Tips Ringkas Survival Alam Klinikal- Saya Boleh!

“Akak, bagaimana perasaan di tahun akhir pengajian?”

Jawapan beliau yang masih segar dalam ingatan.

“Rasa macam air dah paras hidung. Dah nak lemas.”

Saya senyum. Menelan air liur sendiri. Fuh.

Realiti pelajar pergigian. Memang banyak. Banyak. Banyak. Banyak perkara. Tetapi semuanya adalah kenangan manis yang sangat saya rindukan. Rindu sangat.

Perkara yang paling menggembirakan adalah berjaya melangkah ke tahun berikutnya. Bermakna, tidak sia-sialah usaha sepanjang tahun tersebut.

Segalanya pun adalah dengan keizinan Allah jua. Pengajian selama 5 tahun mengajar erti tawakal, keikhlasan dalam menuntut ilmu, ketabahan dan erti kesungguhan.

Seorang adik di tahun ketiga pengajian meminta tips untuk survival di alam klinikal. Saya tidak dapat menyentuh secara terperinci memandangkan sudah agak berabad saya meninggalkan alam pengajian. Justeru, saya berkongsi secara keseluruhan. Harap-harap memberi manfaat walaupun sedikit.

Ward Round

Suka saya berpesan, sentiasa menerima tawaran pensyarah jika diminta untuk melakukan pemeriksaan kepada pesakit. Kebanyakan doktor perubatan yang mengajar adalah sangat baik dan membantu. Jadi, tidak perlu takut. Peluang memeriksa pesakit janganlah disia-siakan. Pastikan kita ‘menyentuh’ sekurang-kurangnya seorang pesakit semasa ward round. Yolah, kalau semua pun kita nak pegang, kawan-kawan yang lain pun nak juga. Dak?

Mesti ada buku nota kecil. Catatkan sedikit latar belakang pesakit yang ada kena mengena dengan penyakit. Selalunya pensyarah akan menceritakan dengan begitu terperinci sehinggakan terlepas mencatat. Catatlah apa-apa yang penting. Terutamanya apabila pensyarah mula menimbulkan banyak persoalan tentang pesakit dan penyakit. Soalan-soalan inilah menjadi kemungkinan soalan yang akan ditanya ketika viva nanti.

Walaupun kekadang kita berjumpa dengan penyakit yang sama dalam satu sesi, hargailah ia. Apabila ada masa terluang, pastikan kita melakukan ulangkaji berkaitan penyakit yang baru kita lihat tadi.

Suka dan suka lagi saya nak kongsi, jika pesakit adalah Muslim, jangan lupa tiupkan sedikit kata-kata semangat supaya hidup jiwa mereka. Cuba-cuba merisik adakah mereka sudah menunaikan solat. Bantulah, apa yang boleh. Sakit fizikal, Doktor dah beri ubat. Sakit rohani, bagilah ubat juga.

Projek Gigi Palsu

Ini adalah antara projek yang saya sukai. Ia memerlukan sedikit kemahiran seni selain daripada kesabaran dan ketabahan jika gigi palsu tidak menjadi. Sukanya saya dengan projek ini sehinggakan saya pernah merancang untuk menyambung pengajian prostetik. Angan sekadar angan semata.

Binalah hubungan yang baik dengan pekerja-pekerja di makmal, begitu juga para juruteknologi pergigian. Sebab apa? Mereka inilah insan-insan yang akan membantu ketika kita susah.

Barang rosak. Itu hilang. Kepada mereka jugalah kita melutut nanti. Tak rugi pun buat baik dengan orang lain. Buat baik bukan kerana kita mahu dibalas baik. Buat baik kerana ia adalah perintah Allah. Cuma manfaatnya memang jelas, kebaikan kita akan dibalas kebaikan. Lebih jelas lagi, interaksi sosial yang baik memungkinkan segala urusan kita menjadi lebih mudah.

Rajin-rajinlah beri salam. Rajin-rajinlah ucap selamat sejahtera. Jangan sombong sangat. Bakal doktorlah konon. Uhuk.

Motivasi-Hidup

Requirement Clinic

Saya gembira dapat jumpa pesakit. Jadi, agak jarang saya merasa tertekan ketika berurusan dengan pesakit. Penting untuk kita mempamerkan sikap yakin ketika berkomunikasi dengan pesakit. Selalunya mereka memang tak yakin pun dengan kita, maklumlah kita kan pelajar. Tengah belajar, banyak perkara tak tahu.

Jadi, pandai-pandailah berlakon seperti doktor. Saya selalu anggap saya seorang doktor walaupun ketika itu saya masih sedang merangkak-rangkak dalam pengajian. Tetapi anggapan begini akan menjadikan saya realistik dan bertindak sepertimana seorang doktor sepatutnya bertindak.

Bertindak bijak. Jangan tamak. Kekadang perlu juga bijak dan tamak, tetapi tidaklah menyusahkan orang lain. Faham, ke? Tersirat juga. Perlu bijak melihat sesuatu dengan pandangan, ‘begin with the end in mind’. Rancanglah rawatan-rawatan.

Buanglah mentaliti seperti ‘kalau aku tak dapat kes, aku akan gagal’ atau ‘kes ini penting untuk aku cepat cepat grad’.

Entah. Pemikiran begini hanya akan menambahkan tekanan dan meningkatkan potensi untuk mendapat darah tinggi. Ehe.

Sekali sekala berfikirlah di luar kotak. Pernah satu ketika, pesakit untuk paediatric clinic tidak dapat hadir dan saya ada 3 jam kosong, tanpa pesakit. Lalu, saya menuju ke ruang menunggu di bahagian wad bersalin hospital untuk mencari pesakit. Seorang ibu percaya dengan membiarkan saya membawa anak beliau ke klinik untuk pendaftaran dan rawatan, galang gantinya saya memberikan kad pengenalan dan kad pelajar kepada ibu tersebut. Ini adalah perkara paling gila yang boleh saya katakan sepanjang pengajian, betapa terdesaknya kami memerlukan pesakit untuk memenuhi senarai rawatan yang perlu diselesaikan. Jika tidak, ada kemungkinan kami akan ditahan daripada menduduki peperiksaan.

Ehe. Rezeki. Rezeki sungguh. Usaha pun perlu, siapa tak nak grad cepat? Siapa nak gagal? Tak dak siapa mahu. Kan?

Berinteraksi dengan senior, junior dan kawan-kawan. Tolong-menolonglah sesama kita. Yang paling best, kita tolong kamu, kamu pula tolong kita. Saya sangat menghargai senior-senior terutamanya buddy dan junior yang banyak sangat membantu. Itulah sebabnya kenapa kita perlu baik dengan semua orang. Ketika inilah, baru terasa mereka membalas kebaikan kita. Semuanya dengan izin Allah jua. Alhamdulillah.

Kesimpulannya, percaya dan yakinlah kita boleh menggenggam kejayaan walau banyak ujian yang mendatang. Pastikan momentum keimanan sentiasa pada tahap yang terbaik supaya setiap tindak tanduk kita mendapat redha Ilahi.

Semoga berjaya, adik-adik.

Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Islam Dijunjung

 “You don’t like to play safe.” Suami memberitahu.

Memandang sahaja wajah suami, senyum.

Suami bertanya, “Faham ke maksud Abang?”

Suami pun menerangkan. Saya mengangguk. Angguk.

Mungkinlah, betul.

Ketika mengisi borang penempatan, ada beberapa alasan saya letakkan supaya permohonan saya mendapat perhatian untuk diterima.

Antaranya ialah

-saya sukakan cabaran

-saya suka menguruskan kes-kes yang kompleks

-saya mahu belajar banyak perkara baru

Kerana sebab-sebab inilah, saya telah ditempatkan di sebuah negeri yang letaknya merentasi Laut China Selatan.

Saya memang sudah bertekad untuk ke Pulau Borneo, setelah Abang kandung, Encik Jain Nazley Bin Ayob menasihati untuk mendapatkan pengalaman di tempat baru. Abang yang selalu berhijrah ke banyak negara ini memberikan sokongan.

Namun, hasrat itu akhirnya dibatalkan apabila Emak tidak berapa merestui. Lalu saya memilih negeri yang saya fikirkan memenuhi kriteria di atas:

-Kuala Lumpur

-Selangor

-Johor

Firman Allah maksudnya:

“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(al-Baqarah:216)

Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang. Sesuatu yang kita rasakan baik, tidak semestinya baik untuk kita manakala sesuatu yang kita rasakan buruk, mungkin baik untuk kita.

Masih teringat suasana ketika menerima surat tawaran tersebut.

Boleh baca di artikel sebelum-sebelum ini.

Justeru, saya ingin merujuk kepada dua soalan yang diutarakan oleh adik-adik yang bakal menamatkan tahun akhir pengajian.

Bagaimana nak memilih tempat yang baik?

Ada beberapa panduan ringkas.

Keluarga

Bincang dengan Emak dan Ayah(Termasuklah murobi, murobiyah, naqib, naqibah etc). Adakah mereka merestui jika kita memilih tempat yang jauh? Selalunya yang menjadi kerisauan adalah jika ada bencana atau kemalangan yang tidak dijangka, adakah kita dapat pulang segera? Selain itu, ada sesetengah yang perlu menjaga Emak atau Ayah yang sakit. Jadi, kalau Emak dan Ayah kita sihat dan memberi lampu hijau, pilihlah tempat-tempat yang jauh. Kenapa?

Pengalaman

Kerana sudah pasti tempat yang jauh menjanjikan pengalaman yang lebih mahal. Cabarannya mungkin lebih besar. Contohnya, jika anda ditempatkan di Sabah atau Sarawak, di mana anda bakal bertemu dengan pelbagai gaya bahasa, budaya dan cara hidup yang berbeza, serta keadaan masyarakat yang pastinya tidak sama seperti di semenanjung. Berpeluang untuk menggunakan bot, menaiki helikopter, merentas 12 jam perjalanan secara solo, menjadi orang asing di desa terpencil, aha. Semuanya mungkin ada di kawasan pedalaman. Mahal kan pengalaman ni?

Target

Ya. Sebenarnya apa yang anda impikan setelah bertungkus lumus menamatkan pengajian selama 5 tahun?

Anda impikan membawa keluarga menaiki kereta baru? Bekerjalah di lokasi yang berdekatan.

Anda impikan berbakti kepada kampung halaman? Mintalah di kampung sendiri.

Anda takutkan cabaran? Mana-mana pun ada cabaran.

Anda sukakan cabaran? Lebih jauh, lebih mencabar.

Gaji

Pastinya bekerja di Pulau Borneo menjanjikan gaji yang sedikit lumayan. Tetapi, ini tidak bermakna apa-apa jika kita tidak tahu berjimat-cermat. Alih-alih habis juga duit digunakan untuk membeli tiket pulang ke kampung.

Tapi. Oklah. Alhamdulillah.

Secara jujurnya, saya mencadangkan adik-adik meneroka tempat baru. Lebih jauh lebih baik. Terutamanya ke Pulau Borneo.

Ada yang bertanya tentang pengalaman bekerja di Sabah dan Sarawak.

Saya ada pengalaman buruk. Tetapi lebih banyak pengalaman yang baik. Justeru, tanpa mahu berkongsi yang buruk kerana saya yakin apa yang Allah takdirkan itu sebenarnya adalah baik untuk saya, bekerja di Pulau Borneo adalah pengalaman yang sangat MAHAL. Saya sangat bersyukur Allah memberi peluang saya ke sini.

Kenapa bekerja di Pulau Borneo?

Setelah mendengar cerita daripada rakan-rakan di Semenanjung(boleh rujuk senior yang bekerja di semenanjung), FYDO di Pulau Borneo lebih berpeluang untuk merawat kes-kes kompleks, berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dengan mudah(kerana kurang persaingan) dan berpeluang memegang jawatan tinggi(lebih banyak peluang dan pengalaman memimpin di usia muda).

Selain itu, kehadiran anda sangat diperlukan untuk membantu saudara-saudara Muslim di sini. Datanglah ke sesuatu tempat dengan membawa agama. Ingatlah peranan Rasulullah untuk terus-menerus menebarkan ajaran Islam di muka bumi ini. Bantulah yang sudah Islam untuk lebih memahami Islam. Bantulah yang belum Islam untuk mengenal Islam.

Kesimpulannya, di mana-mana pun tidak ada masalah selagi mana kita sedar akan hakikat dan tugas kita sebagai hamba dan Khalifah Allah. Letakkanlah tanggungjawab menjunjung agama di bahu kita. Rasakan bebanan itu.

Pergi kerja, bawa agama.

Ibaratnya sebiji benih yang dicampakkan ke tengah lautan, menjadi sebuah pulau. Jadilah kita permata agama yang bernilai, ke mana sahaja kita dicampakkan, kita boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

Islah diri, dakwah ummah.

Di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung.

Lakukan solat istikarah,

Berbincanglah.

Moga Allah beri yang terbaik. InshaAllah.

2012-12-16 09.57.34

 

 

Anugerah Doktor Paling Baik

“Biasalah ibu-bapa datang bawa anak-anak untuk rawatan di sini. Kadang-kadang mereka bukan mahu sangat anak mereka dirawat, tetapi mereka mahu kita beri nasihat kepada anak-anak mereka.” Ujar Dr. A, pakar ortodontik yang memiliki sebuah klinik besar di Miri, Sarawak.

Saya mengangguk-angguk. Benar-benar menelan dan mencerna kata-katanya tadi.

Perbualan ini mengingatkan saya kepada seorang lagi Pakar Ortodontik yang berkhidmat di Kuching, Dr. T.

Beliau juga mengungkapkan maksud yang lebih kurang sama,

“Kadang-kadang kamu tengok Emak dan Ayah datang menemani anak-anak sehingga ke dalam bilik surgeri. Itu menunjukkan betapa mereka sangat mengambil berat tentang anak-anak mereka. Terlalu risau mungkin. Dan kadang-kadang saya hairan melihat bagaimana anak-anak ini membalas jasa ibu bapa mereka.”

Sambungnya lagi, “Kamu tahu, saya boleh nampak anak-anak yang baik dan tidak melalui perawakan mereka. Dan masa inilah saya akan menasihati mereka.”

Kedua-dua mata saya membesar. Hati saya pun menjadi besar. Jiwa terasa bertambah besar. Subhanallah. Kedua-dua perbualan ini menarik saya ke zaman kanak-kanak dahulu,

“Liana, Ayah nak pergi klinik Dr Z.” Ajak Ayah yang tahu anaknya seorang ini suka mengekor ke mana sahaja tujunya.

Saya sangat suka mengekor Ayah untuk ke klinik Dr. Z. Setiap kali saya datang, Dr. Z akan tegur dan tanya khabar saya. Beri saya gula-gula. Bagi saya nasihat. Suruh saya belajar rajin-rajin. Walaupun ketika itu saya baru berusia sekitar 6-7 tahun. Saya masih boleh membayangkan di mana letaknya bekas gula-gula, dan di mana pula duduknya Dr. Z. Susun atur katil pesakit, barang-barang rawatan dan sebagainya. Yang pasti juga, wajah manis dan ceria Dr. Z menyambut saya, tetamu yang tidak diundang yang hanya sekadar menemani Ayah.

Whoah, Dr. Z.

Anda pula bagaimana? Pernah punyai saat manis bertemu Doktor?

Semanis-manis rawatan yang diberi, manis lagi tutur kata dan senyuman para Doktor yang memberi rawatan.

Saya fikir wajar kita manfaatkan sedikit ‘kuasa’ yang tidak seberapa, yang anda ada untuk membantu Ibu Bapa menasihati anak-anak mereka. Saya ingin kongsikan sedikit perbualan yang pastinya Ibu dan Bapa berasa gembira untuk membawa anak-anak mereka berjumpa dengan anda, selalu. Ya, selalu. Err, selalu bila perlu. Selalu bila anda beri temujanjilah.

Bak kata Dr. A, “Mereka bukan mahu sangat kita rawat anak-anak mereka. Tetapi mereka mahu kita menasihati mereka.” (Mengikut Dr. A, antara sebab yang menjadikan Ibu Bapa memilih untuk menghantar anak-anak bertemunya untuk rawatan adalah kerana ringannya mulut Dr. A memberikan butir-butir nasihat kepada anak-anak mereka. Ya, ini adalah testimoni berasas! Bukan rekaan.)

Contoh 1

“Adik umur berapa?”

“12 tahun.”

“Ha…UPSR kan tahun ni. Berapa A target agaknya ni?”

“Hmmmmm(lama, serius!)…, 1A!”

“Ye ke 1A?”

“Ye…” Sambil tersenyum sipu.

“Doktor rasa adik boleh dapat lagi banyak A, kalau adik rajin baca buku setiap hari, dengar cakap Mak, rajin solat dan berdoa, tidur awal….kan? Apa kata, naik sikit, 3A?”

“Ha, ok! 3A.”

Yeah, pandang wajah Ibu Bapa mereka dan kenyit sebelah mata. Pada masa itu anda boleh lihat betapa gembiranya Ibu dan Bapa mereka.

Contoh 2

“Tingkatan berapa dik?”

“Tingkatan 3.”

“Wah…Dah tingkatan 3 tapi Mak masih teman nak jumpa Dr sampai dalam bilik ni?”

Lalu tersenyum sipulah dia.

Sambung anda,

“Yerlah, mestilah Mak sayang sangat kat adik. Itu sebab dia ikut adik. Adik pun mesti sayang Emak. Dengar cakap Emak, tolong Emak kat dapur…(cukuplah..jangan panjang-panjang sangat.)

Dan si adik ini mengangguk, sambil tersenyum lagi.

Lalu palingkan wajah anda dan pandang Ibunya, mereka gembira!

Lalu. Lalu. Lalu.

Apakah yang lebih menggembirakan apabila secara tidak sedar anda sedang membantu si Ibu atau Bapa ini yang mungkin nasihat mereka kekadang bagaikan peluru tabur menghentam baju besi, hanya meninggalkan kesan sipi. Yaaa…Walaupun mungkin nasihat anda ibarat peluru tabur menghentam baju besi yang sama. Tetapi sekurang-kurangnya, ada kesan sipi, walaupun sedikit.

Ya, kita pernah jadi anak-anak yang kadang-kadang keras kepala tidak mahu mendengar nasihat Ibu dan Bapa. Bukan selalu, kadang-kadang. Atau, jarang-jarang. Ye ke?

Walau siapapun anda.

Samada anda seorang Doktor, Jurutera, Guru, Tukang masak, Pencuci tandas dan apa sahaja, jadikanlah diri anda bermanfaat kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: خير الناس أنفعهم للناس
Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia.

Sebaik-baik.

Manusia.

Yang paling bermanfaat.

Kepada.

Manusia lainnya!

Anugerah manusia yang paling baik, adalah anda, anda dan anda yang sentiasa menjadikan setiap pekerjaan anda adalah bermanfaat untuk orang lain. InshaAllah!

Image

Keterangan Gambar : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=418491534888631&set=pb.148936448510809.-2207520000.1360768367&type=3&theater

Sehelai Tudung Kontroversi

Hati saya sedikit gusar mengenangkan cerita yang beliau kongsikan tadi. Apa ceritanya?

“Masa tu akak memang pakai tudung. Lalu kena marah dengan s*****. Masuk balik bilik persalinan dan buka tudung.”

Saya menelan air liur yang sedia kering.

Inilah ketakutan yang terpaksa kami lalui, kami itu ialah staf-staf kesihatan termasuklah para doktor dan jururawat, terutamanya yang masih muda.

Dalam hati saya berbisik, “S***** tu siapa?”

Siapa kita untuk menghalang orang lain untuk menutup aurat? Atas alasan apa dia bertindak sedemikian? Marilah bentangkan hujah, mari bertemu di arena perdebatan.

Eh. Tak.

Tak. Bukan saya nak kata saya bagus. Tetapi siapa kita untuk menghalang perintah Allah SWT? (Mungkin dia bertindak begitu kerana tidak faham keperluan menutup aurat dalam Islam walaupun seorang Islam, semoga kita diberikan kefahaman agama, amen.)

Saya boleh tunjukkan bukti.

Guru saya, Doktor S.M yang merupakan seorang pakar bedah muka dan mulut juga merupakan ketua jabatan berkenaan memakai tudung beserta inner sebelum masuk ke dalam bilik pembedahan. See…

. Image

Gambar ini saya ambil ketika di akhir tahun pengajian. Dr, sorry saya ambil gambar tanpa pengetahuan Dr  ;p

Cukupkah ini sebagai bukti?

Memang benar prosedur di dalam bilik pembedahan atau operation theatre (OT) tidak boleh ada sebarang kehidupan lain melainkan manusia! Atau dalam bahasa yang advance sikit, kita panggil ia sebagai sterile.

Pakaian yang dipakai oleh pakar beserta pembantu-pembantunya telah disterilisasi. Begitu juga segala peralatan yang digunakan.

Apakah alternatifnya? Adakah penyelesaian?

“Dr. Yu, ini jadual rotation untuk OT.”

Cepat sungguh giliran saya. Ha, sebulan lagi?

Ketika itu saya baru berkhidmat di sebuah hospital besar. Saya suka masuk OT. I love observing surgeon doing surgeries. Kalau masuk OT, saya akan ‘curi’ satu masa untuk masuk ke bilik-bilik pembedahan yang lain secara senyap untuk melihat sendiri pelbagai operation dari kepala hingga ke kaki. Pernah sekali saya melihat pembedahan liver secara live di depan mata. Subhanallah! Allahuakbar!

Ok sambung yang tadi.

Apabila teringat kisah senior di perenggan pertama tadi, saya fikir saya perlu melakukan sesuatu. Dulu dan kini tidak sama. Jika semasa belajar dahulu, pakar-pakar adalah beragama islam. Mereka faham keperluan menutup aurat. Itulah sebabnya anda boleh lihat seperti dalam gambar di atas dan di bawah, terdapat tudung(yang menutup dada) dan baju(berlengan panjang semestinya) disediakan dan siap disterilisasikan. Oh berbelit lidah.

Yang paling best sekali baju yang anda lihat dalam gambar ini ada yang labuh sehingga ke paras lutut. Seriously! Look at this.

Image

Alhamdulillah. Beruntung, kan?

Masuk ke dalam bilik OT dengan ’maruah’.

Sambung semula berkenaan jadual OT tadi.

Kalau kita benar-benar mahu mempertahankan ‘maruah’ kita, bertindaklah sesuatu. Tindakan beserta pengetahuan.

Saya bertanya kepada beberapa individu di mana saya boleh mendapatkan pembekal atau agen yang menjual fasiliti atau keperluan perubatan. Dengan izin Allah, saya bertemu dengan Mr. Edmund yang bersungguh-sungguh membantu saya mendapatkan tudung OT dalam tempoh sebulan seperti dalam gambar di bawah.

Image

He is not yet a Muslim, but he understands Muslim well. Thank you Mr. Edmund, walaupun mahal you jual kat saya, tapi tak ternilai dengan apa yang perlu saya tutup dan jaga.

Taklah mahal pun. RM5 jer. Masuk OT bukan setiap minggu, pun. In addition, you can reuse the OT scarf. Basuhlah, jadi bersih dah. Actually ia jadi mahal sebab saya terpaksa membeli 10 helai, ia tidak dijual satu-satu. I still have few more. Siapa nak?

Alhamdulillah, saya masuk OT dengan OT scarf. Beserta tudung lain yang dibawa dari rumah untuk dipakai di dalam kerana OT scarf ini memang jarang. Pastikan tudung di dalam adalah tudung yang telah dibasuh dan tidak dipakai sebelum masuk OT.

“Mana s***** tu? Nak jumpa!” Bisik dalam hati jerla ketika kali pertama masuk OT di sini.

Tudung itu dipadankan dengan sehelai baju berlengan pendek! Maaf, tak ada lengan panjang di sini. Nasib baik untuk pertama kali di OT ini saya hanya perlu observe. What I did was, I kept both of my hands inside the pockets. Jadi lengan tak nampak sebab baju yang saya pakai ini memang besar. Luckily that I saw one senior doctor was wearing long sleeve inner. Saya tak tahu boleh pakai inner di dalam. So for the next OT I covered my aurat completely. Alhamdulillah.

Sebenarnya OT scarf ini adalah sata cara untuk anda nampak profesional. Tujuan saya pakai ia pada mulanya kerana mahu mengelak dimarahi oleh S*****. Hakikatnya cukup anda membawa tudung baru dan inner  yang telah dibasuh dan masih belum dipakai ke bilik persalinan. Di situ, barulah anda pakai tudung dan baju yang anda bawa dari rumah. Cukup.

Cuma jika anda mencari OT Scarf, usahakan untuk bertanya kepada staff senior tentang keperluan anda untuk menutup aurat di OT. Minta pandangan mereka. Saya bertanya kepada staff yang not yet Muslim. Walaupun mereka mungkin tidak faham sepenuhnya tentang kepentingan menutup aurat dalam Islam, tetapi mereka menghormati dan sedia membantu. Tanyalah. Kalau tak tanya, orang tak tahu. Bila orang dah tahu, orang boleh tolong apa yang perlu. Sekarang anda sudah tidak perlu risau. Anda boleh dapatkan tudung OT ini, Inshaallah. Bertanya dan cari. Lagi satu, bila anda maklumkan lebih awal kepada mereka bermakna anda sebenarnya telah membantu diri sendiri. Selepas ini mereka akan faham anda dan tahu sensitiviti anda berkenaan hal ini.

Seorang staff lelaki memandang saya dan seakan berbisik, “Dr, hanya Dr seorang jer yang pakai tudung dalam bilik OT ini.”

Saya tersenyum kelat. Adakah tudung ini masih kontroversi? Seperti mana pelbagai fesyen tudung yang hangat di pasaran? Ustaz pesan, jangan ikut trend sesetengah cara pemakaian tudung.

Ustaz, adakah tudung saya ini bakal mengundang kontroversi? Jika tidak kenapa kami tak pakai?

Ustaz tepuk dada, suruh tanya iman.

Sedih.

Marilah membina peribadi ke syurga. Mari berusaha.

“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”

(HR Abu Dawud)

“Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir darinya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka.”

(An-Nur:31)

Anak Bongsu

anak manja

Menyusahkan. Manja. Sikit-sikit nak merajuk.

Anak bongsulah katakan.

Begitu, ke?

“Aku bukan lahir untuk menyusahkan kehidupan orang lain. Kalaulah engkau melihat aku dengan mata hati, aku fikir engkau pasti dapat menerima suatu hakikat.” Luah si anak bongsu.

Hakikat apa?

Teruskan membaca.

Apabila saya diajukan soalan yang sama berkali-kali, saya fikir perkara ini perlukan penjelasan berkenaan adik bongsu yang bernama gigi molar ketiga.

Gigi molar ketiga. Wisdom tooth. Gigi bongsu.

Sakit. Pipi bengkak. Tak boleh bercakap. Susah nak makan. Susah untuk bernafas. Demam. Semua ini adalah antara rungutan insan-insan bertuah yang menerima kelahiran gigi bongsu. Ia kebiasaannya lahir ketika usia kita sekitar 18-24 tahun. Anak bongsu, really?

Soalan apa yang ditanya?

“Apakah fungsi gigi bongsu?”

“Kenapa dia asyik menyusahkan kita?”

“Kalau dia tak ada pun, kita masih dapat makan kan?”

Tidak semua orang terpilih untuk menerima kelahiran gigi bongsu ini. Ada orang yang tidak ada dan mereka adalah normal. Ada juga orang yang mempunyai keempat-empat gigi bongsu yakni di bahagian atas dan bawah untuk kiri dan kanan, tetapi tidak ada satupun yang menyusahkan hidup mereka. Tak sakit. Ia tumbuh pun tidak terasa. Sedar-sedar sudah ada. Ini adalah normal.

Ada pula yang merana apabila gigi bongsu sedang mahu tumbuh. Satu sudah merana. Apatah lagi dua, tiga dan empat. Ini juga normal.

Kebiasaanya sakit berlaku apabila terdapat jangkitan di situ. Samada gigi bongsu yang bermasalah atau tisu-tisu di sekitarnya. Menariknya, kawasan gigi bongsu mempunyai ruang-ruang berpotensi untuk lebih mudah menerima jangkitan berbanding kawasan-kawasan gigi yang lain.

Ingin saya tegaskan satu perkara. Saya tidak cukup ilmu ketika mengupas topik ini. Apa yang saya catatkan adalah lahir daripada pandangan peribadi tanpa kajian yang terperinci.

Lalu jika ada yang bertanya,

“Kenapa Allah memberi kita gigi bongsu sedangkan pada masa yang sama tanpanya kita masih boleh melakukan fungsi gigi dengan baik tanpa terganggu?”

Betul juga, kan?

Saya nak jawab,

“Boleh jadi juga kita sebenarnya memerlukan sekurang-kurangnya hanya 20 batang gigi kekal untuk berfungsi dengan baik, lalu kenapa Allah masih memberi kita 32 batang gigi?”

(Orang-orang tua yang kehilangan lebih lima batang gigi masih boleh makan, kan? Jadi kenapa Allah tak bagi kita 25 je? Ataupun 20?)

“Lagi, Allah boleh sahaja terus memberikan kita 32 batang gigi kekal tanpa perlu memberi 20 batang gigi susu sedari usia kita 6 bulan lalu menyusahkan kita dengan gigi susu yang perlu dijaga dengan baik dan tiba satu masa ia pula terpaksa dicabut?”

Kadang-kadang, tidak semua boleh dijawab dengan logik akal.

Kita mungkin terdidik dengan satu sistem suka bertanya. Bagus. Tahniah. Tetapi jangan kita terlalu mengharapkan satu jawapan yang solid. Tidak semua persoalan ada jawapan. Kekadang soalan perlu dijawab dengan persoalan. Soalan juga boleh tiada jawapan.

Terlalu banyak ‘jawapan’ kepada persoalan ini, dan jawapan terbaik bergantung kepada sejauh mana kita benar-benar melihat dengan mata hati.

Bagaimana untuk melihat dengan mata hati?

Apabila sakit adalah petanda kita tidak menjaga kebersihan gigi dengan baik.

Apabila sakit adalah petanda Allah mahu tolong bersihkan dosa-dosa kita.

Apabila sakit adalah petanda kita perlu berehat.

Apabila sakit adalah petanda kita perlu berjumpa dengan Doktor.

Apabila sakit adalah petanda Doktor ada kerja.

Ok. Enough.

Selaku pemilk gigi bongsu yang tumbuh di kesemua bahagian atas, bawah, kiri dan kanan. Ya, saya mempunyai 32 batang gigi kekal. Ya, semuanya tumbuh tanpa saya sedar. Keempat-empat gigi bongsu tumbuh tegak dan tersusun. Namun itu tidak bermakna saya sudah cukup selesa.

Saya perlu memastikan berus gigi saya benar-benar ‘fit’ untuk membersihkan kawasan di hujung mulut ini kerana sisa makanan suka benar melekat di situ.

Pembersihan total. Allah tak suka kita buat kerja main-main. Makna kata, tidak bersungguh-sungguh. Membersihkan gigi dengan main-main maksudnya saya tidak memberus gigi betul-betul. Ada kawasan yang tidak diberus.

Ini cara saya melihat gigi bongsu saya melalui mata hati.

Sabda Rasulullah saw “Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud)

Anda?

Kepada yang tiada gigi bongsu pula, bagaimana anda melihat dengan mata hati?

Masih ingat soal hakikat yang ditimbulkan di awal penulisan tadi?

Hakikat apa?

Jawapan saya, lihatlah dengan mata hati.

P/s : Dan Allah tidak menciptakan manusia sia-sia. Setiap satu struktur pada tubuh kita adalah bermanfaat!

Teringat apabila anak saudara  saya yang berusia 6 tahun bertanya,

“Mak Teh, kenapa semut gigit kita?”

Terdiam saya seketika.

Lalu saya memberi jawapan yang bersesuai dengan tahap pemikiran dia.

Bila difikirkan semula, hikmah kejadian semut terlalu banyak. Selain daripada menggigit kita untuk mengingatkan kita kembali kepada Allah, semut jugalah yang membantu memakan sisa-sisa makanan yang bersepah dan memakan tubuh kita di dalam kubur secara sistematik.

Ya, Allah tidak menciptakan sesuatu sia-sia!

Melihat dengan mata hati membuka peluang untuk hidup dengan lebih bererti!

gigi bongsu

Boleh Ke FYDO Locum?

“Bagus betul buat locum ni. Banyak aku jumpa kes yang tak ada di klinik. Untung weh. Banyak belajar. Rugi kau tak locum.”

  • FYDO nak mencari ilmu.

“Kau tahu tak masa FYDO ni sangatlah free? Takdernya nak penat. Memang smooth jerlah kalau nak locum malam-malam. Masyuk!”

  • FYDO nak isi masa.

“Aku kerja kot. Bukan aku pergi klinik duduk saja-saja. Aku dibayar berdasarkan pekerjaan yang aku buat. Berani kau kata aku buat kerja haram?”

  • FYDO nak tambah rezeki.

Siapa kita untuk mengatakan anda tidak berhak untuk Locum?

Siapa kita untuk menafikan bahawa rezeki yang anda peroleh itu adalah halal?

Siapa kita untuk menegur sedangkan kita juga pernah Locum semasa FYDO?

Erk.

Tershahul.

JANGAN, jangan mengikut dengan membabi buta. TAHNIAH kepada seorang graduan Universiti Malaya yang bertanyakan soalan ini,

“Kak, bolehkah saya Locum semasa FYDO? Bukankah FYDO tidak dibenarkan Locum?”

Malu bertanya, sesatlah jawabnya. Kita buat tanpa bertanya, bermakna kita tidak sayangkan diri sendiri. Kalau benar kita mahu hidup diredhaiNya, buatlah mengikut kefahaman. Justeru, jika mahu faham kita perlu bertanya.

Saya bukanlah seorang Ustazah, apatah lagi alim ulamak. Jadi, saya tidak akan mengeluarkan hukum. Cuma, berdasarkan pengalaman yang ada, dan hasil perbincangan saya dengan beberapa orang sahabat, ingin saya kongsikan dengan adik-adik.

Ada beberapa perkara yang perlu sama-sama kita duduk dan fikir-fikirkan berkenaan kewajaran FYDO tidak dibenarkan untuk Locum. Fikir dengan mata hati. Dah buka mata, Alhamdulillah. Sekarang, bukalah mati hati dan teruskan membaca.

 

SATU : Pengetahuan FYDO baru setahun jagung

Kita sedia maklum, tahun pertama adalah tahun kritikal. Seorang Pakar Bedah Muka dan Mulut (Oral Maxillofacial Surgeon) yang saya kagumi pernah berpesan, “Ketika di tahun pertama bekerja, anda akan lupa lebih 60% apa yang anda belajar selama lima tahun dalam bidang ini.”

Whoah, Doktor yang hebat ini sendiri mengakui hakikat tahun pertama itu bukanlah suatu momen yang menggalakkan kita untuk Locum! Ada berani?

Berani. Siapa kata tak berani. Ok, silakan.

DUA : Masa muda yang kritikal

Lalu,

Saya memetik pula pesanan Robert Kiyosaki yang membuat saya termenung dan bermuhasabah tentang kepentingan memanfaatkan usia muda. Tahu apa katanya?

“Gunakan masa muda untuk LEARN dan bukannya EARN.”

Ada orang hanya fokus kepada duit semata. Masa muda adalah masa untuk membina kekayaan. Salah ke? Tak salah untuk mencari rezeki. Duit adalah satu sumber ibadah. Cari, carilah duit banyak-banyak. Dan memberi juga pada yang berhak. Namun, jika seluruh kehidupan difokuskan kepada pembinaan duit tanpa pembinaan rohani adalah sia-sia. Bagaimana untuk membina rohani? Dengan menuntut ilmu. Selain itu, belajar juga selok belok kehidupan. Apabila mula bekerja, kita perlu tahu bagaimana untuk menguruskan kewangan. Dah lama sikit bekerja dan merancang untuk berkahwin, perlu belajar selok-belok agama pula. Bilanya masa nak belajar kalau sibuk Locum?

Ini berdasarkan pengalaman. Erk. Pengalaman kita.

Tapi, saya Locum hari-hari tertentu sahaja. Ada jer masa-masa lain saya ke masjid. Apa ni? Tak baik buruk sangka kepada kami.

Dan bercakap tentang masjid,

TIGA : Dalil-dalil

Sebuah hadis Riwayat al-Bukhari berbunyi :

Wajib ke atas setiap Muslim patuh dan taat kepada pemerintah samada ia suka atau tidak, selama mana ia tidak diperintah melakukan maksiat; sekiranya ia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat.

Saya tak naklah hurai apa-apa. Sebab saya tak arif tentang hal ini. Cuma, anda bacalah hadis ini dan kaitkankan sendiri.

Lagi satu Allah ada berfirman dalam surah an-Nisa ayat 59 :

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu  kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amin” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.

Dan, sebuah hadis lagi yang perlu sama-sama kita renungi :

Taatilah kepada pemerintah kamu bagaimanapun keadaannya sekiranya mereka memerintahkan kamu dengan perintah yang sesuai dengan ajaranKu, maka mereka akan diberi pahala dan kamu juga akan diberi pahala kerana mentaati mereka; sekiranya mereka memerintah kamu dengan perintah yang tidak sesuai dengan ajaranKu, maka dosanya ditanggung oleh mereka dan kamu terselamat dari dosa. (Riwayat Al-Tabari)

EMPAT : Status Rezeki

Mungkin ketika di tahap ini, kita sudah mendapat sedikit idea adakah patut atau tidak untuk kita Locum. Kalau ini adalah pertandingan perbahasan, selalunya ketika pusingan terakhir pembahas pertama atau kedua akan menggulung hujah. Dan biasanya mereka akan menggunakan ayat begini,

“Tuan Yang Dipertua, hujah-hujah telah kami bentangkan. Kebenaran pasti mengalahkan kebathilan. Semuanya sudah terang, tidak perlu lagi bersuluh. Terimalah hujah kami bulat-bulat, dan pasti usul pada hari ini akan berpihak kepada kami.”

Lalu, dewan gemuruh dengan tepukan.

Erk.

Saya sambung semula. Saja, tak mahu stress-stress sangat. Tenang, tenang ya adik-adik.

Beginilah, Locum ini melibatkan wang. Wang yang kita gunakan untuk kegunaan harian. Kerana kita sedia maklum bahawa perbelanjaan kita menggunakan wang ini akan menjadi darah daging serta amaran Allah berkenaan orang yang memakan rezeki haram dan balasannya.

“Tidak akan masuk syurga tubuh badan yang membesar dengan sumber yang haram.” (riwayat al-Khatib al-Tabriziy di dalam Miyskah al-Misbah).
Justeru, pastikan anda benar-benar yakin apa yang anda buat ini benar-benar betul berdasarkan sebab-sebab yang jelas.

Yakin.

Betul.

Jelas.

Maka, persilakanlah. Buatlah keputusan. Keputusan yang bergantung kepada sejauh mana perkadaran iman kita.

Setiap pekerjaan yang kita lakukan bergantung kepada niat.

Matlamat yang baik mungkin tidak menghalalkan cara.

Terima kasih Tuan Yang Dipertua Dewan. Dewan bersurai. Dan bersambung, jika ada.

Saya buka kepada komentar dan perbincangan.

Dari Nawas bin Saman RA. Rasululllah SAW bersabda: “Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik, dan dosa itu adalah segala sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan yang engkau tidak suka bila dilihat orang lain.” (HR Muslim) 

Tepuk dada, tanyalah iman.

Sebab-sebab Harga Cabutan Gigi ‘Mahal’

Sebenarnya anda mempunyai pilihan. Jika tidak mampu, berkunjunglah ke klinik kerajaan. Walaubagaimanpun, saya suka untuk memberi sedikit komen seperti di bawah:

  1. Proses untuk cabutan gigi bukanlah suatu proses yang touch and go.
  2. Hakikatnya, anda perlu melalui kaunter pendaftaran. Di situ, anda dilayan dengan penuh senyuman.  Segala data anda diisi dengan cermat di atas kad rawatan.
  3. Tidak berapa lama kemudian anda dipanggil masuk dengan senyuman ke dalam bilik berhawa dingin yang selesa.
  4. Doktor yang sedia menunggu dengan sabar dan dedikasi untuk membantu. Terus sedia membantu.
  5. Anda duduk pula di atas kerusi pergigian yang harganya bernilai puluhan ribu, ada yang mencecah ratusan ribu.
  6. Peralatan yang digunakan juga adalah peralatan yang bersih dan baru, serta selamat.
  7. Doktor memberi penjelasan dari awal hingga akhir. Segala pertanyaan dijawab dengan bersungguh-sungguh.
  8. Jika perlu, anda dihantar ke bilik x-ray untuk penyiasatan.
  9. Jika gigi memang perlu dicabut, suntikan diberi dengan lemah-lembut. Malah sebelum suntikan diberi, ada yang meletakkan topical gel yang kebiasaannya diberikan kepada kanak-kanak. Nah, untuk bantu sang dewasa ini berasa lebih selesa.
  10. Usai suntikan, Doktor melayan soalan-soalan anda semenatara menanti 5 ke 10 minit supaya ubat bius benar-benar mujarab. Masa terus berjalan.
  11. Tika masanya sudah tiba, gigi dicabut dengan beberapa peralatan. Gusi diberi sedikit nafas dengan menggunakan sejenis alatan, gigi digoyangkan dengan sejenis alatan lagi, malah masih memerlukan alatan lain untuk menggoyangkannya lagi. Sudah berapa?
  12. Barulah ia dicabut menggunakan forcep menggunakan sekerat tenaga yang Doktor ada.
  13. Dan mungkin anda tidak perasan peluh mula membasahi dahi mereka. Tidakpun mengalir di dalam baju. Siapa yang tahu.
  14. Setelah gigi dicabut, gusi ditekan untuk membantu proses penyembuhan. Tisu diletakkan rapi. Pesakit diberikan arahan dengan jelas.
  15. Doktor masih terus tersenyum walaupun ketika itu jarinya telah kepenatan. Ketup ketak jari-jari diletupkan.
  16. Pesakit keluar dengan kesakitan yang pergi meninggalkan kami yang kepenatan. Ubat tahan sakit diberi beserta tisu sebagai kawalan pendarahan. Pesakit pergi dengan lambaian senyuman.

Dan saya mengenakan pesakit harga RM80. Betulkah tidak wajar? RM 30-60? Hmm.

Ada juga orang cakap, kalau service kereta kadang-kadang mencecah ratusan ringgit setahun, oklah. Paling kurang pun RM70 atau RM80 sekali service, ini nak service mulut kot. Setakat RM80-100, apalah sangat?

Nasihat saya, jumpalah kami dua kali setahun untuk pemeriksaan gigi. Lebih baik bayar untuk cuci gigi(scaling) daripada kena bayar untuk cabut gigi(extraction).

p/s : Mungkinlah ramai yang datang ke klinik kerajaan kerana kami ‘murah’. Walaupun begitu, kami tetap sedia memberikan rawatan yang sebaik-baiknya. Klinik swasta dan kerajaan, tidaklah banyak beza. Anda berhak memilih.