Pusat Asasi Sains Universiti Malaya PASUM

Artikel ini ditulis 2 tahun yang lalu di blog lama saya. Ia masih menjadi rujukan sejak dulu hingga kini melihat kepada soalan-soalan yang ditanya oleh adik-adik. Jadi saya siarkan sekali lagi artikel ini dengan harapan mereka dapat direct link ke blog saya yang ini, InshaAllah. Semoga ia juga memotivasikan anda.

Saya melihat wajah mereka satu persatu. Ada kesan tegang di wajah. Masa berlalu pantas. Semuanya perlu segera. Inilah minggu orientasi, atau juga dikenali sebagai minggu haluansiswa di universiti kami.

Inilah kenangan manis yang tidak mungkin saya lupakan. Di sinilah, saya mula mengenal dunia. Selama berbelas tahun saya asyik duduk di bawah ketiak Emak, tidak pernah berjauhan.

P.A.S.U.M

Keputusan SPM saya sekadar baik. Tidak termasuk dalam pelajar yang dikatakan cemerlang. Allah memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya.

PASUM adalah seperti Pusat Matrikulasi yang lain, cumanya ada beberapa keistimewaan yang mungkin tidak terdapat di Pusat Matrikulasi dan ada jugalah kekurangan yang tidak saya nafikan. Secara peribadi, saya melihat PASUM merupakan sebuah institusi yang istimewa. Memang berbeza.

Namanya memang gah. Kerana adanya nama Universiti Malaya di situ. Sedikit ringkasan saya titipkan khas buat mereka yang teringin atau sedang menuntut ilmu di PASUM.

Semoga beroleh manfaat.

Semua orang memandang tinggi dengan graduasi PASUM. Mungkin kerana bebanan studi yang memang berat.Tambahan pula, kelas berturutan dari jam 8 pagi sehingga ke 5 petang. Pelajar Sains Hayat perlu juga mengambil subjek Fizik.

Suasana belajar berbeza. Kami sudah seperti gaya seorang pelajar universiti. Tidak ada perhimpunan pagi seperti Pusat Matrikulasi. Pakaian pula agak bebas. Para pensyarah dan tutor dipanggil dengan pangkat dan status mereka, tidak lagi dengan panggilan cikgu.

Gaya hidup terserah kepada anda. Lokasi PASUM di kota Kuala Lumpur menjadikan ada sesetengah pelajar cemerlang hanyut dibuai angin malam. Kerap keluar malam merupakan sumber kepada perbuatan maksiat. Dan inilah yang berlaku di depan mata saya.

Gaya Belajar

Suasana belajar yang kondusif. Semua pelajar pun ingin belajar. Cuma ada sekerat yang suka main-main, tapi masih belajar.

Tutorial menimbun. Ada yang mengambil jalan mudah untuk meniru. Jalan selamat jika tahu memanfaatkan fungsi meniru. Hujung minggu saya sentiasa diisi dengan menyiapkan tutorial. Jika tidak, memang tidak ada masa lain.

Buku rujukan mesti ada. Namun, nota kuliah memang sudah cukup lengkap. Perlu ada skill untuk menyalin nota dengan pantas. Kekadang ada Pensyarah yang bermurah hati memberi salinan nota. Ini satu advantage, tetapi kena bacalah. Jangan sesekali membiarkan nota anda bertimbun tidak diusik.

Kerana setiap hari pasti ada sahaja ilmu baru yang diajar. Jika ilmu semalam dan sebelumnya tidak berjaya dihadam dengan baik, ada kemungkinan kita akan tercicir. Kenyataan ini hanya terpakai untuk mereka yang menghadapi masalah untuk mengingat. Bagi yang sudah pandai, anda tentukan cara andalah.

Gaya Bersuka Ria

Surau adalah tempat kedua saya untuk bersuka ria setelah dewan kuliah. Saya mengakui bahawa proses menuntut ilmu di PASUM sangat istimewa, berbanding ketika di zaman persekolahan. Lantas saya amat menghargai setiap peristiwa yang berlaku. Semuanya saya kutip untuk dijadikan sebagai bekalan kehidupan.

Istilah bersuka ria pada saya adalah pada hadirnya ketenangan dan kebahagiaan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dan Surau adalah lokasi terbaik setelah penat berhempas pulas di siang harinya.

Saya amat merindui ‘kesucian’ dan ‘kebersihan’ jiwa yang dirasakan suatu ketika dulu. Pada usia 18 tahun, terasa sungguh ‘suci’ dan ‘bersih’.

Saya selalu pulang ke rumah, sekurang-kurangnya sekali setiap bulan. Penting, kerana keluarga adalah motivator dan penyokong untuk saya terus ‘berdiri’ di PASUM. (Sekarang, dua kali setahun baru pulang ke rumah. Huhu.)

Gaya Peperiksaan

Saya mengakui bahawa saya sungguh berdedikasi untuk menuntut ilmu ketika di PASUM. Dan semangat ini saya usahakan untuk biarkan ia terus membara walaupun hanya sekadar bara api. Asapnya yang tersisa, semoga menjadi penyokong kepada terjadinya api yang lebih besar.

Saya pernah menangis. Sekali ketika menatap keputusan gagal. Dan 3 kali apabila menatap keputusan cemerlang. Pernah juga menangis apabila selesai sahaja peperiksaan, ketika masih di dalam dewan peperiksaan. Tak terbayang bagaimana saya betul-betul pulun belajar suatu ketika dahulu. Alhamdulillah.

Usaha Dan Hasil

Jika diizinkan Allah, usaha yang baik pasti akan membuahkan hasil yang baik.
Tujuan saya mencoretkan kisah ini bertujuan untuk menunjukkan kepada anda bahawa tiada yang mustahil dalam hidup ini. Anda boleh memilih untuk menjadi baik. Anda juga boleh memilih untuk menjadi jahat. Namun, bersedialah untuk akibatnya.

Adik-adikku,

Dunia realiti hampir pasti. Kehidupan di sekolah amat berbeza dibandingkan dengan kehidupan anda ketika di PASUM atau matrikulasi. Jika dahulu hidupmu penuh duka, mulakanlah hidup baru dengan penuh suka.

Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

Hayati setiap masa yang berlalu dan jangan bazirkan ia begitu sahaja. Jangan mudah putus asa. Kejayaan itu adalah sesuatu yang mahal. Jadi ia memang memerlukan usaha yang berlipat ganda.

Ingat, bahawa kehidupan ini bukanlah soal sijil dan ijazah. Ataupun harta dan pangkat. Malah, ia lebih dari itu. Carilah ‘sesuatu’ dalam kehidupan, kelak kita kan berbahagia akhirnya.

Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.

Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.

Bina prinsip dalam dirimu. Supaya kita tidak mudah mengikut arus. Lawanlah arus agar hidupmu selamat.

Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

Proses menuntut ilmu sangat indah. Jangan mengambil jalan mudah dan salah.

Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan.

Akhir kata,

Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan. 

Selamat Hari Jadi Blog!

Nama Untuk Blog

“Abang, nanti Liana nak buka blog baru. Boleh cadangkan nama?”

Saya bertanya kepada Abang yang paling saya sayang, meminta pandangan beliau. Beliaulah satu-satunya Abang saya, selain daripada abang-abang ipar. Abang-abang ipar disayangi juga, kerana mereka menyayangi kakak-kakak dan anak-anak saudara saya. Ehee.

Beliau menjawab,

“Letak-jer nama sendiri.”

Saya telah memikirkan beberapa nama yang glamor, alasannya tidak mahu dikenali. Saya tahu, bukan senang menjadi orang yang dikenali. Kenapa? Anda sendiri pun boleh tahu akibatnya.

Orang akan memerhatikan apa yang anda buat dan menuntut kesempurnaan daripada anda. Apabila anda bertindak sesuatu yang salah(hakikatnya anda seorang manusia biasa), orang lebih mudah nampak salah anda dan tidak mempercayai anda lagi. Anda lebih mudah menerima tempelak, kutukan dan cacian orang. Walau mungkin ada anda menerima sokongan melalui pujian-pujian di ruangan komen, tetapi di satu sudut anda berhutang dengan Allah melalui apa yang anda perkatakan.

Saya menjawab,

“Kalau letak nama sendiri, banyak nak kena fikir ni. Nak pakai nama ni sampai ke tua ni Bang. Liana ni kadang-kadang menulis ikut perasaan juga. Kadang-kadang tulis tak tentu hala juga. Ikut prestasi imanlah.”

Saya beralih pula kepada kakak sulung yang dicintai.

“Kak, pakai nama apa best?”

Jawabnya,

“Ha, Dr. Yuna tu pun best juga. Glamour gitu…”

Yuna juga adalah nama panggilan saya ketika di universiti dahulu oleh orang-orang tertentu terutamanya Sister dan staf-staf di klinik pelajar, semuanya pun setelah kemunculan penyanyi Yuna-lah. Tumpang nama orang. Kebetulan ada iras nama sedikit.

Jadilah Berani Yang Benar

Dalam persediaan membuka blog yang baru, saya terjumpa sebuah pesanan daripada seorang Ustaz.

Saya tidak faham kenapa ramai orang suka tidak meletak nama untuk setiap tulisan mereka. jika memberi komen dengan menggunakan nama samaran. Jika menulis blog pula, menggunakan identiti berlainan. Sama jugalah dengan akaun facebook. Adakah mereka ini orang-orang yang pengecut? Yang tidak mahu bertanggungjawab untuk setiap tulisan mereka? Adakah mereka ini adalah orang-orang yang berani berkata-kata tanpa nama? Hujahnya berbisa, komentarnya memang membuka minda. Sungguh ke hadapan. Tetapi sejauh mana keberanian mereka itu yang dikatakan berani? Berani yang benarkah?

Ayat-ayat di atas ada seperti ayat-ayat seorang Ustaz? Oh tahulah tak ada sebab saya olah ayat sendiri. tapi ada point penting yang Ustaz nak sampaikan. Dah lama dah tu, setahun yang lepas. Mana nak ingat ayat penuh.

Antara kesan buruk yang saya rasakan, tetapi tidak dipedulikan. Tidak peduli kerana saya mahu mengambil ia sebagai sesuatu yang positif. Kalau saya peduli, mungkin saya sudah berhenti menulis.

Apabila akan ada orang yang mempertikaikan tulisan anda, setelah mengenali siapa anda.

Apabila akan ada orang yang membawa cerita buruk tentang anda, kerana keberanian anda mengupas sesuatu isu.

Apabila akan ada orang yang terasa dengan tulisan-tulisan anda, menyangka anda sedang menulis tentang mereka.

Itu sebabnya, blog saya ini bukan tempat untuk meluahkan perasaan tidak puas hati. Saya sedang berusahalah untuk tidak mengetengahkan sebarang artikel yang boleh memberi keaiban kepada orang lain.

Sokongan Keluarga

Saya berpesan kepada Emak,

“Emak, ini blog Liana. Kalau Emak free, baca tau.”

Emak menjawab,

“Liana tulis semua ini?”

Saya terangkan kepada Emak, dan seperti biasalah, apalagi seorang Ibu akan katakan,

“Emak sentiasa menyokong apa yang Liana buat. Teruskan jika ia memberi kebaikan.”

Ayah pula? Memang pembaca setialah. Kan Ayah?

Suatu hari, kakak ipar saya menegur,

“Akak suka baca artikel yang Liana tulis.”

Tidaklah bermaksud saya nak kata saya berbangga dengan pujian ini, tetapi saya nak zahirkan bahawa sokongan merekalah yang memberi saya kekuatan untuk terus menulis. Saya bukanlah bagus dalam bidang penulisan, tetapi saya yakin dan percaya bahawa apa yang saya tulis hari ini adalah usaha saya untuk menjadi seorang penulis yang baik.

Tentulah saya ada bercita-cita untuk menulis di dalam majalah. Alhamdulillah, artikel sulung saya telah diterbitkan dalam sebuah majalah Islamik. Dan tentu juga saya bercita-cita untuk menghasilkan buku motivasi dan novel.

Semuanya, bermula dengan hari ini.

Lain orang, Lain pandang

“Mak Teh, Thaqif nak…,” belum sempat anak saudara saya yang berusia 6 tahun ini menghabiskan bicara, saya terdengar suara bisik-bisik di belakang yang membantu beliau untuk berkata-kata, sedangkan beliau sudah boleh bercakap sendiri.

Lantas, saya memberinya arahan.

“Thaqif! Lari…Lari cepat. Jangan duduk dekat dengan Wan(Nenek).”  

Tiba-tiba saya terdengar suara Emak saya di corong telefon,

“Eh, Thaqif nak pergi mana tu? Thaqif…Thaqif…” Memanggilnya sambil tergelak.

Saya terus menyambung berbual dengan  Emak. Keesokannya Emak bercerita di dalam SMS,

“Selepas Liana suruh Thaqif lari, dia lari terus ke luar rumah. Dia ingatkan Liana tak suka dia. Menangis-nangis dia. Emak pujuk dia tak nak masuk!”

Tujuan saya supaya Thaqif ke tempat lain supaya saya boleh bercakap dengan dia secara spontan kerana say atidak mahu dibantu.

Allah, rasa bersalah pula saya. Beginilah budak-budak, apa yang dia faham berbeza dengan apa yang saya cuba sampaikan. Saya fikir untuk bergurau.

Dan saya tahu, setiap tulisan saya ini memang mudah disalah tafsir bergantung kepada cara penyampaian saya dan cara penerimaan anda. Tulisan yang tidak baik bakal menimbulkan tanda tanya, mugkin juga huru-hara. Dan kekadang saya fikir, terpulanglah kepada anda untuk ambil dari sisi yang mana. Saya tidak kisah untuk sebarang salah pandang terhadap saya. Semuanya saya berserah kepada Allah SWT.

Saya dan Usia

Hari ini, buat pertama kalinya saya berasa takut melihat tarikh yang tertera. Saya sudah berusia. Tetapi usia saya yang lalu banyak yang tersia. Semoga Allah memadamkan segala dosa saya yang lalu, dan menerima lembaran baru yang saya ingin bawa untuk kehidupan saya yang seterusnya.

Saya akan terus menulis sehingga ke akhir usia. Saya mahu apabila saya mati kelak, saya meninggalkan karya-karya bermutu sebagai panduan dan rujukan. Berikan sokongan anda kepada saya dengan teguran. Saya terbuka menerima, InshaAllah.