Cita-cita dan Cinta Luar Biasa

Saya selalu rasa berdosa. Apabila terasa berdosa, saya tidak boleh menulis. Kalau menulis pun, terasa macam apa yang ditulis adalah berdasarkan hawa nafsu. Tak membantu. Tak membantu diri sendiri, tidak juga membantu orang lain.

Tujuan menulis adalah untuk berkongsi kebaikan. Untuk memberi manfaat. Bukannya untuk menambah keburukan. Boleh jadi juga ia menambah dosa? Minta dijauhkan.

Saya teringat seorang sahabat pernah berpesan,

“Zaman sekarang era manusia meluahkan perasaan di facebook. Bila ada masalah, semua ke facebook. Kita boleh melihat manusia bertarung dengan emosi di situ.”

Jangan ber’facebook’ bila ada masalah. ‘Face it’!

Sambungnya lagi,

“Orang yang hebat meletakkan lidahnya di belakang hatinya. Dia tidak akan berkata-kata tanpa berfikir terlebih dahulu.”

Tambahnya lagi,

“Kekadang sampai membuka aib sendiri.”

Itulah suatu musibah untuk orang yang suka menulis. Teringat pula pesanan seorang Ustaz,

“Ada bezanya antara orang pandai yang menulis dan orang yang pandai menulis.”

Terasa betul-betul terkena.

Akibatnya, terasa lemah hendak menulis. Tak tahu apa yang hendak dikongsikan. Tambahan lagi, rasa berdosa menekan hidup saya dari sehari ke sehari. Bila rasa berdosa, saya memang tidak boleh menulis. Tulisan yang ini? Adalah manifestasi rasa berdosa saya. Haih, boleh pula menulis tu?

Bukti tulisan itu berdasarkan hawa nafsu apabila ia bersifat luahan perasaan. Tidak berpuas hati dengan orang itu dan ini. Tulisan yang membangkitkan pertelingkahan. Tulisan yang menyebabkan ada orang memendam perasaan marah dan sebagainya. Malah tulisan itu ibarat sudah mati. Tidak langsung memberi kesan kepada pembaca, apatah lagi sang penulis.

Justeru, sehingga ke satu tahap saya merasakan proses menulis ini sangat sukar. Saya pernah berpesan kepada diri sendiri,

“Di sebalik tulisan yang baik adalah jenis buku yang anda baca.”

Bukanlah bermaksud kita menulis sesuatu berdasarkan buku apa yang kita baca. Tetapi kualiti tulisan kita ditentukan sejauh mana kita banyak membaca. Dalam erti kata lain, kalau tak membaca, maka tak terhasil jugalah artikel. Yang ada hanyalah leteran di dalam artikel, entah memberi manfaat atau tidak.

Sia-sialah orang yang tidak menjadikan pekerjaan atau perbuatan sehari-harian sebagai modal untuk kehidupan abadi di akhirat. Sia-sia itu apa? Tidak mendapat pahala.

Menulis sambil lewa. Menimbulkan huru-hara iman. Tidak membantu kepada perkembangan ilmu. Itu saya yang dulu.

Motivasi untuk menulis bukan sekadar bakat yang ada pada diri anda. Ia adalah manifestasi ilmu pengetahuan yang anda ada, banyak  mana pengalaman hidup anda, dan sejauh mana anda sedar keperluan anda untuk menulis, agar ia menjadi manfaat kepada orang lain.

Saya tulis.

Anda komen.

Tulisan yang dikomen juga menjadi bukti bahawa tulisan itu sekurang-kurangnya mendapat perhatian, mungkin ia memberi manfaat kepada orang lain.

Tetapi, ‘komen’ Allah tetap yang terutama.

Sesekali saya pusing-pusing ke belakang membaca balik artikel saya yang lama. Mana-mana yang terpesong saya alihkan. Yang mengaibkan saya buang. Yang memalukan saya simpan. Saya sedang menuju ke arah penghasilan karya yang lebih bermutu.

Bagaimana?

  1. Jangan buat dosa. Perbaiki kondisi iman.
  2. Banyakkan membaca.
  3. Banyakkan bertanya pengalaman hidup orang lain.
  4. Pelajari ilmu-ilmu tertentu daripada mereka yang bertauliah.
  5. Menggunakan kedua mata celik dan mata hati untuk memerhatikan manusia dan suasana.

Tagline baru saya. Perkongsian Cita-Cita dan Cinta Luar Biasa

Seorang sahabat saya berpesan,

“Jadikan akhirat sebagai motivasi untuk mencapai cita-cita. Dan cita-cita tertinggi seorang Mukmin itu adalah kembali ke syurga.”

Advertisements

Terdesak Mencari Cinta

Saya dijemput untuk menghadiri majlis sambutan hari jadi seorang kawan. Jejak sahaja di rumah beliau, saya melihat suasana yang cukup saya rindukan. Seluruh keluarga berkumpul, bermain permainan, makan bersama-sama, penuh dengan budak-budak dan hingar bingar dengan suara. Terus kerinduan kepada kampung halaman menerpa. Teutamanya rindukan Emak dan Ayah.

Bercakap tentang keluarga, pastinya isu yang saya ingin bawa adalah isu kahwin. Kalau orang bertanya kepada saya, bilakah agaknya saya akan mendirikan rumah tangga, saya akan menjawab,

“2013.”

Menjelang tahun 2013, kalau ada orang bertanya lagi, saya akan menjawab,

“2014.”

Dan seterusnya sampai saya sudah kahwin. Pernah seorang kawan saya berkata,

“Dulu masa tahun 2011, awak kata nak kahwin tahun 2012. Sekarang sudah 2012, tak ada apa-apa pun. So, tahun depanlah ya?”

Kata yang lain lagi,

“Eh hari tu awak kata tak ada calon? Tapi nak kahwin tahun 2013?”

Ada yang bertanya,

“Kitak udah ada gerek ka?”

Bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud,

“Awak sudah ada boyfriend?”

Dan ramai mendoakan saya berkahwin dengan orang Sarawak. Saya mengaminkan sahaja.

Perkahwinan adalah cerita yang menarik untuk diraikan. Orang yang sudah berkahwin adalah orang yang beruntung. Tetapi tak semua yang belum berkahwin tidak beruntung. Dahulu, saya pernah merancang, tetapi Emak memang tidak mengizinkan dan tidak suka saya bercakap soal perkahwinan. Maklumlah anak kesayangan. Perasan.

Jangan sesekali menyebut soal mahu berkahwin. Pantang sungguh. Berbeza pula dengan Ayah saya yang menyokong sepenuhnya. Sejak itu, saya sering berdoa supaya Allah melembutkan hati Emak saya untuk membenarkan saya melalui fasa berumahtangga. Saya amalkan doa ini,

“Ya Allah, permudahkanlah urusan jodoh dan pertemuanku dengan pasangan yang baik.”

Permudahkanlah.

Allah mudahkan, ketika tibanya hari lahir Emak saya pada bulan Disember yang lalu, saya menerima panggilan telefon di awal pagi.

“Emak doakan Liana …..”

Speechless!

Emak saya sebut satu-satu apa yang dia mahukan untuk kehidupan saya. Tidak pernah beliau mahu menyentuh tentang isu kahwin dengan saya, tetapi beliau menyatakannya ketika itu, ketika beliau menyambut hari lahirnya.

Semuanya dengan keizinan Allah juga.

Selepas itu saya tidak lagi menimbulkan isu kahwin dengan Emak. Sehinggalah ketika mengerjakan umrah pada bulan februari yang lalu, saya menyebut lagi soal ini dan Emak memberi respon yang baik.

Orang selalu mencari lelaki atau wanita yang mempunyai kriteria-kriteria tertentu yang menjadi pelengkap kepada kehidupan mereka. Saya pula memikirkan kriteria yang memenuhi kemahuan Emak saya. Emak saya tidak minta yang bukan-bukan.

Saya kembali senyap dengan isu ini. Sebab saya belum terfikir untuk berkahwin. Macam yang saya nyatakan sebelum ini, ini bukanlah soal malu tetapi belum mahu. Saya harap saya normallah. Kawan-kawan saya kebanyakannya akan berumah tangga. Tetapi ramai juga yang tidak. Kita semua normal, InshaAllah.

Sehinggalah saya menerima satu lagi panggilan telefon dari Emak pada suatu pagi, selesai sahaja saya menemui pesakit, 2 minggu yang lalu. Apa kata Emak?

“Emak nak datang Sarawak. Dah rindu pula pada Sarawak. Mak nak datang bulan 5 masa birthday Liana nanti. Nanti bawa Mak jumpa bakal menantu.”

Erk.

Kawan-kawan saya pernah bercerita bagaimana Emak dan Ayah mereka mahu mereka segera berkahwin. Sehinggakan mereka terasa sukar. Sekarang, baru saya faham bagaimana rasanya apabila ada harapan tertentu mereka yang tidak dapat kita tunaikan.

Cerita di atas adalah cerita rekaan semata-mata. Okay, saya tipu.

Sebenarnya, ada beberapa isu saya nak sentuh tentang cinta. Saya memang bukan orang yang layak bercakap tentang soal cinta kerana saya tidak pernah bercinta dan bukan sedang bercinta. Tak nak. Tetapi saya memerhatikan bagaimana cinta boleh menjadi racun yang menarik kita ke lembah zina. Cinta untuk orang yang terdesak, seperti saya dalam kes di atas. Bulan 5 adalah dalam sebulan lagi. Mencari cinta dalam tempoh sebulan? Memang terdesak. Bukan sayalah yang tersedak, eh terdesak.

Kepada mereka yang terdesak untuk mencari cinta, anda mungkin telah dan sedang melakukan ini:

  1. Meletakkan pelbagai gambar yang menarik dan tertarik di Facebook. Mana tahu ada yang terpikat.
  2. Menulis status-status tentang cinta dan rumahtangga. Mana tahu ada yang dapat meneka anda sedang mencari cinta.
  3. Meminta semua orang mendoakan anda cepat-cepat bertemu jodoh.
  4. Berkenalan dengan sesiapa sahaja, sering berhubungan dalam telefon, berchating(rosak bahasa) di facebook, dan sebagainya.
  5. Senyum kepada semua orang.
  6. Ramah tidak bertempat.
  7. Tidak menjaga pandangan.
  8. Setiap hari mengintip pergerakan orang-orang tertentu di Facebook. Tak ada kerja lain, ke.
  9. Menulis status-status kontroversi supaya orang sedar yang anda belum berpunya, atau orang perasan yang anda berpotensi untuk dijadikan calon isteri/suami yang baik. (Contohnya seperti cerita ‘saya’ di atas. Bukan saya ok!)

Saya tak kata salah pun. Tetapi saya nak cadangkan alternatif, iaitu:

  1. Bertanya kepada kawan-kawan atau sahabat-sahabat anda, adakah sesiapa yang tengah mencari pasangan. Jangan malu.
  2. Menghadiri pelbagai program yang bermanfaat dan rajin-rajinlah menegur Mak Cik atau Pak Cik di sana, mana tahu mereka ada anak dara dan teruna. Lagi mudah dan pantas.
  3. Meminta ibu dan ayah anda mendoakan anda setiap masa. Doa mereka makbul.
  4. Menjaga pergaulan dengan yang berlainan jantina. Kalau anda mahukan pasangan yang menjaga pergaulan, juga.
  5. Meminta Ibu dan Ayah anda mencarikan pasangan untuk anda.
  6. Membuat kebaikan kepada semua orang.

Jangan risau jika anda masih belum bertemu jodoh. Belum bertunang. Belum berkahwin. Ada sesetengah orang berpendapat anda perlu duduk diam dan menunggu. Berdoalah sahaja. Ada pula yang berpendapat anda perlu proaktif mencari.

Kalau anda lihat tagline blog saya :

Perkongsian Cita-Cita dan Cinta.

Memang saya maksudkan saya ingin menyentuh soal cita-cita dan cinta. Tetapi tidak menumpu kepada cita-cita yang selalunya kita rujuk sebagai pekerjaan, dan tidak pula menumpu kepada cinta sesama manusia sahaja.

Cadangan saya kepada yang sedang mencari cinta:

  • Bersyukur dengan apa yang Allah berikan kepada kehidupan anda setakat ini.
  • Menyiapkan diri dengan membaca dan menuntut ilmu agama yang asas.
  • Memerhatikan bagaimana orang berumahtangga menguruskan keluarga mereka.
  • Bertanya kepada pasangan yang soleh tentang bagaimana mereka bertemu jodoh dan cubalah mencuba cara mereka.
  • Yakin dengan Allah.

Cinta adalah cita-cita setiap manusia. Tanpa cinta, cita-cita seakan tak bernyawa. Cinta yang terbaik adalah cinta yang mempunyai cita-cita. Jadikan akhirat sebagai motivasi anda untuk mencapai cita-cita.

Pesanan Rasulullah SAW

Untuk lelaki:

“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.”

Untuk wanita:

“Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.”

 

p/s: Pernah jumpa orang yang mengata diri sendiri?  ^_^  Artikel ini ditulis bukan untuk menyakiti hati atau menyentuh sensitiviti sesiapa. Anda punyai hak ke atas kehidupan anda sepenuhnya. Artikel ini tengah mengata diri sendiri. Mari berlapang dada.