Anugerah Doktor Paling Baik

“Biasalah ibu-bapa datang bawa anak-anak untuk rawatan di sini. Kadang-kadang mereka bukan mahu sangat anak mereka dirawat, tetapi mereka mahu kita beri nasihat kepada anak-anak mereka.” Ujar Dr. A, pakar ortodontik yang memiliki sebuah klinik besar di Miri, Sarawak.

Saya mengangguk-angguk. Benar-benar menelan dan mencerna kata-katanya tadi.

Perbualan ini mengingatkan saya kepada seorang lagi Pakar Ortodontik yang berkhidmat di Kuching, Dr. T.

Beliau juga mengungkapkan maksud yang lebih kurang sama,

“Kadang-kadang kamu tengok Emak dan Ayah datang menemani anak-anak sehingga ke dalam bilik surgeri. Itu menunjukkan betapa mereka sangat mengambil berat tentang anak-anak mereka. Terlalu risau mungkin. Dan kadang-kadang saya hairan melihat bagaimana anak-anak ini membalas jasa ibu bapa mereka.”

Sambungnya lagi, “Kamu tahu, saya boleh nampak anak-anak yang baik dan tidak melalui perawakan mereka. Dan masa inilah saya akan menasihati mereka.”

Kedua-dua mata saya membesar. Hati saya pun menjadi besar. Jiwa terasa bertambah besar. Subhanallah. Kedua-dua perbualan ini menarik saya ke zaman kanak-kanak dahulu,

“Liana, Ayah nak pergi klinik Dr Z.” Ajak Ayah yang tahu anaknya seorang ini suka mengekor ke mana sahaja tujunya.

Saya sangat suka mengekor Ayah untuk ke klinik Dr. Z. Setiap kali saya datang, Dr. Z akan tegur dan tanya khabar saya. Beri saya gula-gula. Bagi saya nasihat. Suruh saya belajar rajin-rajin. Walaupun ketika itu saya baru berusia sekitar 6-7 tahun. Saya masih boleh membayangkan di mana letaknya bekas gula-gula, dan di mana pula duduknya Dr. Z. Susun atur katil pesakit, barang-barang rawatan dan sebagainya. Yang pasti juga, wajah manis dan ceria Dr. Z menyambut saya, tetamu yang tidak diundang yang hanya sekadar menemani Ayah.

Whoah, Dr. Z.

Anda pula bagaimana? Pernah punyai saat manis bertemu Doktor?

Semanis-manis rawatan yang diberi, manis lagi tutur kata dan senyuman para Doktor yang memberi rawatan.

Saya fikir wajar kita manfaatkan sedikit ‘kuasa’ yang tidak seberapa, yang anda ada untuk membantu Ibu Bapa menasihati anak-anak mereka. Saya ingin kongsikan sedikit perbualan yang pastinya Ibu dan Bapa berasa gembira untuk membawa anak-anak mereka berjumpa dengan anda, selalu. Ya, selalu. Err, selalu bila perlu. Selalu bila anda beri temujanjilah.

Bak kata Dr. A, “Mereka bukan mahu sangat kita rawat anak-anak mereka. Tetapi mereka mahu kita menasihati mereka.” (Mengikut Dr. A, antara sebab yang menjadikan Ibu Bapa memilih untuk menghantar anak-anak bertemunya untuk rawatan adalah kerana ringannya mulut Dr. A memberikan butir-butir nasihat kepada anak-anak mereka. Ya, ini adalah testimoni berasas! Bukan rekaan.)

Contoh 1

“Adik umur berapa?”

“12 tahun.”

“Ha…UPSR kan tahun ni. Berapa A target agaknya ni?”

“Hmmmmm(lama, serius!)…, 1A!”

“Ye ke 1A?”

“Ye…” Sambil tersenyum sipu.

“Doktor rasa adik boleh dapat lagi banyak A, kalau adik rajin baca buku setiap hari, dengar cakap Mak, rajin solat dan berdoa, tidur awal….kan? Apa kata, naik sikit, 3A?”

“Ha, ok! 3A.”

Yeah, pandang wajah Ibu Bapa mereka dan kenyit sebelah mata. Pada masa itu anda boleh lihat betapa gembiranya Ibu dan Bapa mereka.

Contoh 2

“Tingkatan berapa dik?”

“Tingkatan 3.”

“Wah…Dah tingkatan 3 tapi Mak masih teman nak jumpa Dr sampai dalam bilik ni?”

Lalu tersenyum sipulah dia.

Sambung anda,

“Yerlah, mestilah Mak sayang sangat kat adik. Itu sebab dia ikut adik. Adik pun mesti sayang Emak. Dengar cakap Emak, tolong Emak kat dapur…(cukuplah..jangan panjang-panjang sangat.)

Dan si adik ini mengangguk, sambil tersenyum lagi.

Lalu palingkan wajah anda dan pandang Ibunya, mereka gembira!

Lalu. Lalu. Lalu.

Apakah yang lebih menggembirakan apabila secara tidak sedar anda sedang membantu si Ibu atau Bapa ini yang mungkin nasihat mereka kekadang bagaikan peluru tabur menghentam baju besi, hanya meninggalkan kesan sipi. Yaaa…Walaupun mungkin nasihat anda ibarat peluru tabur menghentam baju besi yang sama. Tetapi sekurang-kurangnya, ada kesan sipi, walaupun sedikit.

Ya, kita pernah jadi anak-anak yang kadang-kadang keras kepala tidak mahu mendengar nasihat Ibu dan Bapa. Bukan selalu, kadang-kadang. Atau, jarang-jarang. Ye ke?

Walau siapapun anda.

Samada anda seorang Doktor, Jurutera, Guru, Tukang masak, Pencuci tandas dan apa sahaja, jadikanlah diri anda bermanfaat kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: خير الناس أنفعهم للناس
Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia.

Sebaik-baik.

Manusia.

Yang paling bermanfaat.

Kepada.

Manusia lainnya!

Anugerah manusia yang paling baik, adalah anda, anda dan anda yang sentiasa menjadikan setiap pekerjaan anda adalah bermanfaat untuk orang lain. InshaAllah!

Image

Keterangan Gambar : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=418491534888631&set=pb.148936448510809.-2207520000.1360768367&type=3&theater