Rahsia Buku 555 Di Sebuah Klinik

Rutin harian berjalan luar biasa. Setiap hari cuba memuhasabah diri. Sejauh mana amanah yang dipikul telah dilaksanakan dengan baik.

Marah. Kecewa. Sedih. Tidak puas hati.

Perasaan-perasaan yang kekadang perlu ada. Supaya ia menjadi booster untuk menjadi lebih baik.

Kegagalan adalah pelengkap kepada sebuah kejayaan.

Motivasi ini melembutkan jiwa yang serabut.

Pagi saya dikejutkan dengan sebuah berita,

“Doktor, Mak Cik A sudah meninggal dunia.”

Bibir lantas melafazkan kalimah, ‘innaa lillahi waa innaa ilaihi raajiuun.’

Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kita kembali.

Minda saya berpusing laju kepada beberapa siri pertemuan saya dengan Allahyarham. Ibarat gambar-gambar yang telah ditangkap dengan baik sekali, begitu jelas.

Menusuk dalam ke kalbu. Sebak.

Saya berkenalan dengan beliau ketika baru beberapa hari melaporkan diri untuk bekerja di sebuah klinik. Ketika itu beliau datang meminta gigi palsu yang baru.

Menyoroti sejarah perubatan beliau, rawatan gigi palsu tidak wajar diberikan mengambil kira 2 keadaan. Pertama, beliau didiagnos mempunyai masalah mental. Kedua, beliau pernah mengalami sawan dan masih berpotensi untuk menerima serangan sawan seterusnya.

Komplikasi daripada rawatan gigi palsu adalah berkemungkinan beliau boleh tercekik gigi palsu dan menyebabkan kematian.

Kerisauan kami bukanlah kepada masalah beliau untuk makan, tetapi sejauh mana beliau boleh menjaga diri beliau daripada tertelan gigi palsu.

Sepanjang setahun, saya menerima kedatangan beliau berkali-kali. Berkali-kali saya juga mencuba membantu apa yang boleh. Walaupun sepertimana kita sedia maklum, beliau mempunyai masalah mental.

Boleh-boleh sahaja kita tidak layan.

Boleh-boleh sahaja kita biarkan beliau membebel sambil marah-marah setiap kali kami menolak untuk memberikan rawatan.

Boleh-boleh sahaja.

Tetapi sebaliknya.

Saya berpesan kepada staf saya,

“Layan dia seperti orang biasa. Daftarkan dia. Beri dia masuk. Bagi dia duduk atas kerusi pergigian.”

Kami buat seperti itu. Mencuba untuk memahamkan dia. Walaupun urusan kerja harian kami kekadang tergendala dok melayannya.

Manusia yang mengalami kecacatan mental.

Kita pula perlu bertindak seperti orang yang mempunyai mental yang normal.

Entah bagaimana hati saya terlintas sesuatu selepas menerima berita mengejut ini,

“Ya Allah, nasib baik kami bertindak melayan dia seperti manusia biasa. Jika tidak, pemergian dia hari ini mungkin disesali.”

Bagaimana mahu meminta maaf?

Muhasabah ini menarik saya kepada satu kesalahan kita dengan pesakit, yang mungkin kita terlepas pandang.

Kesalahan lidah.

Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak kata, orang terasa, dan jika maaf tidak dipinta, bertandalah buku 555 di bahu kiri.

Bagaimana mahu meminta maaf?

Pesakit datang dan pergi. Sambil buku 555 di bahu kiri kita telah bertanda! Ya Allah, ampunkan segala dosa-dosa kami.

Maklumlah.

Orang datang kepada kita dengan kesakitan. Kitalah yang menyembuhkan. Kitalah yang memberi khidmat. Kita rasa kita memberi pertolongan. Jadi kita merasa kita lebih berhak untuk berkata sesuka hati.

Istighfar.

Menganggap setiap pesakit adalah sama. Ini menjadikan kita kurang sensitif dengan keperluan dan kemahuan mereka. Lalu, kita memberi apa yang kita rasakan perlu dan apa yang kita rasakan mahu.

Kalau pesakit A boleh tahan sakit, kenapa tidak pesakit B? Kalau Mak Cik boleh tenang, kenapa Pak Cik pula takut semacam?

Teringat saya pada satu pesanan yang lebih kurang maksudnya begini,

‘Tidak semua yang kita cakapkan sesuai pada semua orang.’

Raikan perbezaan pesakit. Setiap satu memerlukan sentuhan hati yang berbeza. Bagaimana untuk menilai pesakit A dan B adalah tidak sama?

Perhatikan kepada patah kata yang keluar daripada mulut mereka.

Benarlah. Pekerjaan kita ini adalah sebahagian daripada seni. Seni berkomunikasi dengan pesakit.

Salah cakap. Pesakit terasa. Tidak selesa. Satu tanda pada buku 555 di bahu kiri.

Pada pandangan saya, seorang Doktor yang hebat bukanlah melihat kepada prestasi akademiknya semata, tetapi sejauh mana beliau memenuhkan buku 555 di bahu kanan dengan tanda!

Selain itu, kita juga mudah bersangka buruk dengan pesakit yang tidak menjaga kebersihan mulut. Saya akui, kekadang kita berasa marah dan kecewa melihat prestasi kebersihan mulut mereka.

Tetapi itu tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya menyalahkan mereka malas untuk menjaga kebersihan mulut.

Seorang kawan pernah berkongsi,

“Kalaulah gigi pun tak boleh nak berus bersih, saya tak tahulah bagaimana dia uruskan kehidupan di rumah. Agaknya basuh kain pun tidak bersih.”

Ehei. Sudah bersangka-sangka.

Perhatikan hadis ini.

“Jauhilah kamu dari prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sebohong-bohong rekaan rasa hati (berita hati).”

[Hadis Al-Bukhari-Muslim]

Pernahkah kita cuba faham yang kegagalan kita menyampaikan maklumat yang tepat berkaitan penjagaan gigi menyebabkan mereka datang kepada kita dengan masalah yang sama?

Doktor, jangan malas menyampaikan maklumat yang benar kepada pesakit anda. Mari aplikasikan apa yang kita belajar daripada subjek public dentistry/community dentistry.

Saya menasihati diri sendiri.

Dok pikir-pikir datang kerja nak penuhkan buku 555 sebelah kanan. Lain pula jadinya.

Istighfar.

Selamat berpuasa dan beramal. Semoga Ramadhan kali ini kita raikan dengan penuh ketekunan dan keinsafan. Semoga bulan yang menjanjikan seribu satu kebaikan ini mendidik jiwa kita untuk lebih sensitif dengan keperluan dan kemahuan pesakit.

InshaAllah.

p/s : Semoga Allah menempatkan Allahyarham di kalangan orang yang beriman. Amen.