4 Keuntungan Seorang Doktor Bergaji Besar

“Ada seorang Doktor, dia sanggup menghabiskan duit dia untuk pesakit.”

Sambungnya lagi,

“Setiap kali selepas memberi rawatan kepada pesakit, Doktor ini akan ke kaunter dan membayar seluruh rawatan mereka. Semualah. Cabutan, tampalan, gigi palsu dan lain-lain.”

Saya mengerut kening. Cerita ini sangat menarik. Dan saya amat kagum dengan Doktor yang dimaksudkan.

“Beliau bekerja di *****.”

Yang dimaksudkan adalah suatu kawasan  yang kebanyakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan adalah daripada golongan berpendapatan rendah.

“Kamu beruntunglah. Apa yang kamu buat semua dikira pahala.” Tambahnya lagi. Yang bercerita ini adalah seorang pakar pergigian bukan Islam yang amat saya segani.

“Memang dia kaya. Sangat kaya. Dia boleh bayar semua rawatan pesakit-pesakitnya. Walaupun kaya, dia tidak sombong. Dia mempunyai hati yang sangat baik. Berapa ramai orang-orang kaya yang tidak peduli orang miskin?”

Saya terdiam dalam kekaguman. Hati teringat-ingat ungkapan ‘apa yang kamu buat semua dikira pahala’.

Beruntungnya orang yang menyedari betapa beruntungnya mereka jika tahu mencari untung daripada pekerjaan yang mereka memang beroleh keuntungan setiap bulan. Sejumlah amaun tanpa gagal mengisi akaun simpanan di mana-mana bank pada suatu hari yang selalunya dinantikan oleh mereka yang mahu mengaut untung. Untung yang boleh dikaut.

Namun sejauh mana keuntungan yang kita peroleh itu benar-benar memberi untung kepada kehidupan kita? Beruntungkah kita menghabiskan masa satu pertiga daripada masa yang kita ada sehari itu untuk itu? Atau mungkin sebenarnya kita telah menghabiskan lebih satu pertiga daripada masa yang kita ada sehari itu untuk itu? Atau mungkin ada juga yang menghabiskan sepenuhnya 24 jam untuk itu? Beruntungkah anda?

Bercakap soal keuntungan, ramai yang sering mengaitkan dengan sejumlah wang. Jika seorang ahli perniagaan mendifinisikan keuntungan adalah apabila mereka berjaya peroleh pulangan melebihi modal yang diperuntukkan. Perbandingannya, bagaimana yang dikatakan kita ini adalah orang yang beruntung? Adakah selama ini kita menerima sejumlah wang yang sama setiap bulan? Adakah ia melebihi ‘modal’ yang kita keluarkan?

Bukanlah keuntungan wang itu yang dikatakan kita benar-benar beruntung. Yang dikatakan beruntungnya kita adalah apabila kita menyedari bahawa setiap pekerjaan yang kita lakukan mempunyai nilaian di sisi Allah SWT. Bak kata-kata Doktor saya di awal tadi,

“Kamu beruntunglah. Apa yang kamu buat semua dikira pahala.”

Menjadi pahala jika kita tahu dan sedar apa yang kita kerjakan itu memang patut beroleh pahala. Analoginya, jika selama ini kita memakai jubah kerana tertarik dengan fesyennya, tanpa menyedari bahawa ia adalah pakaian Rasulullah, maka kita tidak akan mendapat pahala kerana mengikuti sunnah Rasulullah, atas sebab  kejahilan kita.

Justeru para doktor sekalian, sedarkah kita bahawa pekerjaan kita ini menyimpan seribu satu rahsia untuk kita beroleh seribu satu keuntungan? Ia menjadi beruntung jika kita tahu ia memang memberi untung.

Contohnya,

Membaca Bismillah sebelum memberi rawatan.

Mengajar pesakit untuk membaca Bismillah(dan berdoa) sebelum memakan ubat, atau sebelum kita bermula untuk memberi sebarang rawatan kepada mereka.

Memakai sarung tangan (glove) dengan disuakan kepada tangan kanan dahulu, sebelum yang kiri.

Dan pelbagai lagi, yang memerlukan kita untuk berfikir dan menilai sendiri adakah setiap saat yang kita habiskan untuk pekerjaan ini memberi keuntungan yang berkekalan?

Kalau hari ini anda dibayar gaji, setakat mana anda dapat berbelanja? Sejauh mana? Tidaklah dapat menandingi gaji yang dicatat oleh malaikat di bahu kanan anda.

Besarkah gaji seorang Doktor? Beruntungkah? Apakah 4 keuntungan seorang Doktor bergaji besar?

1) Doktor beruntung kerana memperbaiki amal ibadah.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam, dia adalah orang yang rugi. Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T.”

Komen Pesakit :

Saya tengok Doktor ni dari pagi ke petang memberi rawatan kepada pesakit. Kekadang sampai ke malam. Memang masa Doktor hanya untuk kami sahaja ke? Kami dari hari ke sehari Alhamdulillah kesihatan tubuh bertambah baik. Bertambah juga syukur kami kepada Allah. Apabila tubuh dah sihat dapatlah kami banyakkan amal ibadah. Doktor pun mesti dah makin kompeten dalam membuat nilaian penyakit-penyakit kami. Tetapi bagaimana dengan amal ibadah Doktor? Dah berapa lama tidak mengaji? Dah berapa lama tidak sempat bersolat fardu, apatah lagi yang sunat? Dah berapa lama Doktor terlajak nak qiamulail? Dah berapa lama Doktor tak puasa sunat? Dah berapa lama Doktor tak hubungi ibu bapa?

Komen Doktor :

Agak-agaklah, Doktor itu kan Doktor perempuan. Mana boleh solat dan baca quran pada masa itu.

2) Doktor beruntung kerana pemurah dan tidak menurut hawa nafsu.

Umar bin Khaththab pernah berkata di dalam khutbahnya:

“Orang yang beruntung di antara kalian adalah orang yang terjaga dari ketamakan, hawa nafsu dan amarah.”

Komen Pesakit :

Doktor, kenapa susah sangat nak senyum? Kekadang saya nak tanya Doktor tentang penyakit saya, tetapi Doktor marah-marah sebab kata Doktor ada ramai lagi pesakit di luar. Lepas tu Doktor tak fikir pun perasaan saya sebagai pesakit. Doktor bagi macam-macam ubat dan rawatan yang saya tidak tahu hujung pangkal.

Komen Doktor :

Doktor sakit gigilah. Faham-fahamlah orang sakit gigi macammana.

3) Doktor beruntung kerana mencukupkan ilmu agama.

“Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat.” (Al-Mujadilah:11)

Komen Pesakit :

Doktor memang terbaik semasa memberi rawatan kepada saya. Semua pemeriksaan dari awal ke akhir membawa kepada penyelesaian kepada penyakit yang saya hadapi, memanglah bukan sebab semata-mata Doktor memang hebat, tetapi sebab Allah juga. Cumanya, bila saya tak tahu bagaimana nak solat ketika terbaring hari tu, Doktor tak jawab pun soalan saya.

Komen Doktor :

Erk? Doktor lain kot.

4) Doktor beruntung kerana mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran: 104)

Komen Pesakit :

Doktor, saya suka bila Doktor nasihatkan saya mencegah lebih baik daripada mengubati. Patutlah macam-macam ubat Doktor suruh saya makan. Tetapi saya tengok Doktor tak tegur pun staf Doktor yang tak pernah solat tu? Yang tak tutup aurat, mengumpat, bergaul bebas, ponteng kerja, dan macam-macam lagi Doktor tak mencegah pun?

Komen Doktor :

….  (Tak ada idea)

 

Komen Saya :

Eh, gaji Doktor kecil sahaja. Yang jadi besar bila ada untung! Siapa mahu untung? Boleh cuba empat keuntungan seorang Doktor bergaji besar.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s