Projek Memikat

Image

Akhawat nun di pedalaman dah bertanya lama. Baru hari ini berpeluang menaip sedikit catatan. Ini pun kerana teruja menggunakan komputer peribadi milik suami. Alhamdulillah.

Sabda Rasulullah SAW,

“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat.” (H.R Bukhari)

Allah memberi peluang meneroka sebuah desa terpencil. Masih segar ketika sampai sahaja ke desa tersebut, saya hampir meraung. Hampir. Hakikatnya yang berlaku hanyalah tangisan penuh sadis. Menangis memerhatikan desa asing yang baru dijejaki ini.

“Allah… Tak sangka aku dah sampai sini.” Lalu menangis dan nangis lagi. Kereta hitam menjadi saksi.

Desa asing. Desa terpencil.

Setelah lebih setahun di desa itu, saya melihat dengan pandangan berbeza. Saya katakan, ini adalah desa yang menginsafkan.
Memang pun.
Di situlah saya belajar pelbagai perkara yang sangat sangat dan sangat berharga.

Di sebuah desa menginsafkan. Anda tidak mengenali sesiapa. Tidak seorang pun.

Masih teringat pujukan seorang staf ketika saya meluahkan rasa sedih ketika perlu berpindah ke desa asing ini.

Beliau menasihatkan, “Doktor dah ada ilmu. Doktor dah belajar agama. Sekaranglah masanya Doktor ke kawasan pedalaman. Untuk praktikkan apa yang Doktor belajar.”

Fuh. Memang positif.

Allah mentakdirkan minggu pertama saya di desa menginsafkan, tanpa bekalan gas dapur. Habis. Semua habis. Tak ada satu pun tong yang dapat dibeli. Minggu keduanya pula bermulalah bulan Ramadhan. Sadis. Makan dan minum tidak menentu. Bertambah dengan kesukaran mencari menu halal.

Antara cabaran yang mempositifkan saya bahawa, YA. Ini desa menginsafkan.

Tarbiyah yang saya peroleh dalam ISMA mengajar bahawa mengajak orang kepada kebaikan adalah satu kewajipan untuk setiap orang yang faham. Orang yang faham bahawa hidup di dunia ini adalah bekalan untuk ke syurga akan berusaha untuk memastikan setiap detik diisi dengan perkara-perkara yang membawa ke syurga.

Berbalik kepada catatan awal.
Punyalah panjang mukadimah.
Saya teruskan kepada tujuan penulisan.
Akhawat meminta saya berkongsi bagaimana saya boleh menubuhkan usrah umum secara bersiri setiap bulan dan kelas mengaji hampir setiap minggu, dengan penyertaan yang Alhamdulillah.

Secara umumnya, saya kongsikan pengalaman yang tidak seberapa. Semoga bermanfaat.

1. Selalu ke masjid. Duduk di saf-saf yang berbeza. Memperkenalkan diri dan ‘memaksa’ ‘kawan baru’ memperkenalkan diri.
2. Sentiasa senyum dan ramah dengan sesiapa sahaja.
3. Mengajak datang ke rumah untuk makan-makan disertai dengan ceramah ringkas.
4. Menimbulkan kesedaran tentang pentingnya menghadiri usrah secara berkala melalui sembang-sembang santai.
5. Rajin mengedarkan mesej berantai. Heh. Mesej mengajak datang makan-makan dan usrah!
6. Jadikan rumah sebagai pusat sumber. Beri kawan baru meminjam buku dan beritahu mereka untuk memulangkan buku ketika sesi usrah seterusnya. Aha. Kehadiran berterusan tercapai!
7. Beri hadiah.
8. Tolong menyelesaikan masalah.
9. Menghadiri program-program yang dianjurkan masyarakat setempat walaupun tidak dijemput.
10. Belajar dialek masyarakat tempatan. Supaya anda lebih mudah diterima.
11. Ziarah. Bawa buah tangan.
12. Bersambung jika ada.

InshaAllah.

Projek memikat Mad’u.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sesungguhnya, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?”

Al-fussilat:33

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

An-Nahl : 125

Semoga bermanfaat.