Sayang, Aku Sahabatmu!

image

Kita Hidup Bersama

Kita hidup bukan untuk diri sendiri. Kita punyai sebuah keluarga untuk dipelihara dari api neraka. Kita punyai kejiranan untuk kita amalkan kehidupan dengan cara hidup Islam. Kita punyai masyarakat untuk kita ajak kepada kebaikan.

Hidup sendirian bermakna kita bukanlah manusia yang normal.

Kita hidup bersama-sama, saling mendokong.

Sokongan Emosi Kepada Pasangan

Suatu petang ketika di dalam kereta, kami berbincang suami dan isteri.

“Suami, dulu kan isteri biasa hidup seorang diri. Sangat berdikari. Sangat berani. Tak peduli hal orang lain. Semuanya tentang diri sendiri.”

Sambung saya lagi,

“Tetapi setelah berkahwin, barulah isteri dapat merasakan kehidupan itu lebih bererti. Isteri lebih memahami kepentingan hidup bersama-sama. Tidak ada istilah ‘saya boleh hidup seorang diri. Campaklah saya ke mana-mana pun, saya tak kisah’. Itu semua tipu.”

Suami mengangguk tanda bersetuju. Saya sentuh kisah tragis tentang kematian bayi beberapa hari yang lalu. Bayi itu telah dicampakkan oleh ibunya sendiri dari tingkat 18!

“Suami, mereka kata wanita tersebut sedang dalam proses penceraian. Hmm memang tak hairanlah perkara macam ini boleh berlaku. Isteri tak nak salahkan wanita tersebut. Cuma isteri nak beritahu betapa pentingnya peranan pasangan dan keluarga untuk menyokong emosi ahli rumahtangga.”

Saya teruskan,

“Wanita adalah manusia yang penuh dengan emosi. Suami adalah penyokong dan pembantu terbaik untuk meneutralkan emosi wanita yang tidak tentu hala. Kasihan…wanita yang baru melahirkan anak, tiada pasangan hidup untuk menantikan kehadiran anak itu. Di manakah suaminya?”

Suami menyambung,

“Betul isteri. Wanita tersebut tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya. Sistem keluarga yang tidak berpaksikan iman akan mudah pecah. Perpisahan dan penceraian adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah. Suami atau isteri perlu saling melengkapi. Barulah rumahtangga bahagia menjadi realiti.”

Pasangan Pelengkap Hidup

Suami dan isteri adalah saling melengkapi. Suami yang baik pasti mahu isterinya juga menjadi baik. Begitu juga seorang isteri mahukan suaminya menjadi baik.

Jika si suami lalai dalam mentaati perintah Allah, isteri perlu berperanan untuk mengingatkan. Begitu pula sebaliknya.

Katakanlah suami sering menonton televisyen sehingga lewat menunaikan solat, isteri solatlah di awal waktu supaya suami tersedar. Kekadang kita tak perlu gunakan mulut untuk menegur.

Katakanlah isteri pula suka bermain telefon. Kemana-mana sahaja pasti bersama telefon. Suami pula cuba berbual dengan isteri dan mengajak isteri melakukan aktiviti bersama supaya isteri tidak leka dengan telefon.

Kehidupan suami menjadi bererti dengan kehadiran isteri dalam hidupnya. Kehidupan isteri pula menjadi bermakna dengan kehadiran suami. Hidup pasangan ini akan menjadi sempurna. Tetapi lumrah kesempurnaan itu awalnya adalah perbezaan dan perselisihan. Inilah yang saling melengkapi.

Isteri sering beremosi, suami pula pandai mengawal emosi. Suami sering terlupa, isteri pula selalu mengingatkan.

image

Pentingkan Diri

Apakah yang akan terjadi kepada sebuah perkahwinan jika suami atau isteri bersikap mementingkan diri sendiri? Hanya mahu diri cukup makan, hanya mahu diri dilayan dan hanya mahu diri mendapat hak dan keistimewaan.

Hanya mahu hak terhadap dirinya ditunaikan? Tetapi gagal menunaikan hak pasangan? Membiarkan pasangan menguruskan hidupnya sendiri? Tidak mahu memberi nasihat. Tidak mahu menegur jika melakukan kesalahan. Membiarkan pasangan melakukan kezaliman. Suka melihat pasangan tidak menutup aurat. Sukakah anda pasangan melakukan dosa?

Jadilah Seorang Sahabat

Mari kita berdoa, semoga pasangan hidup kita ini boleh menjadi seorang sahabat.

image

Siapakah sahabat?

Sahabat yang sering meluangkan masanya dengan kita, ringan mulutnya untuk berbual dan mendengar permasalahan kita dan membantu ketika kita buntu.

Tanyalah kepada sesiapapun, jika kita berdepan masalah, siapakah yang akan kita cari selepas mengadu kepada Allah? Kita mahu ceritakan semuanya kepada sahabat.

Jika pasangan boleh menjadi seorang sahabat, sekurang-kurangnya pasangan boleh mendapat sokongan emosi yang baik.

Teringat pula saya tentang seorang sahabat yang berpesan, isteri yang bahagia maka bahagialah sebuah rumahtangga.

Isteri yang terurus emosinya, maka teruruslah suami dan anak-anaknya.

Wanita yang mungkin dikuasai emosi iblis ketika membunuh anaknya sendiri, semoga kamu beroleh ketenangan dan kebahagiaan untuk memulakan sebuah kehidupan.

Semoga kamu bertemu pasangan yang boleh menjadi sahabat sehingga ke akhir hayatmu. Amin.

Mari menjadi sahabat kepada pasangan kita. Bantulah mereka menguruskan emosi. Emosi yang baik datang daripada iman yang naik. Jika solat tidak jaga, aurat tidak terpelihara dan hidup penuh dosa, bagaimana mahu bahagia?

Sayang, aku sahabatmu!
Mari tolong menolong ke syurga!

Catatan Cinta Seorang Isteri

0-0-625512_10151995993050349_245207215_nFitrah manusia ingin dicintai dan mencintai. Tetapi ini bukanlah platform yang sesuai untuk saya mengekspresikan rasa itu. Maaflah, ini bukan catatan cinta seorang isteri yang bernama Yuliana.

Catatan cinta seorang isteri bersama Yuliana.

Bersama. Bukan bernama.

Jadi siapa? Nak tahu?

Bacalah sehingga ke penghujungnya. Pasti bermanfaat.

Menjadi seorang yang bergelar isteri adalah idaman setiap wanita. Namun, tidak semua akan mendapat apa yang diinginkan. Jika pada saat ini kita berasa sedih atau kecewa tidak bersuami atau beristeri, cepat-cepatlah memanjatkan kesyukuran kepada Allah.

Ketika orang lain sedang diuji dengan masalah kesihatan sehinggakan terlantar di hospital, ujian kita pula hanyalah belum bergelar seorang isteri.

Ketika ada kawan kita yang diuji dengan kematian ibu bapa, kita masih ada mereka. Cuma, belum ada suami.

Bersyukurlah. Bersyukurlah.

Aku bersyukur.

Sekarang, mari kita teruskan dengan catatan cinta seorang isteri ini. Yang pasti, bukan sayalah. Masih muda dalam perkahwinan. Nak kongsi catatan pun rasa tak layak. Merepek mungkin bolehlah.

Saya kongsikan beberapa catatan yang saya rasa sangat bermanfaat. Sangat sangat sehinggakan rugi kalau hangpa yang sudah kahwin atau belum kahwin tak ambil tahu. Ini untuk perkongsian dan sebagai panduan.

Perkongsian ini adalah melalui kefahaman saya. Jadi, kalau saya salah faham, anda bertanyalah sendiri kepada isteri tersebut.

Perkongsian ini, saya nukilkan menggunakan ayat-ayat saya. Jadi, mungkin ada kepalsuan.

Hendak tahu cerita sebenar? Sila rujuk isteri tersebut. Ada gambar beliau. Di hujung perenggan.

Sabar.

Baca dulu sampai habis.

Moga Allah memberi kebaikan kepada Puan isteri dan Encik suami, kisah kalian saya kongsikan untuk manfaat bersama!

Saya mula.

Ramai daripada kita mengharapkan kesempurnaan pasangan. Kita mengharapkan pasangan adalah seorang yang berdisiplin. Kita mengharapkan pasangan serba tahu. Kita mahu pasangan menjadi begitu dan begini. Mengikut apa yang kita mahu. Apa yang kita rasakan perlu. Mungkin kita terlupa. Matlamat sesebuah perkahwinan bukanlah untuk melahirkan dua insan yang sama-sama berfikiran serupa. Suami buat ini. Isteri mesti  buat ini. Suami suka itu. Isteri mesti suka itu.

Bukannya bermatlamat melahirkan dua insan yang berfikiran serupa, tetapi untuk berfikir sama-sama.

Ia satu perkongsian. Membelah masa depan melalui satu perkongsian. Mustahil suami yang mendapat acuan mentua kita, adalah serupa dengan kita yang dididik oleh emak dan bapa sendiri. Tidak perlu berfikiran serupa, tetapi fikirlah sama-sama.

Bagaimana untuk sama-sama beroleh kesepakatan, walaupun dalam perbezaan.

Raikan perbezaan. Saya dan suami pun berbeza. Raikan. Raikan. Alhamdulillah, syukur. Perbezaan menandakan kami berdua bukan seibu sebapa. Kalau seibu sebapa, tak dapeklah kawen. Dok?

Best tak?

Jom kita teruskan.

Isteri ini mengajar kita untuk senyum dari hati. Senyum bukanlah sekadar penghias bibir. Jika begitu, sesiapa pun layak untuk senyum. Tiada makna. Tidak bernilai. Sedarkah kita bahawa senyum adalah pancaran kebahagiaan hati?

Bagaimana untuk beroleh kebahagiaan?

Melalui ketenangan.

Dari mana datangnya ketenangan?

Allah.

Hati yang mengingati Allah akan tenang. Hati yang tenang akan bahagia. Moga hati-hati kita semua adalah hati yang tenang. Senyum. Pancarkan kebahagiaan. Terutamanya kepada pasangan anda. Mengapa terlalu sukar untuk senyum? Mengapa? Mengapa?

Sila senyum sekarang. Jika tidak, sila jangan teruskan pembacaan.

Kan dah cakap, merepek memang kerja saya. Kekadang.

Kepada yang belum berumahtangga, bercinta sebelum kahwin adalah membuang masa. Buang masa!

Kalau tak bersetuju, simpan dalam hati aje lah ye. Saya tak berapa rajin nak mengulas panjang. Takut ada yang dah berkahwin dan terasa. Yang lepas, lepaslah. Yang akan datang ni. Kalau boleh, usahakan. Elakkan. InshaAllah lebih berkat.

Kekadang kita mahu dapatkan orang yang sekufu. Yang cantik, mahukan yang kacak. Yang kurus, mahukan yang kurus. Yang pandai, mahukan yang pandai. Yang kaya, mahukan yang kaya. Aha. Dengar ni. Eh, baca ni. Perkahwinan yang bahagia bukanlah apabila pasangan yang sepadan disatukan tetapi apabila pasangan yang tidak sepadan belajar untuk menerima ketidaksepadanan mereka.

Baik. Saya faham.

Jom teruskan lagi sikit.

Kalau nak tahu banyak, cari sendiri Puan isteri ini.

Setelah berkahwin dan mempunyai anak, suami dan isteri seperti permukaan sekeping syiling. Tidak dapat saling berdepan. Tetapi sentiasa bersama. Maklumlah hal anak. Mana ada banyak masa bersama.

Doakan saya dimurahkan rezeki anak.

Maniskan perumpamaan ini. Ibarat sekeping syiling. Sentiasa bersama walaupun tidak saling berdepan.

Pernahkah kita merungut apabila isteri kita mengemas rumah, tetapi tidak mencapai piawai yang kita tetapkan? Pernahkah kita membebel apabila suami menolong mencuci kain, tetapi kain masih berbau busuk?

Eh. Bukan suami saya ok!

Alhamdulillah.

Senyum.

Pernahkah kita bersyukur sebelum merungut atau membebel sedangkan ada di kalangan kita suami atau isteri yang langsung tidak membantu antara satu sama lain? Isteri dengan urusannya. Suami dengan urusannya. Rumah berserabut.

Walaupun suami kita memberi pertolongan, tetapi tidak mencapai piawaian yang kita mahukan, sekurang-kurangnya beliau masih sudi menolong.

Alhamdulillah.

Terlalu banyak sebab untuk bersyukur. Hinalah aku tidak mahu bersyukur. Hinalah aku tidak tahu bersyukur.

Senyum. Bayangkan apa sahaja yang membuatkan kita bahagia.

Anak-anak.

Ibu bapa.

Apa-apa.

Akhirnya, kegembiraan adalah tenaga.

Cuba lihat anak-anak yang bersungguh-sungguh bermain. Belum makan, tapi nak main. Nak tidur pun, nak main. Tak letih ke budak-budak ni? Sebab apa? Sebab mereka gembira. Kegembiraan mereka itu memberikan mereka tenaga. Tenaga positif.

Begitu juga seorang ibu ketika melahirkan anak.

Sakit beb. Mana tak sakit. Tapi mana datangnya tenaga? Sebab rasa gembira nak tengok anak. Nak ada anak.

Wow. Hari ini memang best.

Gembiralah.

Baru je berkenalan dengan Puan Isteri minggu lepas. Minggu ini habis. Terima kasih Puan Isteri.

Dah habis.

Salam Ramadhan kepada pembaca blog ini. Semoga Ramadhan tahun ini kita dapat manfaatkan dengan baik.

InshaAllah.

PaperArtist_2014-06-13_15-24-37

 

 

 

Terdesak Mencari Cinta

Saya dijemput untuk menghadiri majlis sambutan hari jadi seorang kawan. Jejak sahaja di rumah beliau, saya melihat suasana yang cukup saya rindukan. Seluruh keluarga berkumpul, bermain permainan, makan bersama-sama, penuh dengan budak-budak dan hingar bingar dengan suara. Terus kerinduan kepada kampung halaman menerpa. Teutamanya rindukan Emak dan Ayah.

Bercakap tentang keluarga, pastinya isu yang saya ingin bawa adalah isu kahwin. Kalau orang bertanya kepada saya, bilakah agaknya saya akan mendirikan rumah tangga, saya akan menjawab,

“2013.”

Menjelang tahun 2013, kalau ada orang bertanya lagi, saya akan menjawab,

“2014.”

Dan seterusnya sampai saya sudah kahwin. Pernah seorang kawan saya berkata,

“Dulu masa tahun 2011, awak kata nak kahwin tahun 2012. Sekarang sudah 2012, tak ada apa-apa pun. So, tahun depanlah ya?”

Kata yang lain lagi,

“Eh hari tu awak kata tak ada calon? Tapi nak kahwin tahun 2013?”

Ada yang bertanya,

“Kitak udah ada gerek ka?”

Bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud,

“Awak sudah ada boyfriend?”

Dan ramai mendoakan saya berkahwin dengan orang Sarawak. Saya mengaminkan sahaja.

Perkahwinan adalah cerita yang menarik untuk diraikan. Orang yang sudah berkahwin adalah orang yang beruntung. Tetapi tak semua yang belum berkahwin tidak beruntung. Dahulu, saya pernah merancang, tetapi Emak memang tidak mengizinkan dan tidak suka saya bercakap soal perkahwinan. Maklumlah anak kesayangan. Perasan.

Jangan sesekali menyebut soal mahu berkahwin. Pantang sungguh. Berbeza pula dengan Ayah saya yang menyokong sepenuhnya. Sejak itu, saya sering berdoa supaya Allah melembutkan hati Emak saya untuk membenarkan saya melalui fasa berumahtangga. Saya amalkan doa ini,

“Ya Allah, permudahkanlah urusan jodoh dan pertemuanku dengan pasangan yang baik.”

Permudahkanlah.

Allah mudahkan, ketika tibanya hari lahir Emak saya pada bulan Disember yang lalu, saya menerima panggilan telefon di awal pagi.

“Emak doakan Liana …..”

Speechless!

Emak saya sebut satu-satu apa yang dia mahukan untuk kehidupan saya. Tidak pernah beliau mahu menyentuh tentang isu kahwin dengan saya, tetapi beliau menyatakannya ketika itu, ketika beliau menyambut hari lahirnya.

Semuanya dengan keizinan Allah juga.

Selepas itu saya tidak lagi menimbulkan isu kahwin dengan Emak. Sehinggalah ketika mengerjakan umrah pada bulan februari yang lalu, saya menyebut lagi soal ini dan Emak memberi respon yang baik.

Orang selalu mencari lelaki atau wanita yang mempunyai kriteria-kriteria tertentu yang menjadi pelengkap kepada kehidupan mereka. Saya pula memikirkan kriteria yang memenuhi kemahuan Emak saya. Emak saya tidak minta yang bukan-bukan.

Saya kembali senyap dengan isu ini. Sebab saya belum terfikir untuk berkahwin. Macam yang saya nyatakan sebelum ini, ini bukanlah soal malu tetapi belum mahu. Saya harap saya normallah. Kawan-kawan saya kebanyakannya akan berumah tangga. Tetapi ramai juga yang tidak. Kita semua normal, InshaAllah.

Sehinggalah saya menerima satu lagi panggilan telefon dari Emak pada suatu pagi, selesai sahaja saya menemui pesakit, 2 minggu yang lalu. Apa kata Emak?

“Emak nak datang Sarawak. Dah rindu pula pada Sarawak. Mak nak datang bulan 5 masa birthday Liana nanti. Nanti bawa Mak jumpa bakal menantu.”

Erk.

Kawan-kawan saya pernah bercerita bagaimana Emak dan Ayah mereka mahu mereka segera berkahwin. Sehinggakan mereka terasa sukar. Sekarang, baru saya faham bagaimana rasanya apabila ada harapan tertentu mereka yang tidak dapat kita tunaikan.

Cerita di atas adalah cerita rekaan semata-mata. Okay, saya tipu.

Sebenarnya, ada beberapa isu saya nak sentuh tentang cinta. Saya memang bukan orang yang layak bercakap tentang soal cinta kerana saya tidak pernah bercinta dan bukan sedang bercinta. Tak nak. Tetapi saya memerhatikan bagaimana cinta boleh menjadi racun yang menarik kita ke lembah zina. Cinta untuk orang yang terdesak, seperti saya dalam kes di atas. Bulan 5 adalah dalam sebulan lagi. Mencari cinta dalam tempoh sebulan? Memang terdesak. Bukan sayalah yang tersedak, eh terdesak.

Kepada mereka yang terdesak untuk mencari cinta, anda mungkin telah dan sedang melakukan ini:

  1. Meletakkan pelbagai gambar yang menarik dan tertarik di Facebook. Mana tahu ada yang terpikat.
  2. Menulis status-status tentang cinta dan rumahtangga. Mana tahu ada yang dapat meneka anda sedang mencari cinta.
  3. Meminta semua orang mendoakan anda cepat-cepat bertemu jodoh.
  4. Berkenalan dengan sesiapa sahaja, sering berhubungan dalam telefon, berchating(rosak bahasa) di facebook, dan sebagainya.
  5. Senyum kepada semua orang.
  6. Ramah tidak bertempat.
  7. Tidak menjaga pandangan.
  8. Setiap hari mengintip pergerakan orang-orang tertentu di Facebook. Tak ada kerja lain, ke.
  9. Menulis status-status kontroversi supaya orang sedar yang anda belum berpunya, atau orang perasan yang anda berpotensi untuk dijadikan calon isteri/suami yang baik. (Contohnya seperti cerita ‘saya’ di atas. Bukan saya ok!)

Saya tak kata salah pun. Tetapi saya nak cadangkan alternatif, iaitu:

  1. Bertanya kepada kawan-kawan atau sahabat-sahabat anda, adakah sesiapa yang tengah mencari pasangan. Jangan malu.
  2. Menghadiri pelbagai program yang bermanfaat dan rajin-rajinlah menegur Mak Cik atau Pak Cik di sana, mana tahu mereka ada anak dara dan teruna. Lagi mudah dan pantas.
  3. Meminta ibu dan ayah anda mendoakan anda setiap masa. Doa mereka makbul.
  4. Menjaga pergaulan dengan yang berlainan jantina. Kalau anda mahukan pasangan yang menjaga pergaulan, juga.
  5. Meminta Ibu dan Ayah anda mencarikan pasangan untuk anda.
  6. Membuat kebaikan kepada semua orang.

Jangan risau jika anda masih belum bertemu jodoh. Belum bertunang. Belum berkahwin. Ada sesetengah orang berpendapat anda perlu duduk diam dan menunggu. Berdoalah sahaja. Ada pula yang berpendapat anda perlu proaktif mencari.

Kalau anda lihat tagline blog saya :

Perkongsian Cita-Cita dan Cinta.

Memang saya maksudkan saya ingin menyentuh soal cita-cita dan cinta. Tetapi tidak menumpu kepada cita-cita yang selalunya kita rujuk sebagai pekerjaan, dan tidak pula menumpu kepada cinta sesama manusia sahaja.

Cadangan saya kepada yang sedang mencari cinta:

  • Bersyukur dengan apa yang Allah berikan kepada kehidupan anda setakat ini.
  • Menyiapkan diri dengan membaca dan menuntut ilmu agama yang asas.
  • Memerhatikan bagaimana orang berumahtangga menguruskan keluarga mereka.
  • Bertanya kepada pasangan yang soleh tentang bagaimana mereka bertemu jodoh dan cubalah mencuba cara mereka.
  • Yakin dengan Allah.

Cinta adalah cita-cita setiap manusia. Tanpa cinta, cita-cita seakan tak bernyawa. Cinta yang terbaik adalah cinta yang mempunyai cita-cita. Jadikan akhirat sebagai motivasi anda untuk mencapai cita-cita.

Pesanan Rasulullah SAW

Untuk lelaki:

“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.”

Untuk wanita:

“Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.”

 

p/s: Pernah jumpa orang yang mengata diri sendiri?  ^_^  Artikel ini ditulis bukan untuk menyakiti hati atau menyentuh sensitiviti sesiapa. Anda punyai hak ke atas kehidupan anda sepenuhnya. Artikel ini tengah mengata diri sendiri. Mari berlapang dada.