Profesor Kolot

Mudahnya bertemu dengan orang yang baik-baik. Mudahnya mendengar cerita yang baik-baik.

Tidak sampai 2 minggu lagi akan berlangsung Seminar Anak Soleh Anak Cemerlang. Petang tadi saya menyusun langkah untuk bertemu dengan seorang Profesor untuk urusan program ini.

Jauh di sudut hati terasa sedikit gementar.

Jumpa orang berilmu tinggi. Orang besar. Orang hebat.

“Lagu mana nak susun kata ni…” dok bisik dalam hati.

Sebelum kaki menginjak masuk ke bilik beliau, cepat-cepat berdoa. Doa yang Emak selalu pesan untuk diamalkan.

‘Robbi yassir wala tu’assir’

doa mudah

Di dahinya jelas tanda banyaknya bersujud. Subhanallah.

Selesai menyampaikan hajat, beliau berkongsi kisah-kisah inspirasi. Saya kongsikan di sini untuk manfaat pembaca.

Inspirasi 1

Saya memang mengajar anak-anak saya mengaji. Balik sahaja dari kerja, mereka akan belajar dengan saya. Saya tak hantar mereka ke kelas mengaji.

Satu hari, ketika sedang mengajar mengaji, anak saya fasih mulutnya membaca, tetapi matanya ke TV.

Haih, tak boleh jadi ni.

Saya dan isteri bersetuju untuk tiada TV di rumah.

Mahu tak pelik. Semua rumah pun ada TV. Kolotlah saya jaga anak. Orang boleh terima ke cara saya?

Inspirasi 2

Walaupun begitu, pengetahuan anak-anak saya tentang isu semasa lebih baik berbanding rakan mereka, walaupun tanpa TV. Memanglah mereka tak tahu siapa juara ‘mentor’ dan sebagainya. Gelak sinis.

Sebab apa? Kami ibu dan bapa yang menyampaikan.

Menjadi rutin anak-anak saya, apabila saya pulang ke rumah dan duduk di kerusi, anak-anak akan datang dan memicit kaki saya. Dari dulu sampai sekarang.

Subhanallah. Keluarga yang penuh kasih sayang.

Semasa itulah saya akan menyampaikan berita dan isu semasa kepada anak-anak.

Selepas itu menceritakan satu demi satu tentang pekerjaan anak-anaknya. 6 orang anak. Kesemuanya sukses ilmu dunia dan akhirat. Alhamdulillah. Subhanallah. Professor kolot yang berjaya.

Inspirasi 3

Anak saya nak kahwin. Ketika itu dia sedang melanjutkan PhD. Saya beritahu dia, kalau kamu kahwin dan mengandung nanti, siapa nak jaga kamu di sana?

PJJ. Perkahwinan jarak jauh.

Saya amalkan perbincangan dengan anak-anak. Saya mendidik anak-anak tanpa sikap autokrasi.

Anak perempuan saya, anak yang sulung. Saya ajar anak sulung saya untuk sentiasa memberi sebab. Sejak kecil, kalau dia mahukan apa-apa, saya akan beritahu pada dia, berikan 3 sebab kenapa nak itu, nak ini.

Sebagai anak sulung, dia perlu membimbing adik-adik dia. Kena bagi adik-adik dia faham kenapa begitu dan begini.

Saya mahu dia bersikap rasional. Sentiasa berfikir. Faham kenapa perlu bertindak sedemikian. Sebab itu dia jadi pendebat.

Sekarang dia bersyukur sebab mengikut nasihat saya. Habis sahaja PhD terus kahwin.

Inspirasi 4

Ibu bapa zaman sekarang mana nak rotan anak-anak. Kolot.

Masa anak saya ikut ke masjid, saya beritahu mereka supaya jangan berlari-lari di kawasan masjid. Ini bukan tempat main-main. Mereka masih berlari. Saya rotan.

Sejak itu mereka takut. Kita rotan untuk mendidik. Bukan untuk mencederakan. Kita nak ajar mereka.

Mereka dengar cakap kita.

Kalau saya rotan, isteri saya akan pujuk anak-anak. Kalau isteri saya rotan, saya pula akan pujuk anak-anak. Nasihat anak-anak. Bagi mereka faham.

Begitulah.

Wow. Profesor yang merasakan didikannya kolot. Tapi inilah yang dianjurkan oleh agama Islam.

solah

Adakah anda rasa terinspirasi dengan kisah Profesor kolot ini?

Seorang ahli akademik yang sibuk dengan urusan pekerjaannya, masih mampu memberikan komitmen untuk memberikan didikan yang baik untuk anak-anak.

Inilah realiti. Contoh. Yang patut dicontohi.

Anak-anak adalah amanah Allah. Apabila dididik untuk mengenal Allah, mereka akan menjadi orang yang dekat dengan Allah.

Orang-orang yang dekat dengan Allah. Berhak untuk mendapat kasih sayang Allah.

Kasih sayang Allah. Kejayaan tertinggi.

Semua ahli keluarga bawa ke syurga.

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”

(At-Tahrim: 6)

Jom praktikkan kepada anak-anak. Ibu bapa, ini tanggungjawab anda.

Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dan Al-Imam Muslim, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

“Setiap di antara kalian adalah pemimpin dan akan dimintai pertanggungjawaban.”