Kuasa Bismillah Kepada Pesakit

“Apa-apapun, anda mesti yakin dan percaya anda boleh dapat apa yang anda mahukan. Baru buat!” Begitulah kata-kata yang dikongsikan oleh pemilik Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah di Selangor, Tuan Abd Rahman Mat Dali ketika saya menghadiri satu program motivasi di Bintulu, Sarawak.

Beliau mengingatkan tentang kepentingan untuk berasa diri mempunyai satu kemampuan yang luar biasa. Perasaan ini yang memungkinkan satu atau banyak realiti yang pasti berlaku.

Satu-satu kata ini masuk menyusup ke jiwa dan tersusun rapi. Tunggu masa hanya untuk mempraktikkannya.

Perkongsian ini pula membawa fikiran saya jauh berjalan kepada kepada satu motivasi lain yang dikongsikan oleh Pakar Motivasi terkenal.

Kata beliau,

“Hidup adalah untuk membahagiakan. Memberi kebahagiaan untuk kita beroleh bahagia. Ya, dengan memberi.”

Lantas, saya tertanya-tanya apakah yang ingin saya berikan?

Saya tak ada apa sangat, pun. Ilmu agama pun biasa-biasa. Ya, saya bukan budak sekolah agama. Pandai mengarut jer. Ilmu pengetahuan tidaklah seberapa jika hendak dibandingkan dengan orang lain. Harta pula? Bagi sekadar mampu.

Jadi nak bagi apa?

Jadi, mahu beri apa?

Berilah kebaikan.

Ya, berilah kebaikan kepada orang lain. Agar kita sama-sama beroleh kemanisan iman. Agar kita semua kembali kepada Allah SWT. Yakni melalui amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan dan membantu mereka untuk menjauhkan diri daripada kejahatan.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”
(Surah ali-Imran 3: 110)

Lantas, saya rasakan sejauh mana saya dapat memberi dalam keadaan saya bekerja sebagai seorang Doktor? Fikiran sempit.

Persoalan ini pernah saya ajukan pada Dr Jamnul Azhar ketika mengikuti ceramah beliau semasa di zaman universiti dahulu, beberapa tahun yang lepas.

“Doktor, saya rasa saya nak tukar pengajian. Saya rasa tak dapat menyumbang banyak dengan menjadi seorang Doktor. Sejauh mana saya benar-benar dapat menjalankan fungsi sebagai seorang manusia? Mungkin lebih baik saya mengambil pengajian Islam sahaja?”

Kata beliau soalan saya bagus, lalu beliau telah menghadiahkan pil minda yang mana saya tak makan pun. Tak pandai nak makan ubat supplements. Kalau bagi saya buah-buahan, confirm makan. Ok, mengarut lagi. Terima kasih Dr Jamnur untuk nasihat itu!

Sambung semula,

Persoalan saya mendapat respon kepada apa yang telah berlaku kepada saya 2 hari yang lalu. Rupa-rupanya, kita tidak sedar dan tidak nampak yang setiap pekerjaan yang kita lakukan hatta sebagai tukang jahit pun mempunyai nilai yang besar dalam erti memberi itu sendiri.

Pertemuan saya dengan seorang tukang jahit di Kuching, Sarawak setahun yang lalu.

“Liana, lengan ni nanti Mak Cik letak butang di hujung dia.”

Jawab saya, “Tak mahulah Mak Cik, saya tak selesa pakai lengan ada butang ni.”

Sambung beliau, “Kan bagus pakai yang ada butang, dapat tutup aurat tangan ni.”

Gulp.

Makna kata, sesuatu perkara yang nampak kecil sebenarnya mampu menyelamatkan orang lain daripada dosa. Inilah dia amar makruf nahi mungkar. Kita mengajak orang kepada kebaikan. Usaha ini memberi kebahagiaan kepada mereka. Ya, inilah pemberian yang saya maksudkan. Kita memberi kebahagiaan kepada orang dengan mengajak mereka kepada kebaikan. Mereka bahagia, kita pun bahagia. Aman!

Lalu saya ingin kongsikan sebuah kisah usaha kecil saya untuk memberi. Semoga Allah redha.

Ketika itu saya sedang menuju ke ruang menunggu pesakit untuk memberi ceramah berkaitan kanser mulut. Tiba-tiba seorang lelaki mengangkat tangan kanannya dan menggunakan ibu jari untuk dihalakan pada wajah yang tertera pada carta organisasi di dinding yang terletak di kiri kami.

“Ini Doktor ke?” Soalnya tanpa sebaris senyuman. Serius.

Saya sudah gabra. Baru semalam lelaki ini datang untuk mendapatkan nasihat rawatan. Giginya sakit tetapi saya memberi sedikit nasihat bahawa kebiasaannya jika gigi sedang sakit, ubat bius tidak berapa berkesan. Saya masih boleh meneruskan cabutan namun beliau mungkin terpaksa bertahan dengan sedikit kesakitan. Beliau menerima nasihat saya dan meminta ubat tahan sakit.

Saya menjawab soalan beliau dengan cubaan untuk memberi senyuman, masih gabra. “Ya, saya.”

“Doktor, tahniah ya…” Ucapnya yang mengakibatkan dahi saya berkerut seribu. Tipulah seribu.

Sambungnya lagi,

“Semalam selepas jumpa Doktor saya duduk di luar hospital, terjumpa orang kampung. Doktor nak tahu apa diorang cakap? Diorang kata diorang suka cara Doktor beri rawatan. Tak sakit pun Doktor cabut gigi.”

Berubah wajah saya. Agak terkejut. Risau betul orang puji. Malu, mana nak letak muka. Aduh. Perasan. Eh, mungkin dia perasan, lalu menyambung,

“Doktor, saya bukan nak puji Doktor ke apa. Tapi kawan saya tu bukan Islam. Dia kata, Dr baca ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Lepas tu terus tak sakit. Kebetulan ada seorang lagi pesakit Dr semasa kami berborak tu menyampuk yang dia pun rasa tak sakit selepas Doktor baca Bismillah. Dia pun bukan Islam.”

Gulp.

Allah punya kuasa.

Saya memberi respon ringkas,

“Terima kasih, memang itulah yang kita mahukan. Itu semua Allah punya kuasa.”

Tambahan saya, kuasa Bismillah itu terlalu besar. Ini sahaja mungkin ruang dakwah saya kepada setiap pesakit bukan Islam yang saya jumpa. Semoga kedatangan mereka ke klinik ini membawa satu titik perubahan kepada mereka untuk melihat kebesaran Allah SWT. Ya, satu usaha kecil sahaja yang semua orang pun pasti boleh melakukannya.

Kawan-kawan,

Kenapa tidak kita jadikan pekerjaan kita sebagai satu medan untuk mengajak manusia kembali kepada Allah? Tidakkah kita sedar usaha kita yang sedikit ini sebenarnya mungkin memberi impak yang besar kepada orang lain?

Selalu saya mengingatkan diri sendiri, pekerjaan ini adalah tikar sejadah.

Ya, apa-apa sahaja pekerjaan kita adalah ruang untuk membina pahala! Ia adalah ibadah!

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mulai perbuatan baik dengan bismillah, agar kebaikan itu sempurna.” (HR. Abu Dawud)

Pada pandangan saya, setiap Doktor mampu memberi rawatan yang baik. Rawatan yang baik tidak tertakluk hanya kepada pengetahuan Doktor berkenaan penyakit, teknik memberi rawatan, tetapi juga termasuklah kondisi pesakit, kemahiran berinteraksi dan pelbagai lagi faktor.

Cuma, adunan sebati kesemua faktor ini hanya menjadi suatu yang bererti atau berkualiti apabila kita menyatukan ia dengan acuan ‘peringatan kepada Allah Maha Kuasa, mempunyai Kuasa mutlak untuk memberi kesembuhan’.

Tidakkah bagus kalau mereka boleh nampak yang Allah memberi kuasa kesembuhan melalui kalimah bismillah? Kenapa tidak kita meletakkan satu matlamat untuk sentiasa memberi dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan?

Memberi dalam erti kata memberi kebaikan kepada orang lain dengan mengajak mereka kepada kebaikan.

Kita nak jadi baik. Nak orang lain jadi baik. Nak semua jadi baik. Iaitu dengan kembali kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Memberi kebaikan kepada orang lain dengan mengajak mereka kepada kebaikan melalui kuasa bismillah. Satu nafas. Bismillahirrahmanirrahim. Mulakan.

Living for giving!

Advertisements

Kita Pun Boleh Jadi Doraemon

Image

Kenapa tidak?

Doraemon 1

“Nobita, bangunlah. Pergi sekolah!” Sambil menarik selimut yang menutupi tubuh Nobita.

Penyibuk betul!

Kita bukan hidup sendirian, sebaliknya bersama manusia. Ada antara mereka yang memerlukan sokongan untuk melakukan kebaikan.

Sikap hanya mementingkan diri sendiri patut diubah. Kerana ini berkait rapat dengan kebahagiaan kita. Bagaimana untuk bahagia? Dengan membahagiakan orang lain. Bagaimana untuk membahagiakan orang lain? Dengan membantu mereka melakukan kebaikan.

Buat baik dan bahagia, adalah saling memerlukan. Hidup adalah untuk membahagiakan orang lain, barulah kita akan bahagia.

Justeru, bantu kawan-kawan kita. Dan kita pula, pastikan sentiasa mahu dibantu.

Doraemon 2

“Ambil alat ni. Tapi ingat, jangan salah guna!” Terima Nobita dengan hati yang riang gembira dan senyum yang meleret-leret.

Suka hati aku.

Manusia bersifat pelupa. Setelah menerima sesuatu, sering pula menyalahgunakan ia.

Pangkat, harta, kebijaksaan, kecantikan, kekuatan fizikal dan pelbagai lagi kelebihan lain sewajarnya dimanfaatkan untuk beroleh ganjaran yang berkekalan di sisi Allah SWT. Kenapa kita tidak pernah merenung diri dan memahami bahawa kita tidak diciptakan sia-sia?

Susah untuk bermuhasabah sendiri? Justeru alasan ini cukup untuk menyokong bahawa kita memerlukan suatu suasana yang kondusif untuk membantu supaya tidak leka dan lalai. Berkawanlah dengan orang yang baik-baik dan hadirilah majlis-majlis ilmu.

Doraemon 3

“Nobita, berapa kali dah cakap? Jangan jumpa Giant!” Kecut perut Nobita.

Kita perlu berkenalan dan berkawan dengan ramai manusia. Tetapi untuk mencari sahabat, jangan cari sahabat seperti Giant. Cuba dekati kawan-kawan yang baik seperti Sizuka kerana manusia seperti inilah yang akan membantu kita. Kita mahukan bantuan apa?

Bantuan untuk menjaga iman.

Kerana sering dosa dimanifestasikan dengan prestasi iman yang merudum, dan pahala sebaliknya.

Doraemon 4

“Ini bantuan yang terakhir. Lepas ini, usaha sendiri. Pemalas!” Senyum sahaja Nobita, kerana dia tahu dia akan terus dibantu.

Fitrah manusia memerlukan pertolongan. Mana mungkin kita hidup sendiri-sendiri. Apabila sudah dibantu, jangan pula mahu terus dibantu tanpa kita membantu diri sendiri.

Kita dah tahu tentang sesuatu, maka lakukan sesuatu. Ruginya kita apabila sudah tahu tetapi masih buat-buat tak tahu.

Bantulah diri sendiri.

Setiap teguran yang kita terima adalah satu pertolongan. Hargai pertolongan kawan-kawan kita yang sudi menegur.

Apabila Doraemon menegur, dengar dan ikut. Baru dapat alat canggih!