23 Panduan Di Tempat Kerja Baru

ImageOh memang gembira dapat kerja. Lebih gembira apabila kita memang gembira hendak bekerja.

Siapa kata kita bakal bersenang-lenang apabila melapor diri ke tempat kerja baru? Tidak.

Kita pasti sibuk. Sibuk dengan 23 penyesuaian diri. Kita adalah pekerja yang hebat. Kerana majikan kita adalah Allah. Kerja adalah amanah.

Bagaimana untuk menyesuaikan diri di tempat kerja baru? Berikut adalah beberapa tips yang saya belum, sedang dan telah saya amalkan.

Semoga bermanfaat.

  • Solat hajat selalu semasa menuju hari melapor tugas. Mohon agar segala urusan dipermudahkan.
  • Ucapkan selamat kepada setiap orang yang kita jumpa sambil senyum dan menundukkan kepala.
  • Datang awal ke tempat kerja untuk membina reputasi yang baik. Kebiasaanya orang yang dapat menguruskan masa dengan baik adalah orang yang pandai menguruskan diri. Bos pasti menyemak kedatangan pada minggu/bulan terawal. Moga istiqamah!
  • Panggil dengan nama yang sesuai dan disukai mereka. Cuba dengan pertanyaan, “How should I address You?” atau “Saya nak panggil macammana ye…”
  • Sila bertanya. Banyakkan bertanya soalan yang munasabah supaya kita cepat belajar. Pastikan memilih masa yang sesuai untuk bertanya.
  • Perhatikan rutin di tempat kerja baru. Ikut rutin yang menjadi kebiasaan, elakkan melakukan perubahan serta-merta ditakuti ramai yang terkejut dan tidak suka. Aha, ketika orang ‘lama’ sibuk memperhatikan kita, kita juga perlu ‘sibuk’ memperhatikan mereka. Perhatikan cara mereka bekerja.
  • Berhati-hati dengan bicara dan tindakan. Kebiasaannya, kita akan diperhatikan. Salah yang sedikit akan menjadi besar bagi sesetangah orang.
  • Tepati waktu dan janji. Elakkan bercakap kosong tanpa aksi.
  • Hormati setiap orang yang kita jumpa. Serendah mana pangkat, seburuk mana akhlak.
  • Jauhi kumpulan-kumpulan yang suka menceritakan keburukan orang lain. Sebaik sahaja mereka mula bercerita, ucapkan dengan baik, “Maaf, saya takut bercakap keburukan tentang orang lain. Jom kita bincang isu lain.”
  • Pergaulan luas. Berkenalan dengan setiap orang di setiap sudut tempat kerja.
  • Ingat maklumat-maklumat penting tentang orang yang baru kita kenal. Supaya hubungan mesra lebih mudah terjalin dan berkekalan.
  • Sentiasa melihat kebaikan dalam setiap orang yang kita jumpa. Selalu yakin setiap orang yang baik atau tidak pasti mempunyai potensi dan kemahiran masing-masing. Cuma kita belum tahu. Belum nampak.
  • Banyakkan mendengar daripada bercakap.
  • Dapatkan feedback daripada pihak atasan untuk setiap tugasan. Bukan tunggu feedback, tetapi minta. Contohnya, “Betul ke caranya begitu?” atau “Apa pandangan Tuan tentang perancangan saya ini?”
  • Sila lupakan perkara-perkara ‘terbaik’ yang kita terima atau buat ketika di tempat kerja lama. Membanding-bandingkan apa yang ada dan tidak hanya membuang masa. Fokus dengan masa kini.
  • Akui kesalahan kita. Maklumlah, pekerja baru mana yang tidak buat salah. Amalkan meminta maaf.
  • Apabila belajar sesuatu yang baru dan mustahil untuk ia melekat di kepala, ‘lekat’lah di dalam buku nota. Selalunya orang tidak kisah memberi penerangan apabila kita bertanya. Tetapi kalau asyik bertanya perkara yang sama berulang kali, hmm.
  • Sentiasa memaklumkan kepada majikan kemana anda pergi. Jangan buat mereka tercari-cari. Keep your boss informed!
  • Pastikan hari-hari terawal kita memakai pakaian yang baik. Memang kita tidak menilai daripada luaran. Tetapi first impression memainkan peranan yang sedikit dan mungkin banyak untuk ‘kestabilan’ di tempat kerja baru.
  • Antara cara untuk membina hubungan yang baik dengan rakan sekerja di tempat kerja baru adalah dengan membantu mereka. Memberi khidmat, biar bertempat. Siapa yang tidak suka dibantu, kan?
  • Sentiasa bersangka baik.
  • Sentiasa positif.

Terdesak Mencari Cinta

Saya dijemput untuk menghadiri majlis sambutan hari jadi seorang kawan. Jejak sahaja di rumah beliau, saya melihat suasana yang cukup saya rindukan. Seluruh keluarga berkumpul, bermain permainan, makan bersama-sama, penuh dengan budak-budak dan hingar bingar dengan suara. Terus kerinduan kepada kampung halaman menerpa. Teutamanya rindukan Emak dan Ayah.

Bercakap tentang keluarga, pastinya isu yang saya ingin bawa adalah isu kahwin. Kalau orang bertanya kepada saya, bilakah agaknya saya akan mendirikan rumah tangga, saya akan menjawab,

“2013.”

Menjelang tahun 2013, kalau ada orang bertanya lagi, saya akan menjawab,

“2014.”

Dan seterusnya sampai saya sudah kahwin. Pernah seorang kawan saya berkata,

“Dulu masa tahun 2011, awak kata nak kahwin tahun 2012. Sekarang sudah 2012, tak ada apa-apa pun. So, tahun depanlah ya?”

Kata yang lain lagi,

“Eh hari tu awak kata tak ada calon? Tapi nak kahwin tahun 2013?”

Ada yang bertanya,

“Kitak udah ada gerek ka?”

Bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud,

“Awak sudah ada boyfriend?”

Dan ramai mendoakan saya berkahwin dengan orang Sarawak. Saya mengaminkan sahaja.

Perkahwinan adalah cerita yang menarik untuk diraikan. Orang yang sudah berkahwin adalah orang yang beruntung. Tetapi tak semua yang belum berkahwin tidak beruntung. Dahulu, saya pernah merancang, tetapi Emak memang tidak mengizinkan dan tidak suka saya bercakap soal perkahwinan. Maklumlah anak kesayangan. Perasan.

Jangan sesekali menyebut soal mahu berkahwin. Pantang sungguh. Berbeza pula dengan Ayah saya yang menyokong sepenuhnya. Sejak itu, saya sering berdoa supaya Allah melembutkan hati Emak saya untuk membenarkan saya melalui fasa berumahtangga. Saya amalkan doa ini,

“Ya Allah, permudahkanlah urusan jodoh dan pertemuanku dengan pasangan yang baik.”

Permudahkanlah.

Allah mudahkan, ketika tibanya hari lahir Emak saya pada bulan Disember yang lalu, saya menerima panggilan telefon di awal pagi.

“Emak doakan Liana …..”

Speechless!

Emak saya sebut satu-satu apa yang dia mahukan untuk kehidupan saya. Tidak pernah beliau mahu menyentuh tentang isu kahwin dengan saya, tetapi beliau menyatakannya ketika itu, ketika beliau menyambut hari lahirnya.

Semuanya dengan keizinan Allah juga.

Selepas itu saya tidak lagi menimbulkan isu kahwin dengan Emak. Sehinggalah ketika mengerjakan umrah pada bulan februari yang lalu, saya menyebut lagi soal ini dan Emak memberi respon yang baik.

Orang selalu mencari lelaki atau wanita yang mempunyai kriteria-kriteria tertentu yang menjadi pelengkap kepada kehidupan mereka. Saya pula memikirkan kriteria yang memenuhi kemahuan Emak saya. Emak saya tidak minta yang bukan-bukan.

Saya kembali senyap dengan isu ini. Sebab saya belum terfikir untuk berkahwin. Macam yang saya nyatakan sebelum ini, ini bukanlah soal malu tetapi belum mahu. Saya harap saya normallah. Kawan-kawan saya kebanyakannya akan berumah tangga. Tetapi ramai juga yang tidak. Kita semua normal, InshaAllah.

Sehinggalah saya menerima satu lagi panggilan telefon dari Emak pada suatu pagi, selesai sahaja saya menemui pesakit, 2 minggu yang lalu. Apa kata Emak?

“Emak nak datang Sarawak. Dah rindu pula pada Sarawak. Mak nak datang bulan 5 masa birthday Liana nanti. Nanti bawa Mak jumpa bakal menantu.”

Erk.

Kawan-kawan saya pernah bercerita bagaimana Emak dan Ayah mereka mahu mereka segera berkahwin. Sehinggakan mereka terasa sukar. Sekarang, baru saya faham bagaimana rasanya apabila ada harapan tertentu mereka yang tidak dapat kita tunaikan.

Cerita di atas adalah cerita rekaan semata-mata. Okay, saya tipu.

Sebenarnya, ada beberapa isu saya nak sentuh tentang cinta. Saya memang bukan orang yang layak bercakap tentang soal cinta kerana saya tidak pernah bercinta dan bukan sedang bercinta. Tak nak. Tetapi saya memerhatikan bagaimana cinta boleh menjadi racun yang menarik kita ke lembah zina. Cinta untuk orang yang terdesak, seperti saya dalam kes di atas. Bulan 5 adalah dalam sebulan lagi. Mencari cinta dalam tempoh sebulan? Memang terdesak. Bukan sayalah yang tersedak, eh terdesak.

Kepada mereka yang terdesak untuk mencari cinta, anda mungkin telah dan sedang melakukan ini:

  1. Meletakkan pelbagai gambar yang menarik dan tertarik di Facebook. Mana tahu ada yang terpikat.
  2. Menulis status-status tentang cinta dan rumahtangga. Mana tahu ada yang dapat meneka anda sedang mencari cinta.
  3. Meminta semua orang mendoakan anda cepat-cepat bertemu jodoh.
  4. Berkenalan dengan sesiapa sahaja, sering berhubungan dalam telefon, berchating(rosak bahasa) di facebook, dan sebagainya.
  5. Senyum kepada semua orang.
  6. Ramah tidak bertempat.
  7. Tidak menjaga pandangan.
  8. Setiap hari mengintip pergerakan orang-orang tertentu di Facebook. Tak ada kerja lain, ke.
  9. Menulis status-status kontroversi supaya orang sedar yang anda belum berpunya, atau orang perasan yang anda berpotensi untuk dijadikan calon isteri/suami yang baik. (Contohnya seperti cerita ‘saya’ di atas. Bukan saya ok!)

Saya tak kata salah pun. Tetapi saya nak cadangkan alternatif, iaitu:

  1. Bertanya kepada kawan-kawan atau sahabat-sahabat anda, adakah sesiapa yang tengah mencari pasangan. Jangan malu.
  2. Menghadiri pelbagai program yang bermanfaat dan rajin-rajinlah menegur Mak Cik atau Pak Cik di sana, mana tahu mereka ada anak dara dan teruna. Lagi mudah dan pantas.
  3. Meminta ibu dan ayah anda mendoakan anda setiap masa. Doa mereka makbul.
  4. Menjaga pergaulan dengan yang berlainan jantina. Kalau anda mahukan pasangan yang menjaga pergaulan, juga.
  5. Meminta Ibu dan Ayah anda mencarikan pasangan untuk anda.
  6. Membuat kebaikan kepada semua orang.

Jangan risau jika anda masih belum bertemu jodoh. Belum bertunang. Belum berkahwin. Ada sesetengah orang berpendapat anda perlu duduk diam dan menunggu. Berdoalah sahaja. Ada pula yang berpendapat anda perlu proaktif mencari.

Kalau anda lihat tagline blog saya :

Perkongsian Cita-Cita dan Cinta.

Memang saya maksudkan saya ingin menyentuh soal cita-cita dan cinta. Tetapi tidak menumpu kepada cita-cita yang selalunya kita rujuk sebagai pekerjaan, dan tidak pula menumpu kepada cinta sesama manusia sahaja.

Cadangan saya kepada yang sedang mencari cinta:

  • Bersyukur dengan apa yang Allah berikan kepada kehidupan anda setakat ini.
  • Menyiapkan diri dengan membaca dan menuntut ilmu agama yang asas.
  • Memerhatikan bagaimana orang berumahtangga menguruskan keluarga mereka.
  • Bertanya kepada pasangan yang soleh tentang bagaimana mereka bertemu jodoh dan cubalah mencuba cara mereka.
  • Yakin dengan Allah.

Cinta adalah cita-cita setiap manusia. Tanpa cinta, cita-cita seakan tak bernyawa. Cinta yang terbaik adalah cinta yang mempunyai cita-cita. Jadikan akhirat sebagai motivasi anda untuk mencapai cita-cita.

Pesanan Rasulullah SAW

Untuk lelaki:

“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.”

Untuk wanita:

“Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.”

 

p/s: Pernah jumpa orang yang mengata diri sendiri?  ^_^  Artikel ini ditulis bukan untuk menyakiti hati atau menyentuh sensitiviti sesiapa. Anda punyai hak ke atas kehidupan anda sepenuhnya. Artikel ini tengah mengata diri sendiri. Mari berlapang dada.

Sambutan Maulidur Rasul di Samarahan

Asas kepada iman yang mantap adalah ilmu. Menyelusuri kehidupan ini, kita disibukkan dengan banyak perkara. Namun, rugilah jika masa yang ada kita sia-siakan dengan perkara yang berfaedah.

Ya, perkara yang kita rasakan berfaedah. Tetapi sebenarnya sia-sia. Fikir-fikirkan.

 

Program Cuti Sekolah Di Kuching

Anak-anak yang bercuti perlu dibantu agar cuti ini tidak berlalu sebegitu sahaja. Kecemerlangan mereka adalah di tangan anda juga. Isilah masa mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah, tidak semestinya menghadap buku sahaja. InshaAllah saya juga akan menyertai misi ini. Jumpa di sana!

Cacat Yang Beruntung

Kepalanya tertunduk sahaja. Tangan dan kaki entah di posisi mana. Air liur mengalir tidak berhenti. Mulutnya ternganga sejak tadi. Wanita di sisinya senyum memandang saya. Sambil bercakap pun boleh tersenyum. Seorang lelaki pula masuk. Mengusap kepala yang terduduk menunduk.

Tiba-tiba hati saya dirundung kepiluan teramat sangat. Saya membaca kad perubatan miliknya.

Cerebral palsy.

Bilateral blindness.

Kecacatan mental. Buta kedua belah mata.

Bertambah kesayuan di hati. Wanita yang berdiri di sisi kirinya adalah si ibu. Di sisi kanannya adalah si bapa.

“Umurnya 1 tahun, baru saya tahu dia ada masalah ini Dr.”

Saya mengangguk menyahut penyataannya. Sementara itu usaha untuk melihat kondisi dalam mulut agak sukar. Kanak-kanak ini berusia 12 tahun dan tidak mahu bahagian mulutnya dipegang. Dia bertindak agresif dan menendang dan menolak apa sahaja yang cuba menyentuhnya.

Ibunya mengadu si anak mempunyai ulcer di dalam mulut. Kanak-kanak itu terpaksa dipegang oleh 4 orang untuk melihat kondisi ulcer tersebut. Ia agak besar, hampir menyamai syiling 50 sen. Dan itu bukanlah berita yang sedap didengar untuk seorang budak yang cacat mentalnya. Kanak-kanak ini tidak mampu untuk mengadu yang dia sedang mengalami kesakitan. Dia tidak mampu untuk bercakap.

Kalaulah kita di tempatnya, ulcer yang baru hendak jadi sekitar sebesar biji kacang hijau pun kita sudah mengadu pada orang. Cepat-cepat jumpa doktor untuk dapatkan ubat. Sekurang-kurangnya kita boleh mengadu dan mencari jalan penyelesaian. Tetapi untuk kanak-kanak seperti mereka ini?

Siapa yang tahu ketika mereka diulit kesakitan? Siapa hendak ambil tahu?

Itulah sebabnya mengapa di awal tadi saya tersentuh melihat ibu dan bapanya yang mengambil tahu dengan penuh rasa tanggungjawab menjaga kanak-kanak istimewa ini sejak lahir sehinggalah sihat walafiat. Sangat mengagumkan mereka masih lagi boleh tersenyum dan menyayangi kanak-kanak itu dengan sepenuh hati.

Jika anda adalah seorang ibu atau bapa, atau bakal ibu ataupun bapa, didiklah anak-anak dengan penuh rasa tanggungjawab. Janganlah bagai melepaskan batuk di tangga. Tahu kahwin tahulah menjaga anak.

Setiap anak mempunyai perwatakan yang berbeza dan ibu bapa adalah guru yang terbaik mewarnakan mereka dengan warna yang bersih. Jika anda mahu marah, pelajarilah adab-adab untuk memarahi anak. Jika anda mahu pukul, timbang-timbanglah dulu.

Jangan sampai Allah murka dan berikan seorang anak yang cacat mental atau fizikalnya. Baru anda hendak sayang mereka. Mungkin anak yang lahir normal itu tidak cacat fizikal dan mental mereka seperti kanak-kanak yang saya ceritakan ini, tetapi atas sebab tidak bertanggungjawab anda mendidik mereka dengan baik, suatu masa nanti mereka boleh cacat ‘fizikal’ dan ‘mental’.

Boleh jadi sahaja cacat fizikal dan mental akibat mengambil dadah untuk mendapatkan ketenangan yang tiada di rumah!

Dan kanak-kanak itu mengangkat tangan kanannya mendekati mulut. Ibu jarinya dihisap. Kepalanya makin menunduk dan air liur membahasi bibirnya. Mungkin itulah petanda dia sedang dalam kesakitan. Dan ibu bapa yang bertanggungjawab dapat memahami perlakuan pelik anaknya.

Anak-anak ibarat kain putih. Anugerah Allah kepada anda.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapanyalah yang menjadikannya sama ada Yahudi, Majusi atau Nasrani.” (Hadis riwayat Bukhari).

7 Sebab Jangan Tidur

SATU

Hari-hari yang berlalu bagaikan sebuah mimpi yang telah terlaksana. Satu demi satu kisah kehidupan mendidik jiwa untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Ia berlaku kepada saya, juga kepada dia. Dialah anak-anak yang dilahirkan di Palestin, terletaknya Gaza iaitu sebuah kawasan yang penuh berkat.

DUA

Senyumannya mengingatkan saya kepada seorang sahabat lama, namun senyumannya kali ini lain benar kerana ayat yang terucap dari bibirnya. Apa yang dia kata?

“Saya bersedia menjadi ikon untuk Aman Palestin kerana saya pun ingin ke syurga.”

Beliau adalah pengacara popular sebuah rancangan kegemaran saya di tv9. Kini, popularitinya menjadi suatu wasilah untuk dia dekat dengan syurga Allah.

TIGA

Merdeka! Tahniah kepada Israel kerana telah merdeka dan beroleh sebuah negara hasil daripada kekejaman kalian menceroboh, mengusir dan menakluk Palestin pada 15 Mei 1948, tarikh dimana secara rasminya Israel diiktiraf oleh PBB sebagai pemilik bumi Palestin. Memang Israel hebat sebab bunuh ramai pejuang-pejuang Islam. Israel hebat juga kerana telah memusnahkan tanah yang merupakan tempat kelahiran para nabi seperti nabi Ishak, Yakub, Yusuf, Yahya, Isa dan ramai lagi.

Tak lama selepas itu, Israel berjaya membakar Masjid al-aqsa dengan kiriman seorang pakar perubatan yahudi dari Australia pada 21 Ogos 1969, tarikh yang menaikkan kemarahan umat Islam yang sensitif. Ia juga dikenali sebagai hari al-aqsa sedunia.

EMPAT

Surah itu dibaca 17 kali sehari untuk orang yang bersolat 5 waktu sehari. Kalau ajaran sesat jenis yang menjamak solat tanpa keperluan mungkin kuranglah. Bersoal jawablah engkau dengan tuhan. Melihat ayat yang terakhir, agak-agak siapakah yang dimaksudkan oleh Allah sebagai orang yang dimurkai dan orang yang sesat?

Orang yang dimurkai adalah Yahudi.

Orang yang sesat adalah kafir.

Justeru apa? Orang yang paling benci dengan orang yang beriman adalah orang Yahudi. Sehinggakan ketika sukarelawan itu bergerak ke masjid untuk bersolat subuh berjemaah, seorang pihak berkuasa palestin yang bertugas di masjid ditugaskan untuk menjaga keselamatan para jemaah ini. Kerana mereka yang berjaya bangun pagi untuk solat berjemaah di surau/masjid adalah orang-orang yang tinggi imannya. Orang-orang yang menjadi target yahudi untuk dihancurkan.

LIMA

Mungkin menjadi tanda tanya kenapa mereka mahu benar bumi Palestin? Apakah keistimewaannya? Menyelak kembali ketika Rasullullah dinaikkan ke langit ketika Isra’ dan Mikraj, agak-agaknya kenapa dari Mekah tidak terus ke langit? Kenapa perlu ke Palestin? Yalah, selain daripada sebab Rasulullah bersolat jemaah bersama para Nabi.

Menurut kajian saintifik terkini, di atas kawasan baitul maqdis terdapat ruang udara ke kawasan lain. Ruang udara yang merupakan tempat masuk dan keluar strategik. Inilah keinginan mereka. Ya, selain daripada beberapa banyak sebab yang lain.

ENAM

Terduduk kaku selama 10 saat mendengar kalimah isteri seorang pejuang yang telah mati syahid. Ia mengungkapkan,

“Kalau umat Islam tidak mahu membantu kami, tidak mengapa. Tetapi kami akan adukan kepada Allah di akhirat kelak.”

Rupa-rupanya tanah suci ini bukan sahaja milik warganegara Palestin. Tetapi ia adalah hak milik Umat Islam. Siapakah umat Islam yang dimaksudkan?

TUJUH

Suatu masa nanti, bumi Palestin akan bebas dari penjajahan. Ketika itu mungkin nyawa telah ditarik Tuhan. Namun, hasil yang kau mimpikan sejak awal adalah urusan Tuhan. Apa yang kau boleh lakukan sekarang?

1. Bersedekahlah. Bantulah Aman Palestin dengan harta yang kau miliki untuk pembangunan umat Islam di sana. Sedarilah kau sedang membantu anak-anak dan isteri para pejuang. Tahukah engkau bahawa orang mati syahid diberi keizinan oleh Allah untuk memberi syafaat? Suatu masa nanti si mati akan berkata kepada Allah SWT, dimanakah si folan/folanah yang telah membantu anak-anak yatim dan isteri aku ketika aku telah mati? Aku ingin memberikan syafaat kepadanya.

2. Bersedekahlah dengan tenaga yang engkau ada. Sebarkan kepada keluarga, saudara mara dan rakan sekerja tentang kekejaman Israel dan betapa rakyat Palestin memerlukan sokongan kita. Mereka yakin kita sedang menyokong mereka, jadi tolong jangan tidur. Lakukan sesuatu.

3. Boikotlah. Boikotlah produk-produk yang memberi bantuan kepada ‘perjuangan’ Israel. Sehinggakan Syed Yusuf al Qardawi telah memfatwakan haram kita berbelanja produk-produk yang mempunyai kaitan dengan Israel.

Lakukanlah sesuatu.

Jangan tidur.

Dana Sumbangan & Derma
Bank Islam (M) Berhad: 12029010047880
Maybank (M) Berhad: 562263010787
Bank Muamalat (M) Berhad: 12070005133717
RHB Islamic Bank: 21245760004907

Unfriend Adalah Penyelamat

Jika tindakan ini membuatkan hubungan yang terbina menjadi keruh, kepada Allah aku mohon keampunan.

Jika tindakan ini membuatkan kau membenci aku, kepada Allah jua aku pohon untuk memperbaiki segalanya.

Memang, bukanlah mudah untuk melakukan sesuatu yang sebenarnya keinginan ini inginkan begitu. Seluruh jiwa dan raga menginginkannya. Namun, ingatan kepada Allah mencegah segala keinginan yang tidak bersandarkan iman dan taqwa.

Rakan-rakan, Pernahkah kalian berdepan dengan kawan-kawan yang bisa menggoncang imanmu? Iman yang selama ini kau bina satu persatu dengan bata agar ia tetap kukuh dan boleh menampung bebanan? Namun, bebanan yang satu ini sukar benar untuk kau tampung sehingga akhirnya ia jatuh berkecai? Hanya kerana kawan-kawan?

Kawan-kawan lelaki atau perempuan. Yang sekali-sekala dirasuk jiwanya lantas turut menegur imanmu yang sedang kealpaan itu? Lalu kemana kau bawa imanmu pergi? Sehinggakan kau terus lemas dalam keinginan duniawi yang terus-menerus mencengkam engkau daripada kembali kepada Nya?

Justeru, maafkan aku jika tindakanku ini kelihatan sungguh kejam. Kekejaman ini bukanlah suatu kerelaan. Ia suatu keterpaksaan. Paksa dalam rela. Namun, ketahuilah. Allahlah sebaik-baik perancang. Menyedari bahawa hakikat setiap yang berlaku adalah dengan keizinanNya, maka di saat ini aku menafsirkan apa yang berlaku punyai hikmah yang besar.

Unfriend, mungkin bukan satu penyelesaian. Tetapi ia adalah satu penyelamat. Aku merasakan.