Menangis Dengan Pesakit

“Lama juak mek nangga patient tek. Sik hal, nya patient appointment last kamek.”

(Lama saya merawat pesakit tadi. Nasib baiklah dia pesakit appointment yang terakhir.)

“Doktor, ada gik patient.”

(Doktor, ada lagi pesakit.)

Saya mengalih pandang ke tray simpanan kad pesakit. Ada beberapa fail perubatan pesakit. Saya membasuh tangan dan bersedia untuk melihat pesakit yang seterusnya. Seorang staff memanggil,

“Doktor, sitok sitok.”

(Doktor, sini, sini.)

Aits?” Saya terkejut melihat betapa efisiennya mereka dalam menguruskan pesakit. Pesakit sudah duduk di atas kerusi pergigian. Saya mengangguk dan tersenyum.

Biasalah hari jumaat, rawatan akan berakhir lebih awal. Kalau lambat-lambat dalam menguruskan pesakit, ada pula yang tak senang duduk. Jangan menzalimi pesakit yang menunggu. Jangan pula menzalimi staff-staff yang mempunyai hak untuk masa rehat mereka. Juga, janganlah menzalimi diri sendiri, kan?

Saya berjalan ke arah yang dimaksudkan sambil memberi seulas senyuman kepada pesakit. Menjadi tabiat saya untuk melihat nama pesakit terlebih dahulu. Bukankah lebih baik kita memanggil seseorang dengan nama yang disukainya?

“Assalamualaikum….”

Begitu mudah melakukan kebajikan. Amalkan memberi salam kepada pesakit anda. Beliau diam tidak menjawab. Saya terfikir Islamkah beliau? Kerana di sini Bangsa Melanau banyak menggunakan bin dan binti tetapi bukan Islam. Namun ada juga yang Islam. Melihat raut wajahnya, saya yakin beliau seorang Islam. Lantas saya mengulang salam.

“Assalamualaikum Encik Ibrahim….” Nama samaran.

Beliau menjawab salam saya dengan senyuman. Saya menyambung soalan,

“Apa khabar kitak?”

“Bagus…” Jawabnya.

“Alhamdulillah…” Seperti biasa saya akan bersoal jawab dengan pesakit tentang penyakit yang pernah dan sedang dihidapinya kerana ada sesetengah penyakit yang ‘mengganggu’ rawatan pergigian yang akan diberikan.

Beliau pernah menghidap Nasopharyngeal Carcinoma atau kanser hidung dan tekak. Rawatan radioterapi baru sahaja selesai 4 bulan yang lalu. Tujuannya ke Klinik Pakar Pergigian ini kerana mahukan?

“Doktor, aku mok gigi batu.”

Beliau mahukan gigi palsu. Kebiasaannya saya hanya akan memberi pesakit gigi palsu jika keadaan semua giginya berada di tahap yang baik. Ia bermaksud kesemua gigi yang goyang teruk perlu dicabut, gigi yang berlubang perlu ditampal, dan gigi yang kotor perlu dicuci serta rawatan-rawatan lain yang berkenaan.

“Encik Ibrahim, gigi atas kitak tok sik brapa bagus bha. Nya goyang gilak. Mek rasa mun kitak mok gigi batu yang bagus nak, kelimak-limak igek ya nang perlu dicabut. Mun sik cabut klak klak bila mek polah gigi batu untuk kitak, sik sampe 3 bulan ada gigi yang guguk. Bila nya guguk, kenak polah baruk gik. Gigi batu tok kitak perlu ngagak sitok empat ka limak kali kedakya.”

Oh My Bahasa Sarawak! Lulus?

Saya memberitahu pesakit bahawa gigi atasnya sudah goyang teruk dan perlu dicabut kesemuanya. Gigi palsu memerlukan empat ke lima kali rawatan, ia bukanlah suatu proses yang singkat, tetapi panjang. Kalau gigi yang goyang tidak dicabut, ada kemungkinan selepas atau kurang dari 3 bulan memakai gigi palsu yang baru, gigi yang goyang akan tercabut dengan sendirinya. Maka gigi palsu yang baru perlu dibuat semula.

Alhamdulillah. Pesakit ini bersetuju dengan perancangan rawatan yang saya berikan. Bukannya mudah untuk meyakinkan seorang pesakit tua bahawa kelima-lima gigi atasnya perlu dicabut, langsung tiada sebatang gigi yang tinggal di rahang atas.

“Kitak udah makan pagi ka?”

Saya perlu memastikan beliau sudah bersarapan sebelum mencabut dua batang giginya kerana beliau mungkin mengalami kesukaran untuk makan selepas cabutan, dan ada juga sehingga pening kepala dan pengsan kerana lemah akibat pendarahan, walaupun hanya pendarahan minimal. Lebih-lebih lagi orang tua, tidal boleh ambil mudah.

Saya memberi suntikan. Tempoh untuk ia benar-benar kebas  mengambil masa dua ke empat minit untuk benar-benar memberikan kesan kebas.

Sementara menunggu, saya suka mengisi masa dengan berborak bersama pesakit, supaya beliau berasa tenang. Maklumlah siapa yang suka giginya dicabut. Saya kalau duduk di tempat beliau pun mungkin takut!

“Kelak, kitak jaga gigi eh. Pastikannya bersih.” Saya memberi nasihat.

(Nanti jaga gigi awak. Pastikan bersih.)

Doktor, isteri aku selalu marah aku minum teh tarik. Aku suka sangat minum.”  Beliau mengadu.

Saya memberi respon,

“Ui…Kinek tok badan kitak masih bagus nak. Sik ada sakit apa-apa. Mun kitak minum air manis, nya sik bagus untuk gigi bha. Badan pun rosak juak .”

(Sekarang badan Encik sihat, tiada sebarang penyakit. Kalau minum air manis banyak, gigi rosak, malah badan pun tidak bagus.)

Beliau menjelaskan kenapa beliau ‘terpaksa’ minum air yang manis.

“Aku lepas rawatan hari ya, dalam mulut semua sik ada rasa apa-apa.”

(Saya selepas rawatan hari tu, dalam mulut sudah tiada deria rasa.)

Saya menjawab tanpa perasaan. Hati batu agaknya.

“Aoklah. Biasa kedakya lepas rawatan radioterapi. Rame juak.”

(Yalah, biasa selepas radioterapi jadi macam itu. Ramai juga.)

Beliau menyambung lagi,

“Tapi Doktor, aku makan daging rasa sama. Makan ayam rasa sama. Semua sik ada rasa.”

Saya terdiam. Terasa luluh jantung mendengarnya. Air di mata saya bergenang. Saya lihat terus pada matanya. Takut-takut dia juga menangis.

“Aku kan, Doktor, sampe makan garam sebab aku nak ada rasa.”

(Saya kan, Doktor, sampai makan garam.)

‘Allah.’ Hati saya berbisik.

Beratnya dugaan yang menimpa pesakit saya ini. Selama ini saya memang tahu bahawa mereka yang menjalani rawatan radioterapi di kawasan muka dan leher ada kemungkinan untuk hilang deria rasa. Tapi tahu setakat tahu tanpa memahami. Dan di depan mata saya ini ada seorang lelaki tua yang telah hilang nikmat rasa. Boleh makan. Boleh minum. Tapi semuanya tiada rasa!

Serentak itu air matanya jatuh. Saya yang tak sedar diri menepuk-nepuk bahu beliau berharap untuk menenangkannya. (Berlapik, tapi boleh ke? Jangan contohi saya. Ini mungkin tindakan luar kawal. Saya insaf.)

Beliau menyambung lagi,

“Aku dolok pergi sinei-sinei mesti makan ya makan tok. Nang makan ajak kerjanya. Kinek tok sik dapat agik bha.”

Luahnya sambil mengelap air mata. Beliau memberitahu bahawa dulu beliau memang suka makan. Tetapi kini sudah tidak seperti dahulu.

Saya menasihatkan beliau bahawa beliau lebih beruntung daripada pesakit-pesakit saya yang lain, yang telah kehilangan sebahagian struktur muka, kehilangan sebahagian lidah, kehilangan sebahagian tisu dalam mulut sehinggakan makanan terpaksa dimasukkan melalui hidung terus ke perut melalui sejenis saluran!

Tambah saya lagi, banyakkan berdoa dan redha dengan ketentuan Allah. Semoga beliau tenang dan tidak terbeban dengan masalah deria rasa itu. Di awal tadi beliau ceria menyahut salam saya. Tiba-tiba akhirnya jadi begini. Di sebalik keceriaan itu rupa-rupanya tersimpan satu rahsia.

Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada pesakit-pesakitku. Semoga mereka reda dengan takdirMu dan meyakini bahawa ada nikmat yang lebih besar menanti untuk mereka yang sabar, di kemudian hari InshaAllah.

Saya berhenti melayan perasaan. Dua giginya saya cabut dengan mudah kerana sudah bergoyang. Minggu depan saya akan bertemu dengannya lagi, dan akan saya titipkan kata-kata yang bermanfaat supaya beliau tidak berada dalam kesedihan.

Di suatu sudut, saya terfikir. Saya boleh menikmati pelbagai jenis makanan, tetapi adakah saya telah cukup bersyukur? Janganlah sehingga nikmat itu ditarik, baru kita mula menyesal dan mahu bersyukur!

Advertisements

3 thoughts on “Menangis Dengan Pesakit

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s