Tips Ringkas Survival Alam Klinikal- Saya Boleh!

“Akak, bagaimana perasaan di tahun akhir pengajian?”

Jawapan beliau yang masih segar dalam ingatan.

“Rasa macam air dah paras hidung. Dah nak lemas.”

Saya senyum. Menelan air liur sendiri. Fuh.

Realiti pelajar pergigian. Memang banyak. Banyak. Banyak. Banyak perkara. Tetapi semuanya adalah kenangan manis yang sangat saya rindukan. Rindu sangat.

Perkara yang paling menggembirakan adalah berjaya melangkah ke tahun berikutnya. Bermakna, tidak sia-sialah usaha sepanjang tahun tersebut.

Segalanya pun adalah dengan keizinan Allah jua. Pengajian selama 5 tahun mengajar erti tawakal, keikhlasan dalam menuntut ilmu, ketabahan dan erti kesungguhan.

Seorang adik di tahun ketiga pengajian meminta tips untuk survival di alam klinikal. Saya tidak dapat menyentuh secara terperinci memandangkan sudah agak berabad saya meninggalkan alam pengajian. Justeru, saya berkongsi secara keseluruhan. Harap-harap memberi manfaat walaupun sedikit.

Ward Round

Suka saya berpesan, sentiasa menerima tawaran pensyarah jika diminta untuk melakukan pemeriksaan kepada pesakit. Kebanyakan doktor perubatan yang mengajar adalah sangat baik dan membantu. Jadi, tidak perlu takut. Peluang memeriksa pesakit janganlah disia-siakan. Pastikan kita ‘menyentuh’ sekurang-kurangnya seorang pesakit semasa ward round. Yolah, kalau semua pun kita nak pegang, kawan-kawan yang lain pun nak juga. Dak?

Mesti ada buku nota kecil. Catatkan sedikit latar belakang pesakit yang ada kena mengena dengan penyakit. Selalunya pensyarah akan menceritakan dengan begitu terperinci sehinggakan terlepas mencatat. Catatlah apa-apa yang penting. Terutamanya apabila pensyarah mula menimbulkan banyak persoalan tentang pesakit dan penyakit. Soalan-soalan inilah menjadi kemungkinan soalan yang akan ditanya ketika viva nanti.

Walaupun kekadang kita berjumpa dengan penyakit yang sama dalam satu sesi, hargailah ia. Apabila ada masa terluang, pastikan kita melakukan ulangkaji berkaitan penyakit yang baru kita lihat tadi.

Suka dan suka lagi saya nak kongsi, jika pesakit adalah Muslim, jangan lupa tiupkan sedikit kata-kata semangat supaya hidup jiwa mereka. Cuba-cuba merisik adakah mereka sudah menunaikan solat. Bantulah, apa yang boleh. Sakit fizikal, Doktor dah beri ubat. Sakit rohani, bagilah ubat juga.

Projek Gigi Palsu

Ini adalah antara projek yang saya sukai. Ia memerlukan sedikit kemahiran seni selain daripada kesabaran dan ketabahan jika gigi palsu tidak menjadi. Sukanya saya dengan projek ini sehinggakan saya pernah merancang untuk menyambung pengajian prostetik. Angan sekadar angan semata.

Binalah hubungan yang baik dengan pekerja-pekerja di makmal, begitu juga para juruteknologi pergigian. Sebab apa? Mereka inilah insan-insan yang akan membantu ketika kita susah.

Barang rosak. Itu hilang. Kepada mereka jugalah kita melutut nanti. Tak rugi pun buat baik dengan orang lain. Buat baik bukan kerana kita mahu dibalas baik. Buat baik kerana ia adalah perintah Allah. Cuma manfaatnya memang jelas, kebaikan kita akan dibalas kebaikan. Lebih jelas lagi, interaksi sosial yang baik memungkinkan segala urusan kita menjadi lebih mudah.

Rajin-rajinlah beri salam. Rajin-rajinlah ucap selamat sejahtera. Jangan sombong sangat. Bakal doktorlah konon. Uhuk.

Motivasi-Hidup

Requirement Clinic

Saya gembira dapat jumpa pesakit. Jadi, agak jarang saya merasa tertekan ketika berurusan dengan pesakit. Penting untuk kita mempamerkan sikap yakin ketika berkomunikasi dengan pesakit. Selalunya mereka memang tak yakin pun dengan kita, maklumlah kita kan pelajar. Tengah belajar, banyak perkara tak tahu.

Jadi, pandai-pandailah berlakon seperti doktor. Saya selalu anggap saya seorang doktor walaupun ketika itu saya masih sedang merangkak-rangkak dalam pengajian. Tetapi anggapan begini akan menjadikan saya realistik dan bertindak sepertimana seorang doktor sepatutnya bertindak.

Bertindak bijak. Jangan tamak. Kekadang perlu juga bijak dan tamak, tetapi tidaklah menyusahkan orang lain. Faham, ke? Tersirat juga. Perlu bijak melihat sesuatu dengan pandangan, ‘begin with the end in mind’. Rancanglah rawatan-rawatan.

Buanglah mentaliti seperti ‘kalau aku tak dapat kes, aku akan gagal’ atau ‘kes ini penting untuk aku cepat cepat grad’.

Entah. Pemikiran begini hanya akan menambahkan tekanan dan meningkatkan potensi untuk mendapat darah tinggi. Ehe.

Sekali sekala berfikirlah di luar kotak. Pernah satu ketika, pesakit untuk paediatric clinic tidak dapat hadir dan saya ada 3 jam kosong, tanpa pesakit. Lalu, saya menuju ke ruang menunggu di bahagian wad bersalin hospital untuk mencari pesakit. Seorang ibu percaya dengan membiarkan saya membawa anak beliau ke klinik untuk pendaftaran dan rawatan, galang gantinya saya memberikan kad pengenalan dan kad pelajar kepada ibu tersebut. Ini adalah perkara paling gila yang boleh saya katakan sepanjang pengajian, betapa terdesaknya kami memerlukan pesakit untuk memenuhi senarai rawatan yang perlu diselesaikan. Jika tidak, ada kemungkinan kami akan ditahan daripada menduduki peperiksaan.

Ehe. Rezeki. Rezeki sungguh. Usaha pun perlu, siapa tak nak grad cepat? Siapa nak gagal? Tak dak siapa mahu. Kan?

Berinteraksi dengan senior, junior dan kawan-kawan. Tolong-menolonglah sesama kita. Yang paling best, kita tolong kamu, kamu pula tolong kita. Saya sangat menghargai senior-senior terutamanya buddy dan junior yang banyak sangat membantu. Itulah sebabnya kenapa kita perlu baik dengan semua orang. Ketika inilah, baru terasa mereka membalas kebaikan kita. Semuanya dengan izin Allah jua. Alhamdulillah.

Kesimpulannya, percaya dan yakinlah kita boleh menggenggam kejayaan walau banyak ujian yang mendatang. Pastikan momentum keimanan sentiasa pada tahap yang terbaik supaya setiap tindak tanduk kita mendapat redha Ilahi.

Semoga berjaya, adik-adik.

Advertisements