Selamat Mendekati Pintu Syurga

Image

Ketika suami sedang memandu, saya memegang tangannya dengan gaya bersalam dan bermain dengan perkataan ‘sah’. Lalu suami menyambut dengan lafaz ijab dan qabul yang menurutnya pertama kali dilafazkan adalah ketika di hadapan tok kadi. Pertama, dan itu yang terakhir. InshaAllah. Beliau tidak pernah berlatih sebelum itu. Lalu saya menemuramah suami,

“Suami, apakah perasaan ketika selesai mengucapkan lafaz ini?”

Lafaz yang menghalalkan pertemuan dua pasang mata yang dahulunya bukan muhrim.

Lafaz yang mengikat komitmen.

Lafaz yang mengubah.

Mendekati pintu syurga.

Suami mengalihkan pandangan. Menjawab satu-satu, tenang.

“Bersyukur, tetapi terasa sedang memikul amanah yang berat.”

Saya senyum. Terasa bahagia.

Kita tersenyum bukan kerana kita bahagia. Tetapi kita bahagia kerana dapat tersenyum.

Amanah. Komitmen. Tanggungjawab. Membuahkan ikhtiar. Ikhtiar-ikhtiar adalah usaha. Mendekati pintu syurga.

Lama saya bercuti daripada menulis di blog.

Melalui hari-hari selepas lafaz ini, saya akui agak janggal dengan kehidupan berumahtangga. Persiapan diri dengan bahan-bahan bacaan beserta nasihat-nasihat orang tua sebelum ini memang membantu, tetapi tidak sama dengan realiti yang dilalui.

Persiapan. Adalah satu proses pembaikan diri sehingga nafas ditarik oleh malaikat Izrail. Ia proses berterusan.

Saya. Tidak berhasrat untuk berkongsi kemanisan selepas berumahtangga. Mengambil kira ada sahabat-sahabat yang masih bujang.

Suami berpesan,

“Berhati-hati dalam setiap tulisan. Fikirkan perasaan orang lain yang mungkin masih menanti-nantikan jodoh. Atau ada yang telah kecundang dalam perhubungan.”

Suami mengajar untuk empati.

Empati. Ibarat meletakkan kaki kita di dalam kasut mereka. Rasa apa yang mereka rasa. Faham apa yang mereka faham. Pandang dengan cara mereka pandang. Hmm.

Ya. Lama saya berhenti menulis. Kerana mencari ruang apa sebenarnya motif tulisan. Adakah sekadar saya ingin menyeru kalian kepada manisnya percintaan selepas nikah sedangkan fasa bertemu jodoh yang baik pun adalah sukar.

Justeru, apabila ada yang bertanya, “Seronok kahwin?”. Beserta soalan-soalan lain yang seangkatan dengannya, saya agak berhati-hati untuk memberi jawapan.

Suka saya berkongsi, apa yang memudahkan jalan saya bertemu dengan jodoh yang baik. Alhamdulillah. Moga Allah menjauhkan saya daripada sifat riak atau ujub.

Setiap jodoh yang baik adalah pemula kepada keseronokan dalam berumahtangga.

Jodoh yang membawa saya untuk mendekati pintu syurga. Ini keyakinan saya. Saya yakin dengan percaturan Allah. Saya yakin jodoh ini melengkapkan separuh agama. Sepertimana dalam hadis ini.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang hamba itu telah berkahwin maka dia telah melengkapkan separuh daripada urusan agamanya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT pada separuh yang lainnya. (Riwayat Imam al-Baihaqi dalam Syuab al-Iman dan dinilai Hasan oleh al-Albani)

Jika lengkap, arah tujunya ke mana?

Ke syurga.

Image

Ramai juga yang bertanya, bagaimana saya bertemu dengan suami?

Doa yang sering saya panjatkan semenjak saya serius berhasrat untuk berkahwin ketika pertengahan tahun 2011.

“Ya Allah, permudahkanlah urusan jodoh dan pertemuanku dengan pasangan yang baik.”

Dan optimisnya saya yang sentiasa yakin dan percaya bahawa Allah pasti menemukan saya dengan seorang suami sehinggakan apabila ada yang bertanya, “Bila saya akan berkahwin?” maka jawapan saya adalah, “InshaAllah penghujung tahun depan.”

Ketika soalan itu ditanya pada tahun 2010, 2011 dan 2012, saya memberi jawapan yang sama. Ramai yang meneka-neka saya sudah berpunya dengan jawapan ini, selain saya sering respon dengan meminta doa mereka bahawa apa yang saya hasratkan menjadi kenyataan.

Begitulah kehidupan. Ia dicorakkan melalui kepercayaan kita.

Begin with the end in mind. Imaginasi bagaimana akhirnya kehidupan yang kita mahukan.

Allah tidak akan memberi sesuatu yang kita tidak mampu. Perkahwinan adalah satu amanah, tidak diberikan kepada yang tidak dapat memikul amanah. Bagaimana menilai mampu adalah melalui sejauh mana kita tahu dan faham keperluan kepada sebuah perkahwinan, arah tuju dan cara mengendalikannya.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (al-Baqarah : 286)

Agak lucu jika kita mengharapkan jodoh yang baik sedangkan kita belum berusaha untuk menjadi baik. Agak lucu jika kita mengharapkan untuk membina satu rumahtangga yang bahagia sedangkan kita tidak berusaha untuk memahami kehidupan berumahtangga. Agak lucu jika kita mengharapkan jodoh ketika kita sering menolak-nolak komitmen yang datang dalam kehidupan.

Aha. Perkahwinan. Komitmennya lebih besar.

Semakin kita menuju ke arah pembinaan sebuah rumahtangga yang diredhai Allah, semakin kita perlu kepada persiapan diri ke arah itu. Walaupun kita masih belum mengetahui dan mengenali siapa bakal jodoh.

Justeru sering saya berpesan kepada sahabat-sahabat yang masih was-was dengan fasa ini untuk meningkatkan pengetahuan tentang segala segi kehidupan berumahtangga.

Banyakkan membaca. Banyakkan mendengar. Banyakkan bertanya.

Persiapkan diri dengan ilmu. Dan yakin Allah pasti memudahkan. Allah tidak akan beri sesuatu selagi mana kita tidak mampu.

Doa. Usaha. Tawakal.

Membacalah sekurang-kurangnya 50 buah buku.

Mendengarlah ceramah-ceramah tentang perkahwinan.

Bertanyalah kepada yang sudah berumahtangga.

Berikhtiar pula, bagaimana?

Ia akan datang, sesuai dengan bagaimana usaha kita mempersiapkan diri. Apabila kita tahu dan faham bagaimana urusan bertemu jodoh itu disarankan dalam agama, kita akan tahu dan faham bagaimana untuk berikhtiar.

Selamat. Selamat.

Selamat mendekati pintu syurga.

Tok! Tok!

Alhamdulillah.