Pengalaman Lasik bersama Prof. Dr. Muhaya

Kebanyakan ahli keluarga kami yang mempunyai dominasi hormone estrogen adalah rabun. Emak saudara saya hampir 80% memakai cermin mata. Adik beradik perempuan dan emak saya pula semuanya adalah rabun. 100%.

Mungkin faktor genetik turut menyumbang kepada penyakit rabun di kalangan kami.

Saya memakai cermin mata sejak berusia 7 tahun. Budak-budak yang memakai cermin mata selalunya digelar sebagai budak bijak yang kuat membaca. Mungkin betul mungkin tidak. Selain faktor genetik, saya merasakan punca mata saya rabun adalah kerana sikap saya yang suka menonton televisyen pada jarak yang terlalu dekat dan membaca di dalam gelap.

Ibu-ibu dan bapa-bapa perlu memastikan penjagaan mata anak-anak. Jangan biarkan sahaja. Jika anak sudah mula rabun akibat kecuaian ibu dan bapa, kasihan. Kasihan kepada anak-anak. Budak-budak manalah tahu akibat membaca dalam gelap contohnya, boleh menyebabkan rabun dengan meningkatnya usia!

Menurut Prof. Dr. Muhaya, punca menonton TV secara dekat dan membaca dalam gelap adalah teori yang tidak dapat dipastikan tepat 100%. Namun sebagai ibu bapa, jika anda melihat anak-anak anda lebih suka menonton TV secara dekat atau mengecilkan mata ketika menonton TV dari jauh, ini mungkin petanda anak anda sudah mula rabun. Segeralah membawa anak-anak berjumpa pakar optomeri sebelum ia melarat.

Sama jugalah seperti ibu bapa yang membiarkan anak-anak menyusu minuman manis sebelum dan sambil tidur. Aktiviti ini akan menyebabkan gigi anak-anak mudah berlubang.

Sakit pakai cermin mata.

Sakit. Sakit bukannya berdarah, atau merasa pedih. Tapi sakit dalam erti kata nak bersukan lebih-lebih tak dapat. Kalau tersalah letak, punyalah mencari satu rumah. Kalau tak ada cermin mata, bahaya dan membahayakan orang lain. Memandu tanpa cermin mata, tapi anda rabun. Tak ke merbahaya? Nak tengok TV atau membaca sambil baring pun ada kesukaran. Setiap tahun perlu melakukan pemeriksaan mata dan kekadang hampir setiap tahun perlu menukar cermin mata yang baru. Secara purata sejak berusia 7 tahun sehingga awal 20-an, hampir 5000 ringgit Malaysia dibelanjakan untuk pembelian cermin mata baru. Itu tak kira lagi kalau ada orang terpijak. Lagi cepat perlu tukar kepada yang baru. Contact lens boleh membantu? Walaupun begitu ada risikonya.

Sakit dan penat. Sampai bawah mata pun ada lingkaran hitam. Walaupun begitu, saya masih bersyukur. Selalu membandingkan diri saya dengan orang yang buta dan orang yang mempunyai penyakit rabun yang lebih teruk daripada saya. Alhamdulillah. Ujian Allah ini tidaklah seberapa. Dan ia sementara.

Selepas beberapa tahun bekerja dan seiring dengan populariti idola saya, Prof. Dr. Muhaya, barulah saya tahu tentang  kewujudan rawatan yang namanya rawatan lasik. Tidak tahulah pula sejak bila rawatan untuk membentuk kornea mata itu wujud.

Lasik. Rawatan membentuk kornea mata dan membetulkan penyakit rabun pada mata. Ketika mengetahui tentang kewujudan rawatan ini, saya berasa sangat gembira dan bersyukur. Saya yang sudah maklum dengan harganya yang agak mahal melakukan kira-kira.

Selama 8 bulan saya menyimpan dan mengikat perut dan nafsu berbelanja. Maklumlah orang perempuan. Belajar berjimat dalam berbelanja dan mengutamakan yang penting sahaja. Hampir setiap hari memasak di rumah. Aha.

Saya menyusun perancangan untuk mendapatkan rawatan lasik ini sejak awal tahun 2012. Hasrat pula semenjak penghujung tahun 2011.

Pada bulan februari, saya menghubungi Prince Court Medical Centre dan menyusun temujanji untuk bertemu pakar. Pada bulan 5, saya ke hospital untuk pemeriksaan mata. Ini adalah prosuder standard sebelum rawatan lasik dilakukan.

Saya dibawa  masuk ke beberapa buah bilik untuk pemeriksaan yang terperinci. Pemeriksaan yang menggunakan pelbagai mesin. Sehingga berpinar rasanya mata ini. Sehinggalah bertemu dengan pakar optometri. Pakar optometri ini yang menjelaskan secara terperinci tentang proses rawatan, kesan buruk yang mungkin berlaku dan menjawab segala pertanyaan saya.

Saya juga bertemu dengan Prof. Muhaya. Pertemuan yang saya rasakan sangat sekejap. Mungkin sekitar 5 minit. Beliau melakukan pemeriksaan dengan sangat cepat dan profesional. Ketika masuk ke biliknya yang kecil itu, saya melihat ke seluruh kawasan bilik dan berangan-angan untuk mempunyai bilik rawatan sendiri. inshaAllah. Memang kalau jumpa Prof. Muhaya auranya tercalit.

Seingat saya, saya sempat bertanyakan soalan dan meminta nasihat. Memang ‘bijak’ mengambil kesempatan. Ehe. Beliau respon dengan sangat ringkas tetapi menjawab persoalan saya. Tak dapat nak berkongsi sebab saya pun sudah tak ingat apa soalannya. Prof. yang ramah bertanya sedikit tentang tempat kerja saya dan meminta saya menjadi doktor yang bermanfaat kepada masyarakat. Beliau juga bermurah hati memberikan diskaun kerana mendapat tahu bahawa saya terbang merentasi laut china selatan untuk datang ke temujanji ini.

Yey!

Sebelum itu, teringat bagaimana keputusan saya untuk mendapatkan rawatan lasik ini tidak berapa mendapat persetujuan ibu saya. Ibu sangat risau apabila mendengar tentang rawatan laser pada mata. Perkataan laser itupun sudah cukup membuatkannya berasa bahaya. Dengan menggunakan aura Prof. Dr. Muhaya itu akhirnya beliau memberi keizinan walaupun tidak sepenuhnya. Sehinggalah ke saat rawatan dilakukan iaitu pada 21122012, 21 haribulan disember tahun 2012, barulah ibu mengizinkan dan mendoakan agar rawatan berjalan lancar.

Ingat bagaimana saya menyusun temujanji lebih awal? Sejak bulan februari saya menghubungi mereka. Bulan Mei saya melakukan pemeriksaan mata. Rawatan pula pada bulan disember dan review adalah satu minggu selepas rawatan.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang mengizinkan semua perkara.

Seterusnya jom kita melihat gambar. Biar gambar pula berbicara ya.

Selamat Mendekati Pintu Syurga

Image

Ketika suami sedang memandu, saya memegang tangannya dengan gaya bersalam dan bermain dengan perkataan ‘sah’. Lalu suami menyambut dengan lafaz ijab dan qabul yang menurutnya pertama kali dilafazkan adalah ketika di hadapan tok kadi. Pertama, dan itu yang terakhir. InshaAllah. Beliau tidak pernah berlatih sebelum itu. Lalu saya menemuramah suami,

“Suami, apakah perasaan ketika selesai mengucapkan lafaz ini?”

Lafaz yang menghalalkan pertemuan dua pasang mata yang dahulunya bukan muhrim.

Lafaz yang mengikat komitmen.

Lafaz yang mengubah.

Mendekati pintu syurga.

Suami mengalihkan pandangan. Menjawab satu-satu, tenang.

“Bersyukur, tetapi terasa sedang memikul amanah yang berat.”

Saya senyum. Terasa bahagia.

Kita tersenyum bukan kerana kita bahagia. Tetapi kita bahagia kerana dapat tersenyum.

Amanah. Komitmen. Tanggungjawab. Membuahkan ikhtiar. Ikhtiar-ikhtiar adalah usaha. Mendekati pintu syurga.

Lama saya bercuti daripada menulis di blog.

Melalui hari-hari selepas lafaz ini, saya akui agak janggal dengan kehidupan berumahtangga. Persiapan diri dengan bahan-bahan bacaan beserta nasihat-nasihat orang tua sebelum ini memang membantu, tetapi tidak sama dengan realiti yang dilalui.

Persiapan. Adalah satu proses pembaikan diri sehingga nafas ditarik oleh malaikat Izrail. Ia proses berterusan.

Saya. Tidak berhasrat untuk berkongsi kemanisan selepas berumahtangga. Mengambil kira ada sahabat-sahabat yang masih bujang.

Suami berpesan,

“Berhati-hati dalam setiap tulisan. Fikirkan perasaan orang lain yang mungkin masih menanti-nantikan jodoh. Atau ada yang telah kecundang dalam perhubungan.”

Suami mengajar untuk empati.

Empati. Ibarat meletakkan kaki kita di dalam kasut mereka. Rasa apa yang mereka rasa. Faham apa yang mereka faham. Pandang dengan cara mereka pandang. Hmm.

Ya. Lama saya berhenti menulis. Kerana mencari ruang apa sebenarnya motif tulisan. Adakah sekadar saya ingin menyeru kalian kepada manisnya percintaan selepas nikah sedangkan fasa bertemu jodoh yang baik pun adalah sukar.

Justeru, apabila ada yang bertanya, “Seronok kahwin?”. Beserta soalan-soalan lain yang seangkatan dengannya, saya agak berhati-hati untuk memberi jawapan.

Suka saya berkongsi, apa yang memudahkan jalan saya bertemu dengan jodoh yang baik. Alhamdulillah. Moga Allah menjauhkan saya daripada sifat riak atau ujub.

Setiap jodoh yang baik adalah pemula kepada keseronokan dalam berumahtangga.

Jodoh yang membawa saya untuk mendekati pintu syurga. Ini keyakinan saya. Saya yakin dengan percaturan Allah. Saya yakin jodoh ini melengkapkan separuh agama. Sepertimana dalam hadis ini.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang hamba itu telah berkahwin maka dia telah melengkapkan separuh daripada urusan agamanya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT pada separuh yang lainnya. (Riwayat Imam al-Baihaqi dalam Syuab al-Iman dan dinilai Hasan oleh al-Albani)

Jika lengkap, arah tujunya ke mana?

Ke syurga.

Image

Ramai juga yang bertanya, bagaimana saya bertemu dengan suami?

Doa yang sering saya panjatkan semenjak saya serius berhasrat untuk berkahwin ketika pertengahan tahun 2011.

“Ya Allah, permudahkanlah urusan jodoh dan pertemuanku dengan pasangan yang baik.”

Dan optimisnya saya yang sentiasa yakin dan percaya bahawa Allah pasti menemukan saya dengan seorang suami sehinggakan apabila ada yang bertanya, “Bila saya akan berkahwin?” maka jawapan saya adalah, “InshaAllah penghujung tahun depan.”

Ketika soalan itu ditanya pada tahun 2010, 2011 dan 2012, saya memberi jawapan yang sama. Ramai yang meneka-neka saya sudah berpunya dengan jawapan ini, selain saya sering respon dengan meminta doa mereka bahawa apa yang saya hasratkan menjadi kenyataan.

Begitulah kehidupan. Ia dicorakkan melalui kepercayaan kita.

Begin with the end in mind. Imaginasi bagaimana akhirnya kehidupan yang kita mahukan.

Allah tidak akan memberi sesuatu yang kita tidak mampu. Perkahwinan adalah satu amanah, tidak diberikan kepada yang tidak dapat memikul amanah. Bagaimana menilai mampu adalah melalui sejauh mana kita tahu dan faham keperluan kepada sebuah perkahwinan, arah tuju dan cara mengendalikannya.

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (al-Baqarah : 286)

Agak lucu jika kita mengharapkan jodoh yang baik sedangkan kita belum berusaha untuk menjadi baik. Agak lucu jika kita mengharapkan untuk membina satu rumahtangga yang bahagia sedangkan kita tidak berusaha untuk memahami kehidupan berumahtangga. Agak lucu jika kita mengharapkan jodoh ketika kita sering menolak-nolak komitmen yang datang dalam kehidupan.

Aha. Perkahwinan. Komitmennya lebih besar.

Semakin kita menuju ke arah pembinaan sebuah rumahtangga yang diredhai Allah, semakin kita perlu kepada persiapan diri ke arah itu. Walaupun kita masih belum mengetahui dan mengenali siapa bakal jodoh.

Justeru sering saya berpesan kepada sahabat-sahabat yang masih was-was dengan fasa ini untuk meningkatkan pengetahuan tentang segala segi kehidupan berumahtangga.

Banyakkan membaca. Banyakkan mendengar. Banyakkan bertanya.

Persiapkan diri dengan ilmu. Dan yakin Allah pasti memudahkan. Allah tidak akan beri sesuatu selagi mana kita tidak mampu.

Doa. Usaha. Tawakal.

Membacalah sekurang-kurangnya 50 buah buku.

Mendengarlah ceramah-ceramah tentang perkahwinan.

Bertanyalah kepada yang sudah berumahtangga.

Berikhtiar pula, bagaimana?

Ia akan datang, sesuai dengan bagaimana usaha kita mempersiapkan diri. Apabila kita tahu dan faham bagaimana urusan bertemu jodoh itu disarankan dalam agama, kita akan tahu dan faham bagaimana untuk berikhtiar.

Selamat. Selamat.

Selamat mendekati pintu syurga.

Tok! Tok!

Alhamdulillah.

Apabila Saya Bercinta…

Cinta itu sukar untuk diungkapkan.

Saat bertemu terasa indah. Tangan bertaut tangan. Pipi saling bersentuhan. Tubuh menyatu erat. Senyuman terukir memberi ketenangan. Bahasa yang dituturkan menjadi pengubat jiwa.

Itulah sedikit mukadimah kisah cinta saya di sebuah pulau yang telah saya jejaki sejak hampir setahun yang lepas. Dan cinta itu terlalu indah sehinggakan masa berlalu tiada terasa. Sehinggalah sampai saat ini, saya terasa seperti mahu memeluk cinta itu seerat-eratnya untuk selama-lamanya, namun tidak berdaya.

Dan cinta pertama saya berpesan,

“Jangan berkawan sebelum berkahwin. Letakkan seluruh pergantungan kepada Allah SWT. Selagimana kamu tidak berkahwin dengan dia, selagi itulah dia bukan milik kamu dan kamu tiada hak untuk mengatakan bahawa kamu milik dia, dan dia milik kamu. Buktikan kebergantungan kamu kepada Allah dengan meyakini bahawa semuanya terjadi kerana perancangan Allah.”

Cinta kedua saya pula bertandang dalam hidup ketika saya kesunyian di pulau ini. Ketika itu, saya mencari-cari cahaya yang dapat menerangi hidup saya. Pertemuan pertama masih kekal dalam ingatan. Beliau datang menjemput saya dengan kereta putihnya, bersama-sama buku tebal yang memenui ruang belakang.

Beliau ada berpesan,

“Siap awak kalau tak jumpa saya sebelum awak pergi.”

Cinta ketiga adalah cinta yang baru sahaja berputik dalam suasana yang tidak dijangka-jangkakan. Benarlah kata orang-orang tua, cinta itu mudah bersemi antara mereka yang mempunyai cara fikir yang sama. Dan persamaan-persamaan yang lain juga.

Sehelai selendang yang dihadiahkan beliau memberi kenangan yang tidak akan dilupakan. Teringat nasihatnya,

“Awak tak dapat bangun tahajud kerana dosa-dosa yang awak lakukan.”

Cinta pertama, kedua dan ketiga menjadikan hidup saya lebih bermakna. Ibarat memandu di sebuah jalan yang lurus tanpa arah yang tepat, kehadiran mereka membantu untuk menuju ke lokasi yang diinginkan dengan lebih mudah. Seterusnya, cinta keempat yang turut mengubah cara saya memandang hidup ini.

Cinta keempatlah yang pernah memarahi saya ketika saya terleka dengan keindahan dunia. Walaupun dimarahi, saya terus setia untuk bercinta dengannya.

Pesannya,

“Saya tidak kisah apa sahaja yang awak mahu untuk kehidupan awak. Tetapi awak perlu bertanggungjawab untuk amanah yang awak pikul. Bagaimana awak menzahirkan rasa tanggungjawab? Adakah apa yang awak buat sekarang cukup bertanggungjawab?”

Oh cinta-cintaku…

Cinta-cinta itu terlalu kuat bertapak dalam hati saya. Jiwa saya selalu terasa berbunga-bunga. Tetapi mulai saat ini, saya perlu belajar untuk bertolak ansur dengan cinta-cinta itu. Jasad ini mungkin pergi, namun cinta yang sudah bersemi perlu terus dibaja agar terus menghasilkan pokok yang sihat serta buah yang ranum.

Saya akan meninggalkan tempat ini, tempat yang saya sudah peroleh keempat-empat cinta yang saya mahukan, serta cinta-cinta yang lain juga. Cinta yang lama akan ditinggalkan bersama pelajaran yang memberi kematangan dalam hidup. Pemergian bersama suatu keyakinan bahawa saya akan bertemu dengan cinta yang baru di tempat baru.

Cinta baru untuk suatu kehidupan baru. Selamat tinggal. Saya akan berpindah. Mohon doa semua.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”.(Hadis riwayat Imam Ahmad).

Rasulullah s.a.w ada menyatakan:

“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya”.

Apabila saya bercinta dengan perempuan, beginilah. Aiyak!

Selamat Hari Jadi Blog!

Nama Untuk Blog

“Abang, nanti Liana nak buka blog baru. Boleh cadangkan nama?”

Saya bertanya kepada Abang yang paling saya sayang, meminta pandangan beliau. Beliaulah satu-satunya Abang saya, selain daripada abang-abang ipar. Abang-abang ipar disayangi juga, kerana mereka menyayangi kakak-kakak dan anak-anak saudara saya. Ehee.

Beliau menjawab,

“Letak-jer nama sendiri.”

Saya telah memikirkan beberapa nama yang glamor, alasannya tidak mahu dikenali. Saya tahu, bukan senang menjadi orang yang dikenali. Kenapa? Anda sendiri pun boleh tahu akibatnya.

Orang akan memerhatikan apa yang anda buat dan menuntut kesempurnaan daripada anda. Apabila anda bertindak sesuatu yang salah(hakikatnya anda seorang manusia biasa), orang lebih mudah nampak salah anda dan tidak mempercayai anda lagi. Anda lebih mudah menerima tempelak, kutukan dan cacian orang. Walau mungkin ada anda menerima sokongan melalui pujian-pujian di ruangan komen, tetapi di satu sudut anda berhutang dengan Allah melalui apa yang anda perkatakan.

Saya menjawab,

“Kalau letak nama sendiri, banyak nak kena fikir ni. Nak pakai nama ni sampai ke tua ni Bang. Liana ni kadang-kadang menulis ikut perasaan juga. Kadang-kadang tulis tak tentu hala juga. Ikut prestasi imanlah.”

Saya beralih pula kepada kakak sulung yang dicintai.

“Kak, pakai nama apa best?”

Jawabnya,

“Ha, Dr. Yuna tu pun best juga. Glamour gitu…”

Yuna juga adalah nama panggilan saya ketika di universiti dahulu oleh orang-orang tertentu terutamanya Sister dan staf-staf di klinik pelajar, semuanya pun setelah kemunculan penyanyi Yuna-lah. Tumpang nama orang. Kebetulan ada iras nama sedikit.

Jadilah Berani Yang Benar

Dalam persediaan membuka blog yang baru, saya terjumpa sebuah pesanan daripada seorang Ustaz.

Saya tidak faham kenapa ramai orang suka tidak meletak nama untuk setiap tulisan mereka. jika memberi komen dengan menggunakan nama samaran. Jika menulis blog pula, menggunakan identiti berlainan. Sama jugalah dengan akaun facebook. Adakah mereka ini orang-orang yang pengecut? Yang tidak mahu bertanggungjawab untuk setiap tulisan mereka? Adakah mereka ini adalah orang-orang yang berani berkata-kata tanpa nama? Hujahnya berbisa, komentarnya memang membuka minda. Sungguh ke hadapan. Tetapi sejauh mana keberanian mereka itu yang dikatakan berani? Berani yang benarkah?

Ayat-ayat di atas ada seperti ayat-ayat seorang Ustaz? Oh tahulah tak ada sebab saya olah ayat sendiri. tapi ada point penting yang Ustaz nak sampaikan. Dah lama dah tu, setahun yang lepas. Mana nak ingat ayat penuh.

Antara kesan buruk yang saya rasakan, tetapi tidak dipedulikan. Tidak peduli kerana saya mahu mengambil ia sebagai sesuatu yang positif. Kalau saya peduli, mungkin saya sudah berhenti menulis.

Apabila akan ada orang yang mempertikaikan tulisan anda, setelah mengenali siapa anda.

Apabila akan ada orang yang membawa cerita buruk tentang anda, kerana keberanian anda mengupas sesuatu isu.

Apabila akan ada orang yang terasa dengan tulisan-tulisan anda, menyangka anda sedang menulis tentang mereka.

Itu sebabnya, blog saya ini bukan tempat untuk meluahkan perasaan tidak puas hati. Saya sedang berusahalah untuk tidak mengetengahkan sebarang artikel yang boleh memberi keaiban kepada orang lain.

Sokongan Keluarga

Saya berpesan kepada Emak,

“Emak, ini blog Liana. Kalau Emak free, baca tau.”

Emak menjawab,

“Liana tulis semua ini?”

Saya terangkan kepada Emak, dan seperti biasalah, apalagi seorang Ibu akan katakan,

“Emak sentiasa menyokong apa yang Liana buat. Teruskan jika ia memberi kebaikan.”

Ayah pula? Memang pembaca setialah. Kan Ayah?

Suatu hari, kakak ipar saya menegur,

“Akak suka baca artikel yang Liana tulis.”

Tidaklah bermaksud saya nak kata saya berbangga dengan pujian ini, tetapi saya nak zahirkan bahawa sokongan merekalah yang memberi saya kekuatan untuk terus menulis. Saya bukanlah bagus dalam bidang penulisan, tetapi saya yakin dan percaya bahawa apa yang saya tulis hari ini adalah usaha saya untuk menjadi seorang penulis yang baik.

Tentulah saya ada bercita-cita untuk menulis di dalam majalah. Alhamdulillah, artikel sulung saya telah diterbitkan dalam sebuah majalah Islamik. Dan tentu juga saya bercita-cita untuk menghasilkan buku motivasi dan novel.

Semuanya, bermula dengan hari ini.

Lain orang, Lain pandang

“Mak Teh, Thaqif nak…,” belum sempat anak saudara saya yang berusia 6 tahun ini menghabiskan bicara, saya terdengar suara bisik-bisik di belakang yang membantu beliau untuk berkata-kata, sedangkan beliau sudah boleh bercakap sendiri.

Lantas, saya memberinya arahan.

“Thaqif! Lari…Lari cepat. Jangan duduk dekat dengan Wan(Nenek).”  

Tiba-tiba saya terdengar suara Emak saya di corong telefon,

“Eh, Thaqif nak pergi mana tu? Thaqif…Thaqif…” Memanggilnya sambil tergelak.

Saya terus menyambung berbual dengan  Emak. Keesokannya Emak bercerita di dalam SMS,

“Selepas Liana suruh Thaqif lari, dia lari terus ke luar rumah. Dia ingatkan Liana tak suka dia. Menangis-nangis dia. Emak pujuk dia tak nak masuk!”

Tujuan saya supaya Thaqif ke tempat lain supaya saya boleh bercakap dengan dia secara spontan kerana say atidak mahu dibantu.

Allah, rasa bersalah pula saya. Beginilah budak-budak, apa yang dia faham berbeza dengan apa yang saya cuba sampaikan. Saya fikir untuk bergurau.

Dan saya tahu, setiap tulisan saya ini memang mudah disalah tafsir bergantung kepada cara penyampaian saya dan cara penerimaan anda. Tulisan yang tidak baik bakal menimbulkan tanda tanya, mugkin juga huru-hara. Dan kekadang saya fikir, terpulanglah kepada anda untuk ambil dari sisi yang mana. Saya tidak kisah untuk sebarang salah pandang terhadap saya. Semuanya saya berserah kepada Allah SWT.

Saya dan Usia

Hari ini, buat pertama kalinya saya berasa takut melihat tarikh yang tertera. Saya sudah berusia. Tetapi usia saya yang lalu banyak yang tersia. Semoga Allah memadamkan segala dosa saya yang lalu, dan menerima lembaran baru yang saya ingin bawa untuk kehidupan saya yang seterusnya.

Saya akan terus menulis sehingga ke akhir usia. Saya mahu apabila saya mati kelak, saya meninggalkan karya-karya bermutu sebagai panduan dan rujukan. Berikan sokongan anda kepada saya dengan teguran. Saya terbuka menerima, InshaAllah.

Setelah 8 Bulan, Saya Baru Bercuti

Saya angkat satu demi satu. Bermula  dari tangan kiri pula tu. Tangan kanan buat apa?

Julai, Ogos, September, Oktober, November, Disember, Januari, dan Februari. Serius. Tak percaya. Saya sudah 8 bulan di Sarawak.

Tadi saya menyertai 2nd Borneo Dental Congress and Trade Exhibition dari pagi hingga ke petang. Berjumpa ramai orang yang hebat-hebat, Alhamdulillah. Ramai juga yang bertanya,

“Udah berapa lamak kitak sitok?”

Atau,

“How long have you been here?”

Saya jawab,

“6 bulan.”

Tak sengaja menipu. Tak sedar sudah 8 bulan dan tinggal 4 bulan sebelum cukup setahun. Ada banyak perkara yang berlaku. Suasana memang membentuk peribadi kita. Berubah pola pemikiran. Jelas hala tuju kehidupan. Tahu apa yang perlu dilakukan.

Banyak juga yang perlu dimuhasabahkan. Kalau bercakap tentang 8 bulan, seorang ibu sudah dikira sarat mengandung. Sekurang-kurangnya menghasilkan sesuatu. Tetapi apalah yang telah saya lakukan selama ini. Semoga mendapat nilaian di sisi Allah SWT.

Hebahan Bercuti

Bajet macam dikenali ramai nak buat hebahan bagai. Tak perlu. Tetapi saya hendak kongsikan satu cerita.  Sila sediakan sekotak tisu.

Sejak saya diterima belajar di Universiti Malaya, setiap waktu solat saya berdoa kepada Allah agar mengizinkan saya menjejakkan kaki ke Baitullah dengan gaji yang bakal saya peroleh ketika sudah mula bekerja sebagai doktor. Saya hendak sangat ke sana, bersama mahram saya.

Hanya dengan gaji itulah satu-satunya peluang untuk saya ke sana. Justeru, apabila saya gagal satu subjek ketika peperiksaan akhir di tahun pertama dan dikehendaki mengambil peperiksaan tambahan dalam tempoh 2 bulan yang mana jika gagal, saya perlu mengulang tahun pertama dengan mengambil hanya subjek yang gagal itu sahaja!…., maka…

Setiap masa saya berdoa kepada Allah yang saya tidak mahu gagal kerana saya hendak sangat sangat sangat ke Mekah beribadah di rumah Allah dan ke Madinah bertemu Rasulullah. Saya tidak mahu mengulang tahun kerana itu melambatkan proses ke sana.

Sampai begitu sekali. Dan dari tahun ke setahun Allah mudahkan urusan saya. Cun-cun 5 tahun! (Cun-cun adalah bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud lebih kurang, cukup-cukup, sesuai, padan dan maksud yang lain sila bertanya kepada yang lebih arif, saya mungkin salah. Budak baru belajar.)

Dan setelah 8 bulan berlalu, dengan keizinan Allah dengan gaji itulah saya akan membawa mahram saya ke sana. Tidak lupa adik beradik saya yang semestinya turut menyumbang sama. (Gaji tidaklah seberapa. Tetapi semuanya dengan izin Allah yang Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki. Nasib baik ada adik-beradik juga, wasilah Allah untuk memberi rezeki.)

Alhamdulillah Allah permudahkan.

Akhirnya saya akan ke Mekah dan Madinah pada 16 Februari sehingga 29 Februari 2012, InshaAllah. Semoga Allah menerima saya di sana. Saya menyusun 10 jari memohon maaf kepada ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai, kenalan dan semua yang membaca samada saya kenal ataupun tidak.

Jumpa lagi.

p/s: Sudah 4 bulan tidak bertemu keluarga dan melihat kampung halaman. Seorang anak saudara sudah bertambah. Yang dua lagi sudah pandai bercakap. Yang seorang dah boleh berjalan, kot.

Abi Suhail mendengar Abu Hurairah RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada tahun Haji Wada’ di Mekah :

“Para jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah SWT. Dia akan memenuhi apa yang mereka minta, mengabulkan apa yang mereka doakan, memberikan ganti kepada mereka atas apa yang telah mereka belanjakan dan melipatgandakan satu dirham untuknya menjadi sejuta dirham” (al-Fakily, Muhammad Ibnu Ishak)

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah : 196 yang bermaksud :

“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah”

Begitu juga daripada Ibnu Umar RA yang berkata :

“Tidak ada seorang pun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah” (Al-Bukhari)

Surat Cinta Untuk Ayah

Amaran : Ini adalah surat cinta yang sangat tulus. Jangan baca jika anda tidak pernah mencintai Ayah anda.

Kehadapan Ayahku yang dirindui, semoga Ayah sentiasa dalam kesihatan yang baik. Semoga Ayah sentiasa cergas seperti biasa, terus bersemangat mengeluarkan peluh setiap pagi melalui aktiviti berlari, berjalan kaki ataupun bermain badminton. Terus menyayangi tumbuh-tumbuhan yang berjasa kepada bumi. Kebanyakan pokok yang Ayah jaga semuanya membuahkan hasil.

Semoga kami adalah anak-anak yang memberi kebahagiaan serta ketenangan untuk kehidupan Ayah.

Ayah, sejak akhir-akhir ini Liana sering teringatkan Ayah. Sampai ke dalam mimpi. Sedangkan Liana ni kalau tidur, tidur mati. Jarang sangat bermimpi. Dan buat pertama kalinya Liana menangis sebab rindukan Ayah. Sedangkan sepanjang berjauhan ini tidak pernah setitis pun air mata Liana jatuh kerana rindukan sesiapa. Tetapi akhirnya jatuh juga. Sukar sungguh mahu diungkapkan rasa rindu itu. Tetapi jika Ayah berada di depan mata Liana, Liana nak peluk dan cium pipi Ayah.

Liana teringat dahulu semasa Liana peluk dan cium pipi Ayah. Mula-mula rasa janggal. Tapi lama-lama Liana rasa Liana hendak peluk dan cium pipi Ayah selalu. Nak berjalan-jalan sambil pegang tangan Ayah.

Kalau Ayah temankan Liana membeli-belah, kalau boleh semua barang di dalam pusat beli belah Ayah nak bagi Liana. Kalau Liana nak pilih yang murah-murah, Ayah suruh Liana ambil yang mahal. Liana tahu Ayah memang sanggup korbankan harta untuk Liana. Tetapi Liana kan anak yang baik. Takkan sesekali Liana salah gunakan. Hehe.

Liana tahu juga Ayah memang salah seorang peminat blog ini. Liana tahu Ayah selalu buka dan baca perkembangan Liana. Tapi Liana jarang tulis pasal Ayah kat sini. Macam sibuk sangat dengan kerja dan hal lain-lain. Tetapi sebenarnya tentulah tidak. Setiap hari Liana menitipkan doa kepada Ayah dari dahulu sehingga sekarang tidak pernah henti!

Ayah pernah cakap Liana ini anak emas. Kelahiran Liana dinanti-nantikan. Masa Liana kecil Ayah selalu manjakan Liana. Sampai sekarang Liana masih perasan manja. Ayah tengoklah sendiri sampai sekarang Liana tak matang-matang. Masih macam budak-budak. Ayah kena ajar Liana bertindak macam orang dewasa. Kan Ayah pernah tanya bila Liana nak kahwin? Hehe. Gurau aja e Ayah.

Ayah, Liana akan sentiasa berdoa dan terus berdoa semoga Allah memberikan yang terbaik kepada kehidupan kita. Liana sayang Ayah. Sayang sangat-sangat. Liana nak masuk syurga dengan Ayah. Ayah, Liana tak nak Ayah balas surat ini. Dulu, Ayah pernah bagi surat, kan? Liana menangis baca surat tu. Liana tak suka baca surat Ayah. Hehe.

Yuliana  Ayob. Nama Ayah Liana bawa ke mana-mana.

Terima kasih Ayah. I always love and miss you.

SE: Tears That Falls

Dedicated to my lurvely sis 4 her graduations..we all love u !!
We can’t begin to tell you
Just how loved you are
We can’t believe how time has flown
And how you’ve come so far
 
Forgive us when we stop and stare
And tears fall from our eyes
Time flew by so quickly
Sure took us by surprise
 
We asked you to stay little
To always be our baby
You said, “I’ll try to if I can,
but, I’ll have to grow up…maybe.”
 
Now here you stand before us
A respectful, honest woman
Strong-willed and determined
Who always says, “I can”
 
There are no doubts within our minds
That you’ll indeed succeed
Your future holds so much in store
But ‘that smile’ is all you need
 
You’ve always been so gentle,
So loving, kind and giving
Having you as our sis,
Is another term for ‘living’
 
No matter where life leads you
No matter what you do
We’ll always be your biggest fans
And we’ll be here for you.
 
CONGRATS DR LIANA !!
p/s:Thank you so much Sis! I love you always.