Apabila Saya Bercinta…

Cinta itu sukar untuk diungkapkan.

Saat bertemu terasa indah. Tangan bertaut tangan. Pipi saling bersentuhan. Tubuh menyatu erat. Senyuman terukir memberi ketenangan. Bahasa yang dituturkan menjadi pengubat jiwa.

Itulah sedikit mukadimah kisah cinta saya di sebuah pulau yang telah saya jejaki sejak hampir setahun yang lepas. Dan cinta itu terlalu indah sehinggakan masa berlalu tiada terasa. Sehinggalah sampai saat ini, saya terasa seperti mahu memeluk cinta itu seerat-eratnya untuk selama-lamanya, namun tidak berdaya.

Dan cinta pertama saya berpesan,

“Jangan berkawan sebelum berkahwin. Letakkan seluruh pergantungan kepada Allah SWT. Selagimana kamu tidak berkahwin dengan dia, selagi itulah dia bukan milik kamu dan kamu tiada hak untuk mengatakan bahawa kamu milik dia, dan dia milik kamu. Buktikan kebergantungan kamu kepada Allah dengan meyakini bahawa semuanya terjadi kerana perancangan Allah.”

Cinta kedua saya pula bertandang dalam hidup ketika saya kesunyian di pulau ini. Ketika itu, saya mencari-cari cahaya yang dapat menerangi hidup saya. Pertemuan pertama masih kekal dalam ingatan. Beliau datang menjemput saya dengan kereta putihnya, bersama-sama buku tebal yang memenui ruang belakang.

Beliau ada berpesan,

“Siap awak kalau tak jumpa saya sebelum awak pergi.”

Cinta ketiga adalah cinta yang baru sahaja berputik dalam suasana yang tidak dijangka-jangkakan. Benarlah kata orang-orang tua, cinta itu mudah bersemi antara mereka yang mempunyai cara fikir yang sama. Dan persamaan-persamaan yang lain juga.

Sehelai selendang yang dihadiahkan beliau memberi kenangan yang tidak akan dilupakan. Teringat nasihatnya,

“Awak tak dapat bangun tahajud kerana dosa-dosa yang awak lakukan.”

Cinta pertama, kedua dan ketiga menjadikan hidup saya lebih bermakna. Ibarat memandu di sebuah jalan yang lurus tanpa arah yang tepat, kehadiran mereka membantu untuk menuju ke lokasi yang diinginkan dengan lebih mudah. Seterusnya, cinta keempat yang turut mengubah cara saya memandang hidup ini.

Cinta keempatlah yang pernah memarahi saya ketika saya terleka dengan keindahan dunia. Walaupun dimarahi, saya terus setia untuk bercinta dengannya.

Pesannya,

“Saya tidak kisah apa sahaja yang awak mahu untuk kehidupan awak. Tetapi awak perlu bertanggungjawab untuk amanah yang awak pikul. Bagaimana awak menzahirkan rasa tanggungjawab? Adakah apa yang awak buat sekarang cukup bertanggungjawab?”

Oh cinta-cintaku…

Cinta-cinta itu terlalu kuat bertapak dalam hati saya. Jiwa saya selalu terasa berbunga-bunga. Tetapi mulai saat ini, saya perlu belajar untuk bertolak ansur dengan cinta-cinta itu. Jasad ini mungkin pergi, namun cinta yang sudah bersemi perlu terus dibaja agar terus menghasilkan pokok yang sihat serta buah yang ranum.

Saya akan meninggalkan tempat ini, tempat yang saya sudah peroleh keempat-empat cinta yang saya mahukan, serta cinta-cinta yang lain juga. Cinta yang lama akan ditinggalkan bersama pelajaran yang memberi kematangan dalam hidup. Pemergian bersama suatu keyakinan bahawa saya akan bertemu dengan cinta yang baru di tempat baru.

Cinta baru untuk suatu kehidupan baru. Selamat tinggal. Saya akan berpindah. Mohon doa semua.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”.(Hadis riwayat Imam Ahmad).

Rasulullah s.a.w ada menyatakan:

“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya”.

Apabila saya bercinta dengan perempuan, beginilah. Aiyak!

Temuduga Bakal Doktor

“Okay, selepas ini giliran saya.” Berbisik kepada telinga sendiri. Saya antara beberapa calon terakhir yang akan ditemuduga oleh pihak SPA.

Baca doa penerang hati, dan senyum siap-siap. Eh, mesti senyum. Penting.

“Nanti, bila awak masuk, kalau ada penemuduga perempuan, pergilah salam.” Tiba-tiba terngiang di kepala pesanan seorang senior. Saya rasa dia melawak sahaja. Kalau bagi salam memang perlu. Bersalam belum tentu, kot. Saya rasalah.

“Haish, takkan kena salam, kot?” dalam hati saya berbisik. Tak, takkan?

Masuk-masuk sahaja saya melihat 2 orang penemuduga. Kedua-duanya adalah Doktor dan lelaki, yang berlainan bangsa. Oh, tak perlu bersalam. Tetapi perlu memberi ucapan salam dan ucapan sejahtera kepada yang bukan Islam.

Saya berdiri di kanan kerusi. Penemuduga meminta resume dan sijil-sijil yang telah saya susun di dalam clear folder. Saya bergerak beberapa langkah ke hadapan dan menyerahkan folder tersebut.

Yang di tengah-tengah, besar pangkatnya. Meneliti satu-satu sijil sambil mempersilakan saya duduk. Ingat, tunggu arahan untuk duduk, barulah kita duduk. Ini antara perkara remeh yang penting untuk mereka menilai kita ini jenis yang bagaimana.

“Please introduce yourself.”

Soalan dalam bahasa inggeris. Jadi, jawablah dalam bahasa yang sama juga. Itu sebabnya ada yang menganjurkan untuk berlatih dahulu bercakap, berlatihlah menjawab soalan-soalan biasa yang akan ditanya. Sila sediakan jawapan yang cukup panjang. Saya memberi pengenalan ringkas, sebaliknya mereka mahu tahu tentang seluruh latar belakang pekerjaan adik beradik saya, terperinci. Tergagap juga apabila mereka menegur,

“Is that all?”

Sebenarnya, saya kekurangan satu dokumen, iaitu surat beranak yang asli. Selaku anak manja, surat beranak saya ketika itu masih disimpan oleh Emak.

“Mana surat beranak yang asli?”

Alamak. Habislah. Ini soalan yang saya fikir tidak akan ditanya. Tetapi menjadi salah satu soalan temuduga. Justeru, bersedialah untuk memastikan segala perkara-perkara remeh ini tidak berlaku. Persediaan awal sangat perlu.

Setelah menjawab apa yang perlu, penemuduga sedikit tidak yakin dengan credibility saya selaku seorang pelajar pergigian tahun akhir yang bakal bergelar seorang Doktor tidak lebih dari dua minggu lagi, tidak menyimpan sijil beranak sendiri. Habislah!

Tetapi di sinilah kemahiran anda memberikan penjelasan membantu penemuduga untuk beralih kepada soalan seterusnya, hooray! Dalam bahasa melayu pula saya ditanya.

“Awak ditugaskan untuk memberi rawatan pergigian kepada sebuah sekolah di pedalaman, yang memakan masa 2-3 jam perjalanan. Murid-murid dan guru sedang menanti awak, kerana awaklah satu-satunya Doktor yang paling dekat, bersedia untuk memberi rawatan…”

(Haih, hint nak kena hantar ke satu tempat yang jauh ni. Cuma masa tu tak sedar.)

Sambungnya lagi,

“Tiba-tiba, kereta yang awak naiki rosak, tidak dapat bergerak langsung. Sedangkan mereka sedang menanti awak. Apa yang awak akan lakukan?”

Saya tahu bahawa saya perlu memberi jawapan yang positif. Terus saya menjawab dengan penuh yakin,

“Saya mesti sampai ke sekolah tersebut dengan apa cara sekalipun. Antara yang saya akan cuba lakukan adalah menghubungi staf untuk membawa kereta yang lain walaupun mungkin terpaksa menunggu lama. Sementara mereka membaiki, saya akan teruskan perjalanan.”

Timbul tanda tanya dalam kepala. Betul ke jawapan ni?

Beliau bersetuju dengan saya dan menekankan bahawa itulah tanggungjawab seorang Doktor yang sentiasa bersedia memberi khidmat. Alhamdulillah. Lega tau.

Beruntungnya saya, tidak ditanya apa-apa soalan yang bukan-bukan. Mungkin kerana saya antara orang terakhir ditemuduga? Mungkin. Jadi, sila datang lewat supaya anda menjadi antara orang terakhir ditemuduga, seterusnya menerima sedikit sahaja soalan kerana penemuduga pun sudah letih, dan bakal dihantar ke negeri yang bukan pilihan anda. Ops! Im just joking ok! Im doing good here, okeh!

“Akak, apa persiapan untuk interview dengan SPA?”

“Pakai bahasa apa, inggeris ke melayu?”

“Camne eh?”

Begitulah beberapa soalan yang ditanya oleh junior ketika saya merancang untuk offline. Maksudnya, dah nak tidur. Saya jawab ringkas,

“Nanti akak tulis dalam karangan ya.” Janji saya padanya. Okay, dah baca karangan di atas. Harap-harap membantu adik-adik.

Kebanyakan pelajar sedang berada dalam minggu ulangkaji. Dalam tempoh seminggu dua lagi semuanya bakal menghadapi peperiksaan akhir. Untuk pelajar pergigian, peperiksaan akhir dipanggil sebagai peperiksaan profesional.

Dan ketika sedang sibuk mengulangkaji pelajaran inilah, ada pula sesi interview dengan pihak SPA, pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan bakal-bakal Doktor ini layak atau tidak untuk menjadi Doktor. (Tapi kalau dah lepas 5 tahun belajar, inshaAllah andalah bakal-bakal Doktor yang dinanti-nantikan.)

Selalunya, ramai yang takut bukan sebab tidak lulus. Kerana selalunya memang semua akan lulus. Tetapi ramai yang takut jika mereka tidak mencapai standard untuk memohon mana-mana negeri yang mereka sukai. Sedangkan seorang senior pernah mengingatkan bahawa SPA bukanlah yang bertanggungjawab untuk menentukan tempat kita bekerja kelak. Yang bertanggungjawab adalah pihak JPA. Jadi, urusan temuduga ini sekadar untuk memenuhi ketetapan oleh pihak SPA bahawa setiap pekerja kerajaan perlu ditemuduga.

Macam tu rasanya. Kalau salah betulkan saya, ya.

Antara persiapan yang boleh saya sarankan sebelum temuduga ialah:

  1. Siapkan CV atau resume yang ringkas
  2. Sediakan sijil-sijil penting akademik dan kokurikulum, disusun berturutan mengikut tahun.
  3. Ketahui siapakah orang-orang penting dalam Kementerian Kesihatan Malaysia/SPA keseluruhannya dan yang berkaitan pergigian/bidang anda secara khususnya.
  4. Peka dengan isu-isu semasa dan sejarah-sejarah Negara yang signifikan. Contohnya tarikh berlakunya tsunami dan lain-lain.
  5. Ketahui beberapa teori penting dalam subjek Community Dentistry/Public Health. Contohnya planning cycle.

Bagaimana pula semasa temuduga?

Saya cadangkan anda membaca dan mengulangkaji nota-nota kuliah untuk peperiksaan yang seminggu dua lagi itu. Hehe. Ini lagi penting. Namun seperti biasa, berpakaianlah seadanya. Kemas dan bersih. Jika anda mahu menjadi antara orang yang terawal ditemuduga, datanglah awal kerana ketika giliran saya dahulu, siapa cepat dialah yang akan diberi keutamaan. Untuk selepas temuduga, lupakanlah apa-apa soalan yang tidak dapat dijawab. Fokus kepada ulangkaji anda, okeh?

Semoga Allah mempermudahkan urusan bakal-bakal doktor sekalian…Amen…

p/s: Surat beranak asli ada dengan saya, sekarang. ^_^