakit. Tetapi sakit gigi bukanlah suatu proses yang berlaku dalam tempoh sehari atau seminggu.

Tahun masihi 2012 adalah tahun baru yang diraikan oleh seluruh warga dunia. Setiap tubuh pasti mengharapkan tahun baru menjanjikan kehidupan yang lebih bererti untuk mereka. Saya ingin menyarankan anda untuk menjadikan tahun 2012 sebagai tahun permulaan anda untuk menjaga kesihatan gigi.

***

Beberapa pesakit datang mendapatkan pemeriksaan gigi,

“Are you coming for check up and scaling?” Saya bertanya kepada seorang pesakit yang berusia pertengahan 20 an. Dia adalah perokok.

“Yes, Dr. I want new teeth for new year!”

Saya gembira mendengarnya walaupun saya mengalami sedikit kesukaran ketika melakukan penskaleran(cucian) gigi kerana beliau adalah seorang perokok. Perokok sering mempunyai gigi yang lebih kotor berbanding bukan perokok.

***

Nasihat saya, berjumpalah dengan doktor pergigian dan dapatkan pemeriksaan gigi segera. Keyakinan anda untuk berada di tengah-tengah masyarakat juga dipengaruhi oleh keadaan gigi anda. Dan orang juga mungkin menilai anda dengan melihat bagaimana keadaan gigi anda.

‘Kotornya.’

‘Ada hitam di tengah-tengah gigi.’

‘Nafas berbau.’

Sekarang anda bersetuju dengan saya bahawa gigi mempengaruhi kualiti kehidupan anda? Jika ya, dapatkan pemeriksaan segera!

Nota kaki:

  1. Daripada Ibn Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda : “Jadikan bersugi itu satu amalan, kerana ianya (bersugi) menyihatkan mulut dan merupakan kesukaan kepada Maha Pencipta.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
  2. Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat. (Hadis riwayat Muslim)
  3. Sesungguhnya Allah SWT menciptakan jin dan manusia tidak ada tujuan lain melainkan hanya untuk beribadah kepada Nya sahaja dan hanya beribadah itu sahajalah jalan yang dapat menyelamatkan jin dan manusia di dunia dan di akhirat nanti. (Az Azzariyat : 56)
  4. Sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup dan mati ku adalah untuk Allah Rabb sekalian alam. (Hadis Riwayat Muslim)