13 Muhasabah Rumahtangga

Baru-baru ini berpeluang menghadiri Seminar Kekeluargaan. Terlalu banyak input yang menarik. Berikut saya kongsikan secara ringkas sebagai panduan. Semoga bermanfaat.

  1. Nak selamatkan anak-anak di usia remaja dan belia, selamatkanlah mereka di usia kanak-kanak. Ketika inilah ibu bapa perlu memberi fokus sepenuhnya kepada pendidikan mereka, pendidikan sejak kecil.
  1. Pasangan perlu belajar mengucapkan terima kasih. Janganlah buat tak nampak kebaikan dan pertolongan yang diberikan.
  1. Berbincang dengan pasangan ketika masa yang sesuai. Masa yang masing-masing berada dalam suasana tenang. Contohnya, ketika lepas solat, sebelum tidur, ketika makan dan ketika dalam permusafiran untuk bercuti.
  1. Pasangan yang sudah biasa dengan sikap mazmumah perlu berubah apabila sudah berumahtangga. Ubah sikap dengan mengubah cara fikir. Cara fikir yang bagaimana? Fikirlah untuk berbuat apa yang Allah suka, semoga dengan itu semuanya dipandu redha Ilahi.
  1. Generasi kini perlu lebih sensitif dengan persekitaran. Kadang-kadang akibat terlalu fokus kepada alat gajet, kita kurang memberi perhatian. Lihatlah sekeliling dan hargailah masa bersama anak dan pasangan.
  1. Cinta adalah perasaan yang indah. Pasangan perlu belajar untuk membina cinta. Perhatikan apabila suami orang dilamun cinta dengan wanita lain, mereka lupa dengan kebaikan isteri mereka sendiri. Kerana cinta itu adalah perasaan yang indah. Wahai isteri yang gusar suaminya mencintai wanita lain, jadilah wanita yang dicintai suami.
  1. Antara cara untuk membina perasaan cinta adalah dengan
    1. sering memberi hadiah
    2. mesti ada masa untuk meluahkan perasaan
    3. mesti ada suasana positif dalam rumahtangga
    4. sentiasa mengucapkan salam danbertanya khabar
    5. sentiasa menenangkan hati suami
    6. ketahui apa yang disukai atau dibenci oleh pasangan
  1. Berbulan madu bersama pasangan perlu wujud dalam kalendar tahunan. Tahun ini kemana kita, Abang?
  1. Jagalah syarak untuk menjaga rumahtangga. Rumahtangga yang kacau bilau selalunya berpunca daripada pasangan yang melalaikan solat, tidak memelihara aurat dan alpa dalam mempraktikkan ajaran Islam.
  1. Bagi seorang wanita, saat ia diikat dengan lafaz sakinah, langkahnya memasuki rumahtangga adalah penuh dengan tanggungjawab. Ya, semuanya adalah tentang tanggungjawab. Dalam kesibukan berumahtangga, pastikan kita bijak mencari keseronokan. Lakukan apa yang kita suka, selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak.
  1. Hidup, perlu ada kepuasan. Kita tidak membiarkan masa berlalu untuk menentukan hala tuju hidup. Tetapi kitalah yang merancang hala tuju hidup pada masa tertentu. Jika kita suka memasak, rasailah kepakaran memasak. Jika kita suka melancong, raikanlah keinginan untuk bercuti. Jika kita suka berniaga, mulakanlah. Inilah kepuasan-kepuasan hidup yang akan mewarnai kehidupan rumahtangga. Tidaklah satu warna sahaja.
  1. Daie yang aktif di luar rumah perlu memastikan rumahtangganya stabil. Dakwahilah pasangan dan anak-anak sebelum keluar dari rumah.
  1. Jadikan hubungan suami dan isteri itu hidup. Masing-masing merasa saling memerlukan. Rumahtangga memang penuh dengan kesibukan. Dalam sibuk menguruskan pelbagai komitmen, jangan lupa keberadaan suami atau isteri di sisi.

DSC_9635

Semoga rumahtangga kita adalah rumahtangga yang diredhai Allah.

Wanita Yang Istimewa

Perancangan Anak

Ketika di awal perkahwinan, saya memberitahu suami tentang hasrat yang terpendam sejak sebelum kahwin lagi.

“Suami, saya belum bersedia untuk mengandung. Kita masih berhubung jarak jauh. Tidak tinggal sebumbung. Lagipun, kita baru hendak berkenal-kenalan selepas nikah. Bolehkah beri sedikit masa untuk kita menikmati cinta selepas nikah?”

Suami bersetuju. Kami telah menetapkan satu tempoh sebelum bersedia untuk menimang cahaya mata.

Sebelum menikah, kami hanya pernah berjumpa untuk 3 kali sahaja. Perjumpaan yang ditemani rakan, di rumah rakan yang telah berkahwin. Perjumpaan pula hanya berkisar tentang persiapan untuk mendirikan rumahtangga. Tidak lebih daripada itu.

Atas nasihat daripada seorang sahabat yang saya segani, beliau mencadangkan supaya kami tidak bersegera dalam menimang cahaya mata. Bukannya tidak mahu anak. Tetapi, itulah perancangan dalam berumahtangga. Sekurang-kurangnya percintaan selepas nikah itu dinikmati sebaiknya sebelum kehadiran orang ketiga.

Tiada pil pencegah kehamilan atau sebarang alat untuk mencegah kehamilan digunakan. Sekadar menggunakan kuasa minda dan pencegahan secara semulajadi.

Sehinggalah selepas lebih setahun perkahwinan, Allah mengizinkan saya untuk mengandungkan anak pertama kami.

Alhamdulillah.

Allah Maha Pengasih lagi Penyayang, Maha Mengetahui sesuatu yang sempurna untuk hambaNya yang kerdil ini.

Tempoh setahun yang indah bagi kami berdua, walaupun sering diasak oleh persoalan anak daripada rakan, keluarga dan jiran tetangga.

Istimewa Menjadi Ibu

Hari yang sungguh istimewa ketika mengetahui ada janin yang sedang berkembang menjadi seorang manusia di dalam perut kita. Perasaannya sukar untuk diceritakan. Pada awalnya berasa sedih. Kemudian menjadi gembira. Namun rasa syukur mengatasi segalanya.

Selama sebulan saya batuk tanpa henti. Batuk dan batuk. Risau juga kenapalah tiba-tiba batuk menjadi begitu teruk. Rupa-rupanya itulah alahan mengandung. Selepas itu, tekak menjadi sangat loya. Setiap masa saya terpaksa meludah kerana berasa tidak selesa adanya air liur di dalam mulut. Kahak juga sangat banyak. Saya terpaksa membeli plastic kecil yang dibawa kemana-mana supaya dapat meludah dengan mudah tanpa perlu pergi ke tandas. Jika kerap ke tandas, terasa penat pula.

Itulah istimewanya menjadi ibu.

Selama 3 bulan saya mengalami batuk dan loya yang teruk. Selera makan berubah-ubah. Emak menasihatkan saya supaya makan banyak buah-buahan untuk menggantikan selera yang hilang. Masih teringat saya membeli pelbagai jenis buah-buahan tetapi hampir semuanya saya tidak makan. Saya juga menjadi sangat sukakan benda manis, walhal sebelum mengandung dahulu saya amat jarang mengambil minuman manis.

Pelik. Tetapi itulah istimewanya menjadi ibu.

Tanyalah pada suami yang penyabar. Beliau banyak membantu isteri yang meragam ketika mengandungkan anak pertama. Terima kasih suami.

Alhamdulillah. Anak sudah berusia 8 bulan di dalam kandungan. Kurang dari 8 minggu lagi kami bakal bertemu dengannya.

Wahai Anak

Anak,

Ibu dan Ayah menyedari anak adalah amanah. Kami memikul tanggungjawab untuk menjadikan anak manusia yang taat kepada Allah. Kehadiranmu bukan sekadar penguat cinta Ibu dan Ayah. Bukan juga sekadar menjadi penyejuk hati kami berdua. Bukan anak untuk kami bermain dan bergurau senda. Bukan juga anak yang nantinya kami harapkan ganjaran di dunia semata.

Anak,

Ibu dan Ayah mengharapkan anak sebagai bekalan kami untuk ke syurga Allah. Anak yang bijak untuk memimpin ummah. Anak yang hebat memperjuangkan kedaulatan Islam.

Ya Allah, permudahkanlah hamba untuk melahirkan anak. Berilah anak kami lahir dalam keadaan sihat sejahtera. Kurniakanlah kebahagiaan serta kejayaan kepada kami di dunia dan akhirat.

Salam sayang,

Ibu

Akhir kata,

Wanita menjadi istimewa apabila bergelar seorang Ibu.

Yang masih menanti jodoh, mampatkan keyakinan kepada janji Allah.

Yang masih menanti saatnya mengandung, teruskan berdoa dan beramal baik.

Yang sedang menanti hari bersalin, banyaklah bersyukur dan menjaga ibadah.

Setiap wanita adalah istimewa. Kerana kita datangnya daripada perut seorang wanita yang istimewa.

Ibu kita.

😉