Kuasa Bismillah Kepada Pesakit

“Apa-apapun, anda mesti yakin dan percaya anda boleh dapat apa yang anda mahukan. Baru buat!” Begitulah kata-kata yang dikongsikan oleh pemilik Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah di Selangor, Tuan Abd Rahman Mat Dali ketika saya menghadiri satu program motivasi di Bintulu, Sarawak.

Beliau mengingatkan tentang kepentingan untuk berasa diri mempunyai satu kemampuan yang luar biasa. Perasaan ini yang memungkinkan satu atau banyak realiti yang pasti berlaku.

Satu-satu kata ini masuk menyusup ke jiwa dan tersusun rapi. Tunggu masa hanya untuk mempraktikkannya.

Perkongsian ini pula membawa fikiran saya jauh berjalan kepada kepada satu motivasi lain yang dikongsikan oleh Pakar Motivasi terkenal.

Kata beliau,

“Hidup adalah untuk membahagiakan. Memberi kebahagiaan untuk kita beroleh bahagia. Ya, dengan memberi.”

Lantas, saya tertanya-tanya apakah yang ingin saya berikan?

Saya tak ada apa sangat, pun. Ilmu agama pun biasa-biasa. Ya, saya bukan budak sekolah agama. Pandai mengarut jer. Ilmu pengetahuan tidaklah seberapa jika hendak dibandingkan dengan orang lain. Harta pula? Bagi sekadar mampu.

Jadi nak bagi apa?

Jadi, mahu beri apa?

Berilah kebaikan.

Ya, berilah kebaikan kepada orang lain. Agar kita sama-sama beroleh kemanisan iman. Agar kita semua kembali kepada Allah SWT. Yakni melalui amar makruf dan nahi mungkar, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan dan membantu mereka untuk menjauhkan diri daripada kejahatan.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”
(Surah ali-Imran 3: 110)

Lantas, saya rasakan sejauh mana saya dapat memberi dalam keadaan saya bekerja sebagai seorang Doktor? Fikiran sempit.

Persoalan ini pernah saya ajukan pada Dr Jamnul Azhar ketika mengikuti ceramah beliau semasa di zaman universiti dahulu, beberapa tahun yang lepas.

“Doktor, saya rasa saya nak tukar pengajian. Saya rasa tak dapat menyumbang banyak dengan menjadi seorang Doktor. Sejauh mana saya benar-benar dapat menjalankan fungsi sebagai seorang manusia? Mungkin lebih baik saya mengambil pengajian Islam sahaja?”

Kata beliau soalan saya bagus, lalu beliau telah menghadiahkan pil minda yang mana saya tak makan pun. Tak pandai nak makan ubat supplements. Kalau bagi saya buah-buahan, confirm makan. Ok, mengarut lagi. Terima kasih Dr Jamnur untuk nasihat itu!

Sambung semula,

Persoalan saya mendapat respon kepada apa yang telah berlaku kepada saya 2 hari yang lalu. Rupa-rupanya, kita tidak sedar dan tidak nampak yang setiap pekerjaan yang kita lakukan hatta sebagai tukang jahit pun mempunyai nilai yang besar dalam erti memberi itu sendiri.

Pertemuan saya dengan seorang tukang jahit di Kuching, Sarawak setahun yang lalu.

“Liana, lengan ni nanti Mak Cik letak butang di hujung dia.”

Jawab saya, “Tak mahulah Mak Cik, saya tak selesa pakai lengan ada butang ni.”

Sambung beliau, “Kan bagus pakai yang ada butang, dapat tutup aurat tangan ni.”

Gulp.

Makna kata, sesuatu perkara yang nampak kecil sebenarnya mampu menyelamatkan orang lain daripada dosa. Inilah dia amar makruf nahi mungkar. Kita mengajak orang kepada kebaikan. Usaha ini memberi kebahagiaan kepada mereka. Ya, inilah pemberian yang saya maksudkan. Kita memberi kebahagiaan kepada orang dengan mengajak mereka kepada kebaikan. Mereka bahagia, kita pun bahagia. Aman!

Lalu saya ingin kongsikan sebuah kisah usaha kecil saya untuk memberi. Semoga Allah redha.

Ketika itu saya sedang menuju ke ruang menunggu pesakit untuk memberi ceramah berkaitan kanser mulut. Tiba-tiba seorang lelaki mengangkat tangan kanannya dan menggunakan ibu jari untuk dihalakan pada wajah yang tertera pada carta organisasi di dinding yang terletak di kiri kami.

“Ini Doktor ke?” Soalnya tanpa sebaris senyuman. Serius.

Saya sudah gabra. Baru semalam lelaki ini datang untuk mendapatkan nasihat rawatan. Giginya sakit tetapi saya memberi sedikit nasihat bahawa kebiasaannya jika gigi sedang sakit, ubat bius tidak berapa berkesan. Saya masih boleh meneruskan cabutan namun beliau mungkin terpaksa bertahan dengan sedikit kesakitan. Beliau menerima nasihat saya dan meminta ubat tahan sakit.

Saya menjawab soalan beliau dengan cubaan untuk memberi senyuman, masih gabra. “Ya, saya.”

“Doktor, tahniah ya…” Ucapnya yang mengakibatkan dahi saya berkerut seribu. Tipulah seribu.

Sambungnya lagi,

“Semalam selepas jumpa Doktor saya duduk di luar hospital, terjumpa orang kampung. Doktor nak tahu apa diorang cakap? Diorang kata diorang suka cara Doktor beri rawatan. Tak sakit pun Doktor cabut gigi.”

Berubah wajah saya. Agak terkejut. Risau betul orang puji. Malu, mana nak letak muka. Aduh. Perasan. Eh, mungkin dia perasan, lalu menyambung,

“Doktor, saya bukan nak puji Doktor ke apa. Tapi kawan saya tu bukan Islam. Dia kata, Dr baca ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Lepas tu terus tak sakit. Kebetulan ada seorang lagi pesakit Dr semasa kami berborak tu menyampuk yang dia pun rasa tak sakit selepas Doktor baca Bismillah. Dia pun bukan Islam.”

Gulp.

Allah punya kuasa.

Saya memberi respon ringkas,

“Terima kasih, memang itulah yang kita mahukan. Itu semua Allah punya kuasa.”

Tambahan saya, kuasa Bismillah itu terlalu besar. Ini sahaja mungkin ruang dakwah saya kepada setiap pesakit bukan Islam yang saya jumpa. Semoga kedatangan mereka ke klinik ini membawa satu titik perubahan kepada mereka untuk melihat kebesaran Allah SWT. Ya, satu usaha kecil sahaja yang semua orang pun pasti boleh melakukannya.

Kawan-kawan,

Kenapa tidak kita jadikan pekerjaan kita sebagai satu medan untuk mengajak manusia kembali kepada Allah? Tidakkah kita sedar usaha kita yang sedikit ini sebenarnya mungkin memberi impak yang besar kepada orang lain?

Selalu saya mengingatkan diri sendiri, pekerjaan ini adalah tikar sejadah.

Ya, apa-apa sahaja pekerjaan kita adalah ruang untuk membina pahala! Ia adalah ibadah!

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mulai perbuatan baik dengan bismillah, agar kebaikan itu sempurna.” (HR. Abu Dawud)

Pada pandangan saya, setiap Doktor mampu memberi rawatan yang baik. Rawatan yang baik tidak tertakluk hanya kepada pengetahuan Doktor berkenaan penyakit, teknik memberi rawatan, tetapi juga termasuklah kondisi pesakit, kemahiran berinteraksi dan pelbagai lagi faktor.

Cuma, adunan sebati kesemua faktor ini hanya menjadi suatu yang bererti atau berkualiti apabila kita menyatukan ia dengan acuan ‘peringatan kepada Allah Maha Kuasa, mempunyai Kuasa mutlak untuk memberi kesembuhan’.

Tidakkah bagus kalau mereka boleh nampak yang Allah memberi kuasa kesembuhan melalui kalimah bismillah? Kenapa tidak kita meletakkan satu matlamat untuk sentiasa memberi dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan?

Memberi dalam erti kata memberi kebaikan kepada orang lain dengan mengajak mereka kepada kebaikan.

Kita nak jadi baik. Nak orang lain jadi baik. Nak semua jadi baik. Iaitu dengan kembali kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Memberi kebaikan kepada orang lain dengan mengajak mereka kepada kebaikan melalui kuasa bismillah. Satu nafas. Bismillahirrahmanirrahim. Mulakan.

Living for giving!

Advertisements

2 thoughts on “Kuasa Bismillah Kepada Pesakit

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s