Bagaimana Urus Gaji Sedikit Jadi Banyak

Banyak! Banyak! Tapi tak nampak!

Seronoknya apabila menerima gaji setelah berpenat-lelah selama sebulan. Lebih-lebih gaji jika ia adalah gaji yang pertama. Terasa nikmatnya belajar sungguh-sungguh. Terasa berbaloi ikut nasihat Emak dan Ayah suruh belajar.

Sejauh mana gaji tersebut menjadi nikmat dan berbaloi? Adakah apabila kita dapat berbelanja sesuka hati? Adakah apabila semua kehendak dan keperluan kita berjaya dituruti? Ia menjadi nikmat dan berbaloi bergantung kepada sejauh mana kita bijak menguruskan wang.

Teringat pertama kali saya bekerja ketika menunggu masuk ke Pusat Asasi Sains UM. Walaupun hanya bekerja untuk 1 bulan. Matlamat saya setelah menerima gaji adalah untuk membeli cermin mata baru.

Berbeza pula kini. Kehidupan kita yang penuh dengan komitmen. Macam-macam. Jika setelah menerima gaji kita gagal merancang dan menentukan perbelanjaan, pastilah kita akan menggunakan wang sesuka hati. Akhirnya, wang bukan memudahkan kehidupan. Tetapi menyebabkan tidur kita diulit mimpi buruk. Hati tak tenang.

Makna kata, setiap satu sen duit yang kita ada perlukan perancangan. Banyak ini, untuk ini. Banyak itu, untuk itu. Sekian dan sekian.

Izinkan saya berkongsi pengalaman pengurusan kewangan. Moga menjadi iktibar dan panduan.

Kereta Bergaya atau Tidak

Ada 2 jenis kereta yang memikat hati saya iaitu Honda city dan Toyota Vios. Bayaran bulan sekitar RM1200 dan RM800 sebulan, masing-masing, pada masa itu. Ini adalah bayaran untuk 9 tahun. Bayaran maksimum.

Setelah berbincang dengan ahli keluarga dan bertanya pandangan rakan-rakan, akhirnya saya membuat keputusan bijak. Saya tidak membeli kedua-duanya. Tetapi saya membeli sebuah kereta bergaya keluaran perodua dengan bayaran RM756 sebulan untuk 7 tahun.

Jika masa dapat dipusing kembali, saya akan membeli kereta dengan bayaran bulanan lebih murah untuk 5 tahun. Lebih singkat masa pembayaran adalah lebih baik. Tidaklah berhutang lama sangat. Namun, meihat kepada prestasi kereta bergaya saya keluaran Malaysia itu, saya tidak pernah menyesal dan sangat bersyukur.

Ada juga yang mencadangkan untuk membeli kereta second hand keluaran negara luar dengan harga yang berbaloi. Tetapi memandangkan ketika itu saya hidup sebatang kara di tempat baru, saya tidak berani untuk mengambil risiko jika terdapat kecederaan dalaman pada kereta second hand.

Beri Hadiah kepada Diri Sendiri

Pastikan ada sejumlah wang kita peruntukkan untuk membeli barang-barang yang disukai atau melakukan apa-apa aktiviti sebagai hadiah kepada diri sendiri. Tak perlu banyak pun. Contohnya, saya suka membaca. Jadi sekali-sekala adalah beli sebuah buku. Dan kadang-kadang teringin nak makan special sikit, apa salahnya belanja diri sendiri.

Tetapi sekarang beruntunglah, ada suami. Nak makan apa, semua suami tanggung. Alhamdulillah. Terima kasih suamiku, semoga Allah meredhaimu setiap masa, amen.

Zakat Pendapatan dan Infak

Setelah lebih setahun bekerja, baru saya sedar yang saya tidak pernah membayar zakat pendapatan. Walaupun ketika itu saya ada memperuntukkan 5% daripada gaji untuk infak dan sedikit untuk sedekah ke Palestin.

Selepas itu saya ke Pusat Zakat dan Baitulmal untuk melakukan pemotongan bulanan secara standing order. Untuk setahun pertama itu, saya perlu membayar semula. Menurut mereka, zakat pendapatan adalah wajib. Ketika di sana, pegawai akan membantu melakukan pengiraan dan potongan adalah bersesuaian dengan gaji dan perbelanjaan. Jadi, sudahkah anda membayar zakat pendapatan? Jika belum, jangan bertangguh lagi.

Allah boleh tarik nikmat wang bila-bila masa sahaja. Boleh-boleh sahaja kita sakit, terlibat kemalangan, hilang duit dan macam-macam lagi. Minta dijauhkan. Kalaupun tiada apa yang berlaku kepada kita, mungkin sahaja akibat tidak melangsaikan ‘hutang’ dengan Allah ini, kita menjadi orang yang terlalu boros berbelanja dan selalu merasa tidak cukup. Jangan kedekut sangat.

Tak rugi ohoi.

Firman-Nya yang bermaksud:

“Siapakah yang mahu meminjamkan (hartanya) kepada Allah dengan pinjaman yang baik (iaitu dengan mendermakannya pada jalan Allah), lalu Allah melipatgandakan (balasannya) dan untuknya pahala yang mulia.”

(Surah al-Haddid, ayat 11)

Mesti Simpan

Simpanlah. Sekurang-kurangnya 5% daripada gaji anda. Lebih banyak tentulah lebih baik. Saya mencadangkan 15% untuk simpanan tidak boleh keluar. Maknanya, walau apa jua yang berlaku, sesak macammanapun, simpanan tersebut adalah beku. Ia hanya menjadi cair apabila dengan simpanan tersebut kita bercadang untuk menggandakannya seperti pembelian aset dan lain-lain.

Dan 5% lagi simpankan sebagai simpanan kecemasan. Manalah tahu tiba-tiba ada kemalangan. Ataupun kematian. Atau ada tetamu datang dari jauh. Perlu juga kita raikan. Kan?

Jadi, asingkan 20% untuk simpanan. Tapi kalau dah banyak sangat komitmen. Perlu bayar itu dan ini. 5% pun sudah terbaik.

Simpanan beku dan kecemasan di Tabung Haji. Terbaik!

ASB? Entahlah. Saya masih was-was. Jika ada yang menyimpan di ASB, tolong yakinkan saya. Teringin sangat nak menyimpan di ASB. Tetapi tidak berani.

Untuk Ibu dan Bapa

Saya selalu terkenang, tanpa mereka mana mungkin saya boleh sampai ke tahap ini. Lebih-lebih lagi memikirkan terlalu banyak pengorbanan mereka, amat malang jika sebagai anak, kita tidak menjadikan satu rutin memberi wang kepada mereka pada setiap bulan. Ya. Sekurang-kurangnya 5%. Jadikan ia satu kewajipan. Cuba kita perhatikan hadis di bawah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan Allah, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.”

(Hadis riwayat Muslim)

Beruntungnya!

Jom kita melihat anggaran peruntukan perbelanjaan setiap bulan. Dengan ini, saya MENCADANGKAN:

Simpanan beku-15%

Simpanan kecemasan-5%

Zakat pendapatan-2.5%

Sedekah/Infak-5%

Simpanan takaful-5%

Ibu Ayah-5%

Kereta-20%

Rumah-20%

Perbelanjaan lain-lain seperti untuk dapur, isteri/suami,anak-anak, tetamu, aktiviti riadah dan dakwah-22.5%

Encik suami di sebelah sedang menulis buku sulungnya. Beliau bersetuju dengan CADANGAN saya dan telah MENGESAHKAN. Ehee. Tetapi realitinya, cadangan di atas bukanlah apa yang saya praktikkan. Ada yang sudah praktik, ada pula yang belum.

Memandangkan saya tinggal di rumah yang ditaja Encik suami, makan-minum yang disediakan Encik suami, maka saya ada ruang lebih banyak untuk menyimpan dan bersedekah.

Rezeki seorang isteri. Alhamdulillah.

Dah. Dah.

Kesimpulannya, wang perlu diuruskan. Lagi-lagi kalau hangpa ada perancangan nak kahwin, simpanlah duit banyak sikit. Atau perancangan untuk sambung belajar, perlu menyimpan juga tu. Simpan sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Dalam pada itu, jangan buat-buat lupa. Duit bukannya boleh dibawa mati. Kekadang apabila berbual tentang duit dengan suami, selalu juga beliau berpesan. Lebih banyak kita memberi, lebih banyak pulangan yang kita terima. Pulangan yang kekal itu adalah yang kita tak beri kepada diri sendiri. Tetapi kita beri atas nama sumbangan/sedekah/infak dan yang sama waktu dengannya.

Faham.

Ya. Saya faham.

Semoga berjaya!

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (su’ul khatimah) dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Kawan saya pernah berkongsi impiannya,

“Saya mahu menjadi jutawan. Supaya saya boleh menjadi dermawan!”

Dengan tidak menafikan, tanpa menjadi jutawan pun, kita boleh menjadi dermawan.