Tips Ringkas Survival Alam Klinikal- Saya Boleh!

“Akak, bagaimana perasaan di tahun akhir pengajian?”

Jawapan beliau yang masih segar dalam ingatan.

“Rasa macam air dah paras hidung. Dah nak lemas.”

Saya senyum. Menelan air liur sendiri. Fuh.

Realiti pelajar pergigian. Memang banyak. Banyak. Banyak. Banyak perkara. Tetapi semuanya adalah kenangan manis yang sangat saya rindukan. Rindu sangat.

Perkara yang paling menggembirakan adalah berjaya melangkah ke tahun berikutnya. Bermakna, tidak sia-sialah usaha sepanjang tahun tersebut.

Segalanya pun adalah dengan keizinan Allah jua. Pengajian selama 5 tahun mengajar erti tawakal, keikhlasan dalam menuntut ilmu, ketabahan dan erti kesungguhan.

Seorang adik di tahun ketiga pengajian meminta tips untuk survival di alam klinikal. Saya tidak dapat menyentuh secara terperinci memandangkan sudah agak berabad saya meninggalkan alam pengajian. Justeru, saya berkongsi secara keseluruhan. Harap-harap memberi manfaat walaupun sedikit.

Ward Round

Suka saya berpesan, sentiasa menerima tawaran pensyarah jika diminta untuk melakukan pemeriksaan kepada pesakit. Kebanyakan doktor perubatan yang mengajar adalah sangat baik dan membantu. Jadi, tidak perlu takut. Peluang memeriksa pesakit janganlah disia-siakan. Pastikan kita ‘menyentuh’ sekurang-kurangnya seorang pesakit semasa ward round. Yolah, kalau semua pun kita nak pegang, kawan-kawan yang lain pun nak juga. Dak?

Mesti ada buku nota kecil. Catatkan sedikit latar belakang pesakit yang ada kena mengena dengan penyakit. Selalunya pensyarah akan menceritakan dengan begitu terperinci sehinggakan terlepas mencatat. Catatlah apa-apa yang penting. Terutamanya apabila pensyarah mula menimbulkan banyak persoalan tentang pesakit dan penyakit. Soalan-soalan inilah menjadi kemungkinan soalan yang akan ditanya ketika viva nanti.

Walaupun kekadang kita berjumpa dengan penyakit yang sama dalam satu sesi, hargailah ia. Apabila ada masa terluang, pastikan kita melakukan ulangkaji berkaitan penyakit yang baru kita lihat tadi.

Suka dan suka lagi saya nak kongsi, jika pesakit adalah Muslim, jangan lupa tiupkan sedikit kata-kata semangat supaya hidup jiwa mereka. Cuba-cuba merisik adakah mereka sudah menunaikan solat. Bantulah, apa yang boleh. Sakit fizikal, Doktor dah beri ubat. Sakit rohani, bagilah ubat juga.

Projek Gigi Palsu

Ini adalah antara projek yang saya sukai. Ia memerlukan sedikit kemahiran seni selain daripada kesabaran dan ketabahan jika gigi palsu tidak menjadi. Sukanya saya dengan projek ini sehinggakan saya pernah merancang untuk menyambung pengajian prostetik. Angan sekadar angan semata.

Binalah hubungan yang baik dengan pekerja-pekerja di makmal, begitu juga para juruteknologi pergigian. Sebab apa? Mereka inilah insan-insan yang akan membantu ketika kita susah.

Barang rosak. Itu hilang. Kepada mereka jugalah kita melutut nanti. Tak rugi pun buat baik dengan orang lain. Buat baik bukan kerana kita mahu dibalas baik. Buat baik kerana ia adalah perintah Allah. Cuma manfaatnya memang jelas, kebaikan kita akan dibalas kebaikan. Lebih jelas lagi, interaksi sosial yang baik memungkinkan segala urusan kita menjadi lebih mudah.

Rajin-rajinlah beri salam. Rajin-rajinlah ucap selamat sejahtera. Jangan sombong sangat. Bakal doktorlah konon. Uhuk.

Motivasi-Hidup

Requirement Clinic

Saya gembira dapat jumpa pesakit. Jadi, agak jarang saya merasa tertekan ketika berurusan dengan pesakit. Penting untuk kita mempamerkan sikap yakin ketika berkomunikasi dengan pesakit. Selalunya mereka memang tak yakin pun dengan kita, maklumlah kita kan pelajar. Tengah belajar, banyak perkara tak tahu.

Jadi, pandai-pandailah berlakon seperti doktor. Saya selalu anggap saya seorang doktor walaupun ketika itu saya masih sedang merangkak-rangkak dalam pengajian. Tetapi anggapan begini akan menjadikan saya realistik dan bertindak sepertimana seorang doktor sepatutnya bertindak.

Bertindak bijak. Jangan tamak. Kekadang perlu juga bijak dan tamak, tetapi tidaklah menyusahkan orang lain. Faham, ke? Tersirat juga. Perlu bijak melihat sesuatu dengan pandangan, ‘begin with the end in mind’. Rancanglah rawatan-rawatan.

Buanglah mentaliti seperti ‘kalau aku tak dapat kes, aku akan gagal’ atau ‘kes ini penting untuk aku cepat cepat grad’.

Entah. Pemikiran begini hanya akan menambahkan tekanan dan meningkatkan potensi untuk mendapat darah tinggi. Ehe.

Sekali sekala berfikirlah di luar kotak. Pernah satu ketika, pesakit untuk paediatric clinic tidak dapat hadir dan saya ada 3 jam kosong, tanpa pesakit. Lalu, saya menuju ke ruang menunggu di bahagian wad bersalin hospital untuk mencari pesakit. Seorang ibu percaya dengan membiarkan saya membawa anak beliau ke klinik untuk pendaftaran dan rawatan, galang gantinya saya memberikan kad pengenalan dan kad pelajar kepada ibu tersebut. Ini adalah perkara paling gila yang boleh saya katakan sepanjang pengajian, betapa terdesaknya kami memerlukan pesakit untuk memenuhi senarai rawatan yang perlu diselesaikan. Jika tidak, ada kemungkinan kami akan ditahan daripada menduduki peperiksaan.

Ehe. Rezeki. Rezeki sungguh. Usaha pun perlu, siapa tak nak grad cepat? Siapa nak gagal? Tak dak siapa mahu. Kan?

Berinteraksi dengan senior, junior dan kawan-kawan. Tolong-menolonglah sesama kita. Yang paling best, kita tolong kamu, kamu pula tolong kita. Saya sangat menghargai senior-senior terutamanya buddy dan junior yang banyak sangat membantu. Itulah sebabnya kenapa kita perlu baik dengan semua orang. Ketika inilah, baru terasa mereka membalas kebaikan kita. Semuanya dengan izin Allah jua. Alhamdulillah.

Kesimpulannya, percaya dan yakinlah kita boleh menggenggam kejayaan walau banyak ujian yang mendatang. Pastikan momentum keimanan sentiasa pada tahap yang terbaik supaya setiap tindak tanduk kita mendapat redha Ilahi.

Semoga berjaya, adik-adik.

Apabila Hamba Bersujud

Ya Allah Ya Tuhanku,

KepadaMu Hamba meletakkan sepenuh kebergantungan.

Aku hambaMu yang lemah, aku tiada daya dan upaya melainkan semuanya adalah kerana takdirMu Ya Allah.

Hamba menyerahkan kehidupan kepada Allah SWT. Allah-lah sebaik-baik pengatur. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

Sungguh cantik aturan Allah. Meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Memberi sesuatu kepada yang berhak menerimanya. Menguji seseorang sesuai dengan kemampuannya.

Ya Allah Ya Tuhanku,

Pada saat Hamba ini bersenang lenang diulit rezeki mencurah-curah,

Pada saat Hamba ini menikmati limpahan kasih sayang makhlukMu,

Pada saat Hamba ini mensyukuri setiap takdirMu,

Ada insan-insan yang diuji dengan sempitnya rezeki.

Diuji dengan kesusahan, kematian.

Diuji dengan keluh-kesah dan kekecewaan.

Ya Allah,

NikmatMu ini bagaimana harus aku syukuri?

Bagaimana harus aku buktikan bahawa aku adalah HambaMu yang tahu bersyukur?

Bagaimana?

Najmi Yaqzan, anak saudara kedua

Najmi Yaqzan, anak saudara kedua

Bersyukurlah.

Berhentilah menghitung-hitung nikmat mana yang aku belum terima.

Berhentilah melihat orang lain dengan rasa cemburu dan hasad dengki.

Berhentilah mensia-siakan nikmat.

Tunaikanlah  hak-hak insan di sekelilingmu.

Tunaikanlah hak orang yang berhak.

Jika kita kata kita beryukur punyai Ibu dan Bapa,

Tunaikanlah hak mereka. Tanyalah khabar berita, jagalah kebajikan mereka dan buatlah mereka gembira.

Jika kita kata kita beryukur punyai suami atau isteri,

Tunaikanlah hak mereka. Berilah nafkah, ketaatan dan pengorbanan.

Jika kita kata kita beryukur punyai harta,

Tunaikan zakat. Amalkan sedekah. Berilah kepada yang memerlukan.

Jika kita kata kita bersyukur berada dalam Jemaah,

Jalankan dakwah. Kerahkan tenaga. Berilah manfaat kepada ummah.

Daripada Abi Umar as-Syaibani berkata:

“Nabi Musa s.a telah berdoa semasa berada di Tuur, Sinai:

“Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menunaikan solat menuju keredhaanMu, aku telah bersedekah menuju keredhaanMu, aku telah menyampaikan risalah agama menuju keredhaanMu. Maka adakah aku telah mensyukuriMu? Lalu Allah berfirman: “Wahai Musa, sekarang engkau telah mensyukuriKu.”

Catatan Cinta Seorang Isteri

0-0-625512_10151995993050349_245207215_nFitrah manusia ingin dicintai dan mencintai. Tetapi ini bukanlah platform yang sesuai untuk saya mengekspresikan rasa itu. Maaflah, ini bukan catatan cinta seorang isteri yang bernama Yuliana.

Catatan cinta seorang isteri bersama Yuliana.

Bersama. Bukan bernama.

Jadi siapa? Nak tahu?

Bacalah sehingga ke penghujungnya. Pasti bermanfaat.

Menjadi seorang yang bergelar isteri adalah idaman setiap wanita. Namun, tidak semua akan mendapat apa yang diinginkan. Jika pada saat ini kita berasa sedih atau kecewa tidak bersuami atau beristeri, cepat-cepatlah memanjatkan kesyukuran kepada Allah.

Ketika orang lain sedang diuji dengan masalah kesihatan sehinggakan terlantar di hospital, ujian kita pula hanyalah belum bergelar seorang isteri.

Ketika ada kawan kita yang diuji dengan kematian ibu bapa, kita masih ada mereka. Cuma, belum ada suami.

Bersyukurlah. Bersyukurlah.

Aku bersyukur.

Sekarang, mari kita teruskan dengan catatan cinta seorang isteri ini. Yang pasti, bukan sayalah. Masih muda dalam perkahwinan. Nak kongsi catatan pun rasa tak layak. Merepek mungkin bolehlah.

Saya kongsikan beberapa catatan yang saya rasa sangat bermanfaat. Sangat sangat sehinggakan rugi kalau hangpa yang sudah kahwin atau belum kahwin tak ambil tahu. Ini untuk perkongsian dan sebagai panduan.

Perkongsian ini adalah melalui kefahaman saya. Jadi, kalau saya salah faham, anda bertanyalah sendiri kepada isteri tersebut.

Perkongsian ini, saya nukilkan menggunakan ayat-ayat saya. Jadi, mungkin ada kepalsuan.

Hendak tahu cerita sebenar? Sila rujuk isteri tersebut. Ada gambar beliau. Di hujung perenggan.

Sabar.

Baca dulu sampai habis.

Moga Allah memberi kebaikan kepada Puan isteri dan Encik suami, kisah kalian saya kongsikan untuk manfaat bersama!

Saya mula.

Ramai daripada kita mengharapkan kesempurnaan pasangan. Kita mengharapkan pasangan adalah seorang yang berdisiplin. Kita mengharapkan pasangan serba tahu. Kita mahu pasangan menjadi begitu dan begini. Mengikut apa yang kita mahu. Apa yang kita rasakan perlu. Mungkin kita terlupa. Matlamat sesebuah perkahwinan bukanlah untuk melahirkan dua insan yang sama-sama berfikiran serupa. Suami buat ini. Isteri mesti  buat ini. Suami suka itu. Isteri mesti suka itu.

Bukannya bermatlamat melahirkan dua insan yang berfikiran serupa, tetapi untuk berfikir sama-sama.

Ia satu perkongsian. Membelah masa depan melalui satu perkongsian. Mustahil suami yang mendapat acuan mentua kita, adalah serupa dengan kita yang dididik oleh emak dan bapa sendiri. Tidak perlu berfikiran serupa, tetapi fikirlah sama-sama.

Bagaimana untuk sama-sama beroleh kesepakatan, walaupun dalam perbezaan.

Raikan perbezaan. Saya dan suami pun berbeza. Raikan. Raikan. Alhamdulillah, syukur. Perbezaan menandakan kami berdua bukan seibu sebapa. Kalau seibu sebapa, tak dapeklah kawen. Dok?

Best tak?

Jom kita teruskan.

Isteri ini mengajar kita untuk senyum dari hati. Senyum bukanlah sekadar penghias bibir. Jika begitu, sesiapa pun layak untuk senyum. Tiada makna. Tidak bernilai. Sedarkah kita bahawa senyum adalah pancaran kebahagiaan hati?

Bagaimana untuk beroleh kebahagiaan?

Melalui ketenangan.

Dari mana datangnya ketenangan?

Allah.

Hati yang mengingati Allah akan tenang. Hati yang tenang akan bahagia. Moga hati-hati kita semua adalah hati yang tenang. Senyum. Pancarkan kebahagiaan. Terutamanya kepada pasangan anda. Mengapa terlalu sukar untuk senyum? Mengapa? Mengapa?

Sila senyum sekarang. Jika tidak, sila jangan teruskan pembacaan.

Kan dah cakap, merepek memang kerja saya. Kekadang.

Kepada yang belum berumahtangga, bercinta sebelum kahwin adalah membuang masa. Buang masa!

Kalau tak bersetuju, simpan dalam hati aje lah ye. Saya tak berapa rajin nak mengulas panjang. Takut ada yang dah berkahwin dan terasa. Yang lepas, lepaslah. Yang akan datang ni. Kalau boleh, usahakan. Elakkan. InshaAllah lebih berkat.

Kekadang kita mahu dapatkan orang yang sekufu. Yang cantik, mahukan yang kacak. Yang kurus, mahukan yang kurus. Yang pandai, mahukan yang pandai. Yang kaya, mahukan yang kaya. Aha. Dengar ni. Eh, baca ni. Perkahwinan yang bahagia bukanlah apabila pasangan yang sepadan disatukan tetapi apabila pasangan yang tidak sepadan belajar untuk menerima ketidaksepadanan mereka.

Baik. Saya faham.

Jom teruskan lagi sikit.

Kalau nak tahu banyak, cari sendiri Puan isteri ini.

Setelah berkahwin dan mempunyai anak, suami dan isteri seperti permukaan sekeping syiling. Tidak dapat saling berdepan. Tetapi sentiasa bersama. Maklumlah hal anak. Mana ada banyak masa bersama.

Doakan saya dimurahkan rezeki anak.

Maniskan perumpamaan ini. Ibarat sekeping syiling. Sentiasa bersama walaupun tidak saling berdepan.

Pernahkah kita merungut apabila isteri kita mengemas rumah, tetapi tidak mencapai piawai yang kita tetapkan? Pernahkah kita membebel apabila suami menolong mencuci kain, tetapi kain masih berbau busuk?

Eh. Bukan suami saya ok!

Alhamdulillah.

Senyum.

Pernahkah kita bersyukur sebelum merungut atau membebel sedangkan ada di kalangan kita suami atau isteri yang langsung tidak membantu antara satu sama lain? Isteri dengan urusannya. Suami dengan urusannya. Rumah berserabut.

Walaupun suami kita memberi pertolongan, tetapi tidak mencapai piawaian yang kita mahukan, sekurang-kurangnya beliau masih sudi menolong.

Alhamdulillah.

Terlalu banyak sebab untuk bersyukur. Hinalah aku tidak mahu bersyukur. Hinalah aku tidak tahu bersyukur.

Senyum. Bayangkan apa sahaja yang membuatkan kita bahagia.

Anak-anak.

Ibu bapa.

Apa-apa.

Akhirnya, kegembiraan adalah tenaga.

Cuba lihat anak-anak yang bersungguh-sungguh bermain. Belum makan, tapi nak main. Nak tidur pun, nak main. Tak letih ke budak-budak ni? Sebab apa? Sebab mereka gembira. Kegembiraan mereka itu memberikan mereka tenaga. Tenaga positif.

Begitu juga seorang ibu ketika melahirkan anak.

Sakit beb. Mana tak sakit. Tapi mana datangnya tenaga? Sebab rasa gembira nak tengok anak. Nak ada anak.

Wow. Hari ini memang best.

Gembiralah.

Baru je berkenalan dengan Puan Isteri minggu lepas. Minggu ini habis. Terima kasih Puan Isteri.

Dah habis.

Salam Ramadhan kepada pembaca blog ini. Semoga Ramadhan tahun ini kita dapat manfaatkan dengan baik.

InshaAllah.

PaperArtist_2014-06-13_15-24-37

 

 

 

Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Islam Dijunjung

 “You don’t like to play safe.” Suami memberitahu.

Memandang sahaja wajah suami, senyum.

Suami bertanya, “Faham ke maksud Abang?”

Suami pun menerangkan. Saya mengangguk. Angguk.

Mungkinlah, betul.

Ketika mengisi borang penempatan, ada beberapa alasan saya letakkan supaya permohonan saya mendapat perhatian untuk diterima.

Antaranya ialah

-saya sukakan cabaran

-saya suka menguruskan kes-kes yang kompleks

-saya mahu belajar banyak perkara baru

Kerana sebab-sebab inilah, saya telah ditempatkan di sebuah negeri yang letaknya merentasi Laut China Selatan.

Saya memang sudah bertekad untuk ke Pulau Borneo, setelah Abang kandung, Encik Jain Nazley Bin Ayob menasihati untuk mendapatkan pengalaman di tempat baru. Abang yang selalu berhijrah ke banyak negara ini memberikan sokongan.

Namun, hasrat itu akhirnya dibatalkan apabila Emak tidak berapa merestui. Lalu saya memilih negeri yang saya fikirkan memenuhi kriteria di atas:

-Kuala Lumpur

-Selangor

-Johor

Firman Allah maksudnya:

“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

(al-Baqarah:216)

Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang. Sesuatu yang kita rasakan baik, tidak semestinya baik untuk kita manakala sesuatu yang kita rasakan buruk, mungkin baik untuk kita.

Masih teringat suasana ketika menerima surat tawaran tersebut.

Boleh baca di artikel sebelum-sebelum ini.

Justeru, saya ingin merujuk kepada dua soalan yang diutarakan oleh adik-adik yang bakal menamatkan tahun akhir pengajian.

Bagaimana nak memilih tempat yang baik?

Ada beberapa panduan ringkas.

Keluarga

Bincang dengan Emak dan Ayah(Termasuklah murobi, murobiyah, naqib, naqibah etc). Adakah mereka merestui jika kita memilih tempat yang jauh? Selalunya yang menjadi kerisauan adalah jika ada bencana atau kemalangan yang tidak dijangka, adakah kita dapat pulang segera? Selain itu, ada sesetengah yang perlu menjaga Emak atau Ayah yang sakit. Jadi, kalau Emak dan Ayah kita sihat dan memberi lampu hijau, pilihlah tempat-tempat yang jauh. Kenapa?

Pengalaman

Kerana sudah pasti tempat yang jauh menjanjikan pengalaman yang lebih mahal. Cabarannya mungkin lebih besar. Contohnya, jika anda ditempatkan di Sabah atau Sarawak, di mana anda bakal bertemu dengan pelbagai gaya bahasa, budaya dan cara hidup yang berbeza, serta keadaan masyarakat yang pastinya tidak sama seperti di semenanjung. Berpeluang untuk menggunakan bot, menaiki helikopter, merentas 12 jam perjalanan secara solo, menjadi orang asing di desa terpencil, aha. Semuanya mungkin ada di kawasan pedalaman. Mahal kan pengalaman ni?

Target

Ya. Sebenarnya apa yang anda impikan setelah bertungkus lumus menamatkan pengajian selama 5 tahun?

Anda impikan membawa keluarga menaiki kereta baru? Bekerjalah di lokasi yang berdekatan.

Anda impikan berbakti kepada kampung halaman? Mintalah di kampung sendiri.

Anda takutkan cabaran? Mana-mana pun ada cabaran.

Anda sukakan cabaran? Lebih jauh, lebih mencabar.

Gaji

Pastinya bekerja di Pulau Borneo menjanjikan gaji yang sedikit lumayan. Tetapi, ini tidak bermakna apa-apa jika kita tidak tahu berjimat-cermat. Alih-alih habis juga duit digunakan untuk membeli tiket pulang ke kampung.

Tapi. Oklah. Alhamdulillah.

Secara jujurnya, saya mencadangkan adik-adik meneroka tempat baru. Lebih jauh lebih baik. Terutamanya ke Pulau Borneo.

Ada yang bertanya tentang pengalaman bekerja di Sabah dan Sarawak.

Saya ada pengalaman buruk. Tetapi lebih banyak pengalaman yang baik. Justeru, tanpa mahu berkongsi yang buruk kerana saya yakin apa yang Allah takdirkan itu sebenarnya adalah baik untuk saya, bekerja di Pulau Borneo adalah pengalaman yang sangat MAHAL. Saya sangat bersyukur Allah memberi peluang saya ke sini.

Kenapa bekerja di Pulau Borneo?

Setelah mendengar cerita daripada rakan-rakan di Semenanjung(boleh rujuk senior yang bekerja di semenanjung), FYDO di Pulau Borneo lebih berpeluang untuk merawat kes-kes kompleks, berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dengan mudah(kerana kurang persaingan) dan berpeluang memegang jawatan tinggi(lebih banyak peluang dan pengalaman memimpin di usia muda).

Selain itu, kehadiran anda sangat diperlukan untuk membantu saudara-saudara Muslim di sini. Datanglah ke sesuatu tempat dengan membawa agama. Ingatlah peranan Rasulullah untuk terus-menerus menebarkan ajaran Islam di muka bumi ini. Bantulah yang sudah Islam untuk lebih memahami Islam. Bantulah yang belum Islam untuk mengenal Islam.

Kesimpulannya, di mana-mana pun tidak ada masalah selagi mana kita sedar akan hakikat dan tugas kita sebagai hamba dan Khalifah Allah. Letakkanlah tanggungjawab menjunjung agama di bahu kita. Rasakan bebanan itu.

Pergi kerja, bawa agama.

Ibaratnya sebiji benih yang dicampakkan ke tengah lautan, menjadi sebuah pulau. Jadilah kita permata agama yang bernilai, ke mana sahaja kita dicampakkan, kita boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

Islah diri, dakwah ummah.

Di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung.

Lakukan solat istikarah,

Berbincanglah.

Moga Allah beri yang terbaik. InshaAllah.

2012-12-16 09.57.34

 

 

Profesor Kolot

Mudahnya bertemu dengan orang yang baik-baik. Mudahnya mendengar cerita yang baik-baik.

Tidak sampai 2 minggu lagi akan berlangsung Seminar Anak Soleh Anak Cemerlang. Petang tadi saya menyusun langkah untuk bertemu dengan seorang Profesor untuk urusan program ini.

Jauh di sudut hati terasa sedikit gementar.

Jumpa orang berilmu tinggi. Orang besar. Orang hebat.

“Lagu mana nak susun kata ni…” dok bisik dalam hati.

Sebelum kaki menginjak masuk ke bilik beliau, cepat-cepat berdoa. Doa yang Emak selalu pesan untuk diamalkan.

‘Robbi yassir wala tu’assir’

doa mudah

Di dahinya jelas tanda banyaknya bersujud. Subhanallah.

Selesai menyampaikan hajat, beliau berkongsi kisah-kisah inspirasi. Saya kongsikan di sini untuk manfaat pembaca.

Inspirasi 1

Saya memang mengajar anak-anak saya mengaji. Balik sahaja dari kerja, mereka akan belajar dengan saya. Saya tak hantar mereka ke kelas mengaji.

Satu hari, ketika sedang mengajar mengaji, anak saya fasih mulutnya membaca, tetapi matanya ke TV.

Haih, tak boleh jadi ni.

Saya dan isteri bersetuju untuk tiada TV di rumah.

Mahu tak pelik. Semua rumah pun ada TV. Kolotlah saya jaga anak. Orang boleh terima ke cara saya?

Inspirasi 2

Walaupun begitu, pengetahuan anak-anak saya tentang isu semasa lebih baik berbanding rakan mereka, walaupun tanpa TV. Memanglah mereka tak tahu siapa juara ‘mentor’ dan sebagainya. Gelak sinis.

Sebab apa? Kami ibu dan bapa yang menyampaikan.

Menjadi rutin anak-anak saya, apabila saya pulang ke rumah dan duduk di kerusi, anak-anak akan datang dan memicit kaki saya. Dari dulu sampai sekarang.

Subhanallah. Keluarga yang penuh kasih sayang.

Semasa itulah saya akan menyampaikan berita dan isu semasa kepada anak-anak.

Selepas itu menceritakan satu demi satu tentang pekerjaan anak-anaknya. 6 orang anak. Kesemuanya sukses ilmu dunia dan akhirat. Alhamdulillah. Subhanallah. Professor kolot yang berjaya.

Inspirasi 3

Anak saya nak kahwin. Ketika itu dia sedang melanjutkan PhD. Saya beritahu dia, kalau kamu kahwin dan mengandung nanti, siapa nak jaga kamu di sana?

PJJ. Perkahwinan jarak jauh.

Saya amalkan perbincangan dengan anak-anak. Saya mendidik anak-anak tanpa sikap autokrasi.

Anak perempuan saya, anak yang sulung. Saya ajar anak sulung saya untuk sentiasa memberi sebab. Sejak kecil, kalau dia mahukan apa-apa, saya akan beritahu pada dia, berikan 3 sebab kenapa nak itu, nak ini.

Sebagai anak sulung, dia perlu membimbing adik-adik dia. Kena bagi adik-adik dia faham kenapa begitu dan begini.

Saya mahu dia bersikap rasional. Sentiasa berfikir. Faham kenapa perlu bertindak sedemikian. Sebab itu dia jadi pendebat.

Sekarang dia bersyukur sebab mengikut nasihat saya. Habis sahaja PhD terus kahwin.

Inspirasi 4

Ibu bapa zaman sekarang mana nak rotan anak-anak. Kolot.

Masa anak saya ikut ke masjid, saya beritahu mereka supaya jangan berlari-lari di kawasan masjid. Ini bukan tempat main-main. Mereka masih berlari. Saya rotan.

Sejak itu mereka takut. Kita rotan untuk mendidik. Bukan untuk mencederakan. Kita nak ajar mereka.

Mereka dengar cakap kita.

Kalau saya rotan, isteri saya akan pujuk anak-anak. Kalau isteri saya rotan, saya pula akan pujuk anak-anak. Nasihat anak-anak. Bagi mereka faham.

Begitulah.

Wow. Profesor yang merasakan didikannya kolot. Tapi inilah yang dianjurkan oleh agama Islam.

solah

Adakah anda rasa terinspirasi dengan kisah Profesor kolot ini?

Seorang ahli akademik yang sibuk dengan urusan pekerjaannya, masih mampu memberikan komitmen untuk memberikan didikan yang baik untuk anak-anak.

Inilah realiti. Contoh. Yang patut dicontohi.

Anak-anak adalah amanah Allah. Apabila dididik untuk mengenal Allah, mereka akan menjadi orang yang dekat dengan Allah.

Orang-orang yang dekat dengan Allah. Berhak untuk mendapat kasih sayang Allah.

Kasih sayang Allah. Kejayaan tertinggi.

Semua ahli keluarga bawa ke syurga.

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”

(At-Tahrim: 6)

Jom praktikkan kepada anak-anak. Ibu bapa, ini tanggungjawab anda.

Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dan Al-Imam Muslim, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

“Setiap di antara kalian adalah pemimpin dan akan dimintai pertanggungjawaban.”

 

Projek Memikat

Image

Akhawat nun di pedalaman dah bertanya lama. Baru hari ini berpeluang menaip sedikit catatan. Ini pun kerana teruja menggunakan komputer peribadi milik suami. Alhamdulillah.

Sabda Rasulullah SAW,

“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat.” (H.R Bukhari)

Allah memberi peluang meneroka sebuah desa terpencil. Masih segar ketika sampai sahaja ke desa tersebut, saya hampir meraung. Hampir. Hakikatnya yang berlaku hanyalah tangisan penuh sadis. Menangis memerhatikan desa asing yang baru dijejaki ini.

“Allah… Tak sangka aku dah sampai sini.” Lalu menangis dan nangis lagi. Kereta hitam menjadi saksi.

Desa asing. Desa terpencil.

Setelah lebih setahun di desa itu, saya melihat dengan pandangan berbeza. Saya katakan, ini adalah desa yang menginsafkan.
Memang pun.
Di situlah saya belajar pelbagai perkara yang sangat sangat dan sangat berharga.

Di sebuah desa menginsafkan. Anda tidak mengenali sesiapa. Tidak seorang pun.

Masih teringat pujukan seorang staf ketika saya meluahkan rasa sedih ketika perlu berpindah ke desa asing ini.

Beliau menasihatkan, “Doktor dah ada ilmu. Doktor dah belajar agama. Sekaranglah masanya Doktor ke kawasan pedalaman. Untuk praktikkan apa yang Doktor belajar.”

Fuh. Memang positif.

Allah mentakdirkan minggu pertama saya di desa menginsafkan, tanpa bekalan gas dapur. Habis. Semua habis. Tak ada satu pun tong yang dapat dibeli. Minggu keduanya pula bermulalah bulan Ramadhan. Sadis. Makan dan minum tidak menentu. Bertambah dengan kesukaran mencari menu halal.

Antara cabaran yang mempositifkan saya bahawa, YA. Ini desa menginsafkan.

Tarbiyah yang saya peroleh dalam ISMA mengajar bahawa mengajak orang kepada kebaikan adalah satu kewajipan untuk setiap orang yang faham. Orang yang faham bahawa hidup di dunia ini adalah bekalan untuk ke syurga akan berusaha untuk memastikan setiap detik diisi dengan perkara-perkara yang membawa ke syurga.

Berbalik kepada catatan awal.
Punyalah panjang mukadimah.
Saya teruskan kepada tujuan penulisan.
Akhawat meminta saya berkongsi bagaimana saya boleh menubuhkan usrah umum secara bersiri setiap bulan dan kelas mengaji hampir setiap minggu, dengan penyertaan yang Alhamdulillah.

Secara umumnya, saya kongsikan pengalaman yang tidak seberapa. Semoga bermanfaat.

1. Selalu ke masjid. Duduk di saf-saf yang berbeza. Memperkenalkan diri dan ‘memaksa’ ‘kawan baru’ memperkenalkan diri.
2. Sentiasa senyum dan ramah dengan sesiapa sahaja.
3. Mengajak datang ke rumah untuk makan-makan disertai dengan ceramah ringkas.
4. Menimbulkan kesedaran tentang pentingnya menghadiri usrah secara berkala melalui sembang-sembang santai.
5. Rajin mengedarkan mesej berantai. Heh. Mesej mengajak datang makan-makan dan usrah!
6. Jadikan rumah sebagai pusat sumber. Beri kawan baru meminjam buku dan beritahu mereka untuk memulangkan buku ketika sesi usrah seterusnya. Aha. Kehadiran berterusan tercapai!
7. Beri hadiah.
8. Tolong menyelesaikan masalah.
9. Menghadiri program-program yang dianjurkan masyarakat setempat walaupun tidak dijemput.
10. Belajar dialek masyarakat tempatan. Supaya anda lebih mudah diterima.
11. Ziarah. Bawa buah tangan.
12. Bersambung jika ada.

InshaAllah.

Projek memikat Mad’u.

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sesungguhnya, aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri)?”

Al-fussilat:33

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

An-Nahl : 125

Semoga bermanfaat.

23 Panduan Di Tempat Kerja Baru

ImageOh memang gembira dapat kerja. Lebih gembira apabila kita memang gembira hendak bekerja.

Siapa kata kita bakal bersenang-lenang apabila melapor diri ke tempat kerja baru? Tidak.

Kita pasti sibuk. Sibuk dengan 23 penyesuaian diri. Kita adalah pekerja yang hebat. Kerana majikan kita adalah Allah. Kerja adalah amanah.

Bagaimana untuk menyesuaikan diri di tempat kerja baru? Berikut adalah beberapa tips yang saya belum, sedang dan telah saya amalkan.

Semoga bermanfaat.

  • Solat hajat selalu semasa menuju hari melapor tugas. Mohon agar segala urusan dipermudahkan.
  • Ucapkan selamat kepada setiap orang yang kita jumpa sambil senyum dan menundukkan kepala.
  • Datang awal ke tempat kerja untuk membina reputasi yang baik. Kebiasaanya orang yang dapat menguruskan masa dengan baik adalah orang yang pandai menguruskan diri. Bos pasti menyemak kedatangan pada minggu/bulan terawal. Moga istiqamah!
  • Panggil dengan nama yang sesuai dan disukai mereka. Cuba dengan pertanyaan, “How should I address You?” atau “Saya nak panggil macammana ye…”
  • Sila bertanya. Banyakkan bertanya soalan yang munasabah supaya kita cepat belajar. Pastikan memilih masa yang sesuai untuk bertanya.
  • Perhatikan rutin di tempat kerja baru. Ikut rutin yang menjadi kebiasaan, elakkan melakukan perubahan serta-merta ditakuti ramai yang terkejut dan tidak suka. Aha, ketika orang ‘lama’ sibuk memperhatikan kita, kita juga perlu ‘sibuk’ memperhatikan mereka. Perhatikan cara mereka bekerja.
  • Berhati-hati dengan bicara dan tindakan. Kebiasaannya, kita akan diperhatikan. Salah yang sedikit akan menjadi besar bagi sesetangah orang.
  • Tepati waktu dan janji. Elakkan bercakap kosong tanpa aksi.
  • Hormati setiap orang yang kita jumpa. Serendah mana pangkat, seburuk mana akhlak.
  • Jauhi kumpulan-kumpulan yang suka menceritakan keburukan orang lain. Sebaik sahaja mereka mula bercerita, ucapkan dengan baik, “Maaf, saya takut bercakap keburukan tentang orang lain. Jom kita bincang isu lain.”
  • Pergaulan luas. Berkenalan dengan setiap orang di setiap sudut tempat kerja.
  • Ingat maklumat-maklumat penting tentang orang yang baru kita kenal. Supaya hubungan mesra lebih mudah terjalin dan berkekalan.
  • Sentiasa melihat kebaikan dalam setiap orang yang kita jumpa. Selalu yakin setiap orang yang baik atau tidak pasti mempunyai potensi dan kemahiran masing-masing. Cuma kita belum tahu. Belum nampak.
  • Banyakkan mendengar daripada bercakap.
  • Dapatkan feedback daripada pihak atasan untuk setiap tugasan. Bukan tunggu feedback, tetapi minta. Contohnya, “Betul ke caranya begitu?” atau “Apa pandangan Tuan tentang perancangan saya ini?”
  • Sila lupakan perkara-perkara ‘terbaik’ yang kita terima atau buat ketika di tempat kerja lama. Membanding-bandingkan apa yang ada dan tidak hanya membuang masa. Fokus dengan masa kini.
  • Akui kesalahan kita. Maklumlah, pekerja baru mana yang tidak buat salah. Amalkan meminta maaf.
  • Apabila belajar sesuatu yang baru dan mustahil untuk ia melekat di kepala, ‘lekat’lah di dalam buku nota. Selalunya orang tidak kisah memberi penerangan apabila kita bertanya. Tetapi kalau asyik bertanya perkara yang sama berulang kali, hmm.
  • Sentiasa memaklumkan kepada majikan kemana anda pergi. Jangan buat mereka tercari-cari. Keep your boss informed!
  • Pastikan hari-hari terawal kita memakai pakaian yang baik. Memang kita tidak menilai daripada luaran. Tetapi first impression memainkan peranan yang sedikit dan mungkin banyak untuk ‘kestabilan’ di tempat kerja baru.
  • Antara cara untuk membina hubungan yang baik dengan rakan sekerja di tempat kerja baru adalah dengan membantu mereka. Memberi khidmat, biar bertempat. Siapa yang tidak suka dibantu, kan?
  • Sentiasa bersangka baik.
  • Sentiasa positif.