Ada Apa Dengan Repeat dan Supplement

Saya menerima kiriman email dari seorang pelajar pergigian yang meluahkan kerisauan tentang beberapa perkara biasa. Biasa-biasa sahaja. Ia biasa kerana hampir semua pernah melaluinya. Namun yang menjadikan ia bersifat luar biasa ialah bagaimana anda menanganinya. Itu yang membezakan kita. Istimewa.

Semasa di tahun pertama pengajian, saya sering dimomokkan dengan perkataan supplement dan repeat oleh para senior. Terima kasih kerana menakutkan saya. Terima kasih kerana mendorong saya untuk menjadi pelajar sepenuh masa. Terima kasih kerana menjadikan saya seseorang yang study hard.

Supplement= Mengulang subjek yang gagal pada tahun yang sama tanpa menggangu tempoh belajar. Jika gagal, perlu repeat.

Repeat= Mengulang subjek yang gagal pada tahun berikutnya dengan memanjangkan tempoh belajar dari 5 tahun ke 6 tahun dan seterusnya.

Saya bersyukur. Tetapi mahu suasana ini diubah. Para senior, berhenti menakut-nakutkan junior-junior anda. Mudahkanlah hidup mereka. Bantulah mereka. Berhenti mewar-warkan perkataan-perkataan negatif ini. Ubah.

“Betul ke kak ramai yang repeat last year?”

“Betul ke kak lecturer ini memang susah nak lepas?”

Apabila pelajar tahun pertama bertemu dengan anda lalu berkata, “Kak, saya takutlah exam ni tak lepas. Takut kena repeat.”

“Akak, saya takutlah supplement. Macam mana ni kak?”

Takut. Macam tak ada perkara lain yang lebih besar dalam kehidupan ini. Benarlah kata pakar motivasi bahawa orang yang hebat melihat semua ini hanyalah isu-isu kecil yang sepatutnya tidak menganggu prestasi emosi kita.

Kepada yang suka mengungkapkan perkataan-perkataan yang berunsur gejala negatif ini, anda memang akan repeat. Anda memang akan supplement. Apabila anda membayangkan perkara yang anda tidak mahu, anda sedang menarik perkara-perkara itu kepada anda.

Kenapa perlu berkata perkara-perkara yang anda tidak mahu.

Kenapa tidak kita berkata-kata perkara yang kita mahu.

Jadilah positif.

Saya telah melalui 5 tahun pengajian. Saya menyaksikan bagaimana mereka yang sering mengungkapkan kata-kata ini telah terjerumus ke dalam lembah yang mereka tidak mahu. Ya, bukan semua. Tetapi hampir semua yang fokus kepada apa yang mereka mahu dan tidak mengungkapkan patah kata yang negatif ini dapat melepasi pengajian dengan baik sekali. Syabas.

Berbalik kepada email yang saya terima, bakal Doktor ini menyentuh tentang beberapa perkara :

Satu: Pensyarah tegas yang terlalu sibuk dan mengganggu requirement yang perlu dipenuhi pelajar

Requirement= Kriteria-kriteria atau perkara-perkara yang perlu dipenuhi oleh pelajar untuk lulus peperiksaan atau sebagainya

Ini di luar bidang kuasa kita jika guru berwatak begini dan pada masa yang sama ramai kawan-kawan kita berjaya melaluinya dengan baik, maka kita perlu ubah apa yang dapat diubah dalam ruang lingkup kita.

Ubah bagaimana kita beradab dengan beliau. Saya pernah berhadapan dengan pensyarah yang dihuraikan seperti anda, tetapi kerana saya melihat dia sebagai seorang guru yang alim dan saya adalah seorang pelajar yang daif, setiap tindak-tanduk dia adalah untuk mengajar saya menjadi lebih baik.

Jika dia menggagalkan saya, maka dia mahu memberi peluang kepada saya untuk menjadi seorang Doktor yang baik, lebih hebat daripada orang lain. Kalaulah anda terpilih untuk supplement atau repeat, sebenarnya anda diberi kelebihan untuk menuntut ilmu lebih lama dengan guru tersebut. Logiknya anda lebih hebat daripada kami yang tidak supplement atau repeat.

Tetapi sejauh mana logik itu terpakai untuk anda adalah bergantung kepada bagaimana anda melihatnya.

Saya memilih untuk melihat dari sudut yang positif. Anda?

Justeru adikku,

Buangkan segala keluh kesah yang bersarang di hatimu. Berlapang dadalah. Pandanglah guru itu dengan pandangan hormat dan yakinlah dia sedang mengajarmu untuk menjadi lebih hebat.

Dua: Lemah teknik operatif/kemahiran klinikal dan dikenakan supplement

Kenal pasti apa yang menyebabkan anda lemah dan kenapa orang lain tidak. Praktis gaya orang yang berjaya melaluinya dengan baik. Lihat cara mereka belajar. Teliti cara mereka menyiapkan requirement. Belajar dari orang yang yang berjaya adalah short cut untuk anda berjaya seperti mereka.

Adikku,

Saya mencadangkan anda bertemu dengan guru tersebut secara personal dan berbincanglah bagaimana anda mahu dan boleh dibantu.

Tiga: Rendah diri

Buanglah sikap membandingkan diri dengan orang lain. Jika perbandingan itu menjadikan anda lebih hebat, anda memang hebat. Tetapi jika anda semakin lemah, maka itulah kelemahan yang sesungguhnya.

Meyakini anda lemah adalah satu kelemahan.

Angkatlah sedikit pandangan lebih tinggi supaya kita dapat melihat di atas kelemahan dan bertemu dengan kekuatan yang sudah lama menanti untuk digunakan.

Anda hebat. Ya. Anda hebat.

Empat: Senior yang Repeat dan takut perlu Repeat

Secara peribadi, saya sangat kagum dengan sahabat-sahabat saya yang telah melalui zaman supplement dan repeat. Mereka menjadi lebih hebat.

Kalau anda bertemu dengan mereka, anda pasti dapat belajar banyak perkara. Walaupun mereka repeat dan mungkin dipandang sebagai gagal, tetapi hakikatnya mereka ada kelebihan yang kami tiada.

Jika ditakdirkan anda repeat, yakinlah anda bakal belajar banyak perkara. Tetapi ini tidak bermakna anda menyerah kalah. Jangan lupa fitrah kejayaan itu datangnya dengan usaha. Sekalipun ada orang yang  bijak, mereka tidak akan bijak tanpa membaca dan berfikir.

Akhirnya

Adik-adik yang dikasihi,

Saya ingin berkongsi catatan semasa tahun akhir dalam sebuah artikel di blog lama yang telah ditutup tetapi hanya saya seorang boleh baca.

dryuliana.wordpress.com

Teruskan berusaha. Banyakkan berdoa. Sentiasa bersungguh-sungguh. Semoga Allah mempermudahkan pengajian kalian, amen…

Anda hebat!

Dan jangan lupa, cita-cita tertinggi seorang Mukmin adalah untuk kembali ke syurga. Jadikan cita-cita anda ini sebagai penghubung kepada cinta Ilahi.

Advertisements

Apabila Harga Diri Saya Bernilai Kosong

“Terima kasih Doktor. Saya amat menghargainya.” Luah seorang pesakit tua yang segak bersongkok hitam, sambil tangan kanannya menghulurkan cermat.

Cermat.

Tidak selamat.

Terma profesional agak sinonim dengan bidang kerja kami. Kerana profesionalisma inilah kadang-kadang menjerat lalu membunuh.

Apabila pesakit menghulurkan tangan sebagai tanda terima kasih.

Apabila Bos besar menyampaikan sijil sebagai tanda penghargaan.

Apabila segelintir masyarakat mendekati anda sebagai tanda hormat.

Apabila rakan sekerja anda yang berbilang agama menautkan tangan sebagai tanda kasih.

Lebih menyedihkan lagi apabila saudara-saudara lelaki menzahirkan kononnya mereka adalah darah daging anda.

Dan anda pula adalah seorang perempuan Muslim.

Beranikah anda untuk menolak dan mengatakan tidak?

Ataupun anda,

Senyum malu-malu. Muka macam bersalah, tapi masih senyum. Tangan kanan macam tak nak hulur tapi terhulur. Ingat tadi nak tunduk dan letak tangan di dada. Tetapi apabila apa yang tidak ingin dibayangkan telah menjadi realiti, hancur.

Lalu pusing belakang dan mengeluh lemah,

“Harga diriku bernilai kosong! Ampunilah aku Ya Allah…”

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada seorang rakan sekerja yang membantu saya untuk meletakkan harga yang tinggi pada harga diri. Beliau mengajar dan membimbing saya untuk menolak tangan-tangan bukan mahram.

Bukan mahram.

Saya kongsikan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Pada awalnya, saya akui yang saya agak lemah untuk menyatakan tidak. Kenapa?

Takut.

Dan saya pernah difahamkan bahawa ada beberapa kondisi yang dibolehkan untuk menerima huluran tangan. Saya tidak berhajat untuk mengupas lebih lanjut kerana ketiadaan ilmu berkenaan hal ini.

Cuma, apabila saya melihat beberapa kupasan Ustaz berkenaan bersentuhan dengan bukan mahram, saya rasa saya patut bertegas untuk menolak mana-mana tangan. Tangan lelaki.

Matlamat saya adalah untuk meletakkan harga diri pada paras infiniti. Pada awalnya saya memikirkan satu juta sebagai penanda aras. Saya menyoal kembali diri, kenapa mesti setakat itu sahaja? Patutnya lebih dan lebih lagi. Akhirnya, infiniti.

Infinity = An infinite or very great number or amount

Ia adalah satu proses. Proses meletakkan harga diri sehingga ke paras infiniti. Apabila kita melalui perkara yang sama pada masa-masa yang tertentu, kekuatan kita akan terbina. Mana mungkin semuanya berlaku dengan sekelip mata. Ya, ia adalah satu proses.

Pada awalnya, apabila bertemu dengan berlainan jantina pada majlis tertentu, saya mengambil sikap untuk mengelak. Sana ada, saya ke situ. Situ ada, saya ke sana. Lari dan lari. Sehingga tidak cukup tanah. Akhirnya bertemu juga.

Gagal.

Seterusnya, apabila ada pesakit yang menghulurkan tangan sebagai tanda terima kasih, saya akan bermain dengan helah. Atau lebih tepat lagi, menjadi bijak! Tangan yang masih bersarung glove/sarung tangan  dijadikan sebagai alasan.

“Maaf Encik, tangan saya masih kotor.”

Dan pesakit pun angguk-angguk faham. Mereka faham apa?

“Oh, Doktor yang sopan bertudung dan berbaju kurung ini boleh salam saya sebenarnya, cuma tangan dia kotor.”

Err…

Habis.

Tetapi, anda telah berbudi dan berbahasa dengan baik tadi. Tahniah.

Kesepakatan juga sangat penting. Ketika dalam majlis tertentu atau dikehendaki bertemu dengan bos, saya pernah bersepakat dengan beberapa orang rakan,

“Nanti kalau Bos hulur tangan nak salam, kita semua tolak tau. Tunduk sambil letak tangan kat dada. Tambah sikit senyum sebagai tanda hormat. Kita semua mesti seragam. Kalau seorang salam, seorang lagi tak. Susah nanti.”

Sekali datang, lupa sudah perjanjian. Apa boleh buat, bukan mudah untuk tidak menyambut huluran tangan. Susah! Ia tidak semudah ABC. Apabila rakan-rakan anda yang sopan bertudung dan berbaju kurung menerima tangan-tangan mereka, dan anda pun terpinga-pinga apabila dihulurkan tangan yang sama.

Kalah.

Kerana ia adalah suatu proses. Allah mengetahui kita benar-benar bersungguh dan akan mendorong kita untuk mampu melaksanakannya dengan baik. Saya tidak tahu dari mana kekuatan itu datang apabila saya berjaya menolak huluran tangan seorang bos besar yang ketika itu telah selamat menggenggam tangan-tangan muslimah yang lain.

Menang.

Lalu esoknya ketika menerima sijil penghargaan, bos besar kuasa dua menghulurkan tangan dengan begitu cermat di atas pentas.

Gagal!

Saya tidak akan masuk ke lubang yang sama untuk kali kedua. Teruskan dengan bersungguh-sungguh. Meletakkan nilai pada diri adalah satu cara untuk bermuhasabah. Bayangkan seawal pagi kita bangun dengan amal ibadah yang baik, ketika itu nilai diri kita adalah 100%. Markah penuh. Tetapi apabila ke tempat kerja, kita meletakkan diri pada nilai yang rendah apabila kita melakukan maksiat satu demi satu.

100. 90. 80. 70. 40. 30. 10. 0.

Dan pernah juga tudung ini menjadi mangsa. Kutarik tudung melapisi tangan yang suci ini dan bersalam dengan saudara mara yang lagaknya seperti semua sedarah sedaging.

Berlapik, ya?

Menarik juga untuk dikongsikan apabila lelaki-lelaki soleh menerima huluran tangan wanita-wanita Muslim yang lupa, mereka menjawab,

“Maaf. Saya ada air sembahyang.”

Menarik. Inilah yang kita panggil sebagai budi dan bahasa.

Hakikatnya, mereka sebenarnya mungkin ingin menyatakan,

“Maaf. Saya lelaki dan anda perempuan. Kita tidak boleh bersalam.”

Tanyalah pada diri. Adakah kita mahu memelihara maruah manusia lain atau mahu menjaga kehendak Allah. Memang hukum bersalam ini terdapat khilaf. Dan saya memegang kepada bersalam antara lelaki dan perempuan ajnabi adalah haram.

Di tempat kerja, kitalah yang perlu mendidik staf-staf kita melalui qudwah atau teladan yang baik.

Ketika mula-mula melapor diri di sebuah klinik dahulu, staf yang beragama Islam mengetuk pintu bilik saya dan terus menghulurkan salam sebagai tanda hormat, sehingga saya tetiba menjadi confuse dan tertanya-tanya adakah dia seorang Islam.

Ketika itu saya datang dengan harga diri infiniti dan menjawab, “Maaf, saya tidak boleh bersalam dengan lelaki.”

Apabila rakan bukan Islam datang ke klinik untuk menjual produk tertentu dan mula menghulurkan tangan, saya menjawab, “Maaf, saya tidak boleh salam.”

Apabila kita menjaga kehendak Allah, kita sedang membina harga diri yang bernilai. Bukankah kita mahu dipandang baik pada pandangan Allah?

Mari memburu nilai infiniti.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas RA dengan sanad yang sahih, sabda Nabi SAW,

“Sesungguhnya aku tidak sama sekali berjabat tangan dengan kaum wanita. Hanyalah ucapanku kepada seratus wanita seperti ucapanku kepada seorang wanita.”

(riwayat Mali, An-Nasa-i dalam ‘Isyratun Nisa` dari As-Sunan Al-Kubra, At-Tirmidzi, dll. Lihat Ash-Shahihah no. 529)

Begitu juga kata Nabi SAW,

“Ditusuknya kepala seseorang dengan pasak dari besi, sungguh lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya.”

(riwayat Thabrani dalam Mu’jam Al Kabir 20: 211. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini shahih)