Sayang, Aku Sahabatmu!

image

Kita Hidup Bersama

Kita hidup bukan untuk diri sendiri. Kita punyai sebuah keluarga untuk dipelihara dari api neraka. Kita punyai kejiranan untuk kita amalkan kehidupan dengan cara hidup Islam. Kita punyai masyarakat untuk kita ajak kepada kebaikan.

Hidup sendirian bermakna kita bukanlah manusia yang normal.

Kita hidup bersama-sama, saling mendokong.

Sokongan Emosi Kepada Pasangan

Suatu petang ketika di dalam kereta, kami berbincang suami dan isteri.

“Suami, dulu kan isteri biasa hidup seorang diri. Sangat berdikari. Sangat berani. Tak peduli hal orang lain. Semuanya tentang diri sendiri.”

Sambung saya lagi,

“Tetapi setelah berkahwin, barulah isteri dapat merasakan kehidupan itu lebih bererti. Isteri lebih memahami kepentingan hidup bersama-sama. Tidak ada istilah ‘saya boleh hidup seorang diri. Campaklah saya ke mana-mana pun, saya tak kisah’. Itu semua tipu.”

Suami mengangguk tanda bersetuju. Saya sentuh kisah tragis tentang kematian bayi beberapa hari yang lalu. Bayi itu telah dicampakkan oleh ibunya sendiri dari tingkat 18!

“Suami, mereka kata wanita tersebut sedang dalam proses penceraian. Hmm memang tak hairanlah perkara macam ini boleh berlaku. Isteri tak nak salahkan wanita tersebut. Cuma isteri nak beritahu betapa pentingnya peranan pasangan dan keluarga untuk menyokong emosi ahli rumahtangga.”

Saya teruskan,

“Wanita adalah manusia yang penuh dengan emosi. Suami adalah penyokong dan pembantu terbaik untuk meneutralkan emosi wanita yang tidak tentu hala. Kasihan…wanita yang baru melahirkan anak, tiada pasangan hidup untuk menantikan kehadiran anak itu. Di manakah suaminya?”

Suami menyambung,

“Betul isteri. Wanita tersebut tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya. Sistem keluarga yang tidak berpaksikan iman akan mudah pecah. Perpisahan dan penceraian adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah. Suami atau isteri perlu saling melengkapi. Barulah rumahtangga bahagia menjadi realiti.”

Pasangan Pelengkap Hidup

Suami dan isteri adalah saling melengkapi. Suami yang baik pasti mahu isterinya juga menjadi baik. Begitu juga seorang isteri mahukan suaminya menjadi baik.

Jika si suami lalai dalam mentaati perintah Allah, isteri perlu berperanan untuk mengingatkan. Begitu pula sebaliknya.

Katakanlah suami sering menonton televisyen sehingga lewat menunaikan solat, isteri solatlah di awal waktu supaya suami tersedar. Kekadang kita tak perlu gunakan mulut untuk menegur.

Katakanlah isteri pula suka bermain telefon. Kemana-mana sahaja pasti bersama telefon. Suami pula cuba berbual dengan isteri dan mengajak isteri melakukan aktiviti bersama supaya isteri tidak leka dengan telefon.

Kehidupan suami menjadi bererti dengan kehadiran isteri dalam hidupnya. Kehidupan isteri pula menjadi bermakna dengan kehadiran suami. Hidup pasangan ini akan menjadi sempurna. Tetapi lumrah kesempurnaan itu awalnya adalah perbezaan dan perselisihan. Inilah yang saling melengkapi.

Isteri sering beremosi, suami pula pandai mengawal emosi. Suami sering terlupa, isteri pula selalu mengingatkan.

image

Pentingkan Diri

Apakah yang akan terjadi kepada sebuah perkahwinan jika suami atau isteri bersikap mementingkan diri sendiri? Hanya mahu diri cukup makan, hanya mahu diri dilayan dan hanya mahu diri mendapat hak dan keistimewaan.

Hanya mahu hak terhadap dirinya ditunaikan? Tetapi gagal menunaikan hak pasangan? Membiarkan pasangan menguruskan hidupnya sendiri? Tidak mahu memberi nasihat. Tidak mahu menegur jika melakukan kesalahan. Membiarkan pasangan melakukan kezaliman. Suka melihat pasangan tidak menutup aurat. Sukakah anda pasangan melakukan dosa?

Jadilah Seorang Sahabat

Mari kita berdoa, semoga pasangan hidup kita ini boleh menjadi seorang sahabat.

image

Siapakah sahabat?

Sahabat yang sering meluangkan masanya dengan kita, ringan mulutnya untuk berbual dan mendengar permasalahan kita dan membantu ketika kita buntu.

Tanyalah kepada sesiapapun, jika kita berdepan masalah, siapakah yang akan kita cari selepas mengadu kepada Allah? Kita mahu ceritakan semuanya kepada sahabat.

Jika pasangan boleh menjadi seorang sahabat, sekurang-kurangnya pasangan boleh mendapat sokongan emosi yang baik.

Teringat pula saya tentang seorang sahabat yang berpesan, isteri yang bahagia maka bahagialah sebuah rumahtangga.

Isteri yang terurus emosinya, maka teruruslah suami dan anak-anaknya.

Wanita yang mungkin dikuasai emosi iblis ketika membunuh anaknya sendiri, semoga kamu beroleh ketenangan dan kebahagiaan untuk memulakan sebuah kehidupan.

Semoga kamu bertemu pasangan yang boleh menjadi sahabat sehingga ke akhir hayatmu. Amin.

Mari menjadi sahabat kepada pasangan kita. Bantulah mereka menguruskan emosi. Emosi yang baik datang daripada iman yang naik. Jika solat tidak jaga, aurat tidak terpelihara dan hidup penuh dosa, bagaimana mahu bahagia?

Sayang, aku sahabatmu!
Mari tolong menolong ke syurga!

Leave a comment