Boleh Ke FYDO Locum?

“Bagus betul buat locum ni. Banyak aku jumpa kes yang tak ada di klinik. Untung weh. Banyak belajar. Rugi kau tak locum.”

  • FYDO nak mencari ilmu.

“Kau tahu tak masa FYDO ni sangatlah free? Takdernya nak penat. Memang smooth jerlah kalau nak locum malam-malam. Masyuk!”

  • FYDO nak isi masa.

“Aku kerja kot. Bukan aku pergi klinik duduk saja-saja. Aku dibayar berdasarkan pekerjaan yang aku buat. Berani kau kata aku buat kerja haram?”

  • FYDO nak tambah rezeki.

Siapa kita untuk mengatakan anda tidak berhak untuk Locum?

Siapa kita untuk menafikan bahawa rezeki yang anda peroleh itu adalah halal?

Siapa kita untuk menegur sedangkan kita juga pernah Locum semasa FYDO?

Erk.

Tershahul.

JANGAN, jangan mengikut dengan membabi buta. TAHNIAH kepada seorang graduan Universiti Malaya yang bertanyakan soalan ini,

“Kak, bolehkah saya Locum semasa FYDO? Bukankah FYDO tidak dibenarkan Locum?”

Malu bertanya, sesatlah jawabnya. Kita buat tanpa bertanya, bermakna kita tidak sayangkan diri sendiri. Kalau benar kita mahu hidup diredhaiNya, buatlah mengikut kefahaman. Justeru, jika mahu faham kita perlu bertanya.

Saya bukanlah seorang Ustazah, apatah lagi alim ulamak. Jadi, saya tidak akan mengeluarkan hukum. Cuma, berdasarkan pengalaman yang ada, dan hasil perbincangan saya dengan beberapa orang sahabat, ingin saya kongsikan dengan adik-adik.

Ada beberapa perkara yang perlu sama-sama kita duduk dan fikir-fikirkan berkenaan kewajaran FYDO tidak dibenarkan untuk Locum. Fikir dengan mata hati. Dah buka mata, Alhamdulillah. Sekarang, bukalah mati hati dan teruskan membaca.

 

SATU : Pengetahuan FYDO baru setahun jagung

Kita sedia maklum, tahun pertama adalah tahun kritikal. Seorang Pakar Bedah Muka dan Mulut (Oral Maxillofacial Surgeon) yang saya kagumi pernah berpesan, “Ketika di tahun pertama bekerja, anda akan lupa lebih 60% apa yang anda belajar selama lima tahun dalam bidang ini.”

Whoah, Doktor yang hebat ini sendiri mengakui hakikat tahun pertama itu bukanlah suatu momen yang menggalakkan kita untuk Locum! Ada berani?

Berani. Siapa kata tak berani. Ok, silakan.

DUA : Masa muda yang kritikal

Lalu,

Saya memetik pula pesanan Robert Kiyosaki yang membuat saya termenung dan bermuhasabah tentang kepentingan memanfaatkan usia muda. Tahu apa katanya?

“Gunakan masa muda untuk LEARN dan bukannya EARN.”

Ada orang hanya fokus kepada duit semata. Masa muda adalah masa untuk membina kekayaan. Salah ke? Tak salah untuk mencari rezeki. Duit adalah satu sumber ibadah. Cari, carilah duit banyak-banyak. Dan memberi juga pada yang berhak. Namun, jika seluruh kehidupan difokuskan kepada pembinaan duit tanpa pembinaan rohani adalah sia-sia. Bagaimana untuk membina rohani? Dengan menuntut ilmu. Selain itu, belajar juga selok belok kehidupan. Apabila mula bekerja, kita perlu tahu bagaimana untuk menguruskan kewangan. Dah lama sikit bekerja dan merancang untuk berkahwin, perlu belajar selok-belok agama pula. Bilanya masa nak belajar kalau sibuk Locum?

Ini berdasarkan pengalaman. Erk. Pengalaman kita.

Tapi, saya Locum hari-hari tertentu sahaja. Ada jer masa-masa lain saya ke masjid. Apa ni? Tak baik buruk sangka kepada kami.

Dan bercakap tentang masjid,

TIGA : Dalil-dalil

Sebuah hadis Riwayat al-Bukhari berbunyi :

Wajib ke atas setiap Muslim patuh dan taat kepada pemerintah samada ia suka atau tidak, selama mana ia tidak diperintah melakukan maksiat; sekiranya ia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat.

Saya tak naklah hurai apa-apa. Sebab saya tak arif tentang hal ini. Cuma, anda bacalah hadis ini dan kaitkankan sendiri.

Lagi satu Allah ada berfirman dalam surah an-Nisa ayat 59 :

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu  kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amin” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.

Dan, sebuah hadis lagi yang perlu sama-sama kita renungi :

Taatilah kepada pemerintah kamu bagaimanapun keadaannya sekiranya mereka memerintahkan kamu dengan perintah yang sesuai dengan ajaranKu, maka mereka akan diberi pahala dan kamu juga akan diberi pahala kerana mentaati mereka; sekiranya mereka memerintah kamu dengan perintah yang tidak sesuai dengan ajaranKu, maka dosanya ditanggung oleh mereka dan kamu terselamat dari dosa. (Riwayat Al-Tabari)

EMPAT : Status Rezeki

Mungkin ketika di tahap ini, kita sudah mendapat sedikit idea adakah patut atau tidak untuk kita Locum. Kalau ini adalah pertandingan perbahasan, selalunya ketika pusingan terakhir pembahas pertama atau kedua akan menggulung hujah. Dan biasanya mereka akan menggunakan ayat begini,

“Tuan Yang Dipertua, hujah-hujah telah kami bentangkan. Kebenaran pasti mengalahkan kebathilan. Semuanya sudah terang, tidak perlu lagi bersuluh. Terimalah hujah kami bulat-bulat, dan pasti usul pada hari ini akan berpihak kepada kami.”

Lalu, dewan gemuruh dengan tepukan.

Erk.

Saya sambung semula. Saja, tak mahu stress-stress sangat. Tenang, tenang ya adik-adik.

Beginilah, Locum ini melibatkan wang. Wang yang kita gunakan untuk kegunaan harian. Kerana kita sedia maklum bahawa perbelanjaan kita menggunakan wang ini akan menjadi darah daging serta amaran Allah berkenaan orang yang memakan rezeki haram dan balasannya.

“Tidak akan masuk syurga tubuh badan yang membesar dengan sumber yang haram.” (riwayat al-Khatib al-Tabriziy di dalam Miyskah al-Misbah).
Justeru, pastikan anda benar-benar yakin apa yang anda buat ini benar-benar betul berdasarkan sebab-sebab yang jelas.

Yakin.

Betul.

Jelas.

Maka, persilakanlah. Buatlah keputusan. Keputusan yang bergantung kepada sejauh mana perkadaran iman kita.

Setiap pekerjaan yang kita lakukan bergantung kepada niat.

Matlamat yang baik mungkin tidak menghalalkan cara.

Terima kasih Tuan Yang Dipertua Dewan. Dewan bersurai. Dan bersambung, jika ada.

Saya buka kepada komentar dan perbincangan.

Dari Nawas bin Saman RA. Rasululllah SAW bersabda: “Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik, dan dosa itu adalah segala sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan yang engkau tidak suka bila dilihat orang lain.” (HR Muslim) 

Tepuk dada, tanyalah iman.

Advertisements

Buka Pintu Kepada ‘U’ Dan ‘D’

Tidaklah dikatakan sebuah kehidupan jika tidak bertemu dengan ujian atau dugaan.

Kekadang ada yang menyamakan istilah  dugaan itu sebagai masalah. Kalau hidup tidak bermasalah, bukan hidup namanya. Begitulah mungkin pemahaman sesetengah daripada kita. Masalah, ia berpunca daripada kita. Dugaan, ia adalah daripada Allah untuk membantu kita mencari erti hidup yang sebenar.

Ya, ia adalah satu dugaan. Satu bantuan. Daripada Allah. Untuk mencari erti hidup. Sebenar.

Berhentilah melihat setiap ujian sebagai masalah, sebaliknya yakin itu adalah dugaan daripada Allah SWT. Tukar persepsi pemahaman kita.

Bermaknakah hidup tanpa dugaan?

Walhal, hidup ini rencahnya akan diduga. Diuji oleh Allah. Setiap cabaran yang ditempuh adalah satu fasa ujian, untuk menguji sejauh mana keimanan kita.

Adakah patut manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman” sedangkan mereka masih belum diuji dengan sebarang ujian? (Al-Ankabut : 2)

Makna kata, kita boleh hidup tanpa masalah. Tak ada masalah pun kita tetap akan peroleh suatu kehidupan. Tetapi tanpa dugaan dan ujian, hidup ini tidaklah bererti. Mana mungkin yang dikatakan hari ini lebih baik daripada semalam, jika semalam kita tidak bertemu dengan dugaan. Jika semalam berlalu dengan baik, mampukah kita meletakkan ukuran bahawa hari esok perlu lebih baik?

Hari demi hari, minggu berlalu pergi dan bulan meninggalkan kita, betapa banyak dugaan telah datang menyapa. Apakah sikap kita?

Bagaimanakah kita meraikan mereka?

  • Melihat dugaan sebagai teguran langsung daripada Allah SWT.
  • Sentiasa yakin bahawa setiap teguran memberi kesan positif kepada pengurusan kehidupan.
  • Satu peluang untuk memupuk kemahiran-kemahiran soft skills.
  • Membina sikap-sikap peribadi yang baik seperti sabar dalam bertindak dan bijak membuat keputusan.
  • Mengasah kemahiran berfikir.
  • Suatu proses kematangan hidup.
  • Satu petanda Allah masih menyayangi kita, kerana kita tidak dilekakan.
  • Peluang memperbanyakkan solat sunat istikarah dan taubat.

Justeru, satu demi satu dugaan mengetuk pintu kehidupan, dibuka dengan penuh keriangan. Rupa-rupanya, benarlah seperti kata sesetengah pemikir terkemuka,

Kadang-kadang Allah menyembunyikan matahari dengan turunnya hujan.

Hujan berhenti. Lalu kita tertanya-tanya dan tercari-cari ke mana perginya matahari.

Rupa-rupanya Allah berikan kita pelangi.

Dugaan, selamat datang. Janganlah pergi selagi belum dirai. Datang dan pergi tanpa disedari menjadikan hidup ini rugi.

Dan doa ini sering saya ungkapkan,

“Ya Allah, janganlah biarkan hamba alpa dan leka dalam urusan dunia, berikanlah pengajaran apabila hamba melakukan kesalahan. Jangan biarkan hamba lalai….”