Pusat Asasi Sains Universiti Malaya PASUM

Artikel ini ditulis 2 tahun yang lalu di blog lama saya. Ia masih menjadi rujukan sejak dulu hingga kini melihat kepada soalan-soalan yang ditanya oleh adik-adik. Jadi saya siarkan sekali lagi artikel ini dengan harapan mereka dapat direct link ke blog saya yang ini, InshaAllah. Semoga ia juga memotivasikan anda.

Saya melihat wajah mereka satu persatu. Ada kesan tegang di wajah. Masa berlalu pantas. Semuanya perlu segera. Inilah minggu orientasi, atau juga dikenali sebagai minggu haluansiswa di universiti kami.

Inilah kenangan manis yang tidak mungkin saya lupakan. Di sinilah, saya mula mengenal dunia. Selama berbelas tahun saya asyik duduk di bawah ketiak Emak, tidak pernah berjauhan.

P.A.S.U.M

Keputusan SPM saya sekadar baik. Tidak termasuk dalam pelajar yang dikatakan cemerlang. Allah memberi peluang kepada saya untuk melanjutkan pelajaran di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya.

PASUM adalah seperti Pusat Matrikulasi yang lain, cumanya ada beberapa keistimewaan yang mungkin tidak terdapat di Pusat Matrikulasi dan ada jugalah kekurangan yang tidak saya nafikan. Secara peribadi, saya melihat PASUM merupakan sebuah institusi yang istimewa. Memang berbeza.

Namanya memang gah. Kerana adanya nama Universiti Malaya di situ. Sedikit ringkasan saya titipkan khas buat mereka yang teringin atau sedang menuntut ilmu di PASUM.

Semoga beroleh manfaat.

Semua orang memandang tinggi dengan graduasi PASUM. Mungkin kerana bebanan studi yang memang berat.Tambahan pula, kelas berturutan dari jam 8 pagi sehingga ke 5 petang. Pelajar Sains Hayat perlu juga mengambil subjek Fizik.

Suasana belajar berbeza. Kami sudah seperti gaya seorang pelajar universiti. Tidak ada perhimpunan pagi seperti Pusat Matrikulasi. Pakaian pula agak bebas. Para pensyarah dan tutor dipanggil dengan pangkat dan status mereka, tidak lagi dengan panggilan cikgu.

Gaya hidup terserah kepada anda. Lokasi PASUM di kota Kuala Lumpur menjadikan ada sesetengah pelajar cemerlang hanyut dibuai angin malam. Kerap keluar malam merupakan sumber kepada perbuatan maksiat. Dan inilah yang berlaku di depan mata saya.

Gaya Belajar

Suasana belajar yang kondusif. Semua pelajar pun ingin belajar. Cuma ada sekerat yang suka main-main, tapi masih belajar.

Tutorial menimbun. Ada yang mengambil jalan mudah untuk meniru. Jalan selamat jika tahu memanfaatkan fungsi meniru. Hujung minggu saya sentiasa diisi dengan menyiapkan tutorial. Jika tidak, memang tidak ada masa lain.

Buku rujukan mesti ada. Namun, nota kuliah memang sudah cukup lengkap. Perlu ada skill untuk menyalin nota dengan pantas. Kekadang ada Pensyarah yang bermurah hati memberi salinan nota. Ini satu advantage, tetapi kena bacalah. Jangan sesekali membiarkan nota anda bertimbun tidak diusik.

Kerana setiap hari pasti ada sahaja ilmu baru yang diajar. Jika ilmu semalam dan sebelumnya tidak berjaya dihadam dengan baik, ada kemungkinan kita akan tercicir. Kenyataan ini hanya terpakai untuk mereka yang menghadapi masalah untuk mengingat. Bagi yang sudah pandai, anda tentukan cara andalah.

Gaya Bersuka Ria

Surau adalah tempat kedua saya untuk bersuka ria setelah dewan kuliah. Saya mengakui bahawa proses menuntut ilmu di PASUM sangat istimewa, berbanding ketika di zaman persekolahan. Lantas saya amat menghargai setiap peristiwa yang berlaku. Semuanya saya kutip untuk dijadikan sebagai bekalan kehidupan.

Istilah bersuka ria pada saya adalah pada hadirnya ketenangan dan kebahagiaan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dan Surau adalah lokasi terbaik setelah penat berhempas pulas di siang harinya.

Saya amat merindui ‘kesucian’ dan ‘kebersihan’ jiwa yang dirasakan suatu ketika dulu. Pada usia 18 tahun, terasa sungguh ‘suci’ dan ‘bersih’.

Saya selalu pulang ke rumah, sekurang-kurangnya sekali setiap bulan. Penting, kerana keluarga adalah motivator dan penyokong untuk saya terus ‘berdiri’ di PASUM. (Sekarang, dua kali setahun baru pulang ke rumah. Huhu.)

Gaya Peperiksaan

Saya mengakui bahawa saya sungguh berdedikasi untuk menuntut ilmu ketika di PASUM. Dan semangat ini saya usahakan untuk biarkan ia terus membara walaupun hanya sekadar bara api. Asapnya yang tersisa, semoga menjadi penyokong kepada terjadinya api yang lebih besar.

Saya pernah menangis. Sekali ketika menatap keputusan gagal. Dan 3 kali apabila menatap keputusan cemerlang. Pernah juga menangis apabila selesai sahaja peperiksaan, ketika masih di dalam dewan peperiksaan. Tak terbayang bagaimana saya betul-betul pulun belajar suatu ketika dahulu. Alhamdulillah.

Usaha Dan Hasil

Jika diizinkan Allah, usaha yang baik pasti akan membuahkan hasil yang baik.
Tujuan saya mencoretkan kisah ini bertujuan untuk menunjukkan kepada anda bahawa tiada yang mustahil dalam hidup ini. Anda boleh memilih untuk menjadi baik. Anda juga boleh memilih untuk menjadi jahat. Namun, bersedialah untuk akibatnya.

Adik-adikku,

Dunia realiti hampir pasti. Kehidupan di sekolah amat berbeza dibandingkan dengan kehidupan anda ketika di PASUM atau matrikulasi. Jika dahulu hidupmu penuh duka, mulakanlah hidup baru dengan penuh suka.

Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

Hayati setiap masa yang berlalu dan jangan bazirkan ia begitu sahaja. Jangan mudah putus asa. Kejayaan itu adalah sesuatu yang mahal. Jadi ia memang memerlukan usaha yang berlipat ganda.

Ingat, bahawa kehidupan ini bukanlah soal sijil dan ijazah. Ataupun harta dan pangkat. Malah, ia lebih dari itu. Carilah ‘sesuatu’ dalam kehidupan, kelak kita kan berbahagia akhirnya.

Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.

Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.

Bina prinsip dalam dirimu. Supaya kita tidak mudah mengikut arus. Lawanlah arus agar hidupmu selamat.

Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

Proses menuntut ilmu sangat indah. Jangan mengambil jalan mudah dan salah.

Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan.

Akhir kata,

Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan. 

Advertisements

2 thoughts on “Pusat Asasi Sains Universiti Malaya PASUM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s