Apabila Harga Diri Saya Bernilai Kosong

“Terima kasih Doktor. Saya amat menghargainya.” Luah seorang pesakit tua yang segak bersongkok hitam, sambil tangan kanannya menghulurkan cermat.

Cermat.

Tidak selamat.

Terma profesional agak sinonim dengan bidang kerja kami. Kerana profesionalisma inilah kadang-kadang menjerat lalu membunuh.

Apabila pesakit menghulurkan tangan sebagai tanda terima kasih.

Apabila Bos besar menyampaikan sijil sebagai tanda penghargaan.

Apabila segelintir masyarakat mendekati anda sebagai tanda hormat.

Apabila rakan sekerja anda yang berbilang agama menautkan tangan sebagai tanda kasih.

Lebih menyedihkan lagi apabila saudara-saudara lelaki menzahirkan kononnya mereka adalah darah daging anda.

Dan anda pula adalah seorang perempuan Muslim.

Beranikah anda untuk menolak dan mengatakan tidak?

Ataupun anda,

Senyum malu-malu. Muka macam bersalah, tapi masih senyum. Tangan kanan macam tak nak hulur tapi terhulur. Ingat tadi nak tunduk dan letak tangan di dada. Tetapi apabila apa yang tidak ingin dibayangkan telah menjadi realiti, hancur.

Lalu pusing belakang dan mengeluh lemah,

“Harga diriku bernilai kosong! Ampunilah aku Ya Allah…”

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada seorang rakan sekerja yang membantu saya untuk meletakkan harga yang tinggi pada harga diri. Beliau mengajar dan membimbing saya untuk menolak tangan-tangan bukan mahram.

Bukan mahram.

Saya kongsikan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Pada awalnya, saya akui yang saya agak lemah untuk menyatakan tidak. Kenapa?

Takut.

Dan saya pernah difahamkan bahawa ada beberapa kondisi yang dibolehkan untuk menerima huluran tangan. Saya tidak berhajat untuk mengupas lebih lanjut kerana ketiadaan ilmu berkenaan hal ini.

Cuma, apabila saya melihat beberapa kupasan Ustaz berkenaan bersentuhan dengan bukan mahram, saya rasa saya patut bertegas untuk menolak mana-mana tangan. Tangan lelaki.

Matlamat saya adalah untuk meletakkan harga diri pada paras infiniti. Pada awalnya saya memikirkan satu juta sebagai penanda aras. Saya menyoal kembali diri, kenapa mesti setakat itu sahaja? Patutnya lebih dan lebih lagi. Akhirnya, infiniti.

Infinity = An infinite or very great number or amount

Ia adalah satu proses. Proses meletakkan harga diri sehingga ke paras infiniti. Apabila kita melalui perkara yang sama pada masa-masa yang tertentu, kekuatan kita akan terbina. Mana mungkin semuanya berlaku dengan sekelip mata. Ya, ia adalah satu proses.

Pada awalnya, apabila bertemu dengan berlainan jantina pada majlis tertentu, saya mengambil sikap untuk mengelak. Sana ada, saya ke situ. Situ ada, saya ke sana. Lari dan lari. Sehingga tidak cukup tanah. Akhirnya bertemu juga.

Gagal.

Seterusnya, apabila ada pesakit yang menghulurkan tangan sebagai tanda terima kasih, saya akan bermain dengan helah. Atau lebih tepat lagi, menjadi bijak! Tangan yang masih bersarung glove/sarung tangan  dijadikan sebagai alasan.

“Maaf Encik, tangan saya masih kotor.”

Dan pesakit pun angguk-angguk faham. Mereka faham apa?

“Oh, Doktor yang sopan bertudung dan berbaju kurung ini boleh salam saya sebenarnya, cuma tangan dia kotor.”

Err…

Habis.

Tetapi, anda telah berbudi dan berbahasa dengan baik tadi. Tahniah.

Kesepakatan juga sangat penting. Ketika dalam majlis tertentu atau dikehendaki bertemu dengan bos, saya pernah bersepakat dengan beberapa orang rakan,

“Nanti kalau Bos hulur tangan nak salam, kita semua tolak tau. Tunduk sambil letak tangan kat dada. Tambah sikit senyum sebagai tanda hormat. Kita semua mesti seragam. Kalau seorang salam, seorang lagi tak. Susah nanti.”

Sekali datang, lupa sudah perjanjian. Apa boleh buat, bukan mudah untuk tidak menyambut huluran tangan. Susah! Ia tidak semudah ABC. Apabila rakan-rakan anda yang sopan bertudung dan berbaju kurung menerima tangan-tangan mereka, dan anda pun terpinga-pinga apabila dihulurkan tangan yang sama.

Kalah.

Kerana ia adalah suatu proses. Allah mengetahui kita benar-benar bersungguh dan akan mendorong kita untuk mampu melaksanakannya dengan baik. Saya tidak tahu dari mana kekuatan itu datang apabila saya berjaya menolak huluran tangan seorang bos besar yang ketika itu telah selamat menggenggam tangan-tangan muslimah yang lain.

Menang.

Lalu esoknya ketika menerima sijil penghargaan, bos besar kuasa dua menghulurkan tangan dengan begitu cermat di atas pentas.

Gagal!

Saya tidak akan masuk ke lubang yang sama untuk kali kedua. Teruskan dengan bersungguh-sungguh. Meletakkan nilai pada diri adalah satu cara untuk bermuhasabah. Bayangkan seawal pagi kita bangun dengan amal ibadah yang baik, ketika itu nilai diri kita adalah 100%. Markah penuh. Tetapi apabila ke tempat kerja, kita meletakkan diri pada nilai yang rendah apabila kita melakukan maksiat satu demi satu.

100. 90. 80. 70. 40. 30. 10. 0.

Dan pernah juga tudung ini menjadi mangsa. Kutarik tudung melapisi tangan yang suci ini dan bersalam dengan saudara mara yang lagaknya seperti semua sedarah sedaging.

Berlapik, ya?

Menarik juga untuk dikongsikan apabila lelaki-lelaki soleh menerima huluran tangan wanita-wanita Muslim yang lupa, mereka menjawab,

“Maaf. Saya ada air sembahyang.”

Menarik. Inilah yang kita panggil sebagai budi dan bahasa.

Hakikatnya, mereka sebenarnya mungkin ingin menyatakan,

“Maaf. Saya lelaki dan anda perempuan. Kita tidak boleh bersalam.”

Tanyalah pada diri. Adakah kita mahu memelihara maruah manusia lain atau mahu menjaga kehendak Allah. Memang hukum bersalam ini terdapat khilaf. Dan saya memegang kepada bersalam antara lelaki dan perempuan ajnabi adalah haram.

Di tempat kerja, kitalah yang perlu mendidik staf-staf kita melalui qudwah atau teladan yang baik.

Ketika mula-mula melapor diri di sebuah klinik dahulu, staf yang beragama Islam mengetuk pintu bilik saya dan terus menghulurkan salam sebagai tanda hormat, sehingga saya tetiba menjadi confuse dan tertanya-tanya adakah dia seorang Islam.

Ketika itu saya datang dengan harga diri infiniti dan menjawab, “Maaf, saya tidak boleh bersalam dengan lelaki.”

Apabila rakan bukan Islam datang ke klinik untuk menjual produk tertentu dan mula menghulurkan tangan, saya menjawab, “Maaf, saya tidak boleh salam.”

Apabila kita menjaga kehendak Allah, kita sedang membina harga diri yang bernilai. Bukankah kita mahu dipandang baik pada pandangan Allah?

Mari memburu nilai infiniti.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas RA dengan sanad yang sahih, sabda Nabi SAW,

“Sesungguhnya aku tidak sama sekali berjabat tangan dengan kaum wanita. Hanyalah ucapanku kepada seratus wanita seperti ucapanku kepada seorang wanita.”

(riwayat Mali, An-Nasa-i dalam ‘Isyratun Nisa` dari As-Sunan Al-Kubra, At-Tirmidzi, dll. Lihat Ash-Shahihah no. 529)

Begitu juga kata Nabi SAW,

“Ditusuknya kepala seseorang dengan pasak dari besi, sungguh lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya.”

(riwayat Thabrani dalam Mu’jam Al Kabir 20: 211. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini shahih)

Advertisements

4 thoughts on “Apabila Harga Diri Saya Bernilai Kosong

  1. aha benda nie mmg kena training bg terbiasa…sy sendiri kalu time family meeting, raya cthnya, kalu ada sepupu sepapat free hair mahupun bertudung yg hulur tgn sy skadar angkat tangan dn senyum tak cakap pa2, dua tiga kali jumpak mcm tu jugak lama2 diorang pon paham sdiri sy jenis tak salam ppuan…mula2 mmg rasa kekok org hulur tgn kita xbalas tp lama2 dh biasa…bila dkt spupu2 dh bleh applied, maka jd sng nk apply utk org2 lain gak

    1. Alhamdulillah tahniah, dan semoga terus diberi kekuatan.

      Ya perlu praktis supaya kita ada kekuatan dan rasa mudah nak menolak.

      Terima kasih untuk komentar.

  2. Slm Dr.. saya sgt tertarik dgn artikel ni. Alhamdulillah Allah ‘cerahkan’ saya sejak dari waktu sekolah lagi, bila ada pakcik yang sering tidak menerima salaman setiap kali berkunjung. lps berfikir lama, barulah faham. walaupun sering dijadikan bahan jenaka sbb tidak bersalaman dengan lelaki, saya tidak terusik pun. ada few slip ups, waktu bertemu pemimpin2 di majlis. walaupun begitu, waktu konvokesyen ijazah pertama, saya nekad harus berpegang teguh dgn pegangan tidak bersalaman dgn lelaki. takut dimarahi pensyarah, tapi Alhamdulillah usaha saya diterima baik dekan dan rakan2..saat mengambil scroll, cuma menunduk dan membuat tapak tgn bertemu. semoga usaha kecil ini dpt menjadi anjakan agar istiqamah utk perkara yg lebih besar. jzkk Dr. semoga sentiasa berkongsi ilmu2 yg ada

    1. Waalaikumsalam Nina.

      Alhamdulillah. Very good dear. Smg istiqamah. Dan bantu kawan2 kita yang masih serba salah lagi untuk sambut atau tidak. InshaAllah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s